Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,
InsyaAllah kali ini, saya ingin menyentuh isu yang mungkin hampir seminggu berlalu tetapi masih dikupas iaitu isu Kepala Lembu yang dibawa berarak. Tetapi sebelum itu, saya ingin mengajak pembaca dan juga diri saya untuk merenungkan ayat Al-Quran ini,
Terjemahan Al-Baqarah:30
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan Adam sebagai khalifah di bumi ini". Mereka berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merusak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?" Dia berfirman, "Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui"
Manusia dibumi adalah sebagai khalifah (pemimpin, pengganti). Dibekalkan kita AKAL dan juga NAFSU. Menjadikan kita manusia, makhluk yang istimewa disisi Allah SWT seandainya kita memanfaatkan kedua-dua aset ke arah yang diredhai Allah SWT. Apabila datang sesuatu perkara, kita diminta menyiasat (tabayyun) dahulu. Tidak melatah, tidak cepat naik marah.
Berbalik kepada isu yang melibatkan isu agama, perkauman dan juga politik di sini, saya melihat kita tidak seharusnya cepat melatah. Dia yang salah! Parti itu yang bodoh!.
Sebaliknya saya melihat, isu ini digembar-gemburkan dengan ulasan dan kupasan media yang mampu mencetuskan kemarahan dan perpecahan kaum.
Contoh peranan media yang dapat saya berikan di sini,
1. "Arnab mati dilanyak gajah"
2. "Gajah mati dilanyak arnab"
Agak-agak, anda akan tertarik untuk membaca judul berita yang mana?
Sejujurnya, saya akan memilih judul kedua. Ia luar dari kebiasaan dan berjaya menarik perhatian. Nampak tidak bagaimana media massa dan cetak boleh mempengaruhi minat dan perhatian kita untuk membaca?
Baik, kita tinggalkan sebentar permainan media di sini, dan mari kita lihat sejarah peristiwa ini. Hampir 3 bulan keluhan dan rayuan dibuat oleh mereka(penduduk seksyen 23) supaya tidak dipindahkan kuil dari seksyen 18 ke 23 dipandang enteng. Tiada tindakan.
Jadi, langkah terakhir untuk menarik perhatian pemimpin kerajaan negeri dan awam(melalui media) adalah berarak (baca: demonstrasi). Mereka membawa kepala lembu, ini ibarat serampang 2 mata. Pertama, mereka menyindir kerajaan negeri "Bodoh macam lembu". Kedua, secara tidak langsung menyentuh isu kaum hindu dan kuil di sini.
Pernah atau tidak anda terfikir kenapa mereka tidak membawa kepala babi?
Pendapat peribadi saya,
Pertama janggal rasanya istilah "Bodoh macam babi"
Kedua, babi adalah makanan yang sering dikaitkan dengan kaum Cina.
Pasti akan ada orang bertanya, kalau kepala babi yang dibawa berarak penduduk kawasan tersebut, jadi mereka ada masalah dengan kaum Cina ke?
Sehingga kemarahan penduduk tercetus, mereka bertindak membawa kepala lembu untuk dibawa berarak. Matlamat mereka untuk mencari perhatian pemimpin dan liputan media tercapai. Namun begitu, cara mereka mencapai perhatian bagi saya, sangat kurang sopan. Matlamat tidak menghalalkan cara. Sehingga ke hari ini, saya masih malu dengan tindakan tersebut.
Hangat diperkatakan, isu ini langsung dicari jalan penyelesaian.
Saya juga ada membaca artikel sahabat-sahabat bukan Melayu dan bukan Islam rentetan insiden perarakan kepala lembu yang dibawa oleh Orang Melayu dan Orang Islam. Isu perkauman menjadi perkara pokok. Sejujurnya, saya tidak merasakan itu suatu kesalahan dan tidak juga menghalang mereka untuk meluahkan rasa. Cuma, kalau kita hendak bertindak adil dalam tindakan, kita harus menyeluruh. Isu ini dianggap menyentuh sensitiviti kaum Hindu. Bagaimana pula isu orang Hindu di Kampung Buah Pala?
Rumah mereka mahu dirobohkan kerana dibina di atas tanah kerajaan negeri. Perarakan oleh penduduk setempat dibuat. Isu mereka hangat untuk berapa lama?Seminggu?2minggu?Sehingga hari ini, masih ada 11 keluarga yang tidak bersetuju kepada projek yang mahu meruntuhkan rumah mereka.
Setiap dari kita ada hak dan kebebasan untuk bersuara. Tetapi biarlah ianya kebebasan yang bertamadun. Saya setuju dengan blog seorang adik junior, Amad : Akhlak Bunga Iman.
Begitu kita meluahkan rasa dan menyampaikan pandangan dengan EMOSI atau nafsu AMARAH, maka perkara ini mejadi semakin parah. Yang sakit makin tenat. Jangan cepat melatah menghukum orang itu bodoh, parti ini bengong, YB ini jahat. Apa yang telah kita lakukan dalam meredakan suasana?
Tepu dada, tanya Iman.
Pesan 1: Menyindir agama lain bukanlah amalan umat Islam. Tidak pernah diajar Rasulullah SAW menyindir agama lain bagi menyebarkan dakwah. Sebaliknya, Rasulullah SAW menghormati mereka yang bukan Islam.
Pesan 2: Kesal dengan sikap sesetengah pihak yang mengambil isu ini untuk "menyemarakkan" lagi kemarahan orang lain.
Pesan 3: Sekian, saya memohon maaf seandainya saya menyentuh sensitiviti sesiapa sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan