Assalamualaikum wrt wbt,
Alhamdulillah. Puji syukur kepada Allah SWT.
Kini, cuma tinggal seminggu lagi sebelum saya dan sahabat-sahabat angkatan 2005 akan selesai sepenuhnya dari program profesi pendidikan dokter magang. Seribu satu rasa.
Namun, baki seminggu itu tidak bermaksud saya berhenti belajar.
Saya ingin berkongsikan pandangan dan pendirian saya tentang:
Fenomena “masa”
“Dokter X (supervisor) suka datang lambat untuk ward round. Jadi tidak masalah kalau kita nak datang lambat juga”
“Prof suka datang lambat untuk kelas ini. Jadi, kita datang lambat pun tidak ada masalah”
“Bos suka datang lambat. Jadi tidak ada masalah untuk kita datang lambat juga. Bukan dia tahu pun”
“Meeting selalu start lambat. Jadi tidak ada masalah untuk kita datang lambat sekalipun”
Jika kita lihat secara kasar, konsep yang sama saya ketengahkan tetapi pada subjek yang berbeza iaitu mahasiswa, pekerja, anggota organisasi tetapi perbuatan mereka sama iaitu terlambat yang disengajakan.
Saya tidak setuju dengan sikap di atas dan mari saya ketengahkan satu persatu pandangan saya tentang hal di atas.
1. Kita orang Islam dan prinsip orang Islam adalah menepati janji.
Biarkan orang lain mahu lambat, sekalipun mereka adalah kawan baik, bos, supervisor atau guru kita tetapi jangan kita.
Seandainya jam masuk kerja 0800, tepat waktu. Bukan kerana bos kita datang lambat jadi kita pun ikut datang lambat. Namun begitu, kita ada Allah SWT yang memperhatikan kita. Kita melakukan kerja bukan kerana mahu dinilai oleh mata manusia tetapi dinilai Allah SWT.
Keberkatan. Bagaimana kita mahu mendapatkan keberkatan jika permulaan dari sebuah kehidupan kita mulai dengan sebuah kesalahan. Apalagi jika terkait soal gaji “curi tulang” dan “datang lambat” kita. Rezeki seperti itu yang mahu diberikan kepada diri dan keluarga? Di mana berkahnya?
Disiplin. Sudah menjadi ketetapan untuk kita masuk kerja atau kuliah sesuai aturan tempat bersangkutan. Kita harus menghormati aturan yang telah ditetapkan selagi ianya tidak menginjak maruah agama dan diri.
Amanah. Waktu kerja atau kuliah yang telah ditetapkan itu merupakan amanah kepada kita. Seandainya kita lalai, secara langsung kita telah mengabaikan amanah kita. Sudah semestinya, kelalaian sengaja ini bakal dihitung dan ditimbang di akhirat kelak. Tidak mungkin keterlambatan yang disengajakan ini dihitung sebagai pahala.
Kebiasaan. Orang yang biasa terlambat secara tidak langsung “mendidik diri” untuk terus lambat. Kejahatan dan kemaksiatan itu tidak mungkin terjadi secara tiba-tiba. Apakah pernah seorang bayi lahir, langsung jadi jahat? Tidak! Fitrahnya manusia itu takutkan kemaksiatan tetapi kerana keterbiasaan.
2. Solat lambat, Allah SWT tidak kisah?
Contoh solat waktu Bandung. Allah SWT memberikan waktu misalnya solat Zohor dari jam 11.50 pagi hingga 2.45 petang. Masa yang diberikan oleh Allah SWT itu bukan bermaksud Dia memberikan kita kesempatan untuk terlambat solat.
“Allah SWT bagi 3 jam waktu solat Zohor, jadi tidak ada masalah saya solat lambat”
Setegas apa Allah SWT tentang ketepatan waktu dan solat?
Al-Ma’un: 4-5
“Maka celakalah orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai terhadap solatnya”
Lalai di sini luas. Lalai dari aspek khusyuknya solat, ketepatan waktu dan pelbagai lagi yang menganggu matlamat solat tercapai.
Sekian coretan saya untuk kali ini. Semoga bermanfaat dan dijauhkan dari fitnah dan salah faham. Wassalam.
Seorang dokter tidak menjadikan dia kebal dari penyakit. Beza seorang dokter dengan orang lain adalah dia tahu bagaimana cara mengubatinya.
Begitulah juga seorang da’i. Seorang da’i tidak menjadikan dirinya kebal dari ujian, cabaran dan dugaan. Cuma perbezaan seorang da’I dengan orang lain adalah dia tahu bagaimana cara untuk berusaha dan kembali kepada Allah SWT.