Rabu, 26 Ogos 2009

Ragam di bulan Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim,

Seperti tajuk di atas, ingin saya ketengahkan beberapa ragam manusia berhadapan dengan bulan Ramadhan.

RAGAM PENIAGA,

Melalui iklan yang berkumandang di radio, saya mendengar iklan yang berbunyi;
"Abang, kedai X ada jual perabot-perabot baru. Diskaun sampai 90%. Tahun ini, kita tukar semua perabot rumah kita ya. bla..bla..bla..Selamat Hari Raya"


Gambar hiasan

Disambung iklan kedua,
"Kedai Y menawarkan diskaun untuk pakaian-pakaian dan kain-kain murah-murah. Berwarna-warni untuk Aidilfitri. bla..bla..bla..Selamat menyambut Hari Aidilfitri"

Di Pasar Ramadhan,
Setelah membeli sedikit juadah untuk berbuka, saya masuk ke dalam kereta. Babah sudah lama menunggu di dalam kereta disebabkan tempat letak kereta yang agak susah untuk dicari.

"Babah, kuih yang kakak selalu beli itu mahal sangat" rungut saya (sedih konon mengadu)


"Inilah namanya peniaga yang berniaga sebulan, untung setahun"
dengan muka selamba babah melontarkan kata.

Apabila melihat iklan-iklan sebegini, pandangan saya sebagai seorang pengguna merasakan ada peniaga-peniaga yang telah memanipulasi keindahan dan keuntungan beribadah pada bulan Ramadhan dengan tawaran-tawaran material semata. Perabot baru, pakaian baru, langsir baru, dan sebagainya harus baru menjelang Hari Raya Aidilfitri. Seolah-olah TUJUAN RAMADHAN adalah sambutan pada AIDILFITRI di bulan SYAWAL. Ini satu penyeksaan minda. Rasululllah SAW tetap menyambut Aidilfitri dengan pakaian yang bersih, kemas, wangi. Tetapi tidak pula menjadi sunnah untuk segalanya baru setiap kali menjelang aidilfitri.

RAGAM TERAWIH;
Solat sunat terawih, hadiah istimewa buat umat Islam di bulan Ramadhan. Kita diberi peluang untuk mengumpul sebanyak-banyaknya pahala melalui pelbagai ibadah dan salah satunya adalah solat sunat terawih.

Namun begitu, saya melihat satu senario pak-pak imam di sini, mungkin bukan semua tetapi ada segelintir yang saya lihat seperti "berlumba siapa yang habis dulu". Bukan main laju bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dilafazkan. Pergerakan solat pun seakan-akan ada "waktu tamat tempohnya". Terkejar-kejar untuk memberikan salam. Berpeluh-peluh makmum dibuatnya untuk bersaing dengan qariah sebelah supaya habis dulu.


Oleh itu, saya dan keluarga mengambil inisiatif untuk berkorban sedikit wang dan masa untuk ke masjid yang lebih tertib bacaan dan pergerakan solatnya serta lebih tenang tidak terburu-buru. Walaupun jarak dari rumah ke masjid mengambil masa 5 minit berkenderaan, saya dan keluarga berasa ianya berbaloi insyaAllah.

RAGAM MANUSIA

Di bulan Ramadhan, puasa di jaga, solat tidak pernah leka, tadarrus Al-Quran setiap masa, namun begitu, usai Ramadhan, solat tidak terjaga manakala kitab suci Al-Quran berhabuk dibuatnya.

Saya pernah menegur seorang teman,

"Hish, kenapa merokok ini?Sudahlah haram ditambah dosa, busuk pula tu"

"Takpe, Ramadhan lepas aku dah puasa sebulan, aku solat sebulan, aku buat baik sebulan. Kira aku kumpul banyak pahala dah. Kan ada satu malam itu ibarat seribu malam. Aku tak pernah skip solat terawih dan qiam. Kira aku dapatlah malam itu" sahabat tadi berbicara.

"Alhamdulillah, kalau kau dapat beruntunglah. Sebab tidak semudah itu untuk dapatkan malam reward hebat" saya kembali menyambung bicara.

Mudahkan mentaliti sahabat saya tadi itu?Mudah tetapi tidak semestinya benar. Seandainya malam lailatulqadar itu mudah diperolehi, pasti Allah SWT tidak menjadikannya malam itu sebuah malam yang penuh teka-teki.

Wallahualam, inilah senario yang sering berlegar di sekeliling kita. Mungkin agak sukar untuk kita mengubah paradigma dunia memandang bulan Ramadhan sebagai bulan berkah, bukan bulan menghabiskan stok barangan murah, bukan jua satu-satunya bulan beribadah bagai nak rak tetapi sebagai bulan dimana mencetuskan momentum untuk terus beribadah dan mencapai nilai taqwa di sisi Allah SWT. Kita mulakan dengan diri sendiri dan juga keluarga kita.

Semoga kita terus ikhlas beribadah keranaNya. Ameen;)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan