Selasa, 21 Julai 2009

Jangan kacau saya lagi

Apakah diri ini begitu murah dipandanganmu wahai pemanggil misteri??

Setelah saya dicemari dengan kata-kata lucah, masih tidak puaskah kamu wahai pemanggil misteri??

Apa salah diri ini sehingga kau tergamak menyakiti hatiku??

APA??

Apa dosa diri sehingga kau berdendam dengan diri ku??

Semoga Allah SWT, memelihara diriku, keluargaku, sahabatku dan juga keturunanku dari kekejaman menyakiti hati saudaranya sendiri.

Pesan 1 : Pemanggil misteri, saya merayu dan saya tahu awak membaca blog saya ini, jangan ganggu saya lagi. Saya penat dan muak, seandainya saya pernah menyakiti hati awak, berhutang dengan awak, kita selesaikan secara damai. Saya tidak mengenali awak, sungguh!

Pesan 2 : Saya cuba bersabar dan tidak melempiaskan kekejaman pada oranglain, bantulah saya.

Pesan 3 : Qamar (dalam nada bergurau, jangan gedik ok), thanks for calling at the right time and place. Ukhibbukifillah ukhti(^_^)

Pesan 4 : Bukan saya mencari perhatian dan bukan saya menagih simpati ramai dengan menge"pos"kan entri kali ini, tetapi tahap kesabaran saya sedang diuji dan saya tidak akan tunduk pada kamu, pemanggil misteri.

Pesan 5 : Kalau saya menangis, bukan kerana tangisan saya murah untuk kamu. Tetapi tangisan kekesalan dosa dan maksiat saya. Seandainya saya terlihat tersungkur di depan kamu, jangan merasa saya tunduk dengan keegoan dan usaha keji kamu selama ini. Tetapi kerana saya akur dengan ujian dariNya. Jangan kau pernah rasa dirimu akan menang, kerana aku ada Dia, pemilik dirimu, aku dan semua makhluk alam ini. Wallahualam

Isnin, 20 Julai 2009

Melampiaskan kekejaman

Assalamualaikum wbt, kadang-kala dalam kehidupan sehari-hari kita bertindak tidak adil. Tidak adil dalam penilaian sehingga kita melampiaskan kekejaman kepada insan lain. Mungkin agak kasar bunyinya kekejaman tapi insyaAllah akan saya huraikan lebih lanjut dalam entri saya kali ini.

Sedar atau tidak, sering kali kita diherdik, dimarahi, disakiti hati mahupun fizikal, disindir oleh orang lain, dibebani pelbagai masalah dan dibebani dengan pelbagai tanggungjawab yang menyesakkan minda.

Contohnya, kalau masih belajar, isu yang sering timbul adalah masalah tanggungjawab sebagai mahasiswa, anak, duit, masa manakala bagi yang sudah bekerja dan menikah, isu yang timbul duit dan hutang, masa dan anak-anak dan hubungan dengan rakan sekerja dan pasangan.

Semua itu pasti tidak banyak, sedikit membuatkan kita "terleka" dan menyimpan perasaan
marah atau dendam mungkin. Setelah kita menyimpan perasaan marah, tanpa kita sedar, kita begitu senang melempiaskan kemarahan kepada insan sekeliling sehingga insan yang tidak bersalah dimarahi, dan dilempiaskan kekejaman yang tidak sepatutnya.

"Masam je muka kau, kalah cuka tau. Cuba senyum sikit, cekodok basi yang semalam aku buang pun rupa dia macam muka kau lah" niat sahabat yang asalnya mahu menghiburkan mungkin saja disalahtafsirkan oleh sahabat yang sedang marah.

"Apa masalah kau?" balas sahabat yang berang tadi.


Mengapa kita begitu "flexible" memindahkan beban yang ditanggungi kepada mereka yang tidak bersalah, ada yang juga meminta orang lain memahaminya,

"Apa kau tak nampak ke aku serabut?Lagi nak memekak, cuba kau faham masalah aku"

Kenapa kita mengheret mereka yang tidak bersalah memahami diri kita?

Kita sendiri tidak mahu membantu diri dengan menenangkan hati dan fikiran, mengapa kita mengarahkan orang lain memahami kita?

Dialog di atas mungkin sahaja bahasa perbualan langsung. Tidak kurang juga, perbualan sms yang tidak kurang biadab melempiskan kemarahan kepada orang lain. Sedih apabila saya mengenangkan perkara ini. Betapa mudahnya diri kita bertindak zalim kepada orang lain.

Mengapa perkara begini boleh terjadi?

Cuba kita bayangkan, kalau dari muda remaja kita sudah pandai dan biasa melempiaskan kemarahan kepada orang lain, cuba bayangkan komuniti bagaimanakah yang ingin kita bentuk di masa depan kelak?

Mahu lempiaskan marah pada isteri setelah pulang kerja?

Isteri pula lempiaskan marah pada anak-anak?

Anak-anak mula bertindak liar dengan pergaulan bebas niat di hati cuma mahu melempiaskan marah bersama-sama rakan yang " lebih memahami". Na'udzhubillah

Pada pandangan saya, mungkin ada beberapa faktor yang menyebabkan diri begitu mudah diprovokasi oleh situasi yang menekan dan terdesak, insyaALLAH dari penilaian saya, akan saya kongsikan bersama. Antaranya adalah,

1. TIDAK BERSEDIA
Tidak bersedia minda dan hati
Disebabkan kita tidak mengkaji dan memahami kerja serta tanggungjawab diri, jadi mudahlah untuk kita melatah. Bila dihidangkan di depan mata pelbagai bentuk ujian dan desakan maka mula lah hati panas membara, mulut lancang berkata. Sedangkan, seandainya kita memasrahkan sepenuh hati kepada Allah SWT, redha dengan ketentuan, hasilnya sama ada dipuji, dimarah, diherdik, dihina, dibebani pelbagai ujian, kita sudah bersedia menghadapinya dengan senyuman diwajah. Kita tahu ini susunan jadual indah dariNya untuk kita turuti.

Pernah ada seseorang datang kepada saya, tidak henti-henti merungut dengan tugasan yang sangat banyak, tanggungjawab yang membebankan dan mulut sekeliling yang tidak henti mengata. Kadang-kala terkeluar juga kata-kata yang kurang enak didengar dilempiaskan kepada saya. Saya sudahnya kembali bertanya,

"Awak mahu teruskan belajar sebagai mahasiswa perubatan atau tidak?"
"Awak menjejakkan kaki di sini atas paksaan orangtua atau kerana minat dan kerelaan awak sendiri?"
"Kalau awak rasa awak sibuk dengan jawatan awak sekarang, kenapa dulu awak terima?Sebab nak populariti dan perhatian? Jadi sekarang ramai dah mengenali awak, sebab itu awak bosan?Atau sebenarnya awak nak hidup sebagai manusia bermanfaat, apakah sudah cukup awak bermanfaat dengan manusia sekeliling?"

2. KEPEKAAN SIFAT (ATTITUDE)
Saya memetik kata-kata John C Maxwell didalam bukunya The Difference Maker,
"From now on, i'm going to have a great attitude" di mana setiap saat, seseorang itu akan peka apabila dirinya sudah menjadi kurang sabar, peka apabila diri bertindak overreacted.

Apabila kita ada checklist untuk diri sendiri seperti attitude yang terbaik ingin dipersembahkan pada hari ini kepada semua, insyaALLAH pasti sesaat kita cuba untuk re check diri sendiri.

Ianya tidak mustahil walaupun sukar untuk dicuba pertama kalinya.

Pesan 1 :
From Abu Hurairah Rasulullah saw said; " The strong man is not the one who is strong in wrestling, but the one who controls himself in anger " HR Bukhari, Muslim

Pesan 2 : Allah suka dengan hambaNya yang bersabar, kenapa kita tidak mahu merebut peluang menjadi hambaNya yang bersabar dan menjadi hamba yang disayangi?

Pesan 3 : Berfikir sebelum bertindak, gunakan akal untuk beremosi.

Pesan 4 : Kalau mulut terlanjur memaki orang, tangan terlepas bermesej kata-kata kasar, jangan ego untuk meminta maaf. Tidak gugur gigi, tidak pula putus jari jemari memohon maaf.

Jumaat, 17 Julai 2009

Kezaliman menghukum diri

Assalamualaikum dan salam sejahtera, seperti yang dijanjikan, saya akan menceritakan pengalaman kedua sewaktu di hospital yang sedikit sebanyak menambah nilai bermanfaat pada diri untuk lebih matang dalam berfikir dan bertindak.

Alhamdulillah, setelah hari kedua dioperasi, saya sudah mula berjalan-jalan sekitar wad (bosan tahap maksimum!). Jadi, ramailah kenalan saya, dari seusia saya, sehinggalah ke nenek-nenek yang tidak sempurna lagi susunan giginya dimamah usia. Malam tersebut, sedang saya asyik membaca buku di dalam kamar wad saya, saya didatangi oleh seseorang.

Tanpa mengetuk pintu bilik saya, si dia terus masuk ke dalam bilik. Saya melihat sosok seorang lelaki. Dengan berambut pendek, berbaju T shirt dan berseluar pendek. Apalagi, saya terus mencapai tudung dan sweater untuk menutup aurat. Mendengus sendirian saya melihat kelibat orang ini,

"Hi" tegur si dia.


"Assalamualaikum, ya kenapa?" saya kembali bertanya, sungguh pelik saya melihat orang ini yang sangat bersahaja tanpa rasa bersalah memasuki bilik saya.

"Hihi..Wa'alaikumussalam..Alim, bagus-bagus" jawabnya.

"Kenapa masuk bilik saya?Awak kenal saya?Maaf saya tak kenal awak. Lagipun dah malam ini, tidak elok rasanya datang melawat sekarang. Sekejap lagi mama saya datang" saya panjang lebar bertutur. Hati mana tidak berdebar. Hanya Allah yang tahu.

"Saya kenal awak apa, ramai jururawat bagi tahu ada awek cun dekat bilik hujung, bilik VIP, jadi saya nak datang melawatlah" jawabnya.

"Maaf, awak menakutkan saya, boleh keluar sekarang tidak?" saya mula mahu menekan bel emergency memanggil jururawat.

Mungkin melihat saya yang sudah menggelabah, si dia mula mengenalkan diri dan juga berbual menceritakan pengalaman diri.

Barulah saya tahu si dia yang saya sangkakan lelaki adalah seorang perempuan yang persis perwatakannya seakan lelaki. Setelah pasti sahabat tadi seorang wanita, saya pun lebih bersikap terbuka dan memohon maaf. [Malu saya sebab ditegur kerana pakai tudung(-_-), sedangkan si dia adalah seorang wanita Islam]

Setelah berbual panjang, perbualan kami terhenti kerana jururawat mendatangi kamar saya untuk memberikan suntikan terakhir untuk hari tersebut, 3 suntikan. Setiap hari saya menerima total 15 suntikan dan itu sangat menyakitkan jari jemari saya sehingga lebam-lebam dibuatnya. Lebam berganti lebam yang baru. Beralih pula tangan dari kiri ke kanan suntikan apabila tangan kiri sudah bengkak dan sakit yang menyengat.

Esoknya, saya menjalankan rutin harian seperti biasa. Malamnya, saya terniat untuk menonton televisyen di common room. Selama dimasukkan ke hospital, inilah pertama kali saya menjejakkan kaki ke bilik TV tersebut. Mungkin setelah ketumbuhan dibuang, saya lebih senang hendak melangkah jauh:)

Saya menonton TV dan kebetulan berita jam 8 malam sedang ditayangkan. Apalagi, melekat terus saya menonton TV. Tiba-tiba saya didatangi teman yang disangkakan lelaki. Biarlah saya namakan si dia sebagai 'Z'. Kami menonton TV bersama. Saya lebih mengambil sikap mengurangkan bicara dan lebih banyak mendengar celoteh sahabat tadi. Seronok juga mendengar pengalaman hidup dan juga prinsip dirinya. Seorang yang sukarkan cabaran, berfikiran jauh dan ramah. Saya sangat menghormati dirinya. Bukan bererti saya "berlapang dada" dengan penampilannya yang ditegah agama, tetapi saya perlu lebih matang untuk memahami kondisi dirinya barulah dia akan menerima apa yang saya utarakan kemudian hari.

Namun, Z mula berani berbicara dan meluahkan isi hatinya,

"Aimi, saya sebenarnya melihat awak iras dengan ex saya" dia berkata


Dalam hati, saya terasa juga dengan kata-katanya. Mungkin saya merasa wajah saya seperti lelaki.

"Muka saya macam lelaki eh?" saya mahu mendapatkan kepastian.

"Eh, takdelah..Ex saya dulu a cute girl, just like you" balasnya

"Er??"saya mahu mendapatkan kepastian.


"Z, baik saya beritahu awak awal-awal. I'm straight" jelas saya.

"Tidak mengapa Aimi, sebuah percintaan perlulah dipupuk dan ianya mengambil masa untuk bercambah setelah disemai" sungguh dalam maksud kata-katanya.

"Saya nak minta diri dulu" saya mahu menghentikan bicara, kurang selesa saya dibuatnya.

Semuanya tidak berakhir di situ, dia memaksa saya untuk terus berbicara. Saya rasa mahu menangis pun ada. Sudahlah sakit di pinggang masih terasa kerana saya telah duduk lama di kerusi untuk menonton TV sedangkan saya seharusnya mendapatkan rehat yang secukupnya ditambah pula Z yang mula berani bertindak. Padah degil:(

"Z, sekalipun saya menyayangi awak, masih segalanya dalam batasan agama Islam yang telah digariskan. Saya menyayangi awak kerana Allah SWT, jadi segala yang disuruh dan dilarang Allah akan saya turutkan seperti mana yang Allah SWT perintahkan. Saya takut Z, saya takut azab Dia. Jangan paksa saya untuk turutkan perkara yang memang ditegah sama sekali Allah SWT dan Rasulullah SAW" panjang lebar saya meluahkan apa yang patut kerana merasa penat didesak.

Z diam seribu bahasa. Hanya mukanya yang menunjukkan sedikit kekecewaan.

"Lagipun Z, awak belum terlambat. Awak seorang yang punya masa depan yang cerah. Apa yang awak lakukan ini salah. Adakah awak sedar? Tidak bermaksud saya mendiamkan bermakna saya redha dan berlapang dada dengan apa yang awak lakukan. Saya sangat menghormati awak sebagai seorang perempuan Islam. Sampai bila awak mahu cipta alasan?" saya kembali berhujah

"Awak masih mahu mendengarkan pandangan saya?" tanya saya lagi

Z hanya menganggukkan kepala, mulutnya masih terkunci tidak berbicara.


"Takdir, ujian yang terjadi pada awak adalah sesuatu ketentuan. Awak tidak boleh memilih keluarga, awak tidak boleh memilih sama ada mahu hidup dalam keluarga kaya ataupun miskin.
Awak tidak boleh memilih siapa ibu mahupun ayah. Itu ketentuan Ilahi tetapi setiap yang ada di depan mata, setiap saat masa berlalu, pasti akan ada peluang. Peluang hanya akan terlaksana apabila kita punya sikap, sikap yang positif yang dipandu oleh hati yang positif. Maka carilah hati awak kembali. Takkan sebab sejarah silam, awak sentiasa beralasan. Awak salahkan yang silam. Awak juga salah kerana awak zalim pada diri. Awak menghukum masa silam dengan sejarah hitam yang ada pada diri awak. Sedang diri awak perlukan hati baru. Jangan bertindak menzalimi diri. Ramai sayangkan awak. Masa depan terbentang luas, pilihan di tangan, awak pilih. Bertindak menghukum diri, dan awak tetap di situ seperti sekarang ataupun merubah segalanya" saya berhenti berkata.

Z terdiam dan matanya terus memandang saya.

"Saya minta maaf kalau awak terasa hati dengan saya" saya merasa telah menyinggung perasaan dia.

"Tak, thanks Aimi. Awaklah kawan pertama yang telus dalam menegur. Awak tidak menghukum saya seperti mana orang lain. Terima kasih. Ok Aimi, masuklah tidur. Awak kan tidak sihat" lega saya mendengarnya, Alhamdulillah

Pesan 1 : Alhamdulillah seperti mana indahnya pertemuan kami, begitu jugalah akhirnya. Siap dapat hadiah lagi:)

Pesan 2 : Di depan mata ada peluang dan pilihan. Berfikir dan Bertindak mengikut panduan Al-Quran dan Sunnah, bukan sejarah silam. Sejarah silam adalah pengajaran bukan tali gantung diri

Pesan 3 : Tidak saya lambakkan dalil mengenai larangan Allah terhadap hubungan sejenis bukan kerana saya mengambil remeh perkara tersebut tetapi kerana saya yakin untuk insan yang masih celaru fikiran dan hati, mereka perlukan sedikit sentuhan hati sebelum hati mereka dapat menerima lambakan hujah. Wallahualam

Rabu, 15 Julai 2009

Operation DONE!(^_^)

Assalamualaikum, insyaAllah entry kali ini saya akan muatkan tentang pengalaman dibedah. Sebelum itu terima kasih untuk doa dan sokongan semua, semoga Allah memberkati dan meredhai kalian. Selamat membaca:)

8 pagi, 9 Julai 2009, Dr Fuad (pakar bedah Orthopaedic) dan Dato' Dr Amir (pakar bedah Ortho) datang melawat saya di wad bagi melakukan pemeriksaan akhir sebelum pembedahan jam 4 petang.

Sejujurnya saya tiada rasa berdebar mahupun takut. Mungkin kerana saya agak lelah untuk menanggung kesakitan, jadi saya tidak sabar untuk mengakhirinya. Saya diarahkan berpuasa sejak jam 12 tengah malam semalam (8 Julai 2009). Tapi lapar dan penat yang amat sangat hanya Allah yang tahu.

Saya hanya menghabiskan masa di dalam wad. Saya dimasukkan ke ruang VIP, jadi satu ruangan menempatkan hanya seorang pesakit. Tepat jam 4 petang, jururawat memasuki kamar saya lalu meminta saya menyalin pakaian, pakaian khas untuk dibedah.

Saya diusung ke bilik pembedahan. Mama dan babah menunggu saya di sana. Setelah mama dan babah mencium pipi dan dahi saya,

"Kakak, ingat Allah. Kuatkan semangat" pesanan mama dan babah.

"InsyaAllah, doakan kakak ma, bah" kembali saya memberi respon.

Saya kembali dimasukkan ke tempat persediaan di mana saya disuntik dengan pelbagai ubat dan juga dimasukkan cairan lengkap 3 botol banyaknya. Saya sudah memuncungkan mulut kerana sakit yang menjadi-jadi disebabkan air yang dipaksa masuk ke dalam tubuh dalam masa yang singkat. Tekanan tinggi pada saluran darah menyebabkan sakitnya mencucuk-cucuk.

Lebih kurang 30 minit, iaitu setelah selesai ubat-ubatan dimasukkan ke tubuh, saya dimasukkan ke ruang pembedahan. Saya perhati ramai jururawat dan petugas tentera yang sedang melakukan pemeriksaan alat-alat. Saya disapa mereka dengan penuh ramah dan mesra.

Dalam keadaan terbaring, tiba-tiba saya melihat kelibat seorang lelaki masuk dan memberikan salam. Mengenalkan nama dan tugasnya, maka tahu lah saya dia adalah seorang pakar bius.

"Aimi, kita nak buat spinal anesthesia (bius pada tulang belakang). Awak pun pelajar perubatan kan? Mesti awak tahu prosedur dia" doktor tadi tersengih.

"Doktor, kalau saya nak general anesthesia (bius di mana pesakit akan dipengsankan) boleh tak?" saya meminta kerana untuk disuntik tulang belakang pasti sakitnya bukan kepalang.

"Ok, boleh insyaAllah" sambil doktor tadi mengambil mask bius lalu di letakkan ke muka saya untuk saya hidu sehingga pengsan. Namun, kurang dari 10 saat, doktor kembali bertanya,

"Dekat mana nak bedah ini?" tegurnya

"Sini" sambil saya menunjukkan pinggang di sebelah kiri yang membengkak.

"Hish, ini tidak boleh general anesthesia, besar ini. Kalau general anesthesia, bila awak sedar sahaja, awak terus rasa sakit tapi kalau spinal anesthesia, awak akan tahan sakit itu sampai lebih dari 6 jam. Biusnya tahan lebih lama." pakar bius memberikan penerangan.

"Ala...doktor...." saya memuncungkan lagi mulut.

"Eh, dah-dah simpan muncung tu, cepat duduk. Saya nak buat spinal anesthesia" doktor tadi membantu saya untuk duduk.

Saya memegang tangan seorang jururawat sementara pakar bius tadi terus menyuntik bius ke tulang belakang saya. Sakit~(T_T). Bergenang juga airmata saya menahan sakitnya disuntik. Hanya mulut tidak lekang berzikir meminta Allah SWT memudahkan segala urusan.

Kurang dari 30 minit, separuh dari tubuh saya (pinggang ke bawah) sudah lumpuh kesan bius tadi namun saya tetap sedar dan peka dengan sekeliling. Kemudian saya melihat Dr Fuad dan Dato' Dr Amir masuk ke ruang pembedahan dan bersedia untuk melakukan misi mereka. Saya pula telah diletakkan di dalam posisi mengiring. Saya dilarang keras melelapkan mata apatah lagi tertidur. Tetapi tubuh saya ternyata sudah lemah. Disebabkan saya pernah pengsan dan seizure secara tiba-tiba, kemungkinan saya berisiko untuk koma seandainya saya terlelap sewaktu pembedahan. Maka jururawat dan para petugas tidak habis-habislah berbual dengan saya untuk mengelakkan saya terlelap.

Namun, kudrat saya tidaklah sekuat mana. Pandangan saya tiba-tiba kelam dan saya tidak sedarkan diri. Saya kembali sedar setelah pipi saya diusap oleh jururawat, manakala tangan saya dipegang oleh petugas kesihatan. Doktor pula memanggil terus nama saya.

"Aimi, kuatkan semangat ye sayang. Awak anak yang baik. Awak nak jadi doktor kan?Awak kena kuat" bisik Dr Fuad yang tidak sudah memberikan semangat.

Saya hanya beristighfar dan mengalirkan airmata. Menyedari saya mungkin saja "tergelincir" sebentar tadi. Tiba-tiba, saya merasa mual yang amat sangat,

"Saya nak muntah...." saya bersuara.

Petugas dan jururawat segera mengambil suction untuk menyedut muntah saya tadi. Semua yang terlibat mula peka kerana apabila saya muntah, itu tanda-tanda kritikal. Ada yang bersedia di defibrillator (alat yang bertujuan memberikan kejutan eletrik kepada pesakit), pakar bius sedang menjaga kuantiti cairan yang masuk ke tubuh. Saya merasa agak kucar-kacir keadaan sekeliling mungkin kerana saya sudah mulai pening.

Jam 7 malam, selesailah pembedahan dijalankan. Alhamdulillah. Namun begitu, saya tidak dibenarkan mengangkatkan kepala memandangkan bius dari tulang belakang tadi boleh naik sehingga ke kepala dan menyebabkan pening kepala yang amat sangat. Saya dimasukkan ke ruang ICU untuk pemerhatian selama 30 minit. Untuk kali keduanya saya muntah lagi. Tumor yang dikeluarkan sebesar bola tenis. Besarkan? Siap ada anak lagi tau. Kecil je anak tumor itu. Penat saya ternak :P

Ternyata ujian tidak berakhir di situ, saya muntah hampir 10 kali setelah dimasukkan ke wad. Saya hanya mampu mengalirkan airmata sahaja memandangkan badan yang sakit, tubuh yang lemah. Namun begitu, syukur Allah SWT telah memudahkan segala urusan. Solat pun hanya dengan berbaring dan melalui hati. Tidak mampu melalui pergerakan mata memandangkan untuk membuka mata sahaja, saya akan merasa mual dan muntah.

Mama, babah, atuk dan nenek saya datang menemani diri sehingga sekitar jam 10 malam. Kemudian, hanya mama yang tinggal menginap bersama saya di hospital. Kesian mama, tidak lena mama tidur kerana asyik membetulkan selimut saya dan memastikan saya selesa berehat setelah dioperasi. Selang 30 minit, akan ada jururawat masuk ke ruangan dan memastikan tekanan darah dan sebagainya dalam lingkungan normal.

Alhamdulillah, esoknya saya sudah mampu makan dan minum. Berjalan pun boleh, alhamdulillah. Buat masa sekarang, saya masih menanti hasil histopathology ketumbuhan tempoh hari. Mohon sahabat terus mendoakan saya

Pesan 1 : Ingat Allah SWT

Pesan 2 : Sayangi ibu bapa

Pesan 3 : Teguhkan diri, kuatkan semangat.

Pesan 4 : Entry seterusnya akan saya muatkan mengenai isu "panas", semasa tempoh menginap di hospital. Astaghfirullah, jauhkan diri dari zina dan maksiat.


Rabu, 8 Julai 2009

Pengalaman mengajarku erti sabar

"Aimi, lepas sarapan awak kena puasa ya. Jangan makan apa-apa lagi" pesan seorang jururawat senior.

"Ok, baik insyaAllah. Terima kasih kak" saya membalasnya pula.

Saya pun melihat jam 6.00 pagi, saya bergegas untuk mandi dan ingin menyambung baca buku cerita yang dipinjamkan kawan.

Usai mandi dan mengemaskan diri, saya pun melangkahkan kaki ke kerusi malas untuk membaca buku. Tepat jam 8.00 pagi seorang doktor pakar masuk menyinggah ke ruangan saya.

"Assalamualaikum Nurul Aimi, macam mana hari ini?Kita nak buat MRI sekali lagi, sebab kita nak tengok progressive disease macam mana" doktor menerangkan jadual untuk hari itu.

"Ok" jawab saya ringkas.

Setelah lama menunggu, mama pun tiba dari rumah. Saya diusung menggunakan wheelchair ke bilik MRI oleh jururawat.
(saya tidak suka berjalan menggunakan wheelchair, rasa macam parah semacam sahaja sakitnya)

Sampai ke bilik MRI, semua barang berasaskan logam harus ditanggalkan.

"Dik, tanggalkan cincin, gelang kaki dan......." tegur seorang pegawai perubatan tentera LELAKI

"Er..takpe-takpe pakcik, saya tahu apa sahaja yang perlu ditanggalkan. Terima kasih. Saya nak salin baju ini, boleh pakcik tunggu dekat luar sahaja" saya memintas kata-kata orang tadi. Kurang selesa dibuatnya saya.

Lantas saya menjerit memanggil mama,

"Ma~~~~~~~~~~~~~" saya mahu salin pakaian cuma saya takut sendirian.

Mama hanya tersengih melihat gelagat saya seakan-akan budak kecil. Mama pun menemankan saya di ruangan salin pakaian

Semasa di ruangan MRI, saya mula merasa sedikit lemah, mana tidaknya saya harus statik selama lebih sejam dan saya sudah 6 jam tidak makan. Jika saya puasa itu lainlah. Saya telah membuat mindsetting dari awal ini saya tiada mindsetting untuk menahan lapar yang bagi saya 6 jam itu cukup lama.

Selesai sahaja foto MRI diambil, kini saya perlu disuntik dengan contrast (berfungsi seakan-akan pewarna bagi mengenalpasti jenis dan stage ketumbuhan)

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Setelah disuntik, pandangan saya jadi berpinar dan hitam..............................

Saya tidak tahu apa yang jadi, saya sedar pun setelah ditampar beberapa kali oleh doktor radiologi.

"Aimi, awak kenapa?Awak ok?Awak tahu tak kat mana ni?" tanya doktor

Saya dengar setiap butir kata, namun pandangan saya kabur, badan saya lemah dan peluh dingin basah menjurai sedangkan bilik MRI itu dilengkapi penghawa dingin.

Saya masih tidak bermaya, saya diberikan oksigen mask untuk bantuan pernafasan.

"Ok, siapa nama kamu?" tanya seorang doktor perempuan.

"Nurul Aimi" saya jawab ringkas

"Umur?" doktor bertanya lagi

"23" saya balas seadanya.

Saya merasa lemah sangat-sangat. Saya cuba mencari mama, saya yakin mama ada dekat dengan saya kerana saya dengar suara mama, memanggil terus nama saya supaya saya tidak melelapkan mata.

Jam menunjukkan pukul 3.30 petang. Saya bangun dari tidur. Saya lihat mama ada di sebelah.

"Mama, kakak dekat mana?" tanya saya kehairanan melihat bilik saya lain.

"Kakak dekat ruangan khas ini" mama pula berbicara.

Saya melihat tubuh saya yang berselirat dengan wayar. Disambung pada ECG untuk melihat ritma degupan jantung, dari hujung badan sampai ke kaki. Tangan kiri dan kanan disuntik. Sakit!!

"Mama, kakak kenapa?Apa dah jadi?" saya tanya mama lagi

"Kakak, tadi kakak pengsan. Lepas pengsan, terus seizure. Ada dalam 15 minit" mama kembali memberitahu

"Astaghfirullah" saya membalas.

"Mama, kakak nak balik bilik. Kakak tak solat lagi" saya lantas ingin pulang ke bilik saya, cuma ditahan juga dalam sejam lagi.

Semenjak dari saat itu, perhatian dan perubatan untuk saya bertambah kompleks. Saya sendiri takut melihat jururawat yang setiap setengah jam bergilir mengambil tekanan darah, suhu badan dan tekanan oksigen.

Saya dengar perbualan bicara mama dengan babah melalui telefon, saya mengalirkan airmata sahaja. Saya diselubungi sedih dan rasa bersalah

"Kesian mama tengok kakak tadi, bang. Muka dia pucat, badan dia lemah. Mama tak sanggup tengok dia lemah macam itu. Sedih hati mama tengok, bang" mama berbicara melalui telefon bimbit, duduknya agak jauh dari saya. Mungkin tidak mahu saya mendengarnya, namun setiap butir kata jelas kedengaran dan saya hanya mampu mengalirkan airmata sahaja.

"Ya Allah, Kau kasihanilah dua insan yang banyak berkorban dan berjasa ini, Kau jadikanlah mereka penghuni syurgaMu dan Kau lindungilah mereka dari fitnah dunia dan azab di akhirat" itu sahaja yang mampu ku lafazkan

Pesan 1: Mohon doa dari sahabat-sahabat untuk saya terus tabah, dan ibu bapa saya juga redha menghadapi segalanya.

Pesan 2: Mungkin entry 2,3 yang akan datang lebih berkisar pada kesihatan saya memandangkan fikiran saya sendiri telah diarah ke sana.

Pesan 3: Erti SABAR yang dimaknai sedalam-dalamnya, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar:)

Jumaat, 3 Julai 2009

Hari ini saya...(^_^)

Alhamdulillah, nama diumumkan seorang demi seorang. Keputusan sepanjang tahun pengajian diberikan. Saya mula berdebar. Ada dua transkrip nilai diberikan, satu nilai ujian sepanjang tahun 4 dan satu lagi nilai department sepanjang pengajian di mana total department ada 49 semuanya. Kesemua tersebut wajib lulus untuk mendapatkan gelar Sarjana Kedokteran dan mendapat izin untuk praktikal di hospital.

Penat(-_-)

Selesai sudah pengajian selama 4 tahun di bumi ilmu Jatinangor. Penat semalam masih berbekas. Tangisan semalam masih segar. Duka semalam masih kekal. Tidak terasa 4 tahun berlalu, di sinilah saya diberi peluang oleh Allah SWT mengenal makna seorang hamba. Di sini jugalah Allah mengajar saya erti ukhuwwah. Di sinilah tempat saya diuji dengan fitnah hebat, diuji untuk sabar dan hanya pasrah sepenuh hati kepadaNya.

Masih segar di ingatan sewaktu tahun pertama, saya sering sakit. Pernah demam sehingga suhu badan 42'C dan teman-teman segera mengejarkan ke hospital kerana saya sudah tidak sedarkan diri dan pernah juga sesak nafas sehingga pengsan dan sahabatlah yang telah banyak kali mendukung saya setiap kali saya hampir pitam. Sampai ada sahabat yang bergurau,

"Kalau kau nak tahu pasal hospital-hospital dekat Bandung ini, pergi tanya tu" sambil memuncungkan mulut mengarahkan kepada saya. Saya hanya membalas dengan senyuman mendengarkan kata-kata sahabat tadi.

Semua kenangan yang disimpan kemas. Sewaktu diumumkan saya lulus, saya hanya menangis bersyukur. 3 insan penting saya hubungi. Saya lantas menelefon mama dengan suara yang masih jelas menangis bersyukur,

"Assalamualaikum ma..." saya menyimpan kata sebentar.

"Wa'alaikumussalam, hah kak..macam mana keputusan?Lulus?Kakak macam mana?Ok?" tanya mama yang mungkin diburu rasa berdebar seperti mana saya.

"Alhamdulillah ma, kakak lulus. Kakak insyaAllah dah boleh graduate 14 ogos ini" saya jawab sambil menangis.

"Alhamdulillah.......Syukur..Terima kasih kakak" mama membalas kata-kata saya.

Usai bicara, saya duduk sendirian di luar ruangan keputusan. Mama mengungkapkan "terima kasih kakak". Saya menangis lagi. Mama pasti telah meletakkan harapan yang tinggi kepada saya.

Saya menghubungi ayah saya pula, suara ayah saya kelihatan tegas seperti sedang dalam mesyuarat cuma saya anaknya 'buat-buat tidak faham' nada suara ayah yang monotonus tadi,

"Assalamualaikum bah, kakak lulus" saya lantas menyatakannya

"Wa'alaikumussalam. Congratulation my dear Dr Nurul Aimi. Bila nak balik ini?Cepat balik Malaysia, selesaikan rawatan kakak dan kita celebrate kejayaan kakak dengan keluarga semua" babah jawab, nada babah penuh keriangan.

Satu perkara yang sentiasa bermain difikiran, adalah RAWATAN saya.

Bila ada yang bertanya, "Aimi sihat?", "Macam mana kesihatan?", sejujurnya saya tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan. Percaya atau tidak, sudah hampir 2 tahun saya tidak mengenal erti sihat fizikal. Setiap masa terasa denyutan di kaki apatah lagi setiap kali melangkahkan kaki. Denyutan terasa dari hujung kaki sehingga ke pinggang.

InsyaAllah, buat sahabat-sahabat yang sering marah dengan saya kerana merasa saya degil, saya tidak dengar kata, saya tidak menjaga kesihatan, doakan Aimi ini untuk terus kuat supaya dapat menjalani rawatan di Malaysia. Saya juga menyediakan jadual saya sewaktu di Malaysia,

6 July - Admit to Kem Terendak Hospital, Melaka
7 - 8 July - thorough Medical Check up
9 July - OPERATION (REMOVING TUMOR)
10 - 24 July - Physiotherapy and Chemotherapy

Hampir sebulan saya akan dirawat di hospital dan saya sangat mengharapkan sabahat-sahabat mendoakan saya. Saya belum pasti lagi sama ada akan meng 'update' blog ini.

Penat lelah mama dan babah serta keluarga dalam terus mendoakan dan memberikan sokongan kepada saya di sini sangat-sangat saya hargai.

Buat sahabat-sahabat yang tidak kedekut untuk memberi dan menerima saya seadanya, semoga Allah memberkati dan memudahkan segala urusan kita baik di dunia mahupun akhirat.

Untuk adik-adik terutamanya yang seusrah dengan akak, akak nak minta maaf sangat-sangat atas segala salah silap akak, akak sayang sangat-sangat adik-adik semua(T_T). (Rasa nak angkut je semua pergi Bandung nanti). Hug and kiss~lots of love to my dearest adik-adik,

Badihah
Pemalu tapi nakal sangat (walaupun nakal dengan akak je. Ye ke?)

Nimy
Lemah lembut, sopan tapi kalau buat lawak, mesti ketawa bersepah dibuatnya akak.

Hani
Si comey sangat yang kuat menyakat dan merajuk (:P)

Faizah

Ini adik saya kalau berceloteh, boleh ternganga dengar dia bercerita

Mina
Pendiam dan kuat tersenyum. sangat pemalu dengan akk (tapi akak suka kacau awak)

Aiman
Ini ketua samseng yang solehah. Hihi..aiman peace~(^_-)Y

Mimi
Ite kilak~ (budak ini tak padan comey kecik, tapi kalau menyakat orang, rasa macam nak cubit je dia), dia cikgu bahasa kelantan saya~ngee:)

Afiqah

Fiqah kelakar, suka buat blur~hihi

Huda
Si kuat ketawa (gimme 20 huda)

Mun
Kalau buat lawak muka maintain~memang cumel sangat

Farhana
Sangat berkomitmen dan berkaki lebar, selalu kantoi nangis depan farhana (haish..malu akk)

Ije
Ini dia ratu "dok pehe"..hehe

Untuk adik-adik yang akak tidak sempat describe, jangan marah ye..InsyaAllah akan datang, akak buat lagi.

Pesan 1 : InsyaAllah saya akan pulang ke Malaysia 4 Julai ini dan akan kembali ke sini pada 14 Ogos untuk graduation. InsyaAllah, doakan saya ya~