Ahad, 9 Mei 2010

Enjin Agama

Assalamualaikum wrt wbt,

Alhamdulillah. Hari ini mungkin hari minggu terakhir dapat saya bersantai-santai. Mulai minggu depan, saya akan memasuki Internal Medicine Department. Jadual oncall 2 kali seminggu.

Saya ingin berkongsi sesuatu dengan sahabat-sahabat semua. Semoga bermanfaat.

Katalah kita ada kereta, kita sedang memandu menuju ke satu destinasi. Jika tiada masalah, insyaAllah, kita akan sampai tepat seperti yang dijangkakan.

Namun begitu, tanpa kita jangkakan, tiba-tiba, kereta kita rosak. Enjin kereta buat masalah, kereta habis berasap.

Sebelum keluar tadi, kita tidak periksa enjin, kita tidak menjaga maintenance engine. Kita tidak pernah menghantar service even once. Salah kita sendiri kerana pada saat kritikal kita memerlukan komitmen kenderaan tapi kenderaan pula buat hal kerena kita menganggap 'sepele' hal menjaga maintenance enjin kereta.

Kemudian, kita mahu menggunakan handphone, kita mahu menelefon mana-mana bengkel terdekat yang kita ketahui atau mungkin sahabat-sahabat dekat.

Ternyata, handphone pula buat hal. Bateri low. Kita tidak dapat menghubungi sesiapa.

Di saat kita sendirian, kita pasti merenung, andai enjin kereta dan bateri handphone tiada masalah, pasti perjalanan kita lancar-lancar sahaja.

Kalau dibayangkan betapa sakit jiwa raga kita jika kita menghadapi situasi tersebut. Memang kita sabar dan mungkin kita tenang tapi mustahil tidak ada walau secalit rasa yang mengusik hati kita.

Percaya atau tidak sahabat-sahabat semua, kita golongan muda inilah mampu diibaratkan sebagai Enjin Agama dan kitalah Bateri Ukhuwwah.

Untuk sebuah kereta berfungsi dengan baik, enjin harus baik. Kalau mahu enjin baik, kompenen enjin kena baik. Kalau mahu komponen baik, setiap masa harus dijaga kalau pun tidak harus berkala dengan istiqamah.

Kita bayangkan jika kita adalah komponen yang rosak, maka seluruh enjin tidak akan dapat berfungsi kerana sebuah enjin dapat berfungsi dengan sempurna jika setiap komponennya juga harus dalam keadaan baik.

Cuba bayangkan keadaan agama kita di masa depan dengan komponen-komponen rapuh dan rosak ini.

Komponen yang lemah dengan ujian.

Komponen yang goyah dengan nafsu.

Komponen yang asyik gagal atau mempunyai pencapaian akademik yang ala kadar.

Komponen yang melayani orangtua seala kadar yang mungkin.

Komponen yang hanyut dengan Makanan, Pakaian, Hiburan dunia.

Agak-agak bagaimana perjalanan kereta agama ya jika komponen-komponennya rapuh begini?

Astaghfirullah.

Namun begitu, ada seperkara yang kita mungkin terlepas pandang.

Sekiranya kita melihat sahabat kita, saudara kita, hanyut dengan nafsu dan ujian dunia, seharusnya kita yang melihat, mendengar sama-sama membantu sahabat ini. Kita dilahirkan bukan untuk menghukum tetapi saling mengingatkan seperti yang dinyatakan Allah SWT di dalam Surah Al-Asr: 2 - 3

" Sungguh, manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran"

Kenapa saya nyatakan harus membantu?

Ini kerana kita tidak akan dapat menggerakkan sebuah kereta hanya dengan 1 komponen, kita perlukan sekumpulan komponen yang dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai enjin penggerak.

Jadi apabila melihat sahabat 'jatuh', mari kita sama-sama mengangkatnya.

Cuba bayangkan, kawan kita jatuh di dalam lubang yang 'dalam' dan sulit untuk dia keluar sendiri. Dia perlukan bantuan. Kawan ini kita kenal, kita tahu siapa, kita pernah berbual-bual bersama.

Tapi kita berdiri di sebelahnya, melihat. Hanya membantu dia dengan memberikan pandangan,

"Nah, kau sudah jauh tersesat, jauh ke dalam kau terjatuh"

Bukan itu yang seorang sahabat perlukan. Dia perlukan 'tanganmu'. Dia perlukan pertolonganmu.

Hulurkan bantuan kepada dia kerana kau sendiri belum pasti apakah kau akan selamat esok hari atau mungkin kau akan jatuh di lubang yang sama.

Astaghfirullah.

Mari sahabat-sahabat, kita menjaga setiap nikmat yang telah diberikan kepada Allah SWT kepada kita.

Kita sebagai generasi muda, generasi penggerak, generasi perubahan. Kitalah yang mencorakkan ke arah mana perjuangan dunia harus diarahkan.

Jika kita enjin agama sudah lemah, apakah mungkin kerata Islam ini akan menyinar?

Apakah mungkin sampai mesej kita seandainya enjinnya kecundang di tengah jalan?

Na'udzhubillah. Gandingkan bahu, mantapkan ukhuwwah. Sama-sama kita menjadi enjin yang bersiap sedia setiap masa. Mantap dari semua aspek. InsyaAllah.

Semoga Allah meredhai semua yang ikhlas keranaNya.

Sabtu, 8 Mei 2010

Killer Examiner. What will you do?

Assalamualaikum wrt wbt,

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Allah masih memberikan saya peluang untuk beribadah sehingga saat ini. Usia yang hampir menjejak seperempat abad. Alhamdulillah Ya Allah.

Ada sesuatu hikmah dari pengalaman yang ingin saya kongsikan bersama sahabat dan saudara semua.

Semasa di Anestesi dahulu, saya mendapat tahu penguji saya Dr. M.

Ramai kata begini,

"Kau dapat dia jadi penguji SOCA Anesthesiology Department? Dia bagi paling tinggi pun 67 (markah lulus adalah 68)"

"He is unpredictable. He will ask something that is out of our knowledge"

"You just pray He'll sick on the day of your examination otherwise you will get red colour marks"

Semua kata-kata itu saya dengar seawal minggu pertama saya di Anestesi. Saya agak kecewa. Mana tidaknya, nilai SOCA adalah 25%. Nampak sedikit tapi jika kurang 1 markah pun, itu sangat mempengaruhi nilai total.

Namun begitu, saya tekad. Saya menegur diri saya,

"Saya belajar. Saya akan terus belajar. Saya ingin tahu bukan kerana dokter X atau mana-mana manusia. Saya belajar kerana ingin saya belajar. Saya belajar kerana saya tidak mahu mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas bahu saya"

Alhamdulillah, usaha berlipatkali ganda. Saya membaca buku Anesthesiology berulang-ulang, sehinggalah menjelang ujian saya selesai membaca buku teks. Saya hafal semuanya. Alhamdulilllah.

Saya nekad dalam diri,

"Saya sudah berusaha sebaik mungkin, apa pun nilai yang diberikan itu terserah Tuhan dan dokter yang menilai. Tanggungjawab saya untuk belajar dan menjawab soalan-soalan dokter tertunai sudah"

2 jam SOCA (Oral Examination), soalan yang keluar dari mulut Dr M tadi dari sedasar-dasar prinsip Anesthesiology sehingga luar dari batas dan kemampuan seorang dokter umum. Kami dokter muda memang diberikan silibus belajar sebatas pengetahuan seorang General Physician. Tidak details, tapi semua penyakit-penyakit dan penatalaksanaan dasar perubatan harus dipelajari dan dihafal di dalam otak.

Alhamdulillah, saya memang sudah mengagak soalan yang keluar dari dokter tersebut, maka saya sudah mempersiapkan diri dengan belajar sebanyak-banyaknya sebelum ujian.

Usai ujian, saya melihat nilai saya. Alhamdulillah, tidaklah A tapi saya dapat 79.

Alhamdulillah, saya puas sambil tersenyum. Saya tenang kerana saya tahu saya sudah berusaha sebaik mungkin. Inilah nilai yang berhak saya dapatkan.

Saya bertemu sahabat-sahabat, ramai yang bertanya,

"Lulus tidak?"

Alhamdulillah lulus.

"Lulus??!!Fuhh..Pandainya kau..Boleh kira dengan jari berapa yang lulus dengan dia"

Alhamdulillah.

Sekali lagi, perkara ini berlaku di Radiology Department.

Saya mendapat penguji Dr S.

Seperti jangkaan ramai, dia antara 'killer Examiner"

Saya tetap dengan prinsip saya. Tugas saya adalah belajar dan saya akan terus belajar. Saya akan belajar sebanyak-banyak dan sebaik-baiknya. Saya akan belajar selagi tubuh saya mampu bertahan dan otak saya mampu menghafal.

Alhamdulillah, ujian yang dilalui dengan so called killer examiner berlalu dengan tenang dan soalan-soalan yang ditanya, alhamdulillah dapat saya jawab.

Bagi saya, tidak kira siapa Penguji Ujian kita, apa pangkat mereka, apa attitude mereka, apa kesukaan mereka, berapa nilai average yang mereka gemar berikan, itu adalah HAK mereka. Itu sangat subjektif dan bukan tanggungjawab kita untuk memberi nilai dan menjangkakan nilai untuk diri sendiri.

Begitu jugalah nasihat saya kepada sahabat-sahabat yang mengadu kepada saya. Saya tetap memberikan nasihat seperti mana saya amalkan dan menjadi prinsip hidup saya.

Pesan 1: Kepada yang mahu menduduki Ujian, tidak kira apapun ujiannya, semoga Allah memudahkan urusan kalian dan tetapkanlah niat kalian demi Dia.

Pesan 2: Doakan saya dan sahabat-sahabat lain lulus Radiology Department dan Nuclear Medicine Department.

Pesan 3: 9 minggu ke depan saya akan berada di Internal Medicine Department. Semoga Allah memberikan kejayaan buat saya dan rakan seperjuangan. InsyaAllah.

Khamis, 29 April 2010

4 isteri, mahukah kau miliki? Ini tips

Assalamualaikum wrt wbt,

Alhamdulillah, setelah beberapa hari saya tinggalkan blog saya diam.

Diam saya bukan apa-apa. Cuma saya sekarang di Radiology Department. Seawal 6 pagi saya meninggalkan bilik untuk ke hospital dan akan pulang dalam jam 6 petang atau 7 malam kerana ada kuliah atau bimbingan dari doktor-doktor.

Alhamdulillah, awalnya agak merasa betapa diri tidak layak, tidak pandai, tidak apa lagi perasaan yang negatif kerana gagal membaca X-Ray, namun berkat dariNya melalui usaha, bimbingan, tunjuk ajar dari doktor dan rakan-rakan, saya mampu membezakan X-Ray yang normal dan tidak normal. Alhamdulillah, kemajuan:)

InsyaAllah minggu depan, Khamis dan Jumaat saya akan menghadapi Final Examination Radiology Department. Ada ujian yang berupa SOCA (Orally oriented) dengan diberikan 5 contoh X-Ray secara random, mungkin thorax, mungkin tulang, mungkin abdomen, tergantung Doktor Spesialis yang menguji. Kemudian, ujian bertulis. Ada disediakan 15 - 30 gambar X-Ray, dalam masa 3 minit, harus membaca dan menulis kelainan dan diagnosisnya sekali.

Baiklah, panjang sungguh Intro saya ya:)

Saya ingin berkongsi sebuah kisah tauladan yang insyaAllah bakal memberi peringatan kepada diri dan sahabat-sahabat semua. Saya mendapatkan sumber ini dari Radio MQ.fm. Sebuah radio penyiaran yang berkonsepkan seperti IKIM. fm. Namun begitu, ada beberapa yang di edit kerana hal-hal tertentu. InsyaAllah, konsep dan jalan ceritanya sama.

-----------------------------------------------------------------

Ada seorang lelaki kaya-raya dan berpangkat. Dia tinggal di Istana dan dia lah raja, pemerintah sebuah kerajaan. Dia mempunyai 4 orang isteri.

Isteri pertama:

Isteri ini baik, bertanggungjawab, sering menguruskan hal rumah tangga dan kewangan, sentiasa menjaga kebajikan suami dan keluarga serta akan berada disisi suaminya saat senang mahupun susah. Kesimpulannya, isteri pertama inilah yang menjaga sayap kanan perjuangan suaminya.


TAPI

Suaminya ini tidak suka, selalu mengabaikan isteri pertamanya ini dan menganggap seperti tidak wujud. Apa-apa yang dilakukan oleh si isteri tampak salah di mata suami.

Isteri kedua:

Isteri ini baik, berada di sisi suami, kebajikan di jaga namun isteri kedua ini tidak sesempurna isteri pertama. Ada banyak perkara yang tidak mampu dilakukan oleh isteri kedua sepertimana isteri pertama.


TAPI

Suaminya ini sering memanjakan isteri kedua. Melebih-lebihkan isteri kedua berbanding yang pertama. Memberikan keperluan dunia untuk isterinya ini.

Isteri ketiga:

Isteri ini
paling dibangga-bangga kan oleh suaminya. Apabila ada orang datang ke Istana, pasti diperlihatkan isterinya ini kepada tetamu.

Isteri keempat:

Isteri ini yang paling disayangi suaminya. Isteri yang paling dimanjakan. Isteri yang paling diberi perhatian. Pantang ada sakit sikit, langsung diubati. Isteri keempat ini jadi manja akibat perhatian yang sangat berlebihan. Sangat jauh beza dan ketara antara perhatian isteri pertama dan keempat ini.


Saat nazak, suaminya ini memanggil keempat-empat isteri tadi.

Kepada isteri keempat:

"Wahai isteriku yang paling ku sayangi, paling ku sanjungi, paling ku beri perhatian, mahukah kau menemani ku di dalam kubur setelah aku meninggal dunia nanti?"

Jawab isteri keempat ini:

"Teman??Kalau mahu mati, mati sendiri, jangan ajak aku"

Suami ini terkesan, sedih. Isteri yang dimanjakan inilah yang telah bertutur kasar dengannya. Sia-sia!!

Kepada isteri ketiga:

"Wahai isteriku yang paling ku banggakan, mahukah kau menemani ku di dalam kubur setelah aku meninggal dunia nanti?"

Jawab isteri ketiga ini:

"Hari ini kau mati, esok aku nikah dengan orang lain"

Kepada isteri kedua:

"Wahai isteriku yang paling baik, mahukah kau menemani ku di dalam kubur setelah aku meninggal dunia nanti?"

Jawab isteri kedua ini:

"Suamiku, terima kasih. InsyaAllah akan ku doakan dikau. Namun, untuk bersama denganmu dalam kubur, tidak sama sekali"

Suami tadi kecewa.............

Inikah balasan yang didapatkan setelah segala perhatian, kasih sayang dan pengorbanan diberikan?

Suami tadi tidak sanggup memandang isteri pertama kerana kebajikan isterinya ini diabaikan. Apatah lagi mahu bertanyakan permintaanya yang mahu ditemani ke kubur setelah meninggal dunia kelak.

Namun begitu, ternyata isteri pertama ini datang tanpa diminta, isterinya kurus, tidak sihat, lemah kerana kesihatan, kebajikan tidak diendahkan, apatah lagi kasih-sayang dari suami.

"Suamiku, aku sanggup menemanimu"

Suaminya terperanjat. Isteri pertama inilah yang paling tidak disayangi, paling diabaikan saat sihat dahulu namun isteri pertama ini yang menzahirkan rasa setia dari awal penikahan sehingga saat kematian.

Suami, "Jika aku tahu kau yang akan menemani aku sehingga ke kubur kelak, akan ku berikan kau segala kenikmatan ini, akan ku bahagiakan kau lebih berbanding diri ku sendiri"

Penyesalan tiada guna, ajal menjemput.

------------------------------------------------------------------------

Allahuakbar, Astaghfirullah.

Percaya tidak, dalam diri kita ada 4 isteri ini.

Isteri keempat, paling diberi perhatian dan kenikmatan

Inilah tubuh kita. Kita terlalu memberikan perhatian pada keperluan fisik. Kita sanggup membelanjakan hal-hal yang berlebihan hanya untuk fisik. Kita rela menghabiskan wang dan masa untuk fisik kita.

Kita sibuk memikirkan PERUT kita. Asyik memikirkan APA YANG INGIN DIISI KE DALAM PERUT.

Kita sensitif melihat wajah dan penampilan kita. Asyik memikirkan APA YANG TERBAIK DI MATA MANUSIA.

Namun begitu, saat kita meninggal dunia, nah muka yang diulit cacing, perut yang diisi segala jenis makanan, berulat membusuk. Kaki dan tangan yang cantik dahulu diulit krim-krim mahal kini dililit ular dan kala jengking.

Apalagi yang tinggal di tubuh mampu dibanggakan?

Isteri ketiga, paling dibanggakan

Inilah harta, pangkat dan kekayaan. Hari-hari yang dilalui, kita asyik mencari DUIT dan KEKAYAAN. Matlamat sebuah perjuangan hujung-hujungnya DUIT. Hanya mulut yang mengatakan TIDAK PADA MATERIALISTIK, tetapi hati dan tindakan mengiakan segala.

Ramai hari ini menyembah tersungkur kepada HARTA dan DUNIAWI. Kalau dulu, kita lihat orang sembah berhala, cepat kita akan berkata, "SYIRIK!!". Tapi sekarang, ramai pula menyembah HARTA. Tidak peduli siapa TUHAN, mana HALAL, mana HARAM. Paling penting KUASA, HARTA, KEKAYAAN semua dalam tangan.

Namun, saat kita harus meninggalkan dunia, mereka tidak akan mahu bersama. Malah, jika ada yang berjawatan, jawatan tadi akan bersilih ganti. Tidak ada lagi meja besar di pejabat tanda kuasa dan jawatan. Segalanya tinggal di dunia.

Isteri kedua, paling dekat dan rapat

Inilah saudara, keluarga, orangtua kita. Mereka menyayangi kita. Mereka ada bersama kita.

TAPI, saat kita harus meninggalkan dunia, sayang sebanyak manapun, mereka tidak akan sanggup menemani kita. Mereka hanya akan menemai kita, saat pengkebumian, setelah itu, mereka akan melangkah pergi meninggalkan kita. Tinggallah sendirian di dalam kubur.

Isteri pertama, paling diabaikan

Inilah amal kita. Kita paling alergi melakukan hal-hal baik. Hati cenderung kepada yang jahat, nakal dan tidak baik berbanding yang baik. Hati kita mudah tergelincir ke arah yang salah berbanding yang benar. Sedangkan, amallah yang sanggup menemani kita dikubur kelak. Dialah yang akan setia berada dekat dengan diri kita.

Banyak kita membaja, menyemai amal, besar jugalah hasilnya. Besar jugalah untung amalnya.

Namun, jika di dunia kita sering merosak, membunuh semaian amal, kecil jugalah amalnya. Jatuh muflis mungkin kerana amal terlalu sedikit dibandingkan usia dan amal yang diterima Allah SWT.

------------------------------------------------------------------

Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah.

Mari menyemai amal, agar kelak saat dijemput kematian, kita untung besar:) InsyaAllah.

Ahad, 18 April 2010

Perlukah aku?

Assalamualaikum wrt wbt,

Semoga artikel ini bermanfaat buat diri dan semua yang membaca. InsyaAllah.


Kawan

Saya

Aimi, saya suka dengan lelaki X ini. Saya cuba nak tinggalkan dia, tapi susah. Macam mana ye?Pendapat awak macam mana?

Wallahualam, bagi saya, benda yang tidak elok ini memang susah hendak ditinggalkan tapi benda yang baik pula memang susah hendak dilakukan. Awak pun tahu hukum couple. Awak pun arif dengan selok belok urusan hati dan perasaan, apa yang awak perlukan sekarang adalah rasa 'mahu' untuk mengatakan 'tidak pada couple'

Awak senanglah Aimi. Awak tidak pernah merasa couple itu apa? Awak tidak tahu bagaimana untuk mengatakan tidak.

Baik, saya akan balas pandangan awak tadi, tapi saya mahu awak jawab soalan-soalan saya dahulu.

Ok, baik.

Perlukah saya mati dahulu sebelum saya menasihatkan oranglain agar takut mati dan ingat azab dan nikmat di alam barzakh?

Tidak

Perlukah saya berzina dahulu agar saya mempunyai pengalaman zina sebelum saya menasihatkan oranglain agar jangan mendekati zina?

Tidak

Perlukah saya menderhaka kepada orang tua saya sebelum saya menasihatkan orang ramai agar mereka menghormati orangtua mereka?

Tidak.

Jadi, perlu tidak saya couple dahulu untuk mendapatkan pengalaman 'nikmatnya' masa bercinta supaya saya dapat menasihatkan orang ramai jangan ber'couple'?

Tidak

Jadi, boleh saya lanjutkan pandangan saya?

Boleh. Aimi, sorry.

Ini adalah pengalaman saya. Saya diminta oleh sahabat untuk menasihatkan dirinya menyentuh masalah couple. Cuma apa yang ingin saya sampaikan bukanlah pada masalah couple yang menjadi inti pati perbualan kami, tapi 'permintaan' sahabat agar saya memahami dirinya yang sudahpun punya pengalaman ber'couple'.

Di dalam dunia ini, kita tidak perlu merasa semua kegagalan, semua maksiat, semua kejahatan lalu insaf semata-mata mahu menambah pengalaman hidup diri. Kononnya, pengalaman-pengalaman sedemikian diniatkan agar nasihat kita lebih telus dan menusuk ke jiwa manusia lain kerana kita punya sesuatu yang mereka ada iaitu pengalaman.

Pengalaman orang lain dan pengajaran dari insan yang terdahulu itu semua tujuannya 1. Allah SWT tidak akan menjadikan suatu hal itu sia-sia. Tapi memberikan kita peluang untuk mengambil iktibar dan tidak terperosok di dalam lubang kesalahan yang sama seperti mana mereka pernah lalui.

Dalam HR Tirmidzi, Rasulullah SAW bersabda,

"Hikmah itu barang hilang seorang mukmin, di manapun ia menemukannya maka ia paling berhak mendapatkannya"

Nah, Rasulullah SAW telah mengungkapkannya ribuan tahun dahulu. Jadi tidak perlulah kita 'bersusah payah mengumpul pengalaman hidup buat bekal dosa di akhirat'.

Tiada istilah kau tidak punya pengalaman, jadi kau tidak patut memberi pandangan. Sama-sama kita berkongsi ilmu dan pengalaman kerana syurga itu bukan milik peribadi, ia hak semua umat Islam yang rindukanNya.

Wallahualam.

Ahad, 11 April 2010

Fenomena ikhlas

Assalamualaikum wrt wbt,

Alhamdulillah ingin berkongsi sesuatu dengan semua pembaca.

Apabila sebut IKHLAS, pasti ramai yang sudah tahu definisinya.

IKHLAS secara bahasa diambil dari akar kata Khalasha, khulushan, khalashan yang berkonotasi murni dan terbebas dari segala kotoran.

Kata Ikhlas menunjukkan makna murni, bersih, terbebas dari segala sesuatu yang mencampuri dan mengotorinya. Jadi, ikhlas dalam melakukan amalan kerana Allah SWT bererti menjadikan Allah SWT sebagai tujuan tanpa disertai rasa riya'.

Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Bayinnah (98):5

"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus"

IKHLAS ini musuh dia RIYA'. Musuh di mana jurang antara duanya dipisahkan oleh hati, niat, ilmu serta dizahirkan dengan perilaku.

Jika IKHLAS maksudnya mermurnikan sesuatu niat dan tindakan hanya kerana Dia, maka riya' pula mencemarinya dengan niat kerana manusia, kerana harta, kerana selain dari Allah SWT.

Firman Allah SWT dlaam Al-Isra' (17): 18,

"Barangsiapa mengkehendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka kami segerakan baginya di dunia itu apa yang kami kehendaki dan kami tentukan baginya Jahannam, ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir"

IKHLAS

Mengesakan Allah SWT sebagai tujuan dalam ketaatan.

Menjernihkan amal perbuatan dari penilaian manusia.

Memurnikan amalan dari segala sesuatu yang dapat merosakkannya.

Ikhlas adalah sesuatu yang sulit untuk dijaga. Ianya sangat berkait rapat dengan Niat dan Hati. Apabila menyebut hati maka teman baiknya adalah Iman atau Nafsu.

Memurnikan segala sesuatu hal baik fikiran, bicara dan diam, tindakan, semuanya kerana Allah SWT. Bukan kerana manusia, bukan juga kerana rutinitas.

"Suatu amalan meskipun dilakukan dengan benar namun tidak disertai dengan keikhlasan, tidak akan diterima di sisi Allah. Sebaliknya, jika suatu amalan dilakukan dengan ikhlas, namun tidak benar, juga tidak diterima. Amalan hanya akan diterima jika dilakukan dengan ikhlas dan benar. Amalan dikatakan ikhlas jika dilakukan kerana Allah SWT, dan benar jika sesuai tuntunan Sunnah Rasulullah SAW"

FENOMENA IKHLAS 1,

Aisyah (bukan nama sebenar dan tiada kaitan dengan yang hidup mahupun yang meninggal dunia), berniat untuk menderma, tapi dia ingin menderma hanya kalau si Ali ada di tempat dia mahu menderma.

Biar dia terlihat 'baik' depan Ali. Nanti makin sayanglah si Ali dekat Aisyah.

Ya, Aisyah berjaya menderma dengan niat menarik perhatian Ali. Dia mendapatkan apa yang dia mahukan. Namun, apakah IKHLAS tindakannya? Fikirkan.

