Airmata mengalir lagi Tubuh lelah melawan derita Diam membatu tiada kata Ya Rabb, Kau Mengetahui Segala
Airmata mengalir lagi Tarbiyyah Iman tiada jemu bertandang Penghapus dosa, merantai kemaksiatan Ya Rabb, Kau pinjamkan aku kesabaran
Airmata mengalir lagi Mengimbas derita Rasulullah Luka berdarah menyampai dakwah Ya Rabb, Kau matikan aku dalam husnul khatimah
Airmata mengalir lagi Melihat derita saudara di Palestin kini Jauh sekali dibanding sakitnya diri Ya Rabb, Kau dengarlah rayuan ini
Airmata mengalir lagi Menatap amanah yang terbeban Rasa aku sendirian Ya Rabb, Kau lah tempat aku mengadu tiap kesakitan
Airmata mengalir lagi Ujian sayang dariMu Warkah indah menyapa iman dan qalbu Ya Rabb, aku rindu padaMu
Airmata mengalir lagi Tatkala aku sujud menghadapMu Mengadu pedih ku yakini Kau mendengarkan aku Ya Rabb, syurgaMu yang satu impianku
Airmata mengalir lagi Kematian bukan khayalan Kematian bukan bayangan Kematian bukan hiburan Kematian membawa amalan Kematian membawa hitungan Ya Allah, Ya Rabb, aku mahu syahid di akhir kematian Ya Allah, Ya Rabb Kau makbulkan doaku ya Rahman
“Aimi, pinjam jawapan ujian Bahasa Arab. Kau dah siap kan?”pinta seorang sahabat lelaki.
Ketika itu saya bersekolah petang (sekolah agama). Tinggal lagi 30 minit masa ujian akan berakhir. Tapi saya telah menyudahkan ujian Bahasa Arab dalam kurang dari 30 minit. Masa yang berbaki saya luangkan membelek-belek kembali jawapan.
“Tak boleh” jawabku ringkas.
Ustazah (Guru Bahasa Arab) keluar sebentar. Saya pun tidak tahu ke mana arahnya ustazah. Sahabat lelaki yang mungkin berdendam dengan saya tadi lantas mencampakkan bekas pensil saya ke lantai. Memecah kesunyian kelas.
“Hah??Kemek pencil box aku??!” saya merengus dalam hati.
“Kau kenapa??Apa masalah kau?”saya meninggikan suara sambil tanganku mendorong kuat sahabat tadi. Tidak stabilnya sahabat ini berdiri, lantas dia terjatuh. Betul-betul punggungnya masuk ke dalam tong sampah kelas. Bergema kelas dengan hilai tawa sahabat lain.
Saya tanpa sekelumit rasa kesian, berlalu meninggalkan sahabat tadi. Kebetulan ustazah pun masuk kelas.
Setelah selesai masa ujian, kami berkumpul seperti selalu di luar kelas dan membaca doa. Doa rabithah dan penutup majlis. Itulah rutin harian. Saya dan sahabat-sahabat perempuan lain pulang sambil ada di antara teman-teman yang mendiskusikan jawapan ujian tadi.
Tiba-tiba di selingan ketawa girang kami,
“Hoi Aimi, kurang ajar kau! Kau dah tolak aku pastu nak buat bodoh je!” terdengar saya suara seorang lelaki. Saya kenal dan pasti dengan pemilik suara tadi. Sahabat lelaki ini mulai mengejek-ejek nama ayah saya. Mengutuk-ngutuk ibu saya. Bagi saya ibu dan ayah saya adalah insan mulia yang jangan sekali-kali diconteng maruah mereka walau dengan apa cara sekalipun.
“Biadap kau mainkan nama mak ngan ayah aku” sambil saya meluru ke sahabat lelaki tadi dan dengan sepantas kilat saya melepaskan sepakan tepat di “tut” nya. Sahabat tadi jatuh sujud menahan sakit.
“AIMI, aku bunuh kau!” menjerit sahabat lelaki ini dan sambil berbisik di dalam hati mengiakan yang dia masih tidak sedar diri lagi. Saya datang kembali ke arah lelaki tadi dan dengan sekuat hati saya memijak kakinya. Menjerit sahabat lelaki ini. Kali ini dengan jeritan yang lebih kuat.
“Kalau kau berani ugut aku, jangan lupa aku tak perlukan ugutan sebab aku terus buktikan. Lagi 1 kalau dah tak pandai, pergi belajar, jangan nak meniru orang je keja” sempat saya memberi amaran. Saya tidak menghiraukan teman tadi yang sedang menahan keperitan dan langsung berlalu.
Teman-teman perempuan nampak berubah muka mereka. Saya pasti mesti kerana sikap saya yang mengejut membelasah sahabat tadi.
Itulah antara kisah Aimi yang dulu. Saya tidak suka dicabar baik lelaki mahupun perempuan. Kalau lelaki mahu bertingkah di gelanggang saya akan turutkan. Kalau mencabar saya untuk mendapatkan top 3 di sekolah, itu memang sudah biasa alhamdulillah.
Tapi kini saya menyesal mengenang kembali. “Ya Allah betapa nilai Sabar diriku dulu tunduk sujud pada Nafsu Amarah ku”.
Mungkin kesalnya saya seperti kesalnya Saidina Umar mengenang kisah silamnya. Tapi kisah saya mungkin lebih menyedihkan kerana Islam telah saya anuti dari kecil. Seharusnya, dengan umur 11 tahun, saya sudah mampu mempamerkan apa itu akhlaq Al-Quran?Indahnya Islam.
Kelembutan Islam dan kasih-sayang yang saya pelajari sewaktu saya menuntut di tahun pertama di universiti sangat terkesan di hati. Lembutnya akhlaq dan kata-kata murrabbiyah saya, Subhanallah belum pernah saya lihat sebelum ini. Lahirnya kata-kata dari bibir beliau menyentuh hati. Teguran yang diberi tidak pernah membuatkan diri terasa hati apatah lagi terasa tercabar. Bermula dari situ saya mengenal erti kelembutan, sopan santun, menzahirkan rasa kasih dan sayang. Benarlah Rasulullah itu membawa Islam dengan akhlaq Baginda yang melambangkan Al-Quran. Ramai yang tertarik untuk memasuki Islam kerana akhlak mulia Baginda. Sifaturrasul boleh di ingat dengan S,I,F,A,T
S = Sempurna
I = Iltizam
F = Fathanah
A = Amanah
T = Tabligh
Saya kini sentiasa cuba memuhasabah diri agar saya mempatri sifat-sifat Rasulullah SAW, yang penyabar, penyayang, lemah-lembut, sempurna, sentiasa bersemangat, menyampaikan dan amanah. Aimi kini adalah Aimi yang sentiasa cuba menjaga hati teman. Andai ada yang terasa hati dengan sikap, kata-kata saya dengan rasa rendah diri dan hati memohon sebanyak-banyak kemaafan. Buat semua sahabat yang pernah saya sakiti secara fizikal, percayalah Aimi dulu yang kurang matang mengikut emosi dalam bertindak kini telah insyaAllah sentiasa menyulamkan kesabaran dan kemaafan dalam tingkah-lakunya. InsyaAllah. Maafkan saya
Sinar Islam mengajar diri erti Sabar dan Menghargai. Maafkan saya sekali lagi
Tanggal 25 Mac, 46 tahun dahulu, lahirlah insan yang sangatku sayangi dan hormati. Insan yang ku dambakan kasih dan sayangnya. Insan yang menyayangiku tanpa mengharapkan tangan ini membelainya kembali Insan yang memberikanku makan tanpa mengharapkan tangan ini menyuapnya kembali. Insan yang diciptakan dan ditaqdirkan Allah dimana rahimnya ku tumpangi.
Mama, insan mulia yang saya maksudkan. Mama yang menitisnya peluh membesarkan diri ini tanpa pernah mengeluh. Mama yang tubuhnya kelelahan tanpa pernah rungutan menjadi buah kata. Mama yang mindanya kadang kekusutan memikirkan perihal kami namun tiada omelan yang mengguris hati terlafazkan. Subhanallah. Mama seorang insan yang tabah.
Hari ini saya memandang semalam. Mengenangkan segala dosa, segala kata dan segala perbuatan yang pernah mengguris hati mencalari segenap ruang hati mama. Hati ini paling mudah tersentuh andai soal IBU yang diutarakan. Tidak sanggup untuk saya mengguris hati insan yang sentiasa menjaga hati ini. Penyesalan yang menggunung tinggi meluahkan airmata. Suatu panggilan pernah dibuat. Mengalir airmata saat melafazkan ampunan maaf kepada mama. Itu bukan yang pertama dan insyaAllah bukan sahaja yang terakhir kerana selagi hayat mama dikandung badan, saya akan sentiasa memohon maaf darinya, insan yang tersayang;
"Assalamualaikum ma...Kakak minta maaf atas segala perbuatan, kata-kata kakak atau apa sahaja yang pernah mengguris hati mama. Mama halalkan susu yang membina tiap tubuh kakak. Mama halalkan makan dan minum kakak. Maafkan kakak, mama" ucap saya memohon ampun.
