Selasa, 8 September 2009

Menjadi manusia bermanfaat

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Duduk di rumah sambil "menanam benih-benih jagung" membuatkan saya bertanya pada diri.

Apakah manfaat saya pada insan sekeliling sepanjang cuti ini?

Selama ini saya sibuk dengan kuliah, aktiviti kokurikulum universiti, persatuan dan sebagainya.

Kenapa saya dulu begitu sibuk?
1. Sebab tanggungjawab saya untuk belajar dan melakukan yang terbaik.
2. Sebab saya pegang amanah dalam persatuan, jadi saya harus ikhlas dan melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna

Tetapi bagaimana bila diri jauh dari persatuan, jauh dari tanggungjawab belajar atau kerja?
A. Bemalas-malasan selagi ada peluang?
B. Memanfaatkan dan mengoptimumkan peluang beribadah di sekitar kita?

Ternyata kalau inilah senario yang dihadapi diri kita (bila ada tanggungjawab baru hendak bertindak) maka "driving force" atau motivasi diri bersifat external. Bermakna, HANYA KETIKA kita dibekalkan dengan tanggungjawab, baru kita akan mula bertindak, barulah diri mahu menjadi insan yang berguna pada sekeliling.

Mari sama-sama kita renungkan ayat Al-Quran ini,

Terjemahan Al-Insyirah:7
"Maka apabila kamu telah selesai (urusan dunia), bersungguh-sungguhlah dalam beribadah"

Setelah selesai urusan, kita tidak disuruh bermalas-malasanlah kamu atau bersenang-lenanglah kamu.

Seandainya kita mahu jadi mukmin yang proaktif, kita mencungkil semangat diri, kita mencari motivasi diri melalui internal. Iaitu, motivasi untuk melaksanakan tanggungjawab datang dari dalam diri. Bukan semata-mata tuntutan kerja atau belajar.

Apabila motivasi diri datang dari dalam diri, maka kita akan sebaik mungkin memanfaatkan setiap peluang beribadah dan berbakti di sekeliling kita. Ianya akan lebih nikmat dan seronok dilakukan. Kita akan lebih menjiwai setiap apa yang kita lakukan.

Contoh motivasi diri yang datang dari internal, saya analogikan kepada berdoa. Kadang-kala ramai yang menangis apabila dibacakan doa dengan penuh syahdu, dengan tangisan imam, sahabat atau sebagainya. Tetapi dengan doa yang sama, seandainya kita yang baca, terasa susah untuk airmata mengalir. Sehingga kita terpaksa mengerah diri untuk menangis, sehingga kita terpaksa membaca dengan penuh syahdu. Kenapa?

Wallahualam, mungkin salah satu sebabnya adalah motivasi dari dalam diri yang kurang. Apabila ianya tulus dari dalam diri, maka amat mudah kita menangis bukan kerana alunan syahdu doa imam sebaliknya kerana dari dalam diri datang penyesalan terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan, syukur yang tidak terhingga atas nikmat-nikmat yang telah diberikan.

Contohnya, semasa waktu cuti semester atau cuti hujung minggu, kita sudah merencanakan aktiviti untuk diri sendiri yang utama. Aktiviti-aktiviti yang bermanfaat kepada diri sendiri dan juga kepada masyarakat.

Dahulu sewaktu kuliah, hujung minggu saya akan menziarahi sahabat-sahabat, menghadiri ceramah agama, menghadiri usrah atau mungkin ke rumah jiran warganegara Indonesia. Di sana, saya banyak belajar masakan Indonesia. Dendeng daging, bubur khas Bandung, aneka sambal. Alhamdulillah, peluang yang ada dimanfaatkan sebaiknya.

Di rumah (baca: Malaysia), saya tidaklah aktif memberi tazkirah, membimbing usrah sebagaimana sewaktu di kampus. Namun begitu, peluang beribadah dan berdakwah tetap ada seperti mengemas rumah, memasak, menjadi pemandu kereta terhormat :P, menziarahi saudara-mara, menjahit dan pelbagai aktiviti bermanfaat cuba saya lakukan hampir setiap hari.

Walaupun pendekatan dakwah itu jelas berbeza, namun insyaAllah seandainya kita ikhlas dan punya azam yang tinggi maka keikhlasan dalam bekerja kita pasti tertempias ke insan disekelilling.

Wallahualam.

Pesan 1 : Berusaha sebaik mungkin untuk menjadi yang terbaik

Pesan 2 : Ingat saya waktu di sekolah dahulu, cikgu ada pesan,
"Kalau kamu masuk toilet, pastikan kamu bersihkan toilet lebih bersih dari sebelum kamu masuk".
Sehingga hari ini, saya mengaplikasikan analogi toilet tadi, seandainya saya melakukan setiap perkara, saya akan memotivasi diri supaya melakukannya lebih baik dari sebelumnya. Maka impaknya setiap hari adalah kita akan meminimumkan ruang kesalahan dan kecacatan.

2 ulasan:

  1. Bak kata Rasulullah "Sebaik2 Manusia adalah yang bermanfaat kepadanya dan orang lain"

    Hidup semata2 untuk diri sendiri,jangka waktunya terasa pendek,sekadar umur sendiri..

    Tetapi jika hidup mencurah budi kepada orang lain,hidup kita terasa lebih bererti,melangkaui batas perjalanan hidup sendiri ;)

    BalasPadam
  2. To MaxChempaka

    Terima kasih untuk nilai tambahannya

    [Gaya YB dah ada ;P]

    BalasPadam