Isnin, 29 Jun 2009

Alasan

Saya dan mama menunggu hampir sejam di ruangan kantin sekolah adik saya yang bongsu. Lama menanti, hati saya jadi membara. Mama mula masam mencuka tetapi tidak sampai hati untuk marah. Berjanji jam 2 petang, adik muncul sambil muka terpisat-pisat baru bangun tidur ke kantin jam 3.30 petang.

Selepas salam berbalas, pelukan berbalas pelukan, saya terus menerjah adik,

"Kenapa adik lambat?" saya bertanya tanpa segaris senyuman.

"Adik tertidur" jawab dia ringkas.

"Adik janji jam berapa?Adik tahu tak sekarang pukul berapa?" saya mula meninggi suara

"Tahu, tapi kak..." adik saya mula menyusun ayat untuk memberi ALASAN.

"Cukup, jangan BERI dan CIPTA ALASAN. When you have to say sorry, just do it" saya memintas kata-kata adik.

Adik tunduk meminta maaf. Panjang muncungnya sudah kelihatan tetapi ini juga adalah amanah, saya sebagai kakak harus menegur. Apabila mama senyap, itu bermakna mama memberi keizinan untuk saya marah atau tegur adik-adik.

Itu salah satu contoh alasan. Banyak lagi di dalam dunia ini alasan yang diberikan. Sedangkan alasan tercipta adalah untuk meringankan beban seperti cuti yang dimohon kerana sakit berat. Namun begitu, terlalu banyak alasan diberikan. Sewaktu KKN (kuliah kerja nyata) di tahun 4, ada seorang rakan KKN pernah mengeluarkan satu penyataan ini,

"Di dalam dunia ini, paling banyak adalah bintang yang bertaburan di langit, kedua adalah air di lautan dan ketiga adalah ALASAN"

Ungkapan sahabat berbaur sindiran yang saya setuju dan yakini ada benarnya.

Sehingga banyaknya alasan diberikan, saya pernah menegur seorang sahabat,

"Kenapa tidak datang aktiviti semalam?" saya bertanya dengan nada sederhana tetapi cukup tegas.

"Sebab..bla..bla...dan..serta..bla..kemudian..bla..." alasan panjang diberikan sehingga saya merasa muak.

"Kaya betul awak dengan alasan. Lepas ini, bolehlah buat "alasan masak kicap" tidak pun "alasan masak lemak"" saya kembali diam.

ALASAN DALAM DUNIA DAKWAH

"Saya berasal dari orang biasa-biasa sahaja, mak ayah pun tidak kuat agama. Segan nak berdakwah"

Kalau keluarga dijadikan alasan, Rasulullah boleh sahaja berhenti berdakwah kerana bapa saudaranya, bukan sahaja kafir tetapi orang yang kuat memberi tentangan kepada dakwah dan perjuangan Rasulullah. Kalau begitu, Rasulullah SAW boleh sahaja beralasan untuk tidak berdakwah kerana ahli keluarga Kekasih Allah ini sahaja belum sempurna.

Tetapi adakah Rasulullah SAW meninggalkan dakwah kerana sebuah ALASAN?"

"Saya ada sejarah silam. Pahit dan hitam. Saya tidak mahu lagi terjun dalam dunia dakwah" luahan hati seorang saudara.

Kalau pahit dan hitam kerana mehnah dan tribulasi perjuangan dijadikan alasan, Rasulullah lebih dahulu boleh mencipta alasan. Saat dihina, disakiti, dicederakan oleh penduduk Thaif sehingga berjujuran darah Baginda, Rasulullah SAW boleh "minta cuti rehat" dari Allah dari dunia dakwah.

Tetapi adakah Rasulullah SAW meninggalkan dakwah kerana sebuah ALASAN?"

Saya juga tidak terlepas dari memberi alasan dan saya akui kesilapan. Cuma saya tidak suka menjadikan alasan sebagai "zikir lidah" dalam kehidupan.

Bak kata ayah saya,

"Berhenti memberikan alasan dan berhenti mencipta alasan. Hari esok tidak akan menjadi kenyataan dengan hanya beralasan dan tidak bekerja sebagai Muslim yang mukmin"

Pesan 1 : Surah Al-Mulk : 2 (bermaksud)

“Dia lah yang telah menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang terbaik amalnya; dan Ia Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun,”

Renungkan ayat ini dan muhasabah diri, apakah mampu kita menjadi yang terbaik bersama amal yang terbaik seandainya tiap hari dalam menjalani kehidupan dan ibadah kita penuhi sekian banyak alasan untuk MENGAMBIL MUDAH tiap pekerjaan. Wallahualam

Sabtu, 27 Jun 2009

Diarrhea:)

Alhamdulillah, semalam setelah dipaksa oleh teman serumah, Wani barulah saya menguatkan diri ke klinik.

"Aimi, awak dah sebulan sakit?Awak nak saya call doktor ke awak nak saya call mana-mana budak laki yang ada kenderaan angkut awak pergi klinik?Awak nak mana?" Wani mula membebel seperti biasa apabila saya enggan ke klinik.

Pagi itu Wani telah membelikan saya bubur dan juga air isotonik 2L untuk dihabiskan. Setelah digesa, saya menurutkan juga. Ini demi kebaikan diri.

Kemudian panggilan dari Malaysia masuk ke telefon bimbit saya,

"Assalamualaikum kak, tengah buat apa?" suara mama kedengaran gembira.

"Wa'alaikumussalam, tengah terbaring ini. Sebulan diarrhea tapi 2 minggu ini makin teruk pula" saya jawab.

"Diarrhea??Kakak makan apa?Itu lah mama dah pesan................." mama seperti biasa memulakan ceramahnya (huhu..ada yang kena bedal dengan mama ini:P)

Oleh itu, saya nekad ke klinik. Saya sebenarnya tidak mahu ke klinik atas 2 alasan. Saya tidak suka ketergantungan kepada ubat setiap kali sakit dan juga saya tidak suka membazir.

Saya mendapatkan ubat Metronidazole, Vitamin dan Attrapulgite. Ketiga-tiganya saya tahu untuk apa diberikan.

1. Metronidazole, ubat untuk bakteria anaerobik dan sesetengah protozoa seperti Giardia Lambdia dan Entamoeba Coli.

2. Vitamin, ini sebagai supplemen seperti biasa.

3. Attrapulgite, ubat ini selalu dijual dipasaran bertujuan mengurangkan diarrhea dengan menarik dan mengumpulkan segala bakteria serta meningkatkan konsistensi najis dan mengurangkan abdominal cramp.

Saya ada tips yang ingin dikongsikan bersama (ini belajar masa tropical medicine system),

1. Seandainya anda diarrhea kurang dari 7 hari itu berkemungkinan adalah disebabkan jangkitan virus dan bakteria. Sering diiringi dengan demam.

2. Seandainya lebih dari 7 hari dan mencecah sehingga sebulan maka kemungkinan besar disebabkan jangkitan ameba. Selalunya jangkitan ameba ini tidak diiringi dengan demam ataupun klinikal manifestasi demam akan datang setelah sebulan tempoh jangkitan (itu tandanya ameba telah 'menceroboh' keseluruh bahagian tubuh melalui sistemik. Bahaya!)

3. Dulu saya selalu minum air teh pekat untuk menghilangkan diarrhea. Tetapi sebenarnya air teh pekat mempunyai kadar osmotik yang tinggi sehingga air teh ini mampu menarik lebih banyak cairan lain dan menyebabkan diarrhea semakin teruk (ini kata doktor skill's lab)

4. Elakkan susu (kadar osmotik tinggi) dan sayuran atau makanan tinggi fiber.

Pesan 1 :

"Tidaklah seorang Muslim ditimpa oleh keletihan, atau kerisauan, atau kedukacitaan, atau penyakit, atau permasalahan walaupun kesakitan berupa duri, melainkan ini merupakan penebus kepada dosanya."
(HR Bukhari dan Muslim)

Pesan 2 :
Daripada Usman Bin Abul-Ash r.a. bahwa dia pernah mengadukan suatu penyakit yang menimpa dirinya kepada Rasulullah s.a.w., maka beliau pun mengatakan:
Letakkan tanganmu di tempat yang kau rasakan sakit pada badanmu, kemudian bacalah:

Ertinya: Aku berlindung diri dengan keperkasaan Allah dan kekuasaanNya daripada bahaya yang aku temui dan aku takut.


Pesan 3 : Jangan kita sombong dan bongkak baik sewaktu sihat mahupun sewaktu sakit. Ingatlah Allah setiap masa. Wallahualam.

Rabu, 24 Jun 2009

Menuai musim gugur

Sebenarnya sudah lama ingin saya kupas isu yang pernah dibaca di majalah Tempo Edisi 11-17 Mei 2009. Saya lebih gemar membaca isu kupasan politik dari majalah Tempo kerana ianya lebih bersikap neutral dan tidak berat sebelah. Berbanding sesetengah suratkhabar yang jelas-jelas menyokong sesetengah pihak. Ini pendapat peribadi dan seandainya ada yang kurang setuju silakan tolak ketepi. Untuk pengetahuan, majalah Tempo adalalah majalah mingguan Indonesia maka isu yang berputar kebanyakannya adalah di dalam Indonesia dan terkait isu-isu luar negara yang punya kerjasama dengan Indonesia.

Isu yang ingin saya sentuh adalah "Panen Musim Gugur" atau kata lain, "Menuai musim gugur". Sekali baca tajuknya seakan berkaitan isu pertanian bukan?

Setelah dibaca dan difahami topik ini adalah berkaitan isu pengguguran yang dijalankan secara berleluasa sekitar Indonesia. Aktiviti haram ini dijalankan juga bermusim seperti setelah Valentine's Day dan New Year celebration. Sebab itu penggunaan katanya adalah musim.

Secara langsung mereka yang terlibat adalah pakar, doktor dan bidan. Mereka mengenakan biaya sebesar Rp 6juta (RM 3000) mengikut kriteria sama ada pernah melahirkan ataupun belum. Seandainya belum maka bayarannya lebih tinggi dan sekiranya pernah melahirkan bayarannya pula mengikut berapa bulan kandungan.

Setelah melahirkan, janin akan ditanam disekitar klinik mahupun dibuang kedalam selokan atau sungai. Sedih melihat dan mengenangkan jari halus bayi-bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa nafsu serakah manusia bertopengkan haiwan. Kejam!!

Ya Allah, saat membaca isu ini tidak tahu hilang ke mana kekuatan diri mengenangkan nasib kita sebagai waris bangsa. Sekalipun ini isu di negara Indonesia di mana tempat saya menimba ilmu menjulang sijil Perubatan insyaAllah, tapi tidak jauh bezanya di Malaysia. Isu pembuangan anak seakan-akan menjadi santapan berita harian. Isu zina berleluasa.

Antara faktornya adalah golongan remaja dan dewasa yang semakin berani dan kerap menonton filem atau adegan-adegan porno. Tidak tahukah saat anda menonton filem tersebut, pemikiran, akhlaq dan juga iman kalian terlah diperbodohkan oleh orang barat atau khususnya orang kafir kerana mereka telah memonopoli pemikiran Islam melalui seks? Menjadi makhluk paling bodoh. Itu adalah label paling sesuai untuk anda yang gemar menonton dan berbicara soal seks (bicara soal seks bukan dari aspek ilmiahnya).

Apabila pemikiran telah dicetus dengan adegan yang bukan-bukan maka lahirlah keinginan yang bukan-bukan juga. Timbullah isu onani dan juga seks bebas. Duduk berdua-dua yang tidak mahu dikacau oleh oranglain itu juga merupakan bibit mengarah kepada zina walaupun pencetusnya mungkin sahaja bukan dari menonton perkara-perkara tidak senonoh. Kalau mahu mencantas isu buang anak, kita harus BUANG NALURI "IBU DAN AYAH" YANG GILA DUNIA DAN TIDAK BERSEDIA. ("Ibu dan "ayah" bukan diterjemahkan literally)

Pernah saya menghadiri suatu majlis formal. Disebabkan saya yang tiba agak lewat berbanding ahli keluarga saya yang lain, maka saya mengambil keputusan untuk duduk sendirian di buaian sambil menghabiskan hidangan makanan. Saya melihat seorang anak kecil perempuan (3tahun) dengan gaya manja melenggokkan tubuh dan menyanyi. Saya tidak memahami buah butir kata cuma agak geli hati melihat gadis kecil dengan pakaian skirt pendek dan jarang itu terus menari dan menyanyi seolah-olah tiada insan lain disekeliling. Satu suara menyahut dari belakang,

"Hi my red little lady, what you gonna be in the future?" tanya seorang pakcik bergurau.

Tahu jawapan anak ini apa?

"I wanna be a stripper" jawabnya ringkas sambil terus tersipu-sipu.

Saya mendengar sungguh terperanjat. Ibu kepada anak kecil ini lari meluru ke anak tadi dan menghulurkan penampar tepat diwajahnya.

Saya hairan, mana mungkin anak sekecil ini tahu istilah pekerjaan itu. (Itu perkerjaan??)

"Hi sweetheart, why you wanna be a stripper? It is not a good one and it is not for you." saya menegur adik tadi.

"My mom and dad always watch the stripper every night. They seems to like it very much" jawab jujur adik tadi.

"Arrgghh..Andai saja aku boleh lempang orang tua tadi. Dia yang mencetus pemikiran anaknya sebegini, kenapa pula dimaki anaknya?" saya berbisik dalam hati. Geram yang terpaksa dikawal. Demi nama baik mama dan babah saya memandang wajah orangtua anak kecil ini dengan wajah yang meluat dan marah.

Pesan 1 : Saya tidak menyalahkan total ibu bapa kerana mungkin sahaja pendidikan dan kasih sayang diberikan bukan sekadar cukup malah melimpah tetapi persekitaran memainkan peranan penting. Tapi sampai bila kita harus menuding jari menyalahkan insan di sekeliling?

Pesan 2 : Saat melihat insan yang terjatuh ke dalam lembah maksiat, jangan ditertawakan mereka. Jangan dipandang sebelah mata pada mereka, sebaliknya jadikan yang berlaku di saat itu sebagai ibroh pada diri. Mohon agar diri kita, keluarga dan juga keturunan dijauhkan dari mendekati zina.

Pesan 3 : Isu ini bukan isu mereka tetapi isu kita. Sejauh mana kita telah bertindak?Tepuk dada tanya iman. Wallahualam

Sabtu, 20 Jun 2009

Dia yang dipuja dan dipuji mereka

Saya menonton drama Korea untuk pertama kalinya. Tipikal cerita Korea yang pernah saya dengar, heroinnya dari keluarga yang kurang berkemampuan manakala hero nya adalah dari lelaki yang sangat kaya, punya status, wajah yang tampan dan segala kesempurnaan yang lain. Namun begitu, apa yang menarik perhatian saya adalah heroinnya tetap pendirian, jujur menjadi diri sendiri, punya misi dan visi, dan sangat tegas. Itu yang membuatkan saya tertunggu-tunggu apakah kesudahan cerita.

Ada sahabat saya memberitahu,

"Dulu I suka tengok cerita Korea but then I found out it's like fantasy. Their love story is like fantasy. That's the reason why I stopped watching Korean drama" jelas sahabat.

Dalam hati saya mengiakan dan menguntumkan senyuman tanda setuju.

Apabila melihat cerita Korea baru-baru ini, saya melihat betapa hero dan kawan-kawannya (ada 3 orang kawan rapat) dipuja. Saya berfikir kembali adakah ini suatu fantasi atau ianya realiti?

Mengimbas kenangan sewaktu di tingkatan 1, saya merupakan pelajar kelas agama di mana kami (semua akhawat) dilarang bertemu dengan lelaki, bercakap, wajib jaga akhlaq dan perkara penting iaitu sangat wajib menjaga Ikhtilat. Walaupun ternyata aturan ini tidak bertulis hitam putihnya tetapi sudah jadi suatu warisan dan adat di mana kami harus menjaga adab-adab Islam sebenar.


Kalau ada spot check dan cikgu terjumpa surat (yang datang dari ikhwan dan jelas ke"lagha"nya" di bawah meja, memang pelajar perempuan dan lelaki akan mendapat hukuman.

Sewaktu di tingkatan 1, saya selalu mendengar 3 orang sahabat lelaki (senior tingkatan 3) yang sering menjadi buah mulut orang. Ini kerana akademik mereka yang cemerlang, aktif bersukan, bangga mengharumkan nama sekolah saat mewakili dalam pertandingan serta akhlaq mereka yang sangat baik sehingga para guru bangga berzikir menyebut terus nama mereka di kelas-kelas lain sebagai penyuntik semangat kami. Boleh kata "complete package". Andai mereka melintas, akan ada tangan-tangan manja sesetengah pelajar perempuan yang menghulurkan surat.

Saya mengkagumi mereka tetapi tidak sampai memuja. Pernah ada seorang sahabat nekad meluahkan perasaan pada salah seorang dari mereka kerana sangat-sangat meminatinya. Perkara yang tidak sedapnya, saya diminta menemaninya. Ikutkan sahaja sebab tidak mahu mereka berdua kononnya (:P)

Saya duduk di sebalik tempat mereka berbincang dan ber'drama'. Namun, cukup jelas segala buah butir bicara mereka. Setelah lama sahabat perempuan ini menangis dan merayu barulah saya dengar lelaki tadi berbicara. Cuba hayati bait kata lelaki ini. Saya sangat mengaguminya sehingga saya patri kata-katanya kemas dalam kotak fikiran saya.

"Saya dipuji dan dipuja
Saya yang minta begitu?
Pernah walau sekali awak mendengar saya merayu untuk dipuji dan dipuja?
Pernah?
Tidak kan?
Pernah saya memaksa awak untuk jatuh hati pada saya?
Pernah?
Kalau tidak, perlukah saya bertanggunggjawab membawa cinta yang belum pasti entah ke mana?
Silap-silap ke neraka
Saya tidak rela dan tidak mahu menggadaikannya.
Saya hidup untuk mencari sesuatu yang terbaik buat diri.
Saya mahu ianya menjadi tabungan untuk saya dewasa dan mati kelak
Saya mahu membalas jasa kedua orangtua saya
Saya melakukan yang terbaik untuk yang terbaik pada masa akan datang
Kerana itu saya yakin, hasilnya adalah yang terbaik dari Dia
Kalau hari ini saya dipuji dan dipuja itu adalah kerana dari Allah datang yang terbaik menutup segala kekurangan saya.
Sudahlah, perjalanan masih jauh
Berfikiran waraslah
Awak perempuan yang baik-baik.
Saya yakin yang terbaik untuk awak.
Jangan menaruh harapan pada saya kerana saya tidak berani menjanjikan sesuatu hari esok
Mungkin sahaja saya kecundang, na'udzhubillah, mungkin saja saya berjaya
Baliklah ke rumah
Buat azam baru dan lupakan saya"

Saya dengar teriakan sahabat makin kuat tetapi saya tersenyum.
(Bukan niat untuk mengejek teman tapi saya sangat terkesan dengan kata-katanya). Perjalanan pulang saya dan sahabat hambar. Sahabat senyap dan mengalirkan airmata. Tiba-tiba dia bersuara,

"Jahatkan dia Aimi?" sahabat berkata
"Tidaklah. Ok lah tu. Dia dah declaire. So pasni ko takyah pikir pasal dia dah. Tapi aku suka kata-kata dia tadi" saya balas dengan wajah selamba.

Lepas itu saya dicubit teman. Hairan saya waktu itu tetapi setelah menginjak dewasa saya ketawa sendiri memikirkan betapa saya kurang sensitif. Hehe:)

Pesan 1 : 3 orang sahabat lelaki kini alhamdulillah menjadi orang yang berjaya (Jurutera, Doktor, Ahli perniagaan)

Pesan 2 : Kaitan dengan cerita Korea adalah part mereka dipuji dan dipuja itu

Pesan 3 : Ingin saya tekankan bukan pada scene mereka berdrama tetapi pada kata-kata lelaki tadi. Kita lakukan yang terbaik pada masa kini dan insyaAllah masa depan kita dan juga sampingannya (dipuji/dipuja) akan datang kemudian insyaAllah andai kita ikhlas keranaNya. Tidak perlu menagih simpati dan perhatian dengan menebalkan muka mencari publisiti murahan di khalayak ramai.

Pesan 4 : Fahami mereka dan insyaAllah kita akan difahami. Sayangi mereka insyaAllah kita akan disayangi (mereka = sahabat)

Pesan 5 : Ramai sahabat-sahabat yang saya pelajari dan hayati prinsip hidup mereka. Alhamdulillah ianya sangat terkesan buat diri.

Pesan 6 : 10: 109;
"Follow thou the inspiration sent unto thee, and be patient and constant, till Allah do decide for He is the best to decide"
Waras dalam berfikir, Rasional dalam bertindak. Jadikanlah wahyunya sebagai panduan untuk berfikir dan bertindak. Wallahualam

Rabu, 17 Jun 2009

HARI KELAM-KABUT BERAKHIR:)

Comparison of sodium level in roasted beef and roasted mutton, and its' relationship with hypertension using Atomic Absorption Method

Ingin saya kongsikan sedikit tentang penelitian (tesis) yang telah saya jalankan hampir kurang dari 6 bulan ini. Saya memilih sampel sate dan membandingkan antara daging kambing dan juga lembu.

Sering kita dengar seandainya seseorang itu makan daging kambing maka mereka akan sakit kepala, berdebar-debar dan pelbagai lagi gejala di mana ini cenderung mengarahkan ke Hypertension (Darah tinggi) berbanding makan daging lembu. Kaitannya dengan Darah Tinggi adalah Kandungan Garam.

Prinsipnya mudah, ada terdapat banyak faktor yang menyebabkan Hypertension (darah tinggi) antaranya adalah pengambilan natrium (Na) secara berlebihan, stress, mengandung dan penyakit ginjal. Natrium pula wujud dalam pelbagai bentuk, seperti mineral asli, garam (NaCl), baking powder.

Jadi saya mengkaji secara langsung tentang kehadiran kandungan garam pada sate kambing dan sate lembu ini sendiri. Pengalaman baru, saya belajar bagaimana membuat sate. Ternyata setelah dilakukan ujikaji kandungan Natrium yang terdapat dalam daging kambing adalah sama dengan daging lembu. Maka, tanda-tanda hypertension (darah tinggi) bukanlah bersumberkan garam yang ada pada daging kambing tetapi ada faktor lain.


Mahu tahu faktornya apa?

Saya telah membuka ruang dan idea untuk adik-adik memilih judul skripsi. Jika berminat dalam bidang Nutrition dan Medical Chemistry silakan pilih tajuk berkaitan.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Pengalaman hari ini,

Tepat jam 9 pagi, saya melangkahkan kaki memasuki ruangan ujian untuk pembentangan tesis. Saya melihat penguji sudah duduk sambil berbual sesama mereka. Saya memberikan salam lalu duduk bertentangan dengan semua penguji. Hati sudah mulai berdebar. Ada 5 orang doktor di dalam satu ruangan,

1. Doktor Penguji : Prof Muchtan
2. Doktor Penguji : Dr Ryadi (Sp ObGyn)
3. Doktor Penguji : Dr Solichin (Anat)
4. Supervisor 1 : Dr Samsudin (M.Si)
5. Supervisor 2 : Dr A Hussein (Sp Nuclear Medicine)

Saya mulai menekan butang "ON" pada LCD untuk memulai pembentangan. Ternyata,

"Hah??Rosak??"

Ya, rosak. Saya meminta izin dari semua penguji untuk memanggil technician di luar ruangan. Masa yang diperuntukkan untuk pembentangan cuma 15 minit. Saya cuba menenangkan diri dengan berzikir dan beristighfar. Panel penguji hanya tersenyum memberi izin. Alhamdulillah, technician berada sekitar luar ruangan ujian saya.

Setelah semua alat tersedia, saya mencari fail pembentangan saya yang telah disimpan seawal 7pagi di komputer ruangan ujian. Telah saya berikan pagi ini melalui teman saya. Tangan mulai menggeletar.

"Fail saya hilang??"

Saya sudah menjangkakan perkara begini akan terjadi. Kini, saya meminta izin sekali lagi untuk mengambil pendrive di tingkat 2. Ruangan ujian saya ditingkat 3. Saya berlari kencang bersaing dengan masa. Saya menoleh jam di tangan, masa berbaki cuma 10minit. Mampukah saya membuat pembentangan 18 slides kurang dari 10 minit?Tawakkal sepenuh hati.

Setelah mendapatkan pendrive, saya berlari lagi ke ruangan ujian. Memindahkan data untuk pembentangan. Setelah saya merasa semua fail telah dipindahkan ke komputer, saya menarik nafas, memberi salam dan memulaikan bicara. Nafas masih kencang kesan dari berlari mencari pendrive, peluh keluar berjurai, tangan masih menggeletar, badan-badan sudah mulai sakit.

Ujian tidak berakhir di situ, tiba-tiba,

"Nurul Aimi, do you write anything on the slide?Why it is blank?" tanya Prof Muchtan.

"Matilah aku kali ini" berbisik dalam hati dan saya sudah bersedia untuk menangis.

Saya melihat slide pembentangan jadi kabur. Ini kerana cahaya dari tingkap menyebabkan pemandangan agak silau sehingga data-data yang ditulis tidak kelihatan sama sekali. Waktu itu juga saya mengubah design slide dan meneruskan pembentangan. Ternyata masa berbaki 5 minit lagi. InsyaAllah tawakkal.

Keringnya rasanya anak tekak setelah masuk slide pembentangan yang terakhir. Alhamdulillah, penat merapu:P

"Ok, Nurul Aimi, please sit down. What a great presentation" Doktor-doktor memuji.

Saya hanya menelan air liur sambil menguntumkan senyuman.

Apabila doktor mempelawa duduk, maka bermulalah sesi SOAL JAWAB. Ini adalah sesi yang sangat menakutkan. Hehe

Saya ditanya 5 soalan. Alhamdulillah, 4 dari kesemua soalan yang diutarakan saya berjaya menjawabnya dengan tenang manakala satu lagi soalan, saya hanya meminta maaf kerana kecuaian saya tidak meneliti kajian saya dengan lebih mendalam.

Kesalahan teknikal seperti Reference, Format seperti margin dan spacing serta banyak lagi dinyatakan satu persatu. Saya hanya tersenyum, mengakui memang salah saya.

Saat mengumumkan markah.

"Nurul, kamu sangat bertuah. Mungkin doktor-doktor semua pemurah dan mungkin juga semalam kamu solat tahajjud maka kami berikan nilai ini" doktor menyebutkan markah saya. Saya menguntumkan senyuman, berbunga gembira hati saya. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua doktor-doktor.

Sebelum melangkahkan kaki keluar, Prof Muchtan menegur,

"Nurul, jangan lupa sate nya ya" melambak ketawa semua yang ada.

Pesan 1 : Alhamdulillah, selesai sudah semua ujian. Semalam saya belajar dari jam 7 pagi(16/6/2009) sehingga 3 pagi(17/6/09). Hanya beralaskan bubur yang sengaja dibuat banyak supaya mudah kalau lapar. Tinggal memanaskan kembali dan langsung makan.

Pesan 2 : Kepala sudah mulai pening, badan mulai panas. Tanda-tanda demam.

Pesan 3 : Buat keluarga dan sahabat yang banyak memberikan semangat dan mendoakan, terima kasih banyak buat kalian. Sayang kamu semua:)

Pesan 4 : Perjuangan belum berakhir.

Isnin, 15 Jun 2009

Doakan saya:)

InsyaAllah, Rabu 17 Jun 2009, saya akan menduduki peperiksaan akhir di tahun 4.

Sidang skripsi (thesis presentation).

Hampir 6 bulan mengerjakannya, saya pernah kepenatan sehingga sakit-sakit untuk meneruskan misi menyiapkan thesis, pernah juga menangis kerana tidak berpuas hati dengan kerja sendiri dan pernah juga tersenyum dipuji dan dipujuk dokter-dokter yang membimbing (supervisor). Perjuangan penentuan insyaAllah Rabu ini tepat jam 9 pagi.


Di saat-saat akhir ini, mungkin saya merasa agak kelelahan. Tetapi tidak sampai menyerah di pertengahan jalan kerana saya adalah mujahidah insyaAllah. Saya berjuang sehingga saat akhir. Cuma mungkin saya memerlukan kembali 'energy' untuk 'recharge' kekuatan diri. InsyaAllah

Pelbagai tips dari dokter diberikan. InsyaAllah saya mempersembahkan yang terbaik. Debaran semakin terasa.

Pesan 1 : Doakan saya:)

Pesan 2 : Rabbi yassir wal tu'assir ya Kareem

Sabtu, 13 Jun 2009

Berilah SALAM wahai SAUDARAKU

"Aimi, awak dah siap bla..bla..bla" mesej ringkas sahabat.

"Tengah buat apa tu?" pesanan dari Yahoo Messenger

Saya sedih bercampur kecewa apabila ada di kalangan sahabat yang mengambil enteng atau buat-buat tidak tahu tentang aspek memberi salam baik melalui sms, yahoo messenger mahupun perbualan secara langsung. Jadikan amalan, walau kita tidak mengenali seseorang itu. Ringkas dengan sekadar "Salam" sudah mencukupi. Tidak kurang pentingnya juga menjawab salam.

Assalamualaikum adalah lafaz mulia, maksudnya adalah "Sejahtera ke atasmu". Kita mendoakan sahabat mahupun saudara agar sejahtera, aman dan damai.

"Ala..perkara kecil je"

Ya, itulah pemikiran insan yang tidak pernah mahu berubah. Hatta benda kecil saya pandang.
Bukan kerana saya tidak ada kerja tetapi dari amalan yang dianggap kecil inilah kita mampu melakukan perkara besar dan mencipta sejarah di masa depan.

Cuba lihat contoh ini;

"Assalamualaikum, masam sahaja muka. Dari mana ini?kenapa? Ada masalah?"

"Woi, muka masam kalah cuka yang mak aku pakai..ko kenapa?"

Apabila kita memulakan bicara dengan salam, insyaAllah lafaz kata-kata seterusnya lebih enak di dengar telinga berbanding kata-kata yang terus menerjah tanpa salam. Kesan kepada lingkungan juga lebih baik. Kalau memang hati kita sedang panas, paling tidak apabila sahabat menegur dengan salam, tidak akan sanggup kita memaki kembali sebaliknya mungkin sekadar tersenyum. Begitu juga sebaliknya. Kita generasi yang seharusnya mewujudkan lingkungan yang ramah dan mesra.

"Nanti orang kata aku ni 'sok alim'"

Saya berikan analogi. Anda ke satu taman tema air. Tertulis di situ,

RM 50 for full packages (dry and water park).

Lalu, anda membayar RM 50 untuk menikmati semua aktiviti yang tertulis. Pasti di benak pemikiran anda terlintas,
BETAPA GEMBIRANYA DAPAT MENGGUNAKAN DAN MENIKMATI SEMUA AKTIVITI YANG TERSEDIA.

Atau anda malu-malu?Selalunya anda akan berkata,

"Tak kisah orang nak kata apa, aku dah bayar. Itu hak aku"

Begitu jua lah kita memandang aspek adab dan akhlaq dalam Islam. Seandainya kita sudah memeluk Islam, kita bersyahadah maka jangan pernah malu untuk menzahirkan setiap peribadi seorang Muslim. Kenapa perlu malu andai ada yang mengatakan anda 'sok alim'. Itu HAK kita sebagai seorang muslim. Kita sudah melafazkan syahadah iaitu lesen untuk kita menikmati segala amalan yang tersedia di dalam Islam. Betulkan?

Pernah saya berjalan di kompleks membeli-belah bersama teman, lalu saya melihat seorang wanita tua melintas dan menguntumkan senyuman. Saya membalas lantas memberikan salam. Sahabat yang mendengar saya memberi salam terus bertanya,

"Awak kenal ke orang tu Aimi?" dengan muka keliru.

"Saya tak kenal makcik tu, tapi saya tahu dia siapa" saya jawab lagi.

"Aik?" bertambah hairan sahabat tadi.

"Dia saudara seislam" jawab saya ringkas.

Sambil saya menguntumkan senyuman kepada sahabat.

Sahabat dan suadarakku sekalian, marilah kita memulakan bicara dengan salam. Tidak jatuh walau sedikitpun kemuliaan diri andai kita memberi salam apatah lagi memulakannya. Tiada salahnya.

Pesan 1 : HR Bukhari dan Muslim
“Daripada Anas r.a. bahawasanya ia berjalan di kalangan beberapa orang kanak-kanak lalu ia memberi salam kepada mereka dan katanya Nabi s.a.w. berbuat demikian.

Pesan 2 : Sunat memberi salam kepada sesama muslim tidak mengira darjat, pangkat dan peringkat orang yang diberi salam.

Pesan 3 : HR Abu Daud
Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya orang yang paling hampir disisi Allah ialah mereka yang terlebih dahulu memberi salam (diantara mereka)


Pesan 4 : Saya paling pantang kalau ada lelaki yang mengeluarkan kata-kata ini sewaktu melihat ada Hawa yang melintas di hadapannya, "Assalamualaikum, tidak jawab dosa, jawab gatal" nada gurau yang boleh membuatkan marah saya meluap-luap. Teringin memberi satu atau dua pelempang agar mereka tidak memperlekehkan sunnah Rasulullah.

Rabu, 10 Jun 2009

Saya MUAK

"Kau janganlah keluar dengan mamat itu lagi. Kalau orang tengok tak manis, kita ni orang melayu" tegur sahabat

"Kau DULU pun sama. Ada hati nak tegur orang??Cermin sikit diri" pintas laju

"Jangan mengumpatlah, berdosa" tegur s
i A

"DULU kau lah Presiden kelab mengumpat" balas si B

"Kenapa biar mamat itu datang rumah?" tegur C kepada D

"Kau DULU pun ada ajak kawan lelaki datang rumah kan?" jawab D


Siapa anda untuk menghukum kesalahan sahabat yang dulu?

Siapa kita untuk menilai insan yang punya sejarah silam mereka?

Saya muak dengan insan-insan seperti ini. MUAK. MELUAT. Disebabkan sahabat tadi punya sejarah silam yang hampir serupa, atau kesalahan maka sengaja sahabat ini menyimpan kemas peristiwa terbabit di dalam kepala untuk dijadikan senjata.

Sedarlah, itu dulu. Saidina Umar sebelum memeluk Islam pun pernah melakukan kesalahan. Apakah pernah Rasulullah menghina pandangan, kata-kata atau perbuatan Saidina Umar setelah dirinya beriman kepada Allah dan RasulNya hanya kerana kesalahannya yang lampau?Pernah?Pernahkah anda melihat sejarah Rasulullah berkata;

"Wahai Umar, tidak usah kau banyak bicara, dahulu pun kau punya dosa"

Kalau pernah anda baca atau dengar maka tunjukkan kepada saya, saya terlepas pandang mungkin akhlaq Rasulullah yang dijadikan suri tauladan.

Seandainya Rasulullah SAW kekasih Allah tidak mengungkit kesalahan silam umat, mengapa kita yang entah Allah pandang entah tidak begitu mendabik dada menghukum saudara?

Alasan apa yang kita gunakan untuk menghalalkan kemaksiatan?. Walaupun sesaat ianya tetap maksiat dan Allah itu Maha Mengetahui. Mulut boleh seenaknya menipu dan mencela insan yang memberi teguran, namun hati dan Dia tidak pernah menipu diri.

Apa rasionalnya kita bersikap mengungkit kembali keburukan teman andai teman tadi dengan rasa rendah diri menegur kita?

Sungguh saya tidak dapat memikirkan jawapan paling tepat dan rasional.

Pernah saya terbaca sebuah buku, hidup ini ibarat berenang di lautan. Laut di ibaratkan sebagai kehidupan. Kita boleh menyelam tapi jangan sampai tenggelam. Mungkin kita kadang-kala penat berenang maka kita berehat sebentar dengan menyelam. Namun, jangan sampai kita berhenti dan hanyut tenggelam dengan keindahan sementara dunia. Diri merasakan "akulah insan paling bahagia" sedangkan insan tersebut sedang tenggelam dalam kemaksiatan ciptaan sendiri dan sebentar lagi lemas dan akhirnya mati. MATI hati sehingga tidak dapat menuntun diri ke jalan yang diredhai. Jadi salahkah ada insan lain yang datang menghampiri diri cuba menyelamatkan kita dari terus tenggelam?Kenapa membiarkan diri dalam kebinasaan?Astaghfirullah. Semoga dijauhkan dari sifat lalai dengan duniawi

Pesan 1 : Berlapang dada dengan insan yang berani menegur kita. Mungkin tegurannya nampak kasar di mata kita, anggaplah itu kelemahan penyampaian dia yang mungkin boleh dibaiki kelak. Ambillah dari sisi positif sahabat tadi.

Pesan 2 : Al-Asr:3 "...Dan saling berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan kesabaran"

Pesan 3 : Allah pun suruh kita saling berpesan-pesan mengingatkan, mengapa diri masih degil menerima teguran?

Jumaat, 5 Jun 2009

Kopi masin khas buatmu

Saya ingin membuat kopi. Setelah mengambil air panas, saya memasukkan serbuk kopi sesudu kecil ke dalam cawan. Kemudian, saya memasukkan GARAM. Ya, garam ke dalam cawan yang berisi bancuhan kopi. Lantas saya hidangkan kepada sahabat saya. Sahabat saya melihat situasi tersebut namun tidak bersuara walau sepatah kata.

"Kenapa letak garam ke dalam air kopi?" tanya sahabat.

"Saya letak garam di dalam kopi?Salahkah tindakan saya?" tanya saya kembali.

"Ya, salah. Sudah dirimu meletakkan garam yang sepatutnya kamu letakkan gula,
kamu berani menghidangkan air kopi ini kepada saya" tegur sahabat.

"Jadi, kalau tindakan saya salah, kenapa tidak menegur sebelum atau saat saya memasukkan garam? Kenapa perlu tunggu setelah saya menghidangkan kepada awak barulah mulut mahu bersuara?" saya memintas kata sahabat.



Pernah terjadi analogi di atas ke atas diri anda?

Seandainya anda melihat situasi di sekeliling yang mungkin punya potensi atau cenderung kepada kesalahan, kemaksiatan dan ancaman fatal kepada agama dan kemaslahatan masyarakat mengapa perlu menunggu untuk bertindak?

Aneh bukan?Saat perkara itu masih mampu dicegah, kita tidak mengambil berat namun setelah sesuatu perkara menjadi parah barulah mulut mahu berbicara, tangan mahu bergerak, kaki mahu melangkah. Namun begitu, saat itu kita memerlukan usaha yang berlipat kali ganda.

Contoh 1:

Saya menyedari diri saya seorang yang mudah menghafal. Kalau insan lain memerlukan hampir setengah jam menghafal sesuatu perkara, alhamdulillah saya cukup dengan 5 minit. Namun begitu, saya punya KELEMAHAN yang saya anggap boleh memberi ancaman kepada saya iaitu saya tidak boleh belajar dan menghafal dalam keadaan yang mendesak atau tekanan yang berat. Haruslah tenang dan dimulai dari awal. Maka, andai orang lain boleh belajar di saat-saat akhir, saya tidak. Saya akan mulai sebulan atau lebih awal dari tempoh ujian kerana saya tahu andai saya belajar pada saat-saat akhir maka saya akan 'menempah maut'. Perlukah saya menunggu sehingga saya gagal peperiksaan baru saya ingin menyedarinya?Atau saya berusaha sendiri mencari tiap titik kelemahan dan diperbaiki agar ianya tidak menjadi ancaman kepada saya kelak.

Jadi, penting untuk kita mengenal pasti titik kelebihan dan kelemahan diri. Ini adalah dilihat dari aspek individu dan saya mengambil contoh mudah iaitu belajar. Bagi yang sudah bekerja maka mungkin faktor kewangan menjadi perkiraan utama. Tetap sama konsepnya adalah mengenal pasti kelemahan dan kelebihan diri.

Contoh 2:

Anda bersahabat dengan seseorang. Walaupun tidak begitu rapat, namun anda masih boleh bertegur sapa dan bergurau senda. Namun begitu, suatu hari anda berjalan dan melihat sahabat tadi berjalan berdua dengan seorang yang bukan muhrimnya. Anda lihat mereka tidaklah mesra seperti pasangan kekasih namun BERDUA-DUAAN mereka anda rasakan boleh membawa kecenderungan kepada kemaksiatan. Namun, anda senyapkan sahaja kerana melihat mereka HANYA BERJALAN BERDUA, DI KHALAYAK RAMAI PULA ITU. Setelah beberapa lama, anda ketahui pasangan tadi semakin berani berjalan berdua ditambah bibit mesra, berdua-duaan baik di khalayak ramai mahupun tempat tersorok. Mengeluarkan kata-kata 'mesra dan manja' secara terbuka. Kini, anda ingin bertindak. Apakah anda rasakan usaha anda itu sama seperti dengan apabila anda menegur pasangan sebelum mereka berani dan tidak malu bertindak atau anda perlu menambah usaha dan pengorbanan?Kenapa tidak cuba memberikan sedikit teguran sewaktu mereka tidak berani dulu?Kenapa tidak merasa itu suatu ancaman?KENAPA?Kenapa apabila dibawakan anak luar nikah, kes berzina, kes khalwat barulah anggota tubuh mula terpalu dan tersedar untuk bertindak?Susah namun ianya tidak mustahil. Saya berkata kerana saya pernah berhadapan dengan situasi terlambat dan juga situasi selamat dan mencegah sebelum terlambat.

Contoh 3:

Anda melihat sahabat melakukan kesalahan. Namun begitu, anda mengambil langkah berdiam diri dan tidak mahu menegurnya. Yakinlah, seandainya anda tidak menegur sahabat tadi, kesalahan sahabat tadi apabila dikumpul ianya akan sangat menjengkelkan anda. Suatu hari nanti, anda akan muak, benci, meluat, marah dengan setiap kata dan tindakan sahabat tadi. Lalu, meletuslah 'perang dunia ketiga, empat dan seterusnya'. Menegur pun ada caranya. Bukanlah lagak seperti 'sok alim' atau 'sok tahu' tetapi rendahkan hati sebagai hambaNya dan jalankan tugasmu dengan penuh keikhlasan. Bak kata seorang sahabat saya, "Aimi, komunikasi itu penting". Ya, komunikasi itu sangat penting kerana orang boleh tersalah tafsir dengan kata-kata kita sekalipun niat kita baik, namun begitu niat kita tersimpan di dalam hati jadi tiada siapa yang tahu apa yang tersirat cuma mereka menilai dan menafsir dari apa yang tersurat.

Wallahualam. Peringatan buat diri dan semua.

Pesan 1: Al-Ghassiyah: 9
Fazzakir inna nafa'atil zikra
(Terjemahannya) Maka peringatkanlah, kerana peringatan itu berguna.

Isnin, 1 Jun 2009

Berfikir sebelum berbicara

Berkata-kata dengan tidak berfikir.

Sejujurnya saya sering melakukan perkara tersebut baik sedar mahupun tidak. Lihat situasi dibawah:

"Aimi, muka awak dalam foto ini macam muka budak nakal" tegur sahabat saya saat melihat salah satu foto milik saya.

"Mana ada" saya menjawab tanpa melihat dan berfikir foto apakah yang menjadi topik perbualan sahabat tadi. Namun begitu, setelah saya melafazkan kata barulah saya terfikir untuk melihat.

Saya berpaling melihat foto tadi dan terdiam. Ya, memang macam budak nakal. Malu, saya diam membisu sambil tersengih.

Teman-teman yang ada ketawa keriangan melihat respon saya. Saya turut sama ketawa menutup rasa malu.

Itu impaknya sangat kecil. Sehingga kalau dilihat OUTPUTnya adalah lawak dan tidak mengguris mana-mana pihak. Tetapi cuba renungkan kata-kata yang kita lafazkan TANPA MENGGUNAKAN ILMU DAN AKAL YANG RASIONAL. Apakah ini tidak membawa impak?

Contoh 1:
Perbualan seputar isu SEKS yang dibincangkan bukan dari sudut ILMIAHnya.
Apakah hilang KEWARASAN PEMIKIRAN sehingga tanpa SEDAR dan MALUnya berbicara soal ini?
Ada sesetengah insan berpendapat bahawa, kita hanya berbicara soal ini untuk menambah ilmu. Jangan cemari erti ILMU dengan sesuatu perkara yang sebenarnya adalah LUCAH. Apakah diri masih kabur membezakan ILMU yang BERMANFAAT mahupun PERKARA yang SIA-SIA?

Contoh 2:
Kata-kata kesat atau berunsur marah sehingga mengguris hati insan yang menerima mesej tersebut.
Apakah kita LUPA kita DIPERTANGGUNGJAWABKAN dengan setiap kata?
Siapa sangka dengan lafaz kata kita, insan yang mendengar menangis menanggung derita hati?
Siapa sangka dengan lafaz kita kita, insan yang mendengar menyimpan dendam?
Jangan lupa, Allah itu Maha Adil, kalau tidak di dunia balasan diberikan, akhirat akan tetap jua dibalas. Sediakan teks dan skema jawapanmu di depan Allah SWT.

Contoh 3:
Berbicara soal aib insan lain secara "berjemaah" bukan tujuan untuk menyelesaikan masalah dan membantu teman tetapi sebagai 'perencah' perbualan. Seandainya anda ditempat insan yang menjadi mangsa perbualan, apakah yang anda rasa?
Saya sering mengingatkan diri dan sahabat-sahabat lain, andai kita membenci sesuatu perbuatan atau perkara diperlakukan ke atas kita oleh insan lain maka jangan kita sesekali cuba melakukan hal yang sama.
Benih dan zuriat yang bagaimana akan lahir dari mulut insan ini?Siapkan 'bajamu' untuk waris yang subur.

Adakalanya kita harus berdiam diri. Berdiam diri juga tergantung pada situasi. Jika situasi tersebut tidak mendatangkan manfaat malah cenderung kepada hal sia-sia dan bakal mengguris hati insan lain maka letaklah diri dalam SILENT MODE. SILENT MODE ini penting. Bukan bererti bila kita berada di dalam zon SILENT maka kita kelihatan BODOH atau TIDAK IKUT ARUS SEMASA. Analogi langsung adalah dari telefon bimbit kita sendiri. Kita meletakkan handphone di dalam silent mode apabila kita berada di dalam situasi yang memerlukan konsentrasi dan penting. Contohnya kuliah, mesyuarat, saat masalah melanda dan memerlukan privasi. Apakah kita tidak boleh menggunakan fungsi hanphone saat ianya di 'silent' kan? Sudah semestinya tidak kan?Bahkan membantu kita. Begitu juga dengan diri. Andai situasi memerlukan anda untuk diam, maka diamkan diri dan tidak usah bicara kerana diam anda pasti penting dan sangat berfungsi tepat pada masa, situasi dan orangnya.

Pesan 1: Ubatnya mudah, segeralah kita bertaubat kepada Allah SWT dan juga memohon maaf dari insan yang kita sakiti hatinya. Letakkan egomu jauh-jauh, bukan masanya ego dijadikan hambatan ucapan maaf disampaikan buat insan yang merasa sakit hati dengan kata-kata kita.

Pesan 2: BERFIKIRLAH SEBELUM BERBICARA

Pesan 3: Kepada sahabat-sahabat yang akan menduduki SOCA dan OSCE, jangan lupa berfikir juga sebelum bicara:)