Sabtu, 22 Januari 2011

Tomato busuk

Assalamualaikum wrt wbt dan salam sejahtera.

Semoga hari-hari kita lebih baik dengan segala perbaikan ilmu, akhlaq dan amal.

Saya ingin kongsikan sebuah kisah tentang 'Tomato Busuk' versi anak-anak:)


Di suatu tengahari, pulang seorang anak kecil dari sekolah. Menghentak-hentak kakinya pulang. Mungkin ada amarah yang masih di simpan, mungkin juga kelaparan. Ibu yang melihat anaknya dari jauh hanya mampu tersenyum memandangkan anaknya sudah selamat di depan mata.

"Bagaimana sekolah hari ini, Siti?" tanya ibu sambil diusap kepala anaknya.

"Siti geram dengan Nurul. Nurul ambil pensil yang ayah baru belikan buat Siti. Siti benci dia" ujar anak meluahkan rasa.

Ibu hanya tenang. Tidak senyum, tidak juga marah. Hanya terdiam, sedang berfikir mungkin
.

"Siti, hari ini ibu masak lauk kegemaran Siti. Setelah solat dan makan, Siti ingatkan ibu. Ibu ada hadiah mahu diberikan kepada Siti" berkata ibu sambil tersenyum dan menyambung tugasnya yang tergendala.

"Hoooreeey!" jerit Siti kegembiraan. Terubat rasa marahnya. Sudah lupa dia akan kisah temannya di sekolah itu.

Usai amanah ditunaikan, Siti bergegas mencari ibunya di halaman rumah. Siti melihat ibu sedang menjemur pakaian. Siti berjalan medekati ibu.

"Ibu, ibu kata ada hadiah, apa dia? Pensil baru yang Siti suka ke?" tanya Siti dengan penuh nada kegembiraan.


"Bukan. Ada yang lebih baik dari itu" ujar ibu Siti.


Makin gembiralah wajah Siti. Tidak sabar rasa di hati.

Ibu memberikan sebiji tomato yang masih elok rupanya.

"Ini buat Siti" Ibu menghulurkan sebiji tomato kepada Siti.
(Gambar hiasan)

"Tomato?" wajah Siti masih ragu-ragu. "Apakah ini yang dikatakan hadiah?" bisik hatinya.

"Siti, setiap kali Siti marah, Siti ambil tomato ini, Siti tulis nama mereka, tarikh, waktu dan apa saja yang telah mereka lakukan sehingga Siti sakit hati. Siti harus simpan tomato ini ditempat yang paling sering Siti terkenangkan perbuatan mereka, misalnya di bilik tidur Siti" ujar Ibu ringkas.

Siti masih terdiam. Mahu bertanya panjang, dia tahu ibu nya pasih punya rancangan sendiri.

"Ini wang untuk Siti. Belilah tomato setiap kali Siti marah. Siti cubalah. Minggu depan, Ibu beri hadiah yang lebih istimewa" kata ibu Siti.

Siti melangkah pergi. Senyum tidak. Katapun tiada, apatah lagi bertanya.

Siti bergegas ke Kedai Runcit Pak Mat. Siti membeli sebiji tomato.


Berlari-lari anak pulang, Siti mengukir nama Nurul, tarikh hari ini, apa yang dilakukan menggunakan pensil. Berair keluar isi tomato dibuatnya, gara-gara amarah, Siti mengukirnya. Ibu yang melihat hanya mampu tertawa kecil.

Siti menyimpan di dalam sebuah kotak bekas. Di simpanlah di dalam biliknya, benar-benar sebelah katil tempat tidurnya. Di situlah tempat paling sering Siti mengelamun dan mengingatkan segala perbuatan teman-teman yang menimbulkan amarahnya.

Setiap hari, Siti membeli lebih dari 5 biji tomato. Diukir nama-nama insan yang menyakiti hatinya. Dia tidak muak. Wang yang diberi oleh Ibu terus mengalir keluar buat membeli tomato.

Seminggu berlalu.

Tomato yang dulunya cantik, merah, bertukar menjadi busuk dan hitam.