FENOMENA IKHLAS 2,

Aisyah mahu menunaikan solat Dhuha di masjid. Telah diniatkan dari semalam lagi. Jam 10 pagi, Aisyah menuju ke masjid. Dia melihat ramai muslimat di dalam masjid yang sedang duduk membaca Al-Quran, ada yang lagi berdiskusi.

Ternyata Aisyah membatalkan niatnya untuk solat dhuha kerana takut nanti muslimat yang melihatnya menunaikan solat dhuha mengatakan dia riya'.

Ya, Aisyah tidak solat Dhuha (berniat melakukan ibadah) yang awalnya kerana Dia tetapi membatalkannya kerana takutkan manusia mengatakan dia riya'. Sekilas terlihat dia cuba menjaga keikhlasan dalam ibadah, tapi apakah IKHLAS tindakannya? Fikirkan.

FENOMENA IKHLAS 3,

Aisyah mencuri (mengambil sesuatu tanpa izin dari tuannya) wang sahabat-sahabatnya kemudian dia sedekahkan kepada orang lain dengan niat ikhlas membantu orang yang susah.

Apakah IKHLAS tindakannya? Fikirkan.

FENOMENA IKHLAS 4,

"Minggu depan mahu ujian. Banyak lagi tidak belajar. Harus habiskan belajar sebab dokter suruh, kawan pun belajar gila-gila"

Apakah IKHLAS tindakannya? Fikirkan.

Wallahualam, diharapkan perkongsian ini membuahkan manfaat.

Pesan 1: Sumber diolah dari Jagalah Hati, Raih Ketenangan.

Pesan 2: Menjaga hati untuk terus ikhlas. Mari bermujahadah:)

Khamis, 8 April 2010

Saat hati dan iman berbicara.

Assalamualaikum wrt wbt,

Terasa ingin berkongsi sesuatu. Sejak akhir-akhir ini apa yang saya perhatikan, dengarkan itu sangat sulit untuk digambarkan melalui kata-kata. Hanya, sebuah kesimpulan yang dapat saya sampaikan,

Semakin lama saya bertugas di hospital, semakin dekat terasa sebuah kematian.

Semakin banyak saya melihat kesakitan dan kepayahan, semakin terasa hamba diri ini.

Semakin lama saya hidup, semakin saya rasa saya seorang hamba yang mensia-siakan masanya.

Jika hari ini saya sakit, apakah sengsara dan keperitan yang akan ditanggung keluarga?

Jika hari ini saya meninggal, apakah fitnah dan keburukan yang akan dikenangkan?

Hari ini, saya melihat langit sebagai seorang hamba!

Terasa benar-benar kerdil, terasa benar-benar hamba yang lemah dan tidak pernah lepas dari keputus-asaan, cuma Dia yang menjadi tempat diri untuk mengadu.

Melihat tubuh yang sedang sakit. Segalanya bersifat ketergantungan kepada alat

Saat mata hanya mampu mengalirkan airmata
Hidung tersumbat tiub menyedut kandungan perut
Mulut penuh tiub untuk ventilasi oksigen dan mempertahankan jalan nafas
Dada penuh serabut dawai
Kaki dan tangan diikat kerana sikap yang tidak rasional dan bertindak ganas
Tangan yang penuh jarum-jarum suntikan untuk dimasukkan cairan.

Allah................................. betapa saat itu hanya hati dan iman yang berbicara.

Bayangkan hati yang berkarat dan iman yang membusuk, masih adakah harapan?

Allah..Allah..Allah.

Saat airmata mengalir merinduiMu Allah. Kau peliharalah daku, kedua orangtua ku, keluargaku, seluruh umat Islam yang berjuang menegakkan agamaMu agar terus kuat dan sihat.

Isnin, 5 April 2010

Untung Allah SWT tidak pernah bosan.

Assalamualaikum wrt wbt dan salam sejahtera semua.

Alhamdulillah, diizinkan Allah SWT, Tuhan Pemilik Sekelian Alam untuk menulis sesuatu yang bermanfaat di blog saya.

Saya akan sampaikan sebuah kisah, mungkin ada sahabat-sahabat yang pernah atau mungkin juga tidak mengalaminya. InsyaAllah, selamat membaca,

Saya ada kawan, nama dia A (contohnya). Saya tidak berapa rapat dengan A, sekadar kawan biasa. Apabila bertemu, kami memberi salam dan membalas senyuman. Cuma sekadar hi-hi bye-bye. Rapat sangat pun tidak, musuh pun tidak. Persahabatan suam-suam kuku.

