Assalamualaikum wrt wbt
Alhamdulillah, puji sujud syukur. Syukur dengan hikmah yang disempatkan untuk aku lihat dan renungkan.
Hari ini, saat bangun solat Subuh, aku merasa sesuatu. Perasaan ada yang kurang. Perasaan ini selalu berkunjung setelah aku menangis atau mungkin kehilangan seseorang atau sesuatu yang sangat ku sayangi. Allahuakbar.
Sambil mengambil wuduk, kepalaku berputar. Mencari punca resahnya hati.
Allahuakbar, memoriku seperti berhenti di satu sisi otak yang mengingatkan aku tentang cerita pilu semalam. Cerita dia, cerita yang insyaAllah akan aku ingat sampai bila-bila.
Hari Jumat, 29-07-2011.
Hari ini aku bertugas di Ruangan (Ward). Aku tidak pulang semalaman memandangkan aku harus menyelesaikan edit referat dan melunaskan kerja seperti patient's report.
"Dok, ini ada pasien baru, pasien datang dari poliklinik" sambil tersenyum seorang nurse menghulurkan fail pesakit kepadaku dan berlalu meninggalkanku sendiri.
Mataku sudah kemerahan panas. Semalaman aku tidur cuma 2 jam. Aku melihat jam, 1400
"Ya Allah, sebentar lagi mulai waktu oncall. Mana lagi aku belum istirehat, belum makan, ini datang pesakit baru. Allah" Hatiku menggerutu, aku kepenatan yang hanya Allah SWT dan aku mengetahui persis.
Aku membaca-baca fail dan status penyakitnya. "Huh, Decompensatio Cordis (Heart Failure)??"
Anak ini mengidap penyakit jantung sejak kecil.
Aku melangkah lemah, mahu melihat pesakit anak yang baru masuk ini. Aku sungguh-sungguh penat. Aku masuk ke ruangan anak ini.
Sayu. Hiba.
Anak ini kelihatan sangat lemah. Pucat. Namun begitu, sangat kooperatif. Memberikan informasi sesuai pertanyaanku. Tidak seperti anak yang rata-rata sebayanya, anak ini malah kelihatan petah berkata. Sedikit menghibur hatiku yang kelelahan.
Aku bertanya-tanya beberapa soalan, lantas memeriksa anak ini. Usai semuanya, aku kembali ke ruang khusus buat menulis report yang aku dapatkan.
Aku lalu memberikan instruksi kepada nurses yang ada supaya perhatian penuh diberikan kepada anak ini. Baik tanda vitalnya, cairan yang masuk dan keluar, pemberian oksigen dan ubat-ubatan.
"Teteh, aku pulang dulu ya. Nitip pasien ini. Aku harus beres-beres sebelum jaga (oncall) bentar lagi" kataku kepada Ketua Jururawatnya. Sebagai tanda hormatku dan pesanan agar mereka tahu keberadaanku.
Petang itu aku ditugaskan di Emergency Unit. Sedang asyik aku menguruskan semua pesakit anak,
"Aimi kamu dah solat Maghrib?" tanya sahabatku.
"Astaghfirullahal 'azim. Belum, titip pasien anak ya. Aku mahu solat dulu" saya melihat jam, hampir menjelang Isya.
Pesakit-pesakit anak yang datang tidak berhenti. Sejak mulai jadual oncall jam 1500, aku belum istirehat. Ke hulu dan ke hilir menguruskan semua pesakit anak. Hanya ada seorang dokter umum senior dan seorang dokter magang, jadi kami berdualah berganding bahu menangani semua pesakit-pesakit anak. Kebetulan rakan-rakan dari Department lain turut menghulurkan bantuan.
Aku mempercepatkan langkah. Rencanaku mahu solat di ruangan paediatric saja. Lebih nyaman menurutku, kebetulan ada temanku juga yang oncall di Ward.
Usai solat Maghrib, temanku berkata,
"Aimi, bantuin dong. Lihat pasien anak yang Decomp (Heart Failure). Anaknya kelihatan gelisah" kata temanku. Aku melangkah cepat ke anak ini.
Aku lihat anak ini sesak teruk. Bicaranya jadi termengap-mengap. Sepatah-sepatah kata yang keluar. Tapi aku melihat dia masih berbicara.
Saat aku memeriksa anak ini, aku lantas bertanya, ingin tahu apa yang dibicarakannya,
Sambil memeriksa anak ini, saya bertanya, "Adik sayang, baca apa?"
Dengan menguatkan suara yang termengah,
"Kul inna sallati wanusuki, wa mahyaya wa mamati lillahi rabbil 'alamin"
[Sesungguhnya, salatku, ibadahku, hidupku, matiku semuanya kerana Allah Pemilik sekelian alam]
Dia mengulangi bacaanya berulang kali. Di sebelah anak ini, aku melihat neneknya setia menemani.
"Cucu saya biasa mengulangi bacaan Al-Quran yang dia hafal" tanpa diminta, neneknya bersuara.
Betapa hatiku menangis syahdu. Aku langsung meninggalkan anak ini tanpa melihat lagi wajahnya. Bukan kerana aku mahu lari dari tugas tapi hati aku tidak sanggup melihat saat itu.
Aku duduk sendiri di ruangan yang menempatkan kami dokter magang dan semua jururawat.
Aku termenung sendiri. Ada hiba di situ. Ayat Al-Quran itu adalah prinsip hidupku. Sungguh ironi, aku menulis setiap hari, aku beritahu dunia, inilah prinsip hidupku. Namun begitu, anak ini sangat sederhana caranya tapi sangat terkesan dihatiku. Aku yakin anak ini ikhlas. Aku yakin anak ini tahu apa yang dibacanya.
Jauh terbersit dari sudut hatiku, anak ini boleh saja menangis, merengek tetapi dia memilih untuk murajaah bacaan Al-Quran. Allahuakbar. Betapa tinggi dan mulia akhlaq anak ini.
Kakak kepada anak perempuan ini tadi cuba menghibur adiknya.
"Ayo adik, kita main-main. Gini loh, kita main Pepsodent (Macam main Coca-cola, then kena statik berhenti, tahan ketawa, jangan bergerak. Siapa yang bertahan tanpa bergerak dan bersuara, dialah pemenangnya). Kakak traktir(belanja) kamu apel kalau kamu diam ya" kata kakaknya.
"Ok" jawab adiknya ringkas sambil masih termengah-mengah. Mungkin niat kakaknya mahu menghiburkan hati adiknya.
"Pepsodent" suara keras kakaknya kedengaran
Setelah sekian lama, kakaknya menyerah kalah. Menyerah kepenatan, mungkin. Dia langsung mengumumkan adiknya layak memegang gelar pemenang.
Namun siapa sangka. Siapa menduga. Permainan siapa paling lama diam, statik tidak bergerak, tidak bersuara merupakan permainan terakhir mereka adik-beradik.
Adiknya kelihatan diam. Mungkin sangka kakaknya adiknya berlakon untuk memenangi perlumbaan ini
Suara kakaknya yang menangis histeris mengejutkan semua orang. Semua kekagetan. Bergegeas berlari ke sana.
Innalillahi. Anak ini telah kembali ke rahmatullah.
Aku yang bertugas di Emergency Unit mendapat sms dari temanku,
"Aimi, anak XX meninggal dunia" ringkas tapi membuat hati menangis.
Tanpa aku sedar, aku menangis. Berjujuran airmataku mengalir deras membasahi pipi.
"Ya Allah, Tuhanku, kepada Kau aku meminta dan bersujud. Aku mohon, Kau tempatkanlah anak ini bersama kekasihMu Ya Rabb" dalam diam aku berdoa.
Malam itu tidak seperti malam-malam lainnya. Aku masih diselubungi 1001 perasaan, keinsafan, hikmah yang tidak berbelah bagi.
Aku yakin, Allah SWT tidak mengirimkan anak ini sengaja tanpa harus ada ibrah yang harus ku ambil. Allah, aku bersujud syukur. Perginya dia itu telah membekas baik dalam hatiku. Kenangan ini akanku simpan sampai bila-bila. InsyaAllah.
Innalilah..
BalasPadamTiada bicara bisa dilantun..
Allahummag firlahu.Semoga Syurga baginya...
semoga di Allah merahmati anak ini. terkesan diri yang membaca juga.
BalasPadamAhmad Zulfahmi, ameen. ameen. ameen ya Rabb
BalasPadamnicemedicine. ameen. moga bermanfaat buat kita muhasabah diri T_T
BalasPadam