Rabu, 26 Ogos 2009

Ragam di bulan Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim,

Seperti tajuk di atas, ingin saya ketengahkan beberapa ragam manusia berhadapan dengan bulan Ramadhan.

RAGAM PENIAGA,

Melalui iklan yang berkumandang di radio, saya mendengar iklan yang berbunyi;
"Abang, kedai X ada jual perabot-perabot baru. Diskaun sampai 90%. Tahun ini, kita tukar semua perabot rumah kita ya. bla..bla..bla..Selamat Hari Raya"


Gambar hiasan

Disambung iklan kedua,
"Kedai Y menawarkan diskaun untuk pakaian-pakaian dan kain-kain murah-murah. Berwarna-warni untuk Aidilfitri. bla..bla..bla..Selamat menyambut Hari Aidilfitri"

Di Pasar Ramadhan,
Setelah membeli sedikit juadah untuk berbuka, saya masuk ke dalam kereta. Babah sudah lama menunggu di dalam kereta disebabkan tempat letak kereta yang agak susah untuk dicari.

"Babah, kuih yang kakak selalu beli itu mahal sangat" rungut saya (sedih konon mengadu)


"Inilah namanya peniaga yang berniaga sebulan, untung setahun"
dengan muka selamba babah melontarkan kata.

Apabila melihat iklan-iklan sebegini, pandangan saya sebagai seorang pengguna merasakan ada peniaga-peniaga yang telah memanipulasi keindahan dan keuntungan beribadah pada bulan Ramadhan dengan tawaran-tawaran material semata. Perabot baru, pakaian baru, langsir baru, dan sebagainya harus baru menjelang Hari Raya Aidilfitri. Seolah-olah TUJUAN RAMADHAN adalah sambutan pada AIDILFITRI di bulan SYAWAL. Ini satu penyeksaan minda. Rasululllah SAW tetap menyambut Aidilfitri dengan pakaian yang bersih, kemas, wangi. Tetapi tidak pula menjadi sunnah untuk segalanya baru setiap kali menjelang aidilfitri.

RAGAM TERAWIH;
Solat sunat terawih, hadiah istimewa buat umat Islam di bulan Ramadhan. Kita diberi peluang untuk mengumpul sebanyak-banyaknya pahala melalui pelbagai ibadah dan salah satunya adalah solat sunat terawih.

Namun begitu, saya melihat satu senario pak-pak imam di sini, mungkin bukan semua tetapi ada segelintir yang saya lihat seperti "berlumba siapa yang habis dulu". Bukan main laju bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dilafazkan. Pergerakan solat pun seakan-akan ada "waktu tamat tempohnya". Terkejar-kejar untuk memberikan salam. Berpeluh-peluh makmum dibuatnya untuk bersaing dengan qariah sebelah supaya habis dulu.


Oleh itu, saya dan keluarga mengambil inisiatif untuk berkorban sedikit wang dan masa untuk ke masjid yang lebih tertib bacaan dan pergerakan solatnya serta lebih tenang tidak terburu-buru. Walaupun jarak dari rumah ke masjid mengambil masa 5 minit berkenderaan, saya dan keluarga berasa ianya berbaloi insyaAllah.

RAGAM MANUSIA

Di bulan Ramadhan, puasa di jaga, solat tidak pernah leka, tadarrus Al-Quran setiap masa, namun begitu, usai Ramadhan, solat tidak terjaga manakala kitab suci Al-Quran berhabuk dibuatnya.

Saya pernah menegur seorang teman,

"Hish, kenapa merokok ini?Sudahlah haram ditambah dosa, busuk pula tu"

"Takpe, Ramadhan lepas aku dah puasa sebulan, aku solat sebulan, aku buat baik sebulan. Kira aku kumpul banyak pahala dah. Kan ada satu malam itu ibarat seribu malam. Aku tak pernah skip solat terawih dan qiam. Kira aku dapatlah malam itu" sahabat tadi berbicara.

"Alhamdulillah, kalau kau dapat beruntunglah. Sebab tidak semudah itu untuk dapatkan malam reward hebat" saya kembali menyambung bicara.

Mudahkan mentaliti sahabat saya tadi itu?Mudah tetapi tidak semestinya benar. Seandainya malam lailatulqadar itu mudah diperolehi, pasti Allah SWT tidak menjadikannya malam itu sebuah malam yang penuh teka-teki.

Wallahualam, inilah senario yang sering berlegar di sekeliling kita. Mungkin agak sukar untuk kita mengubah paradigma dunia memandang bulan Ramadhan sebagai bulan berkah, bukan bulan menghabiskan stok barangan murah, bukan jua satu-satunya bulan beribadah bagai nak rak tetapi sebagai bulan dimana mencetuskan momentum untuk terus beribadah dan mencapai nilai taqwa di sisi Allah SWT. Kita mulakan dengan diri sendiri dan juga keluarga kita.

Semoga kita terus ikhlas beribadah keranaNya. Ameen;)

Ahad, 23 Ogos 2009

Komunikasi dengan Allah SWT

Saya memandang telefon bimbit saya. Tiada panggilan mahupun mesej penting yang bakal dibuat dan juga yang dinantikan. Kadang-kala saya sampai lupa dimana saya letakkan telefon bimbit saya. Saya tidak merasakan keperluannya kini. Berbeza sewaktu kuliah dahulu. Telefon bimbit adalah medium komunikasi terpenting. Baik untuk mengetahui informasi terkini mengenai kuliah mahupun aktiviti kokurikulum. Tidak lupa juga aset penting untuk berkomunikasi dengan insan-insan yang dirindui iaitu keluarga di Malaysia. Semenjak bercuti, telefon bimbit saya tidaklah sesibuk manapun fungsinya.

Namun begitu, apabila melihat senario tersebut secara tidak langsung [saya tidak merasakan keperluan telefon bimbit] membawa saya menginsafi dan memuhasabah diri. Diaplikasikan dalam kehidupan sehari-hari, dapat dilihat solat itu adalah medium terpenting bagi komunikasi antara hamba-hambaNya dengan Tuhannya iaitu Allah SWT.


Seseorang akan leka, lalai dan lupa mengenai solat mereka apabila merasakan bahawa komunikasi antara dirinya dengan Allah SWT tidak penting. Apabila mereka lalai dengan keindahan sementara dunia. Sehingga Allah SWT ada menyebut,

"Maka celakalah orang yang solat. (yaitu) orang-orang yang lalai terhadap solatnya" Al-Maun 4-5

Orang yang lalai sini diperincikan sebagai orang-orang yang tidak menghargai serta melalaikan pelaksanaan dan waktu solat.

Sedangkan melalui solatlah antara medium kita dapat berkomunikasikan dengan Allah SWT,

Solat mengajak kita memuji Penciptanya

Solat juga mengajar kita erti khusyuk

Solat melatih diri menjadi hamba baik secara pergerakan dalam solat mahupun hati seorang hamba

Apabila disebut komunikasi pastinya ia 2 hala. Maka, komunikasi kita kepada Allah SWT baik bersyukur atas nikmat yang diberikan, ampunan yang diharapkan atau permintaan yang minta dikabulkan dilafazkan secara kata mahupun melalui hati. Manakala komunikasi Allah SWT kepada kita tidaklah secara verbal, bukan diucap melalui kata terus kepada kita. Sebaliknya ketenangan hati, nikmat yang diberi, segala urusan dipermudahkan adalah contoh komunikasi Allah SWT kepada kita.

Sering saya mengajak sahabat-sahabat merenung kembali saat sujud. Apakah benar tiap kata yang kita lafazkan sewaktu sujud?

Subhana rabbial 'a'la wa bi hamdi
[Maha suci Allah Tuhan Yang Maha Tinggi, dan aku memujinya]

Dalam keadaan sujud kita melafazkan pujian tersebut kepada Allah SWT. Posisi kepala adalah yang terendah ketika itu. Secara fizikalnya, kita dilihat sebagai hamba. Namun begitu, berapa ramai yang sujud hanya jasadnya tetapi masih membawa ego bernama seorang manusia lemah?
Mungkin masih ada manusia yang sujud jasadnya tetapi hatinya masih gah merasa "tinggi".

Tidakkah kita berdusta? Seperti melafazkan kata, "Saya sayang awak. Hanya awak seorang" tetapi di dalam hati secara total mahupun sedikit kita menafikannya. Bukankah itu berdusta?

Maka, dimanakah layaknya tempat seorang pendusta? Tepuklah dada, tanya iman.

Nau'dzhubillah. Semoga kita dijauhkan dari sifat merasakan komunikasi dengan Allah SWT itu kurang atau tidak penting.

Wallahualam, sedikit coretan untuk dikongsi bersama. Semoga menjadi peringatan buat diri dan semua.

Jumaat, 21 Ogos 2009

Memoriku:)

Alhamdulillah, setelah sekian lama membiarkan blog ini berkepuk dengan habuk, saya akan berkongsi sedikit pengalaman sepanjang cuti.

Setelah seminggu keluar dari hospital kerana pembedahan membuang tumor, saya demam panas. Hampir 2 minggu masa diambil untuk pulih seperti sediakala.

Kemudian, ujian lain pula yang datang. Rumah sewa di Bandung dilanda pelbagai masalah. Wang yang kami (sahabat serumah) bayar bagai air mengalir. Keluarnya sia-sia belaka. Alhamdulillah, mungkin kifarah dosa.

Tidak habis dengan ujian itu, datang pula ujian hati dan iman. Hampir seminggu saya hanya menangis. Hanya Dia tempat saya luahkan segala.


Kini, setelah segalanya saya lalui jua, saya berfikir kembali. Ya Allah, andailah Allah menyediakan satu checklist ujian yang akan ditempuhi diri dan dibawa malaikat menghadap ke depan saya, pasti saya akan menolaknya. Pasti saya akan kata, "Ya Allah, aku tak sanggup", pasti jua saya akan meragui kemampuan diri. PASTI!

Tapi indah sungguh caturan Allah SWT. Segala ujian dibiarkan menjadi rahsia. Bila tiba masa dan ketikanya, ujian akan datang menyapa seperti kematian. Sama ada sedar mahupun tidak, sama ada bersedia ataupun tidak, tetap ujian kehidupan akan datang.

Pada ketika itu, ramai yang lupa erti sabar dan usaha. Ada yang meraung, merintih dan berdiam diri tanpa secalit usaha. Sebaliknya, cara tersebut tidak merungkai jalan penyelesaian tetapi membiarkan masalah tergantung. Tidak kurang juga yang memanfaatkan ilmu yang dikumpulkan dan menzahirkannya sebagai amal seorang mukmin.

Sampai suatu masa, pernah saya berdoa,

"Ya Allah, setelah segala ujian yang Kau berikan ini, Kau pujuklah hatiku dengan walau sedikit kegembiraan. Kau pinjamkanlah nikmat kegembiraan walau sebentar"


Kegembiraan diterjemahkan dan dimakbulkan Allah SWT sewaktu saya wisuda (graduation day), 14 Ogos yang lalu. Saya mampu tersenyum, saya mampu ketawa dan saya lalui jua segala ujian kehidupan.

Ingin jua saya kongsikan beberapa foto yang diambil bersama semua sahabat,

Seawal jam 6 pagi, ketibaan semua graduan yang dinanti di pintu utama UNPAD

Dari kiri, Kak Ain, saya, Izzatul, Shahida
Bawah : Nazurah, Wani

Memori ini sungguh kelakar, topi siapa entah yang hampir masuk dalam longkang:P

Alhamdulillah Ya Rabb, bukan sahaja Kau kurniakan daku sahabat yang baik, Kau berkati jua perjuangan aku dan sahabat. Alhamdulillah

Kejayaan hari ini tidak akan dikecapi tanpa redhaNya dan sokongan serta bantuan orangtua dan keluarga. Banyak kali disebut tentang pengorbanan ibu dan bapa sepanjang berada di dalam dewan konvokesyen. Rektor, perwakilan pelajar perubatan angkatan 2005 dan juga dalam bacaan doa. Itu semua meluluhkan hati saya. Membayangkan kedua orangtua yang sentiasa memberi sokongan pada saya. Bila saya gembira mereka meraikannya, pabila saya menangis, mereka tidak segan mengelap airmata saya.

Memori ini akan saya jadikan pembakar semangat saya untuk memandang ke hadapan dan melangkah lebih cemerlang untuk mengejar cita-cita insyaAllah. Benarlah janji Allah SWT,

"Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kesenangan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kesenangan" Al-Insyirah: 5-6

Buat adik-adik yang masih belajar (pre-clinical/kuliah), mungkin sahaja adik-adik akan merasa penat dalam meneruskan perjuangan tetapi jangan sampai kita menyerah kalah hanya kerana PENAT. Jangan juga sampai kita sesali masa-masa lalu yang dengan sengaja kita bazirkan waktunya. Kejayaan tidak akan dikecapi oleh orang yang MUDAH MENYERAH KALAH.

Hargai insan disekeliling kita terutamanya orangtua, keluarga dan sahabat-sahabat.

InsyaAllah, untuk semua, semoga dengan ketibaan Ramadhan kali ini, ibadah kita dipertingkatkan kualiti dan kuantitinya serta diterima Allah SWT.