"Wa'alaikumussalam kakak. Mama lama dah maafkan kakak. Kakak tidak buat salah apa. InsyaAllah mama halalkan. Itu sudah tanggungjawab mama. Lagipun kakak tidak buat perangai, mama redhakan kakak" suara lembut mama menenangkan jiwa yang sedih hiba. Pernah juga saya menghantar pesanan ringkas (sms), membelah kesunyian malam; Mama, You such a great mom in this world You bring "miracle of life" in your womb You hear me before I could talk You hold me before I could walk
Dibalas mama;
Is it comes from your bottom of your heart?
Saya membalasnya; Yes, purely from bottom of my heart and you're Queen of my Heart
Andai ditaqdirkan mama pergi dulu, saya tidak mahu walau ada sekelumit kekesalan tumbuh saat mama sudah tiada di dunia. Saya mahu menghargai mama sebaiknya. Dulu saat mama memulakan "ceramah" pasti saya sahut dengan rungutan riuh di dalam hati. Namun sekarang tidak lagi, saat mama membuka bicara "ceramah"nya, saya akan pandang terus ke mata mama, menghayati tiap katanya dan pantas mencium pipinya. Rungutan kecil dari mama pasti terkeluar kerana merasakan saya hanya hendak bermain dan tidak menumpukan perhatian dengan "ceramah"nya itu. Tapi inilah mama. Kalau segala keburukan diri ini mama boleh menerimanya, kenapa tidak kekurangan mama saya terima dengan hati yang terbuka?Kenapa tidak segala perbuatan mama yang terasa kurang selesa di hati, saya terbuka menerima dan berlapang dada?
Saat saya pernah diserang penyakit sehingga lumpuh tangan dan kaki, saya melihat dalam kepayahan mama memapah diri ini hanya untuk membuang air. Hakikatnya saya menangis melihat kepayahan insan yang banyak berkorban ini. Tangannya lembut menyuapkan saya makanan. Kata-katanya luhur membina semangat yang lemah. Tatkala itu, hati saya menjerit menangis. Melihat saya dengan penuh kasih sayang meleraikan segala kekusutan. Airmata menahan kesakitan yang mengalir di pipi dikesat lembut mama.
"Kenapa kakak?Sakit?"
Mama sangat peka dengan perubahan riak wajah ku. Kepayahan dan kesakitan yang ditanggung badan segera mama kenalinya sedangkan waktu itu saya terjaga di pertengahan malam, tersedar dek kesakitan yang bagai menumbuk-numbuk seluruh belakang sehingga ke hujung kaki. Bagaimana mungkin seorang anak sanggup menyusahkan ibunya?
"Ya Allah, mulia sungguh insan yang bergelar mama, tidak pernah membiarkan diri saya kepayahan sendirian. Kau tempatkanlah mama dan babah sebagai ahli syurga. Kau ampunkanlah dosa mereka, ya Rabb"
Seusai solat, sudah menjadi kebiasaan insyaAllah akan saya doakan mereka, mama dan babah. Minda menerawang membayangkan wajah-wajah mereka, saat suka dan duka. Pasti airmata menjadi teman setiaku.
Saya pernah menangis kerana mendapat tahu saya difitnah. Ujian itu bagai timbunan batu menimpa diri tetapi mama, dengan lembut tapi penuh ketegasan,
"Aimi, the only thing you should bear in your mind is you have The Mighty Allah and you have us, your family. You may have less people to talk to, but remember with these 2 (Allah, Family) insyaAllah, you may take a further path leaving all the pain behind and stand as an Outstanding and Extraordinary Muslim. They can say whatever they like and wish to, but remember, you own your mind, you own your body, you own your soul, they never can let you down"
Subhanallah, sungguh saya terkesima dengan kata-kata mama. Padat tetapi benar-benar menyembuhkan luka di hati. Insan sekeliling sibuk berkata yang bukan-bukan tentang saya. Hanya Allah tahu betapa hati saya hancur melihat dan mendengar kata-kata yang tidak benar sama sekali.
Suatu ketika, sewaktu bercuti di Malaysia pada bulan Ogos yang lalu, saya telah dijemput oleh guru di salah sebuah sekolah MRSM di Melaka untuk menyampaikan ta'lim. Saya bertanyakan pada mama;
"Ma, apa pandangan mama? Nak bagi ke tidak?Kalau nak bagi nak bagi tajuk apaye?" tanya saya yang agak menggelabah ketika itu kerana saya masih belum meletakkan panggilan telefon pemanggil yang menjemput saya menyampaikan ta'lim
"Ikut kakak. Tak salah. Asal menyampaikan. Lagipun tu budak-budak, penyampaian tak perlu lah tinggi sangat & santai-santai sahaja" balas mama penuh ketenangan. Mama sibuk menjahit baju-baju tempahan pelanggan sedikit pun tidak mengalihkan pandangan ke saya. Mungkin sibuk.
Itulah ta'lim pertama saya yang disaksikan oleh mama sendiri. Terharu dibuatnya. Tetapi saya memandang wajah mama yang duduk dipojok hujung masjid sekolah hanya menundukkan mukanya. Sebelum berjalan ke hadapan para pelajar, saya menyalami mama dan memohon doanya agar ta'lim yang akan saya sampaikan berjalan dengan lancar.
Alhamdulillah selesai sudah ta'lim yang diberi. Penekanan pada niat dan tanggungjawab pelajar yang lebih saya tegaskan. Ada linangan airmata yang saya lihat antara pelajar-pelajar tadi. Saya tahu tekanan SPM, PMR kadang-kadang menjadikan kita manusia lupa ujian sebenar adalah AKHIRAT. Mata adik-adik kelihatan sayu. InsyaAllah seandainya diberi peluang akan saya singgah lagi menyampaikan sesuatu yang bermanfaat pada mereka.
Saya bertanya pada mama, "Ma, cane kakak tadi?Jelas tak penyampaian?"tanya saya yang masih saya melihat ada sekelumit rasa pada wajah mama yang tidak dapat saya tafsirkan.
"Alhamdulillah, ok cuma kurang jelas sampai ke belakang. Sebenarnya, waktu awal-awal kakak ada dekat depan, sampaikan ta'lim tadi mama rasa nak nangis." sayup penjelasan mama "Kenapa ma?Kakak ada tersalah cakap ke?" tanya saya lagi yang terus diburu rasa bersalah.
"Bukan, kakak tak de buat salah apa-apa pun. Cuma mama terharu, dulu mama selalu bagi nasihat dekat kakak dan hari ini mama melihat anak mama sendiri menyampaikan nasihat pada insan lain. Subhanallah mama terharu sangat. Mama doakan kakak supaya istiqamah dan sentiasa diikhlaskan niat" terlihat wajah mama yang tenang melafazkan kata, bertakung airmata saya. Lantas saya menyalami mama dan mengucup kedua pipinya.
Al-Quran Luqman :14 (maksudnya) "Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam usia 2 tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu"
Al - Quran Ibrahim : 41 (maksudnya) "Ya Tuhan kami, ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan semua orang yang beriman pada hari diadakan perhitungan (Hari Kiamat)"
Al - Quran Al-Ahqaf : 15 (maksudnya)
" Dan kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada orangtuanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Masa mengandung sampai menyapihnya selama tiga puluh bulan, sehingga apabila dia (anak itu) telah dewasa dan umurnya mencapai empat puluh tahun, dia berdoa, "Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada orangtuaku, dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redhai; dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sungguh, aku bertaubat kepada Engkau, dan sungguh, aku termasuk orang muslim"
~Coretan kali ini khusus dan sangat teristimewa ditujukan kepada mama yang sedang "honeymoonszz". I think this honeymoon trip is my father's special present to her~ Mama, Happy Birthday..sweet sour bitter (:P) 14 ---> hihi Semoga Allah menjadikan mama sebagai penghuni syurga Memudahkan urusan baik sewaktu di dunia, sakaratul maut, alam barzakh, hari kebangkitan dan perhitungan (mizan), merentas siratulmustaqim seterusnya memasukkan mama ke dalam syurga. Mama, kakak doakan mama supaya dipanjangkan umur yang berkah. I love you so much.
Sewaktu pulang menaiki bas Damri ke Jatinangor dari Bandung, saya melemparkan pandangan ke luar. Menghabiskan sisa lelah yang masih dikandung badan. Hari ini masuk hari yang ke 4 saya hanya tidur 2 – 3 jam. Tuntutan tanggungjawab sebagai pelajar tahun 4 Perubatan menyebabkan saya harus berkorban masa, tenaga, wang harta. Kesenangan dan perihal diri harus ditolak tepi. Fikiran dan kudrat terarah kepada belajar baik untuk peperiksaan SOCA, OSCE, Tropical Medicine System mahupun dalam penyiapan skripsi. Segala fokus harus diberikan andai yang terbaik mahu dicapai. Itulah saya. InsyaAllah
Sepanjang perjalanan pulang, ramai peniaga-peniaga cuba menarik perhatian pelanggan iaitu kami penumpang bas. Bersilih ganti menjual. Nada suara dialunkan turun dan naik. Saya tidak tertarik untuk melihat apatah lagi membeli. Kala sedang kebingungan ini mungkin yang saya perlukan adalah ketenangan. Jual beli yang berlalu saya biarkan berlalu melewati waktu dan perjalanan saya ke Jatinangor.
Sedang asyik mengelamun, gegendang telinga saya di sapa merdu alunan muzik dari para peminta sedekah jalanan. Alunannya yang tidak memekakkan telinga dan tidak juga mengalun lemah longlai. Subhanallah. Saya di buai melayari mimpi ditambah tubuh yang kepenatan dan minda yang kelelahan.
Saya tertidur sepanjang perjalanan dan hanya tersedar apabila ada yang mengusik bahu saya mengejutkan diri. Tidak saya sedar siapakah gerangan yang mencuit saya. Alhamdulillah. Wajah yang masih berbekas bersama langkah yang masih longlai saya turuni tangga bas. Saya harus ke Fakulti Jurusan Kimia menghantar buku rujukan yang dipinjam untuk fotokopi bagi tujuan menyiapkan skripsi.
Sewaktu dalam perjalanan ke Fakulti tersebut, saya beristighfar panjang lantas mengambil ibrah dari apa yang berlaku di dalam bas sebentar tadi.
Situasi 1 : Para penjual menjual barangan mereka. Saya tidak tertarik
Situasi 2 : Para peminta sedekah mendendangkan lagu. Saya tertarik
Subhanallah. Cuba bayangkan andai ini adalah situasi antara kita dan Allah SWT. Menjalankan jual beli denganNya. Sebagai contoh, ibadah yang kita lakukan haruslah ibadah yang benar, baik dan sempurna maka barulah kita mampu menghadiahkan atau menjualkannya kepada Allah. InsyaAllah, Allah pasti tertarik dengan urusan jual beli tadi kerana ibadah kita tadi benar-benar memenuhi citarasaNya.
Kualiti juga ada disebut di dalam Kalam Allah Al-Anfal : 66 (maksudnya);
"Sekarang Allah telah meringankan kamu kerana Dia mengetahui bahwa ada kelemahan padamu. Maka jika di antara kamu ada seratus orang yang sabar, niscaya mereka dapat mengalahkan dua ratus (orang musuh); dan jika di antara kamu ada seribu orang (yang sabar), niscaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang dengan seizin Allah. Allah beserta orang-orang yang sabar"
Ayat ini telah menyentuh kepada penekanan pada kualiti kesabaran berbanding dengan jumlah mukmin yang datang berjuang.
Manakala jual beli dengan Allah telah disebutkan dalam At Taubah : 111 (bermaksud);
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri maupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berpegang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil, dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjiNya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung"
Na’udzhubillah. Bayangkan pula urusan niaga yang tidak memenuhi kehendak Allah SWT atau citarasaNya, “berniaga asal laku”, beribadah asal buat. Tiada kualiti apatah lagi kuantiti. Allah SWT akan palingkan pandanganNya kah dari kita?Memandang ke arah hambaNya yang lain yang mampu menjual ibadah yang lebih sempurna dan berkualiti. Astaghfirullah.
Adalah penting bagi kita melakukan sesuatu perkara sesuai dengan tugas kita sebagai HAMBAdan menjalankan tanggungjawab dengan BERIBADAH. Ibadah yang dilakukan pula haruslah berkualiti dan punya kuantiti agar IBADAH DAGANGAN kita kelak menarik pandanganNya.
Wallahualam
InsyaAllah mulai saat ini saya mahu menjualkan hanya yang terbaik untukNya. Anda pula bagaimana?
Jom bersama memberikan yang terbaik supaya Syurga adalah keuntungannya. Subhanallah (^_^)Y
Suatu masa dulu, saya pernah merasa kehilangannya nikmat solat. Hilang rasa khusyuk. Airmata tidak lagi menjadi teman kala muhasabah diri sendirian. Bacaan Al-Quran tidak lagi saya hayati seperti sebelumnya. Setiap saat yang dilalui terasa seakan sia-sia belaka. Merenung langit tanpa rasa kagum. Memandang pohonan tanpa rasa syukur.
Sedangkan Al-Imran : 190-191 ada tertulis (maksudnya) “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, danmereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah engkau menciptakan semua ini sia-sia; mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka”
Astaghfirullah.
Saya tidak betah sendirian membawa ego manusia melayari bahtera kehidupan. Saya cuba mencari di mana silapnya. Hampir berputus asa dibuatnya. Hujung minggu itu saya diajak teman untuk berqiamullail (MABIT-Malam Bina Iman & Taqwa) di salah sebuah Masjid di Bandung. Memandangkan jadual kuliah dan tuntutan kerja (assignment) yang tidak begitu banyak, saya turutkan.
“Manalah tahu, Allah bukakan hati ku. Menghilangkan hijab antara Dia denganku” bisik hati
Setelah solat Asar, saya dan sahabat-sahabat yang lain bergerak menaiki bas menuju ke masjid. Hujung minggu yang dihabiskan dengan beriktikaf di masjid dan beribadah kepadaNya. Peluang begini jarang datang bergolek.
Seperti biasa, saya akan mengulang-ulang ayat hafazan. Namun seperti yang dijangka, tiada rasa kenikmatan ayat suciNya yang masuk meresap menyapa hati. Saya menutup Al-Quran, membetulkan simpuhan duduk langsung menundukkan kepala dan memejamkan mata.
“Ya Allah, jangan Ya Allah Kau palingkan pandanganMu dari ku walau sesaat,Ya Allah, aku rindu bersama Mu, meluahkan rasa sedih dan gembira hanya padaMu. Ya Allah, Kau berikanlah aku petanda atau petunjuk. Jangan Ya Allah Kau abaikan aku hambaMu yang kerdil lagi hina ini” sambil berbisik di dalam hati saya terus bermunajat agar ketenangan dan nikmat rasa kebersamaan Allah terus digapai.
“Assalamualaikum ukhti” sapa seorang teman “Wa’alaikumussalam” jawabku ringkas. Memandang tepat wajah yang menyapa. Tidak pernah saya kenali wajah ini sebelumnya.
Saya meluangkan masa dan berkongsi cerita. Meringankan mulut berbicara. Dia seorang wanita Indonesia yang punya tujuan sama datang ke masjid untuk menghabiskan hujung minggu beribadah kepadaNya. Dia datang menyapa saya setelah dari tadi dia memerhatikan tingkah saya seperti orang yang tidak senang duduk. Entah kenapa, saya terasa ingin mengajukan soalan kepadanya tentang masalah yang dihadapi.
“Mungkinkah Allah tidak sayang pada ana lagi?”tanyaku setelah bercerita panjang lebar menjelaskan situasi sebenar.
“Ukhti, masakan Allah tidak sayang pada kamu. Kalau Dia ngga’ sayang pada kamu, ternyata kekafiran menjadi pegangan mu kini. Na’udzhubillah. Saking (sangat) sayangnya Allah pada kamu, ditiupkanlah rasa ingin tahu dan mencari solusi masalah hati kamu. Ukhti, walau ana baru mengenali ukhti tetapi seperti sudah kerasa (terasa) dekat seperti sudah bertahun kita berkenalan.
Maukah ukhti mendengarkan pandangan dan nasihat ana?” tanya sahabat tadi.
“InsyaAllah. Ana terbuka menerima pandangan enti kerana itulah tujuan ana ke mari. Mencari solusi masalah hati yang dihadapi” balas ku
“Semoga apa yang ana tuturkan menjadi peringatan buat ukhti dan juga diri ana. Ukhti, selama sehari-hari kita menjalani kehidupan, banyak yang kita tuturkan, banyak yang kita lakukan. Semuanya demi mencapai redha Illahi. Subhanallah ibadah kita pada Allah mantap tetapi mungkin saja terkadang dalam ghairah mengejar cita, kita terkasar bahasa kepada manusia dan terlanjur sikap yang menyinggung perasaan mereka dan mereka terasa hati dengan kita. Mereka menyimpan dendam malah. Mungkin saja hijab yang wujud antara diri kita dan Allah kerana kealpaan kita menjaga “habluminannas” hubungan dengan manusia. Wallahualam”
Airmata saya terus mengalir deras. Lantas saya berkejar mengambil wudu’ dan menunaikan solat taubat. Setelah selesai solat, dengan airmata yang masih membasahi pipi, saya menghantar khidmat pesanan ringkas (sms) kepada teman-teman. Saya memohon kemaafan. Saya menelefon mama dan babah menagih kemaafan dari mereka. Alhamdulillah, setelah selesai sms dihantar, panggilan dibuat, ketenangan sedikit dapat dirasakan. Baru saya tahu ada insan yang memendam marah dan berkecil hati dengan sikap saya. Maaf teman kerana lalai dalam menjaga haq sabagai seorang sahabat.
Buat sahabat teristimewa : Alia, Tasha, My Housemate Shahida, Wani & Izzatul, Zura, Qamar (kalau nama tidak tersebut bukan bererti anda tidak disayangi dan diingati oleh diri. Cuma panjang sangat kalau nak list kan semua). Semoga syurga hadiah buatmu kerana ketulusan dalam bersahabat. Tidak membiarkan diri terus leka dengan maksiat dan pesona dunia lantas segera mengingatkan daku tentang akhirat serta kematian.
Senario ini mungkin pernah terjadi sama ada pada diri sendiri mahupun pada insan lain tetapi kitalah saksinya. Takut maksiat atau perbuatan yang mungkin mengundang aib apabila teman, saudara, keluarga mengetahui kesalahan diri atau aib diri.
"Aku takut si pulan tahu lah" "Minta-mintalah si pulanah tidak tahu aku pergi clubbing semalam" "Janganlah dia tahu..."
Astaghfirullah.. Mereka, si dia, si pulan dan si pulanah itu cuma manusia biasa. Pasti punya kelemahan, punya kekurangan, punya kecacatan yang ditutupi Allah SWT. Seharusnya yang kita takuti bukanlah manusia tetapi ALLAH. Pencipta kita yakni MANUSIA & HAIWAN, pencipta ALAM, pencipta LANGIT & BUMI, SYURGA & NERAKA..
Sewaktu diri sedang hanyut tenggelam melakukan kemaksiatan, Dia melihatnya Dia mendengarnya Dia mengetahuinya
Kita takutkan manusia? Analoginya seperti kalau orang yang nak meniru yang lebih dia takutkan terbongkar agenda menirunya adakah sahabat yang melihat atau Pengawas penjaga peperiksaan? Pasti jawapannya adalah Pengawas penjaga peperiksaan sebab dia memandang kedudukan pengawas yang LEBIH BERKUASA & terlihat WUJUDNYA jasad pengawas tersebut. Apa ada pada sahabat tadi, sama-sama kurang, sama-sama berstatus pelajar?
Allah itu WUJUD! Ibrahim : 32 " Allah lah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air (hujan) dari langit..."
Andai hari ini masih terlihat adanya langit terbentang luas, berpijak di muka bumi, menyaksikan turunnya hujan, dengan yakin tanpa ragu pasti WUJUD Penciptanya. Penciptanya adalah Allah SWT. Beriman kepada Allah bermakna kita meyakini kewujudan Allah SWT. Wujud merupakan salah satu sifat Allah SWT. Kewujudan Allah itu pasti, kewujudan Allah wajib kita percayai dan imani.
Renungkan saat melakukan maksiat atau keluar dari jalur ibadah atau keluar dari tanggungjawab kita sebagai hambaNya, kita menggunakan nikmat yang dipinjamkan dariNya seperti; Mata memandang kemaksiatan Telinga mendengar cemuhan Mulut berkata yang bukan-bukan Kaki melangkah ke lembah kejahatan Tangan menari menggapai pembaziran Hati membenarkan hasutan syaitan
Al-Adiyat : 6 "Sesungguhnya manusia itu sangat tidak berterima kasih kepada Tuhannya"
Telah disebut Allah SWT, manusia itu tidak berterima kasih, melakukan maksiat dengan nikmat yang telah dipinjam Allah. "Lain yang orang suruh buat, lain yang kau buat" mungkin itu bakal terungkap andai kita berhadapan dengan manusia.
Seandainya saat melakukan maksiat itu, dicabut nyawa kita, na'udzhubillah dengan kejahilan dan kemaksiatan meninggalkan dunia dan membawa aib dan kehinaan sebagai "hadiah" untuk dipersembahkan kepada ALLAH SWT. Seandainya hari ini, kita merasa "selamat" yakni aib kita tidak diketahui bukanlah bermakna kita hebat merahsiakannya tetapi Kasih dan Sayangnya Allah pada kitalah maka ditutupi lembah kemaksiatan yang dimiliki diri.
Astaghfirullahal'adzhim~ Ya Allah, Kau ampunilah dosaku Kau terimalah taubatku Kau terimalah amalku HambaMu yang hina HambaMu yang bergelumag maksiat HambaMu yang sering alpa HambaMu yang tidak bersyukur HambaMu yang lemah HambaMu kini kembali mensujudkan jasad dan hati mengabdikan diri menyembahMu yang Esa Ameen ya Rabbil 'alamin
Saya minta maaf kepada semua yang pernah terasa hati dengan kata-kata dan perbuatan saya baik sengaja mahupun tidak. Saya hambaNya yang punya kelemahan terimalah ampunan maaf saya.
Setiap kali saya menghitung hari untuk menghadapi ujian, pasti saya teringat akan memori yang saya simpan kemas sejak Mei 2008.
Masa itu saya di tahun 3, saya sangat tertekan dengan peperiksaan OSCE (Orientation Skills Clinical Exams). Saya tertekan kerana ada lebih dari 30 cases yang perlu dihafal dan ujian secara rawak memilih 15 cases yang perlu diuji dan dipraktikkan dihadapan doktor ditambah masa yang diperuntukkan cuma 9minit. Tinggal lagi 2 hari sebelum hari peperiksaan menjelang. Saya mengambil keputusan sms ayah saya yang sedang bertugas di Sudan. "Assalamualaikum babah, i feel so depressed and I feel so tired. I feel i screw up all these things. My exam is coming soon. What am I gonna do?I feel damn guilty, bah. To you and mama"
Kurang dari 30 minit, babah menelefon ku. Dari Sudan!. Itu membuatkan diri lagi rasa bersalah.
