Salam rindu dan sejahtera buat semua.
Semoga Allah SWT meredhai kalian. Hari ini, ingin saya berkongsi cerita, sebuah analogi tentang Kuasa dan Keadilan Yang Maha Esa.
Ada seorang sahabat, datang bertanya saat kami lagi berkongsi ilmu di dalam majlis yang sangat sederhana, insyaAllah.
Gambar hiasan: Penimbang ini tidak adil. Belum menimbang apa-apa sudah menunjukkan hasil berat sebelah :P
Jika Tuhan itu Adil, kenapa masih ada orang yang susah di dalam dunia ini?Alhamdulillah, saya menjawabnya dengan sebuah analogi.
Di dalam dunia ini, ada yang berambut panjang, berambut pendek, ada seperti punk, ada yang jambul sikit dan paling penting ada yang KEMAS dan ada yang TIDAK KEMAS. Macam-macam gaya sisiran rambut. Cuma, mari kita lontarkan 1 pertanyaan:
Salah TUKANG POTONG RAMBUT KAH TIDAK MEMOTONG SE'PESEN' RAMBUT MEREKA?
Tentu saja TIDAK.
Ada yang datang kepada tukang gunting rambut secara rutin, sebulan sekali
Ada yang datang kepada tukang gunting rambut hanya jika rambut panjang
Ada yang datang kepada tukang gunting rambut hanya jika mereka Ujian (prasyarat Ujian: rambut harus kemas)
Ada yang tidak datang sama sekali kepada tukang gunting rambut.
Mungkin saja mereka yang susah itu tidak datang kepada Tuhan silakan baca seterusnya ini:
Apakah salah tukang gunting rambut jika tidak memotong rambut mereka yang tidak datang kepada tukang gunting rambut sehingga rambut mereka panjang & tidak terurus?
Sudah tentu tidak kan? Begitulah Tuhan. Jika kamu tidak datang kepadaNya, bagaimana mungkin Dia mahu membantu kamu.
Seperti dalam Surah Al-Rad: 11, terjemahannya:
"......Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia"
dan di dalam sebuah Hadith Qudsi, sabda Rasulullah SAW,
“Jika kamu datang kepada-Ku secara berjalan, niscaya Aku datang kepadamu secara berlari. Jika kamu datang kepadaKu selangkah, Aku akan datang menghampirimu seribu langkah.”
Namun begitu, mungkin saja orang yang susah datang kepada Allah SWT, tetapi tetap saja susah, adakah Allah SWT itu adil? Teruskan membaca di bawah ini:
Tuhan itu Adil.
Tuhan itu memberi jika kita meminta dan ada sesetengah keperluan kita, tidak diminta dan disyukuri pun, tetap diberikan. Contohnya nikmat udara dan air.
Menyentuh tentang Adil.
Adil itu bukan saksama kepada semua. Bukan se'superficial' itu maksudnya. Lebih dalam lagi, Adil itu meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Misalnya, seorang bapa membelikan Baju Melayu buat anak lelakinya. Disebabkan mahu bersikap adil, dia pun membelikan Baju Melayu buat anak perempuannya.
Adil kan? Siapa jawab adil, sini saya sekeh kepala.
Apa pula adil namanya itu?
Itu senget ok!
Adil jika seorang bapa memberikan Baju Kurung untuk anak perempuannya. Memberikan sesuai dengan anaknya. Begitulah Allah SWT.
Pada orang miskin, mereka diberikan hak mereka. Mereka diberikan nikmat yang sesuai buat mereka. Begitu juga tanggunggjawab yang dibebani oleh mereka.
Bagi orang kaya pula, mereka diberikan hak mereka. Mereka diberikan nikmat yang sesuai buat mereka. Jangan kita mengukur nilai KEADILAN semata-mata dari aspek material. Ada sesuatu atau hak yang dimiliki oleh 2 golongan ini yang adil ditempatkan kepada mereka di mana kita tidak mampu melihatnya.
Wallahualam.
Pesan 1: Bersabarlah kerana dengan bersabar, Allah SWT memberikan ganjaran syurga.
Pesan 2: Berjuanglah kerana dengan berjuang, Allah SWT memberikan ganjaran syurga.
Pesan 3: Bersabar dan berjuanglah dengan IKHLAS, Allah SWT memberikan ganjaran syurga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan