Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pernah atau tidak, sahabat-sahabat mengkagumi seseorang (sahabat/saudara mara/sekadar kenalan) baik kerana ilmunya, akhlaqnya dan segala tauladan yang ditunjukkan kepada masyarakat?
Seandainya tiba-tiba sahabat-sahabat dapat tahu dia yang merupakan salah seorang sumber inspirasi diri telah "beralih angin". Segala-galanya berubah 360' perubahannya. Apa respon anda?
Sejujurnya, sejak saya sekolah, saya mesti meletakkan seseorang menjadi batu ukur usaha dan kejayaan saya. "Itulah saingan aku". Jadi setiap apa yang saya lakukan, saya cuba sebaik mungkin untuk menjadi lebih baik dari sahabat tadi.
Bukan bermaksud saya mengetepikan Rasulullah SAW sebagai contoh. Cuma, saya meletakkan saingan yang hampir dengan saya. Untuk mengalahkan dan bersaing dengan Rasulullah SAW dalam segala aspek itu adalah mustahil bagi saya kerana Rasulullah SAW adalah contoh umah terbaik. Tidak mungkin ada yang lebih baik dari terbaik.
Persaingan bukanlah bererti saya mendengki sahabat sehingga cuba menjatuhkan, memberikan kecelakaan dan kemudaratan kepada dirinya. Na'udzhubillah, tidak pernah sekalipun. Setiap masa, saya akan menjadikan dia sumber inspirasi saya. Persaingan yang positif.
Seandainya saya sedang leka bermain dan tidak mengulangkaji pelajaran, lantas suara kecil hati akan berkata;
"Aimi, kau main-mainlah. Entah-entah dia tengah belajar. Habislah kau, mesti peperiksaan akan datang kau kalah dengan dia".
Saya akan serta-merta jadi bersemangat untuk belajar. Termotivasi dek sikap sahabat yang bijak dalam pelajaran, baik akhlaqnya dan murni amalan ibadahnya.
Ramai juga sahabat-sahabat yang menjadi motivasi bagi diri saya. Namun, saya tidak pernah meluahkan kepada sesiapapun siapa dia inspirasi saya. Cukup untuk diri sendiri dan Allah SWT. Kerana Dia yang mengetahui sejujurnya niat sebenar saya menjadikan dia sebagai inspirasi.
Setelah umur bertambah, hubungan dengan sesetengah rakan putus begitu sahaja kerana masing-masing sibuk dengan tanggungjawab dan haluan hidup mereka. Namun begitu, melalui jaringan komunikasi multimedia seperti Friendster dan Facebook, saya dapat berhubung kembali dengan sahabat-sahabat lama. Sahabat-sahabat yang menjadi inspirasi diri.
Ada segelintir sahabat-sahabat tadi yang pakaiannya dulu indah menutupi aurat, kini menjadi kurang sopan dan juga pergaulannya yang dulu terbatas kini bertambah bebas. Ini menjadikan diri saya merasa sangat-sangat tidak bersemangat.
Sedih. Kecewa. Itu sahaja yang mampu dilafazkan. Saya bukan menilai pahala dan dosa dia atau membandingkan diri saya dan dia. Saya juga insan yang banyak kekurangan. Tidak pernah saya meletakkan diri lebih baik dari insan lain. Apatah lagi mereka yang pernah menjadi guru saya.
Tidak berhak saya untuk menilai dia. Mungkin pada pandangan manusia dia hina, namun Allah SWT punya caturan sendiri untuk dia. Hari ini kita melihat sahabat lain "terpesong", esok mungkin sahaja dia meninggalkan kita dalam keadaan sudah bertaubat dan diterima taubatnya oleh Allah SWT. Maka dirinya lebih mulia dari apa yang dijangka minda kita.
Cuma apa yang ingin saya kongsikan di sini, bukanlah untuk mencari aib sahabat. Bukan juga untuk kita memperlekehkan mereka yang kita rasakan jauh. Jauh dari jalan yang benar. Na'udzhubillah.
Sekadar pengajaran, dalam sehari-hari, mungkin sahaja ada insan sekeliling yang menjadikan kita sebagai sumber inspirasinya baik kerana pelajaran, akhlaq maupun ibadah kita. Mungkin sahabat sebelah katil. Mungkin sahabat nun jauh di seberang. Mungkin saudara-mara. Semuanya. Tindak tanduk kita diperhatikan.
Ingat juga, sepertimana ayat Al-Quran:
As-Saff:2-3 (terjemahan)
"Wahai orang-orang yang beriman!Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?. (Itu) sangatlah dibenci disisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan"
Kita boleh terus mengumpul pahala dengan terus menjadi sumber inspirasi orang lain baik melalui kata, laku(akhlaq), ibadah dan segala kehidupan sehari-hari dan kita juga boleh menjadi pemusnah harapannya dalam sekelip mata dengan "mengecap kebahagiaan" dunia sementara.
Semoga kita tergolong dalam hamba-hambaNya yang terus memberikan inspirasi kepada insan lain. Dan kepada sahabat-sahabat kita, yang kita rasakan jauh terpesong dari jalan kebenaran, semoga Allah memberikan diri mereka hidayah dan semoga Allah SWT melindungi kita dengan nikmat iman dan Islam yang berpanjangan serta dijauhkan dari kealpaan dunia. Ameen.
Sekadar perkongsian diri buat semua untuk peringatan bersama. Wallahualam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan