Ahad, 30 Mei 2010

Kisah: Pemotong rumput

Assalamualaikum wrt wbt,

Syukur ke hadrat Tuhan yang telah memberikan diri ini mencoretkan sesuatu sebagai bekal amal pahala di akhirat kelak. Ameen, insyaAllah.


Ingin saya berkongsi, sebuah cerita dan saya titipkan juga analogi buat renungan bersama.



Kedamaian itu dicari bukan dinanti
Analogi buat renungan:

Pemotong rumput
Saya

"Pakcik, tolong potongkan rumput di kawasan halaman saya, ye. Jangan pangkas pokok bunga saya. Terima kasih pakcik"

Saya menitipkan pesan. 3 jam lagi saya mahu keluar rumah dan malam nanti ada tetamu yang akan berkunjung ke rumah. Jadi, saya berharap keadaan rumah saya akan tertata rapih. 3 jam kemudian,

"Pakcik, kenapa tidak potong rumput-rumput ini lagi???"

"Pakcik malu lah nak........"

"Malu kenapa? Bukankah tugas pakcik dari awal memang potong rumput?"

"Ala....pakcik malu lah..pakcik malu nak potong rumput...Nanti orang kata apa
pulak kalau pakcik potong rumput ini"

------------------------------------------------------------
Setelah sahabat-sahabat semua membaca analogi di atas, ada terdetik tidak rasa macam tidak puas hati dengan jawapan tukang potong rumput tadi?

Malu potong rumput sebab nanti orang mengata dia.

Di sini ada 2 aspek yang ingin saya ketengahkan. Pertama, dari sikap pakcik tadi Kedua, dari sikap orang ramai yang menilai.

1. PEMOTONG RUMPUT, TANGGUNGJAWAB

InsyaAllah. Jika kita melihat situasi ini secara langsung pasti kita geram, marah, mungkin tidak kurang juga yang merasa aneh. Kenapa seorang pemotong rumput harus merasa malu saat dia harus memotong rumput. Bukankah itu tanggungjawab dia?

Seharusnya begitu jugalah respon kita saat ada yang memberi alasan ini,

"Kenapa tidak pakai stokin tangan? Bukankah lengan awak terdedah? Kemudian, tudung awak cuba labuhkan sedikit paras menutupi dada"

"Tak nak
lah. Segan, lagipun saya tidak bersedia lagi. Nanti orang mengata saya. Kata saya 'sok' (berlagak) alim dengan perubahan macam ini"


Kalau kita baca analogi pemotong rumput tadi, tugas dia adalah memotong rumput, mahu atau tidak, itu sudah tanggungjawab dia memotong rumput.

Tidak ada alasan Malas, Malu atau sebagainya kerana itu adalah KEWAJIPANNYA.

Begitu jugalah kondisi kalau kita tidak melaksanakan hukum wajib, misalnya seorang wanita tidak menutup aurat. Alasan seperti Malu, Tidak bersedia, Segan dan pelbagai lagi, itu akan mengundang amarah kepada Tuannya (Allah SWT)

2. Dari sikap orang ramai yang menilai.

Kalau kita tengah berjalan kaki, tiba-tiba kita melihat seorang pemotong rumput, memotong rumput, agak-agak kita akan kata,

"Konon rajinlah tu pemotong rumput??Nak berlagak alimlah tu, sibuk-sibuk potong rumput!"

Pandangan peribadi saya, jika ada yang berkata begini saat melihat pemotong rumput, memotong rumput, saya akan katakan pengkritik tadi, "GILA!!"

Orang potong rumput, laksanakan tugas,

Apa salahnya?

Jika benar salahnya, di manakah letaknya?

Begitulah seharusnya, kita bersikap lebih rasional. Saat kita melihat ada saudara kita yang berubah ke arah lebih baik, ke arah kesempurnaan mengikut syariat Islam, kita raikan. Kita berikan galakan, bukan sindiran.

"Wah, dah insaf ke pakai tudung labuh tutup dada tu?"

"Kau pakai guni ke apa ni? Kenapa besar sangat??"

Orang yang mengkritik orang lain yang sedang melaksanakan tanggungjawab mereka, apakah insan ini masih waras dan mampu berfikiran rasional?

Mungkin sahaja niat kita mahu bergurau senda, bertepuk tampar, bercanda ria dan sebagainya lagi niat-niat mahu berseloroh. Tapi secara sedar atau tidak, kita telah menyindir hukum Tuhan. Tuhan yang menyuruh kita menutup aurat dengan sempurna dan kemudian kita menyindir orang-orang yang sedang menjaga hukum Allah sebaiknya.

Wallahualam, sekadar perkongsian.

Pesan 1: Kalau mahu menutup aurat, tutuplah dengan sebaiknya. Kalau mahu pakai towel mandi keluar jalan-jalan ke shopping mall pun tidak ada salahnya, asalkan towel tadi benar-benar dapat menutup setiap helai rambut, sehingga lah ke paras dada. (Tapi, siapa yang nak pakai towel ke shopping mall eh? Huhu)

Pesan 2: Saya mohon kepada semua sahabat, mari kita saling mengingatkan diri dan menasihatkan yang lain. Itu juga tanggungjawab kita. Orang tidak menerimanya mungkin kerana 2 sebab. 1, mungkin kerana sikap kita yang salah pendekatannya atau yang kedua, hidayah itu milik Tuhan, kita berusaha menyampaikan kebenaran dan keinsafan sahabat/hamba Allah SWT yang lain adalah hak mutlakNya.



Selasa, 25 Mei 2010

Kisah: Tangisan seorang pakcik

Kisah from Deviant Art

Assalamualaikum wrt wbt,

Ahad lalu, 16 Mei 2010. Saya oncall di Emergency Medical Department (EMD)


Saya mahu berkongsi tentang seorang pesakit saya. Sungguh indah pengalaman ini dan saya ingin kongsikan cerita ini bersama semua pembaca.

Jam 7 pagi, saya masuk ke EMD. Saya melaporkan diri dan bertanya doktor senior mana yang memerlukan bantuan saya.

"Dik, itu Dr D. Dia tengah perlukan bantuan dokter muda" kata seorang doktor senior setelah saya bertanya.

"Sip, insyaAllah baik dok" jawab saya sambil menunjukkan ibu jari saya tanda saya siap menjalankan tugas.


"Dok, boleh saya bantu?" tanya saya.

"Boleh dik. Ini pesakit ini, kamu monitor ketat. Setiap 2 jam periksa tanda vital, lihat urin output dan intake dia. Catat semuanya. Kemudian, perhatikan tanda-tanda shock. Pesakit ini Sepsis dengan Acute Kidney Injury. Lagi 1, ada instruksi di profil pesakit ini, jika kamu sudah selesai, telefon saya. Berapa nombor handphone kamu?"

"Baik, insyaAllah dok. Sekejap, dok"

Saya mencari handphone saya.
"Eh, mana pula handphone ini?"

"Ya Allah..........saya bawa charger tapi tidak bawa handphone. Oh, pakah fatalnya tindakan yang telah ku lakukan. Oncall di Emergency tapi tidak bawa handphone. Arghhhh.........." keluh kesah saya sendiri.


"Dok................." sambil tersipu tersengih-sengih malu.

"Ya, berapa nombor handphone kamu?" tanya dokter lagi.

"Saya lupa bawa handphone" jawab saya

"Pandai kamu bercanda, cepat nombor handphone kamu. Kamu oncall tapi tidak bawa handphone. Jangan bohonglah" dokter tadi masih mengingat saya bergurau.

"Betul Dok. Salah saya, saya lupa bawa handphone. Tapi dok, boleh tidak, saya catat nombor handphone doktor, nanti saya telefon sekiranya ada masalah" saya cuba ber'negosiasi'

"Hm..haish..macam mana kamu boleh lupa bawa handphone? Ok, ini nombor handphone saya. 081xxxxxxxxx"

"Ok, baik dok, terima kasih" balas saya masih menghafal nombor handphone dokter tadi.

Lantas, saya minta teman saya mencatatkan nombor telefon dokter tersebut sambil saya me'recall' kembali.

Pesakit tadi, seorang lelaki, umurnya 65 tahun. Ditemani isterinya. Saya lihat pakcik ini lemah sangat.

"Pak, apa yang bapak rasakan sekarang? Bapak sesak nafas? Bapak ada rasa mahu pitam?"

"Tidak dokter"

"Kalau ada rasa kurang enak beritahu saya, ya"

"Baik, dok. Terima kasih"

Kemudian, saya menjalankan tugas memonitor 4 pesakit kritikal lain.

Ada seorang budak lelaki, umur 12 tahun.

"Saya sakit, menggigil dok" keluh anak tadi sambil ditemani orangtuanya.

"Dok, anak saya, kalau pulang rumah sekadar mahu makan, singgah sebentar, minta wang dari saya kalau 'bekal' sudah habis. Waktu lapangnya, banyak dengan kawan-kawan' keluh ibu pesakit ini. Mungkin merasa sangat risau.

"Ha adik, dengar ibu kamu. Lihat siapa yang ada di sini menemani kamu saat kamu susah dan sakit? Orangtua kamu kan? Kamu ingat betul-betul saat ini, kamu hargai orangtua kamu. Ingat, mereka itu sayangkan kamu. Jangan nakal-nakal lagi ya" saya menegur lembut sambil mengusap kepala adik ini.

"Baik, dokter. Terima kasih" kata anak ini. Saya melihat anak ini menggigil. Dia menghidap Dengue Hemorrhagic Fever. Masih di Emergency sehingga keadaan umum stabil, barulah dimasukkan ke ruang rawat inap (ward)


Saya balik lagi ke pesakit, pakcik tadi. Saya menguruskan pakcik tadi dari A - Z.
Saya usung pakcik ini ke ruang Radiologi yang jaraknya dalam 300meter, di mana pakcik ini gemuk!. Bayangkan saya tolak katil pakcik itu. Penat tu! Sangat penat!

Disebabkan keadaan pakcik ini yang agak kritikal, maka saya lebihkan tumpuan kepadanya. Pakcik ini juga mempunyai ulcers (stomatitis/sariawan) di mulutnya. Dia tidak mampu bercakap kerana sakit yang bukan kepalang sehingga mampu menitiskan airmata.

Pernah tiba-tiba pakcik ini menangis sambil menunjukkan bagian perut bawah.

Saya tekan, bapak tadi mengerang menangis.

Saya lihat sekeliling. Ya Allah, tadinya kateter (urin kateter) di ikat supaya urinary bladder nya penuh untuk pemeriksaan USG abdomen. Kemudian tidak dibuka lagi. Mungkin kerana menahan sakitnya, pakcik tadi menangis.

Saya sangat-sangat kasihan dengan pakcik ini. Ya Allah, kesalahan apa yang saya buat. Lupa tanggalkan ikatan kateter? Huh, kesalahan yang tidak ada dalam kamus seorang dokter mungkin.

Saya pujuk pakcik ini. Saya tenangkan keadaannya. Lalu menjalankan tugas observasi lagi.


Dari pagi, saya mengobservasi, menjaga intake dan output fluids and nutritions, keadaan semasa dan melihat setiap aspek secara holistik.


Tiba-tiba, pakcik tadi memanggil saya dengan memberi isyarat tangan melambai ke arah saya. Saya yang sewaktu itu sedang memonitor tanda vital dan sebagainya berjalan menuju ke pakcik tadi.
"Ya pak, kenapa?"
Dia menunjukkan 'sign' mahu menulis.

"Bapak mahu tulis sesuatu?"

Pakcik tadi hanya mengangguk.
Saya mengeluarkan kertas dan pen di poket, lalu saya menghulurkan kepada pakcik ini.

Dia menulis. "Dokter orang Melayu?"

Saya menjawab sambil tersenyum, "Ya, saya pak."

"Dokter Islam?" Saya masih tersenyum dan menganggukkan kepala.

Kemudian pakcik tadi mengangkat kedua tangannya seperti berdoa, lalu


"Ya Allah, Kau sayangilah dokter ini, Ya Allah. Kau kurniakanlah dia sebanyak-banyak nikmat di dunia dan sebanyak-banyaknya kesenangan di akhirat. Kau jadikanlah dia manusia yang bermanfaat buat semua. Kau berkatilah hidup dia" sambil saya lihat pakcik tadi bersusah payah berdoa sedang pakcik ini bergenang airmata, mungkin kerana menahan sakit. Pakcik ini tidak menagih doa sebaliknya dia yang mendoakan. Mulia sungguh akhlaqnya.

"Ameen, pak. Ameen. Semoga Allah redha dengan bapak dan keluarga" bergenang airmata saya melihat wajah pakcik tadi

Sebelum pulang dari
oncall, saya sempat ke pakcik tadi dan meminta diri untuk pulang.

"Anak, bapak minta maaf banyak-banyak menyusahkan kamu. Maafkan bapak" bergenang pakcik ini

"Ya Allah pak. Jangan cakap macam itu. Tugas saya, pak. Saya doakan bapak cepat sembuh dan dapat bersama dengan keluarga lagi. Saya minta diri dulu ya pak" saya bersalaman dengan isterinya.

Ya Allah, perasaan itu adalah suatu nikmat yang tidak dapat digambarkan. Membantu insan yang memerlukan dan dalam masa sama, saya enjoy dengan apa yang saya lakukan.

Sebelum pulang juga, saya sempat menuntut ilmu sebanyak-banyak dari dokter yang bertugas. Saya mengekorinya kemana sahaja. Haha. Macam apa je kalau ingat balik. Kemudian, mulalah mulut saya macam bertih jagung bertanya apa saja yang dilakukan dokter dan apa-apa yang saya tidak tahu.

Dokter senior itu sempat ketawa sambil berkata,

"Aimi, kamu ini sangat bersemangat, ya"


Semoga Allah redha dengan apa yang saya lakukan dan bersama saya setiap detik waktu berlalu. Ameen.

Pesan 1: Semakin bersemangat belajar. Ya Allah, Kau tetapkanlah hatiku ikhlas dalam mencari ilmuMu.

Sabtu, 22 Mei 2010

Salah siapa, tanggungjawab kita?

Assalamualaikum wrt wbt,

Alhamdulillah. Pagi ini saya diizinkan Allah SWT untuk men'update' blog seperti biasa.

Tidak mahu menjadikan alasan sibuk sebagai penghambat hobi penulisan saya, namun hakikatnya saya harus mengatakan Ya, di dunia perubatan dan sebagai calon dokter,

Dokter spesialis, "Sebagai dokter, kita tidak punya waktu lapang untuk bersantai-santai. Kita harus manfaatkan setiap masa kerana kita berkerja dengan manusia dan untuk manusia"

Benar, saya setuju apa yang dikatakan oleh dokter tersebut.

Pagi ini, saya menonton televisyen sambil bersarapan pagi. Saya melihat iklan series CSI (Crime Scene Ivestigation). Satu rancangan yang sangat diminati oleh adik bongsu saya.

Saya lihat kes bunuh yang tidak pernah berhenti. Saban hari, polis-polis menyiasat. Bertungkus-lumus menyelesaikan siapa dalang disebalik semua rencana.

Kemudian, saya buka akhbar online dan saya akan petik beberapa tajuk artikel yang sangat mengusik hati saya.
Dalam tuduhan pertama, Rasidi, seorang penganggur, dituduh membunuh adik perempuannya Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119, Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara jam 7 dan 11 pagi 5 Januari lalu.

Dia turut menghadapi tiga lagi pertuduhan iaitu membunuh ayahnya, Ismail Awang, 76; nenek, Sufiah Katas, 80, dan datuk Atan Daud, 87, di rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan pada tarikh dan tempoh waktu yang sama.
Laporan kesihatan berkenaan dikemukakan kepada mahkamah oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin. Rasidi yang diwakili peguam Ardelliza Izmaryanti Shafie kelihatan tenang mendengar keputusan itu dan mengangguk faham apabila ditanya jurubahasa mahkamah.
Allahukbar. Astaghfirullah. Apa sudah jadi?

Kemudian, tajuk kedua,

SEREMBAN: Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap seorang guru penolong kanan atas tuduhan merangsang seorang muridnya untuk melakukan kelucahan melampau, tiga tahun lalu.

Mohd Harith Mohd Nor, 42, didapati bersalah merangsang seorang murid lelaki yang ketika itu berusia 11 tahun untuk melakukan kelucahan melampau di pejabatnya di Sekolah Rendah Kebangsaan Wawasan Seremban 2 antara jam 3 petang hingga 4 petang pada akhir Mac 2007.
Ya Allah. Allah. Lagi menyesakkan dada.

Mungkin akan ada yang berkata,

"Kenapa pergi buka news yang macam itu? Cubalah buka tentang artikel masak-memasak, tentang artis, tentang fesyen, tentang bola. Kau jumpalah hal-hal yang menyenangkan. Tutup mata kalau lihat artikel-artikel bunuh, rogol dan berbagai lagi kes-kes kriminal"

Bagi saya, itu bukanlah suatu solusi di mana saya akan berasa tenang dan aman. Tenang dan aman adalah apabila kita mengetahui masalah, pokok permasalahan yang melanda dan juga solusinya. Solusi mungkin buat keamanan diri dan juga lingkungan kita. Jika kita tidak mengetahui hal-hal kriminal terkini, kita merasa 'tenang' kerana kita tidak tahu hal yang sebenar.

Saya pernah mendengar ceramah agama seorang tokoh hebat Indonesia,

Kita jangan jadi seperti kambing. Kambing yang buat korban/sembelih sewaktu Hari Raya Korban. Kambing 1 disembalih, kambing 2 yang disebelahnya boleh makan dengan tenang, buat 'kerja' dengan kambing 3. Walhal giliran kambing 2 untuk disembalih adalah berikutnya. Dia jadi LEKA dan TERPESONA dengan dunianya sendiri. Apabila kita melihat suatu bencana, kematian yang jadi di dunia ini, bukan kita lari dari masalah atau bersimpati sahaja dengan mangsa-mangsa keadaan. Sebaliknya, kita haruslah membuka lebih lebar akal kita, bahawa ini adalah ibrah yang harus ku ambil dan menginsafi diri. Bukan seperti kambing, jiran sebelah meninggal, kita hanya bersedih dan bersimpati dengan keluarga arwah. Mungkin sahaja 'next adalah turn' kita
Saya melihat kes kriminal yang terjadi salah satunya adalah kerana KEZALIMAN

Zalim adalah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Seorang bapa merogol anaknya sendiri. Bukankah tugas bapa menjaga keamanan anak, mendidik dan membesarkan sehingga menjadi orang yang berguna?

Seorang sahabat membunuh sahabatnya sendiri gara-gara cemburu. Bukankah sebagai manusia, kita diminta saling melindungi sahabat, menjaga kebajikan?

Seorang ibu membuang anaknya. Bukankah ibu itu wanita mulia yang seharusnya disanjung kerana sifat kasih dan sayangnya, di manakah hilangnya rasa itu semua?

Pada pandangan peribadi saya, apabila kita tidak melakukan sesuatu sesuai tanggungjawab kita, kita akan cenderung mengkhianati amanah ini. Apabila amanah dikhianati, muncullah jenayah-jenayah yang kita lihat sekarang ini.

Misalnya,

Seorang pelajar perubatan (kerana saya pelajar perubatan) seharusnya belajar tanpa batas kerana ilmu itu tidak terbatas. Namun, kerana mentaliti dan sikap acuh tidak acuh dalam belajar, maka lahirlah seorang doktor yang cetek ilmunya, gelabah skillnya, serabut atau plastik penampilannya.

Saban hari dia mengubati pesakit. Datang kepada dia pesakit yang punya riwayat alergi antibiotik. Namun, kerana mahu cepat-cepat pulang kerja, dia melewatkan soalan-soalan anamnesis tentang alergi kepada pesakitnya.

Pesakit tadi pulang dan makan ubat tanpa ada 'precaution dari doktor. Setelah makan, dia sesak nafas hebat kerana obstruksi jalan nafas, kemudian wajahnya bengkak-bengkak. Orangtua nya membawa anaknya terus ke hospital. Disebabkan dalam keadaan gopoh, mereka tertimpa kecelakaan lalu lintas di jalan utama menuju hospital sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Kemudian, kita buka televisyen, lalu liputan langsung tentang kejadian 3 beranak ini sedang bersiaran langsung, jawab kita dalam hati,

Bodohnya orangtua. Cubalah berhati-hati. Ini tidak, gopoh sangat. Kan dah accident.
Kenapa boleh jadi situasi di atas? Tepuk dada tanya iman dan akal.

Saya tidak meletakkan kes jenayah itu adalah salah setiap manusia, tapi apa yang saya cuba katakan adalah, kes jenayah yang berlaku saat ini adalah tanggungjawab bersama.

Wallahualam.

Semoga Allah memberkati kalian.

Rabu, 19 Mei 2010

Saya tidak kuat


When you believe from Deviant Art

Assalamualaikum wrt wbt,

Alhamdulillah.

Kali ini insyaAllah, saya ingin bercerita tentang pengalaman oncall di Internal Medicine Department. Alhamdulillah, hari Isnin yang lalu (17/5/2010) saya ditugaskan menjaga Infectious Ward.

Saya ditugaskan sendirian dan pesakit dibawah tanggungjawab saya adalah 25 orang semuanya.

Ramai? Ya, sangat. Saya jaga adik saya 4 orang sahaja macam ramainya menjaga adik-adik jiran juga inikan pula 25 orang. Tidak mengapalah, lalui saja bisik hati saya.

Disebabkan kelompok besar saya hanya ada 40 orang sahaja, maka setiap orang akan dikerahkan tenaga dan otaknya semaksimal dan seoptimum mungkin.

Selalunya ada 70 orang sekelompok besar (2 angkatan/batch). Namun sekarang, seniors sudah Magang (ditugaskan ke desa-desa dan hospital daerah) manakala juniors belum masuk Clinical Year lagi.


Jam 4 petang, saya sudah mulai follow up pesakit. Lengkap dengan face mask, handgloves, saya mengambil fail follow up pesakit lalu mulai pemeriksaan. Dari pemeriksaan Vital signs (blood pressure, respiratory rate, heart rate and body temperature) sehingga lah ke pemeriksaan lokal tempat keluhan pesakit.

Selesai 1 bilik (1 bilik = 8 orang dan total 3 bilik = 24 orang) saya melihat jam. Jam 6 petang. Ya Allah, sudah Maghrib. Saya masih belum selesai 2 bilik lagi. Namun, saya meminta izin dari doktor senior untuk solat Maghrib.

Usai solat Maghrib, saya kembali ke wad memandangkan baki pesakit yang harus di follow up masih banyak lagi. Saya cuma sempat makan roti sekeping dan secawan kopi, alhamdulillah. Cukup sebagai pengalas perut.

Saya menyambung lagi follow pesakit sehingga selesai dan saya melihat jam 9.30 malam.
Ya Allah, penatnya Allah SWT sahaja yang tahu. Namun begitu, saya puas. Puas kerana saya tidak mahu menjadi doktor robot. Datang kepada pesakit, membawa alat-alat medik lalu melakukan pemeriksaan rutin. Saya mevariasikan dengan berborak dan mendengar keluhan-keluhan pesakit. Mereka adalah manusia, mereka bukan objek perubatan. Mereka punya hati dan perasaan, pasti mereka perlukan perhatian. Cuma setiap dari dokter harus bijak mengendalikan keadaan emosi pesakit.

Ada seorang pesakit saya, lelaki. Umur 35 tahun.

"Assalamualaikum Pak X, apa khabar? Bagaimana hari ini? Ada keluhan?"
Saya tersenyum memandang pesakit saya. Saya melihat dia kelelahan dan sesak nafas. Namun begitu, saya tidak mahu mengekspresikan rasa simpati kerana saya yakin, dia pasti kuat atau tidak berusaha untuk kuat.

"Dokter, saya sudah penat!!" tiba-tiba pesakit saya bersuara.


"Penat? Penat yang macam mana itu?" tanya saya lagi.

Sebenarnya saya agak terkejut kerana saya sedang melakukan pemeriksaan fisik. Cuba bayangkan suara yang kuat timbul jika tengah pakai stetoskop. Kalau tidak tahu, cuba sekarang. Pasti anda terperanjat :)

"Saya merasa bumi pun tidak mahu menerima saya"


"Boleh bapak terangkan lagi, saya tidak faham maksudnya apa"


"Saya semakin hari semakin sesak. Saya tidak boleh bernafas tanpa memakai tube oksigen (non re-breathing facial mask) ini. Saya penat dokter! Saya penat! Saya mahu hidup seperti orang lain. Dunia ini tidak adil" bentak pakcik ini lahir dari hatinya.

Saya melihat ada airmata yang bergenang di mata pakcik ini. Saya faham, pakcik ini pasti merasa penat dengan ujian, mungkin juga dia sudah lupa apa itu sihat kerana sudah lama pakcik ini menderita penyakit paru dan harus terus menggunakan bantuan oksigen.

"Pak, bapak percaya Tuhan?"


"Percaya"


"Bapak rasa penyakit ini dari siapa?"

"Dari Tuhan"

"Bapak rasa kenapa Tuhan berikan bapak ujian ini?"

"......"
Tiada jawapan dari pakcik tadi.


"Pak, setiap yang Tuhan turunkan kepada hambaNya itu adalah hak dia. Jika bapak meminjamkan barang kepada seseorang dan satu hari, bapak iseng-iseng (saja-saja) mahu mengambil balik barang yang dipinjamkan, apakah salah tindakan bapak?"

Tidak

Begitulah juga Tuhan, pak. Tuhan itu memiliki diri kita. Tuhan itu memiliki alam semesta. Dia adalah pemilik di dunia, di akhirat. Dia lah Pemerintah Agung. Jika Dia meminta lagi apa yang diberi pinjam, apakah layak seorang hamba mempersoalkannya?

Tapi, bapak sudah penat dokter

Tuhan pasti sayang bapak. Dia tidak menguji saya kerana Dia tahu saya tidak kuat untuk hadapi ujian seperti bapak. Pak, orang yang terlantar di atas kasur (katil) dan bersabar dengan ujian kesihatan itu bukanlah orang yang lemah, pak. Sebaliknya, orang yang berbaring, bersabar dan redha dengan ujian itulah lebih kuat dari insan yang berdiri teguh di sebelah bapak (sambil saya menunding jari ke diri saya sendiri). Semoga Allah redha dengan bapak.

Pakcik tadi diam dan terus-menerus menangis. Semakin lama semakin kuat tangisannya.

Pak, saya minta maaf jika ada kata saya yang mengguris hati bapak, cuma kadang-kala kita terlupa siapa diri kita dan mempersoalkan kekuasaan siapa Dia yang berkuasa ke atas kita.


Tidak mengapa dokter. Terima kasih banyak, dokter. Semoga Allah merahmati dokter.

Ameen. Ameen. Ameen. Semoga bapak juga dikurniakan nikmat kesihatan kembali, ya. Pak, saya minta diri dulu. Saya harus lihat pasien (pesakit) yang lain.


Baik Dok. Terima kasih banyak dokter.

Saya meninggalkan pesakit dengan rasa sebak.


Ya Allah, Kau kurniakan aku nikmat melihat sendiri nikmat dan ujian di depan mataku.

Ya Allah, Kau kurniakan aku nikmat mendengar sendiri nikmat dan ujian di telingaku

Ya Allah, Kau kurniakan aku nikmat berbicara sendiri nikmat dan ujian dengan mulutku.

Allah, Allah, Allah, Kau tetapkanlah aku di jalan yang Engkau redhai. Allah. Allah. Allah.

Kepenatan yang dirasakan menyebabkan saya nekad untuk tidur. Saya menyiapkan report follow up malam secepatnya. Waktu itu, saya benar-benar mahukan mancis untuk meregangkan kedua kelopak mata saya.

Saya meninggalkan pesan kepada seorang jururawat,


"Ibu, jika ada pesakit baru atau ada kes-kes emergency dari pesakit, tolong kejutkan saya"


Waktu itu jam 11 malam. Tahu saya tidur di mana? Saya tidur di lantai sebelah meja dokter. Saya pening kepala jika tidur duduk.

Jadi, saya nekad untuk tidur dilantai kerana saya harus ada dekat dengan pesakit supaya saya mampu bertindak cepat jika ada apa-apa berlaku.


Jam 12 tengah malam, saya dikejutkan perawat, pesakit baru dihantar masuk.

Ya Allah, rasa macam mahu patah tulang belakang. Saya mencuci muka, berkumur-kumur lalu bersiap ke pesakit baru. Setelah melakukan pemeriksaan dan tindakan yang berpatutan, saya lalu menunaikan solat Isya.

Jam 1 pagi, saya sekali lagi follow up pesakit-pesakit saya (untuk report follow up pagi). Selesai jam 4.00 pagi. Saya bersiap untuk solat Subuh dan menulis report follow up. Mata mengantuk, perut berkeroncong, badan pula sakit-sakit kerana tidur di lantai.

Namun begitu, saya bahagia. Saya senang dengan apa yang saya lakukan. Saya lakukan ini semua kerana saya yakin, saya mampu mengumpul pahala jika saya ikhlaskan diri. InsyaAllah.

Semoga Allah membalas semuanya dengan keredhaanNya. Ameen.

Pesan 1: Mulai hari ini, mari sama-sama kita menjadi insan yang tabah dan saling membantu sesama kita untuk mengejar redhaNya. Ameen:)

Ahad, 16 Mei 2010

Suami halang belajar?

Assalamualaikum wrt wbt,

Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Minggu ini dan 8 minggu ke depan saya akan berada di Internal Medicine Department.

InsyaAllah, doakan saya dan sahabat-sahabat saya terus kuat mengumpul ilmu sebanyak-banyaknya ya.

Ini adalah perbualan dokter dan kami sekelompok saat diskusi penyakit pesakit masing-masing di subbagian Rheumatology Department.

Doktor
Saya
Kami(10 orang Doktor Muda)

"Kamu dapat kes penyakit apa?"

"Gouty arthritis"
"SLE"
"Osteoarthritis"

"Kenapa pesakit kamu dirawat?"

"Er....er...er..."


"Kamu jelaskan perjalanan pesakit kamu?"

"Pesakit saya wanita, usia 50 tahun datang dengan keluhan nyeri di ibu jari kaki dan kemudian merasakan nyeri yang mencucuk di seluruh daerah Metatarsal 1,2,3,4 dan 5. MTP nya terlihat merah, panas dan bengkak serta unilateral"


"Boleh tidak pesakit Gouty Arthritis datang kepada kamu dengan gejala klinis tidak nyeri?"

"Boleh dokter. Gouty Artritis mempunyai 3 fasa, fasa pertama 'Serangan akut Gout', kedua fasa interritikal dan fasa ketiga adalah fasa kronis tofus'. Pada fasa kedua, pesakit boleh datang ke dokter dengan tanpa gejala manakala 2 fasa lain, pesakit akan mengeluhkan sakit di mana sakit pada serangan akut lebih kuat dari fasa kronis"


"Kamu semua, setuju tidak apa yang sahabat kamu cakapkan ini?

Semua mengangguk.

Kemudian disambung penerangan penyakit pesakit sahabat lain. Masing-masing memainkan peranan menerangkan jalur penyakit pesakit mereka dengan baik. Waktu ini, setiap dokter muda dipertanggungjawabkan setiap diagnosis, tindakan medik kepada pesakit. Setiap yang dilakukan harus ada alasan yang kukuh.

Tiba-tiba pada salah seorang sahabat saya, dia tidak dapat menjawab soalan dokter spesialis tadi. Bagi saya, soalannya tingkat tinggi dan kami baru berada di bahagian itu 2 hari. Hari pertama briefing dari pucuk pimpinan dokter-dokter spesialis mewakili Internal Medicine Department sehingga waktu tengahari. Di petangnya pula baru kami berkesempatan ke Poliklinik.

Pagi Selasa, kami follow pesakit. Saya dan sahabat baik saya, berjanji untuk menghabiskan baca sekurang-kurangnya 1 penyakit 1 malam. Jadi, saya memilih penyakit Gouty Arthritis. Alhamdulillah, untung kes penyakit pesakit GA. Kalau lain dari itu mungkin saya hanya melakukan 'miming' dalam melaporkan report pagi.

Tidak hairanlah ramai di antara kami yang masih tidak jelas dengan perjalanan pesakitnya. Kami masih sangat-sangat baru di bagian itu dan kami mengenali pesakit dan penyakitnya pun kurang dari 12 jam.

Sejujurnya, kami dimarahi dan ditegur dengan sikap sesetengah dokter muda yang mengambil enteng hal ini iaitu IMPIAN dan BELAJAR. Walaupun panas telinga mendengar sindirannya tapi saya suka dengan setiap kata-kata dokter itu. Ada kebenaran di sebalik kepahitan. Ayuh, sambung baca lagi.

"Siapa di sini sudah bernikah dan mempunyai keluarga?"

Kami semua diam dan menggelengkan kepala

"Siapa di sini yang tinggal dengan keluarga?"

Kami masih diam dan tetap menggelengkan kepala.

"Jadi, tidak ada alasan kenapa kamu tidak boleh dan tidak mahu belajar kan? Siapa yang halang kamu dari buka buku untuk belajar?Siapa?Adik-adik kamu atau anak-anak kamu? atau kamu punya tanggungjawab terhadap suami/isteri kamu?"

Kami diam.

"Kalian pasti menyimpan impian sewaktu masuk ke Internal Medicine Department (IMD) ini kan?"

"Kamu apa akan jadi jika suatu impian itu tidak dilaksanakan sesuai dengan perancangan dan aturannya?"

Sambil dokter itu menuding jari ke arah saya,

"Impian itu sia-sia belaka, dok"

"Ya, benar. Kalian mahu sesuatu yang kalian tidak mahu bertindak mengambilnya. Jika itu, kalian berbohong dengan orang lain"

Alhamdulillah, saya terkesan dengan nasihat dokter itu dan dalam masa sama saya merasa lega kerana saya mengambil keputusan untuk membaca hanya 1 kes per malam. Alhamdulillah. Alhamdulilllah. Alhamdulillah.

Betul sangat apa yang dikatakan dokter spesialis itu.

Seperti kita mengungkapkan dengan lantang,

"Aku mahu menjadi ahli syurgaMu Ya Allah"

Namun begitu impian dan cita-cita itu pasti terbungkus rapi dan terkubur sekiranya kita tidak bertindak sesuai jalur dan aturannya.

Analogi lain,

Kita lapar, kita mahu makan tapi kita malas bergerak. Sampai mati, hidup balik, mati lagi, hidup lagi kita akan tetap lapar kerana kita malas mencari makanan. Apatah lagi jika ada yang menyimpan impian mahu makan yang sedap-sedao di tempat yang mewah. Harapan kerana untuk makan, kita harus mencarinya dan lebih mewah makanan itu lebih besar biaya dan usahanya.

Pesan 1: Semoga kita melaksanakan impian kita sejujurnya seperti apa yang kita bicarakan sehari-hari. Jika tiada yang melihat apa yang kita lakukan tapi Allah SWT Maha Menyaksikan dan Mengetahui.

Selasa, 11 Mei 2010

Pekerja yang menempah maut

Assalamualaikum wrt wbt.

Alhamdulillah, ini hari kedua saya di Internal Medicine Department.

What should I say about my rotation in Internal Medicine Department?

I cried. Yes, I did it again.

Thanks and a great hug and kiss for my mama and dad. Alhamdulillah.

--------------------------------------------------------------------------------

Baiklah, saya tidak mahu bercerita panjang tentang Internal Department. InsyaAllah, akan datang saya akan berkongsi pengalaman ini. InsyaAllah

Hari ini, setelah mendapat nasihat, kata-kata semangat dari mama dan babah, serta dari Prof Dr Rully (my supervisor), saya pulang dengan harapan. Ya, saya pulang ke kamar saya dengan harapan dan rencana.

Saya membuka radio MQ.fm seperti biasa. Sebuah radio Islami Indonesia.

Saya sempat mendengar analogi yang benar-benar terkesan dalam diri saya. Analogi ini diambil dari sebuah buku. Saya tidak sempat mendengar karya siapa. InsyaAllah, jika saya tahu, saya akan maklumkan kemudian. Jadi, sekarang saya ingin berkongsi analogi ini.

Seorang pekerja, diberikan arahan oleh bos/tuannya.

Tuan
Pekerja

Wahai pekerjaku, masuk ke dalam ruang pejabatku. Bacalah arahan apa yang perlu kau lakukan di dalam buku di atas mejaku. Setelah 4 jam, aku akan pertanggungjawabkan apa yang telah kau lakukan.

Baik tuan.

Pekerja itu masuk ke dalam ruang pejabat tuannya. Di dalam ruang pejabat itu tersedia fasilitas yang luar biasa.

Ada buah-buahan segar di atas meja
Ada makanan-makanan yang lazat terhidang
Ada minuman mahal dan menyelerekan
Ada TV plasma (letak berapa inci yang kalian suka)
Ada deretan CD terkini, menarik dan belum ditonton
Ada penghawa dingin yang benar-benar menenangkan
Ada kerusi yang empuk, enak diduduk apatah lagi tidur.

Ya, pekerja itu khayal. Asyik makan, minum, menonton CD. Dia lupa, dia hanya ada 4 jam untuk menyelesaikan tugas yang telah tertulis di buku di atas meja tuannya.

Selesai 4 jam, dia baru teringat. Dia belum membuat apa-apa. Loceng pun berdering.

Apakah kau sudah mengemas ruang pejabat?

Belum, aku tidak tahu jika tuan menyuruh itu

Apakah kau sudah mengemas kini barang dan dokumen-dokumen.

Belum, aku tidak tahu jika tuan menyuruh itu.

Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar.

Cuba bayangkan.

Tuan itu adalah Allah SWT

Pekerja itu adalah kita, hamba, manusia.

Allah SWT telah menyuruh kita untuk 'mengemas' amal kita, beribadah. Allah perintahkannya melalui Al-Quran yang dianalogikan di 'buku di atas meja tuan'.

Selama kehidupan kita, apa yang telah kita perlakukan?

Apakah sesuai arahan Tuan Allah SWT kita, atau kita terlena dengan 1001 nikmat sementara dunia seperti fasilitas yang tersedia di dalam pejabat tadi?

Dunia ini terlalu banyak perkara yang mampu melalaikan. Jika dilihat dari analogi di atas, terlalu banyak kenikmatan yang mampu mengalihkan tujuan dan fokus sebenar pekerja itu masuk ke pejabat tuannya.

Pejabat tadi milik tuan, nikmat dan fasilitas tadi milik tuan. Kita sebagai pekerja seharusnya masuk ke ruang tuan kita dengan tujuan melaksanakan tugas.

Namun begitu, cuba bayangkan berapa ramai pekerja-pekerja jenis tidak sedar diri itu di dunia ini sekarang. Mungkinkah kita sebagai salah seorang daripadanya? Na'udzhubillah.

Kita sebagai manusia, kita telah ada 'list of works to do'. Kalau kita mahu tahu apakah tugas kita itu, kita HARUS BUKA BUKU Allah SWT. Buku yang disuruh Allah SWT, bukan buku apa yang kita fikir kita suka baca.
Apabila kita sudah buka dan baca, nah baru kita tahu tugas kita.

Jika mahu tahu, kita harus buka Al-Quran untuk memahami dan seterusnya melaksanakan. Selain melaksanakan sesuai tugasan yang disuruh, kita juga harus menghitung-hitung waktu kerana mungkin saja masa kita buru-buru habis sehingga kita gagal melunaskan tugasan.

Cuba tadi kita baca analogi di atas,

Tuan tadi bertanya

Apakah kau sudah mengemas ruang pejabat?

Dan jawapan yang diberikan pekerjanya adalah,


Belum, aku tidak tahu jika tuan menyuruh itu

Kalau bahasa mudahnya, pekerja tadi 'menempah maut' dengan menjawab begitu di depan tuannya kerana tidak melaksanakan apa yang sesungguhnya diperintahkan.

Tindakan bos?

Mungkin diberi amaran, atau denda, mungkin juga extra time of work atau mungkin juga dipecat.

Kalau Allah SWT?

Waktu 'di soal-siasat' mungkin pilihannya 2, syurga atau neraka. Tepuk dada tanya Iman yang manakah tempat yang sesuai untuk pekerja seperti di atas.

Analogi tadi ada menyebut masa yang diperuntukkan adalah 4 jam. Begitulah juga masa kehidupan kita. Setiap orang pasti ada 'limit' waktu kehidupan. Cuba bayangkan, jika selesai waktu 4 jam, kita tidak tahu apa yang kita harus lakukan dan tidak ada peluang lagi untuk kita buka buku dan bertindak. Astaghfirullah.

Wallahualam. Sekadar perkongsian untuk diri dan semua.

Ahad, 9 Mei 2010

Enjin Agama

Assalamualaikum wrt wbt,

Alhamdulillah. Hari ini mungkin hari minggu terakhir dapat saya bersantai-santai. Mulai minggu depan, saya akan memasuki Internal Medicine Department. Jadual oncall 2 kali seminggu.

Saya ingin berkongsi sesuatu dengan sahabat-sahabat semua. Semoga bermanfaat.

Katalah kita ada kereta, kita sedang memandu menuju ke satu destinasi. Jika tiada masalah, insyaAllah, kita akan sampai tepat seperti yang dijangkakan.

Namun begitu, tanpa kita jangkakan, tiba-tiba, kereta kita rosak. Enjin kereta buat masalah, kereta habis berasap.

Sebelum keluar tadi, kita tidak periksa enjin, kita tidak menjaga maintenance engine. Kita tidak pernah menghantar service even once. Salah kita sendiri kerana pada saat kritikal kita memerlukan komitmen kenderaan tapi kenderaan pula buat hal kerena kita menganggap 'sepele' hal menjaga maintenance enjin kereta.

Kemudian, kita mahu menggunakan handphone, kita mahu menelefon mana-mana bengkel terdekat yang kita ketahui atau mungkin sahabat-sahabat dekat.

Ternyata, handphone pula buat hal. Bateri low. Kita tidak dapat menghubungi sesiapa.

Di saat kita sendirian, kita pasti merenung, andai enjin kereta dan bateri handphone tiada masalah, pasti perjalanan kita lancar-lancar sahaja.

Kalau dibayangkan betapa sakit jiwa raga kita jika kita menghadapi situasi tersebut. Memang kita sabar dan mungkin kita tenang tapi mustahil tidak ada walau secalit rasa yang mengusik hati kita.

Percaya atau tidak sahabat-sahabat semua, kita golongan muda inilah mampu diibaratkan sebagai Enjin Agama dan kitalah Bateri Ukhuwwah.

Untuk sebuah kereta berfungsi dengan baik, enjin harus baik. Kalau mahu enjin baik, kompenen enjin kena baik. Kalau mahu komponen baik, setiap masa harus dijaga kalau pun tidak harus berkala dengan istiqamah.

Kita bayangkan jika kita adalah komponen yang rosak, maka seluruh enjin tidak akan dapat berfungsi kerana sebuah enjin dapat berfungsi dengan sempurna jika setiap komponennya juga harus dalam keadaan baik.

Cuba bayangkan keadaan agama kita di masa depan dengan komponen-komponen rapuh dan rosak ini.

Komponen yang lemah dengan ujian.

Komponen yang goyah dengan nafsu.

Komponen yang asyik gagal atau mempunyai pencapaian akademik yang ala kadar.

Komponen yang melayani orangtua seala kadar yang mungkin.

Komponen yang hanyut dengan Makanan, Pakaian, Hiburan dunia.

Agak-agak bagaimana perjalanan kereta agama ya jika komponen-komponennya rapuh begini?

Astaghfirullah.

Namun begitu, ada seperkara yang kita mungkin terlepas pandang.

Sekiranya kita melihat sahabat kita, saudara kita, hanyut dengan nafsu dan ujian dunia, seharusnya kita yang melihat, mendengar sama-sama membantu sahabat ini. Kita dilahirkan bukan untuk menghukum tetapi saling mengingatkan seperti yang dinyatakan Allah SWT di dalam Surah Al-Asr: 2 - 3

" Sungguh, manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran"

Kenapa saya nyatakan harus membantu?

Ini kerana kita tidak akan dapat menggerakkan sebuah kereta hanya dengan 1 komponen, kita perlukan sekumpulan komponen yang dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai enjin penggerak.

Jadi apabila melihat sahabat 'jatuh', mari kita sama-sama mengangkatnya.

Cuba bayangkan, kawan kita jatuh di dalam lubang yang 'dalam' dan sulit untuk dia keluar sendiri. Dia perlukan bantuan. Kawan ini kita kenal, kita tahu siapa, kita pernah berbual-bual bersama.

Tapi kita berdiri di sebelahnya, melihat. Hanya membantu dia dengan memberikan pandangan,

"Nah, kau sudah jauh tersesat, jauh ke dalam kau terjatuh"

Bukan itu yang seorang sahabat perlukan. Dia perlukan 'tanganmu'. Dia perlukan pertolonganmu.

Hulurkan bantuan kepada dia kerana kau sendiri belum pasti apakah kau akan selamat esok hari atau mungkin kau akan jatuh di lubang yang sama.

Astaghfirullah.

Mari sahabat-sahabat, kita menjaga setiap nikmat yang telah diberikan kepada Allah SWT kepada kita.

Kita sebagai generasi muda, generasi penggerak, generasi perubahan. Kitalah yang mencorakkan ke arah mana perjuangan dunia harus diarahkan.

Jika kita enjin agama sudah lemah, apakah mungkin kerata Islam ini akan menyinar?

Apakah mungkin sampai mesej kita seandainya enjinnya kecundang di tengah jalan?

Na'udzhubillah. Gandingkan bahu, mantapkan ukhuwwah. Sama-sama kita menjadi enjin yang bersiap sedia setiap masa. Mantap dari semua aspek. InsyaAllah.

Semoga Allah meredhai semua yang ikhlas keranaNya.

Sabtu, 8 Mei 2010

Killer Examiner. What will you do?

Assalamualaikum wrt wbt,

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Allah masih memberikan saya peluang untuk beribadah sehingga saat ini. Usia yang hampir menjejak seperempat abad. Alhamdulillah Ya Allah.

Ada sesuatu hikmah dari pengalaman yang ingin saya kongsikan bersama sahabat dan saudara semua.

Semasa di Anestesi dahulu, saya mendapat tahu penguji saya Dr. M.

Ramai kata begini,

"Kau dapat dia jadi penguji SOCA Anesthesiology Department? Dia bagi paling tinggi pun 67 (markah lulus adalah 68)"

"He is unpredictable. He will ask something that is out of our knowledge"

"You just pray He'll sick on the day of your examination otherwise you will get red colour marks"

Semua kata-kata itu saya dengar seawal minggu pertama saya di Anestesi. Saya agak kecewa. Mana tidaknya, nilai SOCA adalah 25%. Nampak sedikit tapi jika kurang 1 markah pun, itu sangat mempengaruhi nilai total.

Namun begitu, saya tekad. Saya menegur diri saya,

"Saya belajar. Saya akan terus belajar. Saya ingin tahu bukan kerana dokter X atau mana-mana manusia. Saya belajar kerana ingin saya belajar. Saya belajar kerana saya tidak mahu mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas bahu saya"

Alhamdulillah, usaha berlipatkali ganda. Saya membaca buku Anesthesiology berulang-ulang, sehinggalah menjelang ujian saya selesai membaca buku teks. Saya hafal semuanya. Alhamdulilllah.

Saya nekad dalam diri,

"Saya sudah berusaha sebaik mungkin, apa pun nilai yang diberikan itu terserah Tuhan dan dokter yang menilai. Tanggungjawab saya untuk belajar dan menjawab soalan-soalan dokter tertunai sudah"

2 jam SOCA (Oral Examination), soalan yang keluar dari mulut Dr M tadi dari sedasar-dasar prinsip Anesthesiology sehingga luar dari batas dan kemampuan seorang dokter umum. Kami dokter muda memang diberikan silibus belajar sebatas pengetahuan seorang General Physician. Tidak details, tapi semua penyakit-penyakit dan penatalaksanaan dasar perubatan harus dipelajari dan dihafal di dalam otak.

Alhamdulillah, saya memang sudah mengagak soalan yang keluar dari dokter tersebut, maka saya sudah mempersiapkan diri dengan belajar sebanyak-banyaknya sebelum ujian.

Usai ujian, saya melihat nilai saya. Alhamdulillah, tidaklah A tapi saya dapat 79.

Alhamdulillah, saya puas sambil tersenyum. Saya tenang kerana saya tahu saya sudah berusaha sebaik mungkin. Inilah nilai yang berhak saya dapatkan.

Saya bertemu sahabat-sahabat, ramai yang bertanya,

"Lulus tidak?"

Alhamdulillah lulus.

"Lulus??!!Fuhh..Pandainya kau..Boleh kira dengan jari berapa yang lulus dengan dia"

Alhamdulillah.

Sekali lagi, perkara ini berlaku di Radiology Department.

Saya mendapat penguji Dr S.

Seperti jangkaan ramai, dia antara 'killer Examiner"

Saya tetap dengan prinsip saya. Tugas saya adalah belajar dan saya akan terus belajar. Saya akan belajar sebanyak-banyak dan sebaik-baiknya. Saya akan belajar selagi tubuh saya mampu bertahan dan otak saya mampu menghafal.

Alhamdulillah, ujian yang dilalui dengan so called killer examiner berlalu dengan tenang dan soalan-soalan yang ditanya, alhamdulillah dapat saya jawab.

Bagi saya, tidak kira siapa Penguji Ujian kita, apa pangkat mereka, apa attitude mereka, apa kesukaan mereka, berapa nilai average yang mereka gemar berikan, itu adalah HAK mereka. Itu sangat subjektif dan bukan tanggungjawab kita untuk memberi nilai dan menjangkakan nilai untuk diri sendiri.

Begitu jugalah nasihat saya kepada sahabat-sahabat yang mengadu kepada saya. Saya tetap memberikan nasihat seperti mana saya amalkan dan menjadi prinsip hidup saya.

Pesan 1: Kepada yang mahu menduduki Ujian, tidak kira apapun ujiannya, semoga Allah memudahkan urusan kalian dan tetapkanlah niat kalian demi Dia.

Pesan 2: Doakan saya dan sahabat-sahabat lain lulus Radiology Department dan Nuclear Medicine Department.

Pesan 3: 9 minggu ke depan saya akan berada di Internal Medicine Department. Semoga Allah memberikan kejayaan buat saya dan rakan seperjuangan. InsyaAllah.