Semerbak busuk baunya bilik Siti. Siti mual, tapi kerana sudah tidak tahan lagi, Siti membuang sekotak penuh tomato.

Wang yang diberikan Ibu juga habis.

"Siti, mari, Ibu ada hadiah buat Siti sambil menuntun Siti membawa Siti ke halaman rumah" Ibu lembut menyapa Siti.

"Ya Ibu, hadiah?Janji! Kali ini betul-betul yang Ibu" ujar Siti. Merasa dipermainkan oleh ibunya, Siti kali ini meminta ibu berjanji. Siti terkedek-kedek membawa sekotak tomato yang mahu dibuangnya. Sudah berbau. Busuk.

Duduklah dua beranak itu di halaman rumah. Ibu memulakan bicara,

"Siti tidak beli tomato hari ini?" tanya ibu.

"Tak, duit yang ibu bagi dah habis. Jadi, hari ini Siti tidak beli lagi. Lagipun, Siti tidak mahu beli tomato lagi. Busuk bilik Siti dibuatnya. Siti tidak faham kenapa ibu suruh Siti buat benda ini semua?" ujar anaknya sambil memuncungkan bibir. Mungkin juga merajuk.

Ibu hanya ketawa kecil.

"Siti..Siti..masih belum nampak ya?" ibu bertanya. Siti terdiam dan suasana diam sebentar.

"Siti, setiap kali Siti tulis nama di tomato, itulah catatan yang Siti buat mengisi ruang hati. Setiap kali Siti merasa ada kawan dan keluarga yang menyakiti hati Siti, Siti ukir nama mereka, Siti mengenangkan mereka sebagai insan yang kurang baik. Cuba bayangkan, setelah seminggu, apa jadinya? Bukankah semua tomato, atas nama siapapun mereka, membusuk dan hitam. Begitu juga hati, kerana apapun, atas nama siapapun, andai kita terus menyimpan marah dan dendam, kita sendiri menyebabkan hati hitam dan membusuk" ujar ibu tenang.

Disambung lagi kata-katanya,

"Siti, ibu ada bagi wang buat Siti beli tomato kan? Wang tersebut sudah habis, betulkan? Itu diibaratkan sebagai tenaga yang habis, penat dan pembaziran seandainya kita terus menyimpan marah dan dendam. Cuba bayangkan setiap hari, Siti menghabiskan waktu memikirkan tentang mereka yang menyakitkan hati Siti, Siti menghabiskan penat lelah tubuh dengan dendam"

"Ini adalah hadiah dari ibu buat Siti. Pengajaran dalam kehidupan. Ibu tidak mahu Siti marah-marah, berdendam dengan orang. Maafkanlah mereka kerana Rasulullah SAW, pernah bersabda,

'Janganlah kalian saling memutuskan hubungan, saling sabar membelakangi, saling membenci dan saling mendengki. Jadilah kalian semua hamba-hamba Allah yang saling bersaudara'
(HR Bukhari)"

"Mungkin esok, mungkin lusa ibu akan pergi meninggalkan Siti sendiri dalam kehidupan ini. Ibu tidak mahu Siti terus-menerus bersikap begini. Manusia benci, Allah murka" sambung ibu lagi.

Siti hanya terdiam. Senyap tanpa kata.

Tiba-tiba, Siti memeluk ibu seerat-eratnya. Dia menyesali apa yang telah dia lakukan selama ini. Sujud syukur dirinya menghadap Tuhan.

-------------------------------------------------------------------------

Sekian perkongsian dari saya buat semua.

Wallahualam.

Pesan 1: Watak hanya direka semata-mata.

4 ulasan:

  1. Menarik dan boleh dipraktik...
    Juga jadi pedoman utk mendidik diri dan anak2 kelak.. :)

    BalasPadam
  2. Duha:

    Alhamdulillah, semoga bermanfaat

    Adik:

    Alhamdulillah. So share this with your friends and family:)

    Sinar Islami:

    Alhamdulillah, semoga Allah meredhaimu:)

    BalasPadam