Si A ini jarang sms atau datang ke rumah saya. Namun begitu, jika dia datang ke rumah atau sms saya, pasti ada sesuatu yang ingin dimintanya. Kalau tidak wang, dia akan minta nota, kalau tidak nota pasti baju, yang penting pasti ada sesuatu yang diperlukan, barulah si A ini datang mencari saya. Bukan cuma sekali, tetapi sudah banyak kali terjadi sejak dari awal usia persahabatan kami lagi.

Jika awal-awal, saya masih merasa, "It's ok, I'm your friend and that is what friends for".

Lama-lama, saya merasa, saya dipergunakan. Hanya diperlukan saat A susah. Jika dia senang, dia pasti tidak akan bertemu saya. Saya tidak peduli itu semua, asalkan hutang dia kepada saya, lunas. Baju dan semua barang-barang yang dipinjam dikembalikan.

Tidak cuma itu, apabila dia senang, dia seperti tidak mengenali saya. Dia memperlakukan saya TOTAL seperti saya ini insan lain yang datang dari dunia lain.

"Apakah kau lupa akulah insan yang telah menolong kau saat kesusahan, sekarang kau berlagak seperti aku manusia aneh dari dunia lain?? Kau memang manusia kejam!"

Itulah sikapnya. Sisi buruk A.

Satu hari, sedang saya berjalan pulang ke bilik, tiba-tiba saya mendapat sms, isinya dibaca,

"Assalamualaikum Aimi, maaf ganggu. Awak free tidak petang ini?

Saya melihat sender, A

Dalam hati, saya berbisik,

"Mesti ada sesuatu, itu yang dia cari aku. Malas nak layan!!"

Saya mengabaikan mesej tadi. Setelah sampai di bilik saya, seperti biasa, sudah saya rancang untuk istirehat dahulu, kemudian bersiap-siap untuk solat Maghrib, makan dan belajar.

Ternyata, tidak sampai 5 minit saya berehat,

"Assalamualaikum Aimi......................................"

Terdengar suara seseorang memanggil nama saya di luar bilik sampai pintu bilik di ketuk-ketuk terus.

Setelah di buka pintu,

Ternyata si A

Dalam hatiku berbisik,

"Arggghhhhhhhhhhhhhhh....................."

.............................................................................

Alhamdulillah, selesai sudah senario yang diceritakan.

Alhamdulillah, saya tidak pernah mengalami situasi di atas, cuma sebagai analogi sahaja.

Analogi yang membawa diri menangis mengenangkan hubungan sebagai hamba dengan Allah SWT.

Betapa biadab diri, mencari Allah SWT saat merasa memerlukan. Hanya mencari Dia saat dalam kesusahan.

Apabila kesusahan, solatnya sebenar-benar solat. Lama sujudnya, bercucuran airmata mengalir memohon keampunan dan pertolongan.

TAPI

Saat sedang dikurniakan NIKMAT/PINJAMAN dari Dia, diri seolah-olah lupa, lupa bahawa dahulu dia lah manusia yang meminta-minta, merayu-rayu kepadaNya.

Saat sedang SENANG, kita seperti MANUSIA GILA DUNIA, DASAR TIDAK TAHU MALU!

Waktu itu, ibadah baik kuantiti mahupun kualiti semuanya hancur. Lebih baik semalam dari hari ini.

Wahai saudaraku sekalian,

Mengapa kita hanya bersujud kepada Allah SWT saat merasa memerlukan?

Mengapa begitu sombong apabila senang?

Mengapa begitu nyanyuk untuk dekat-dekat dengan Tuhan?

Waktu mahu ujian,

SOLAT MANTAP!

Waktu duit tidak cukup,

ZIKIR MANTAP!

Waktu ditimpa musibah,

TILAWAH & TADABBUR AL-QURAN MANTAP!

Waktu merasa gelisih,

SOLAT SUNAT MANTAP!

Waktu senang?

Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah.

Untung Allah SWT tidak pernah bosan dengan manusia seperti mana manusia bosan dengan sikap manusia sendiri.

Bersyukur Allah SWT sentiasa mendengar rintihan hambaNya yang ingin kembali ke jalan yang benar.

Bersyukur Allah SWT sentiasa mendengar rayuan hambaNya yang meminta pertolongan setiap masa.

Alhamdulillah.

Pesan 1: Peringatan buat diri.