Assalamualaikum wrt wbt,
Alhamdulillah, puji syukur ke hadrat Allah SWT, selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat, tabi’-tabi’in.
Syukur, hampir 2 bulan waktu bermanfaat diberikan olehNya. Terlalu banyak urusan dunia mahupun akhirat yang harus saya selesaikan dan yang paling penting, “I’m still alive”. Nikmat hidup dan umur, semoga terus bermanfaat.
Mari ramai-ramai kita ucapkan, “Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah”
Peluang menulis kali ini, insyaAllah saya akan manfaatkan untuk mencoret sebuah kisah benar melalui sebuah analogi yang ringkas. Baiklah, sebelum memulakan lebih panjang lebar lagi, cuba lihat gambar di bawah betul-betul. Guna 2 mata, buka besar-besar. Kalau ada 4 mata, lagi bagus. Kalau masih ‘kurang jelas’ boleh pinjam mata kawan juga :)
1. JALAN UTAMA DAN TUJUAN
Dalam menjalani kehidupan seharian, kita sering dihadapkan dengan 2 pilihan. Mungkin antara baik atau buruk, baik dan lebih baik, buruk dan lebih buruk. Kehidupan sebenar kita di dunia ini turut dihadapkan dengan 2 jalan besar, jalan kebenaran menuju syurgaNya serta jalan kesesatan menuju neraka.
2 jalan besar ini bertentangan, tidak pernah seiring dan bergabung hak dan bathil. Persis seperti gambar diatas. Antara 2 jalan ini, ada jarak di situ. Analogi yang pernah saya kemukakan suatu ketika dahulu, sekecil apapun najis (bathil), kita tetap tidak mahu mencampurkannya ke dalam makanan kita (haq).
Al Baqarah : 42
“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui”
Kita berlumba dengan masa. Allah SWT menetapkan masing-masing masa dalam bentuk umur. Misalnya, si A dapat 63 tahun, manakala si B dapat 18 tahun. Sama ada kita sempat kumpul point sebagai tiket masuk syurga atau tidak, itulah yang menjadi perhitungan kita.
2. ‘TURNING POINT’
Turning point, saya gambarkan dengan anak panah berwarna hijau. Dimanapun kita berada, baik saat kebenaran mahupun kejahilan, sentiasa ada turning point. Turning point bersifat 2 arah. Dari benar menjadi sesat dan dari sesat menjadi benar. Peluang dan dugaan untuk kita bertaubat sentiasa ada.
Percaya atau tidak, matlamat kita satu dan utama adalah SYURGA. Sejahat manapun seseorang, mereka pasti mahukan syurga. Fitrah manusia yang menginginkan kebaikan. Sama ada mereka mengikuti jalan kebenaran dan terus berjalan menuju syurga atau mereka mengikuti jalan jauh iaitu mengikuti jalan kesesatan dan kembali mengikuti turning point untuk menuju jalanNya atau mengikuti jalan kesesatan dan gagal kembali kerana masa yang diperuntukkan telah tamat.
Al-Imran 135-136,
“Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal”
Sebanyak manapun dosa kita, setinggi apapun maksiat yang telah kita lakukan, Allah SWT sentiasa membuka pintu taubat. Hanya tinggal diri melangkah dan bertaubat atau terus meninggalkan peluang taubat silih berganti - sahabat -
3. HAK YANG DIDAPATKAN
Contoh haq yang didapatkan mengikuti jalan kebenaranContoh hak yang didapatkan mengikuti jalan kesesatan.
Setiap jalan yang kita pilih, pasti ada ‘hadiahnya’. Berbeza jalan yang dipilih, beza juga hadiahnya. Beza jalan, beza matlamat, beza hadiah.
Kata-kata Ibnu Khatir menggambarkan insan yang melakukan dosa,
“Di dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan. Hatinya gelisah akibat kesesatannya. Meski pun lahiriahnya nampak begitu senang, mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal di mana sahaja yang dia kehendaki, namun selama dia belum sampai kepada keyakinan dan petunjuk maka hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu dan masih terus ragu. Ini ialah kehidupan yang sempit.”
4. KELAJUAN BERSYARAT DAN KELAJUAN TANPA SYARAT
Menuju jalan kebenaran, saya meletakkan “Kelajuan” bersyarat. Kenapa?
Seperti di lebuhraya, untuk mencapai tujuan, kita menjaga tingkat pemanduan yang aman dengan kelajuan maksimum adalah 110km/jam, memakai tali pinggang keledar, tidak memakai telefon bimbit. Syarat-syarat yang menjaga diri kita dari sebarang kecelakaan di atas kecuaian diri sendiri (tolak tepi jika kelalaian dari orang lain). Begitu juga, untuk mencapai syurgaNya, pasti ada syarat seperti menunaikan solat, menjaga aurat, membayar zakat, mentaati orangtua. Syarat-syarat untuk menjaga diri kita.
Syarat-syarat ini ditetapkan bagi ummat Islam yang mukmin, sedar jalan yang dipilih, bertaqwa setiap masa bukan untuk mereka yang mengikuti jalan sebaliknya.
Menuju neraka lebih mudah. Tanpa syarat. Hilang segala syarat. Pandulah sesuka hati, membahayakan keselamatan diri dan orang lain.
Namun begitu, Allah SWT pernah mengingatkan kita di dalam Al-Quran,
Al-An'am: 44
“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami seksa mereka secara mengejut, maka ketika itu mereka berputus asa"
At-Thaha: 24
“Dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan Ku maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.
Wallahualam. Coretan ringkas. Semoga Allah SWT memberkati kita semua.
Pesan 1: 30/1/2012 hingga 3/2/2012 adalah tempoh induksi. Doakan saya dan sahabat-sahabat yang lain. Semangat untuk menabur bakti, insyaAllah.
Pesan 3: Persiapan mental, fizikal, rohani menuju Muslimah Ideal. InsyaAllah.