Kedengaran suara babah, sayup lembut menyapa gegendang telingaku. "Assalamualaikum kakak. How are you my girl?"
Saya tidak mampu menuturkan walau sepatah melainkan menangis. Puas sudah saya menahan perasaan tertekan dengan tanggungjawab yang banyak dan masih tertangguh, dengan ujian yang datang bertumpuk, dengan rasa rindu yang membara pada mama dan babah, dengan ujian sakit yang tidak berpenghujung. Bertumpuk membentuk gunung yang meletus saat mendengar suara babah.
"Nurul Aimi, i knew this situation hurts you so much. Now, let it out. I wanna hear all. Let me know all your pain that you kept inside. Share with me" pinta babah yang sangat memahami keadaan ku yang sangat tertekan waktu itu. Saya memulakan bicara, meluahkan semua. Setelah hampir 30minit saya usai bercerita. Babah pula menyambung kata;
"Kakak, analogi dari apa yang kakak luahkan ini, dapat babah simpulkan seperti cerita ini. Kehidupan dapat diibaratkan seperti kita BERLUMBA LARI, pasti kita akan merasa PENAT kan? Adakah dengan alasan penat maka kakak akan BERHENTI BERLARI?Tidak mungkin. Ini bukan soal siapa yang lari dulu atau siapa yang menang tapi ini soal bagaimana kita berusaha sampai ke garisan penamat. Sampai hati kakak berhenti separuh jalan atas alasan penat dengan ujian kehidupan sedangkan mama, babah, adik-adik tidak berhenti-henti memberikan sokongan?Kakak, dalam menjalani kehidupan MATLAMAT kita kena jelas. Apa yang babah nampak, kakak tertekan sebab kakak nak dapat A dalam setiap ujian. Sedangkan nilai A bukan tanggungjawab kakak. Itu kerja Allah melalui tangan doktor yang menilai. Mesti kakak penat kalau kakak kena buat kerja yang bukan tanggungjawab kakak kan?Tanggungjawab kakak adalah berusaha sehabis baik. Matlamat kakak adalah berusaha ke arah yang terbaik. Terbaik bukan wajib A atau menang tapi terbaik mungkin sahaja B. Terbaik dari sisi Allah. Laksanakan tanggungjawab kakak dengan ikhlas. Matlamat kakak kena jelas barulah usaha bersungguh-sungguh kelak membuahkan hasil pahala. Ingatlah Allah sentiasa kerana Dia tidak pernah menganiaya hambaNya dengan ujian" penerangan yang padat tapi betul-betul menusuk hatiku
"Ya Allah, ampunilah hambaMu ini yang lalai dengan ujian dunia sehingga lupa matlamat dan tujuan hidupku sebenar" rintihku dalam hati
"Thank you so much babah. I'm sorry for being so childish. Babah jaga diri baik-baik dekat sana and i'm gonna miss you so much" saya akhirnya membalas kata-kata babah
"I'll miss you to my dear. Be strong and i'll know you can make it. I knew my daugther. You such a great gift from Him to me. Take care too. Jangan menangis lagi. Nanti babah balik, kita pergi holiday sama-sama. Refresh our family memories. For your information, now in Sudan is 3.00 am. Assalamualaikum kakak" nasihat dari babah sebelum menghentikan panggilan. Ternyata saya dan babah ketawa apabila saya dapat tahu di Sudan jam 3pagi. Saya dah mengacau tidur ayah saya rupanya. Dasar budak kecil betul!
InsyaAllah akan sentiasa saya ingat pesan babah (^_^). Tidak sabar rasanya menunggu babah pulang ke tanah air 10 Mac 2009. Setelah setahun meninggalkan tanahair untuk berkhidmat di Sudan (Darfur). Alhamdulillah
Aku bukanlah wanita yang bahagia dengan limpahan wang Cukuplah bagiku keuntungan “berniaga” dengan Dia pemilik alam yang Agung
Aku bukanlah wanita yang gemar bertukar pakaian Cukuplah TAQWA menjadi persalinan
Aku bukanlah wanita yang gemar keluar menabur masa Cukuplah ALQURAN teman penghibur aku kala suka dan hiba
Aku bukanlah wanita yang gemar mencuri pandangan si Adam Cukuplah sekadar Dia yang MEMANDANGKU tanpa pejam
Aku bukanlah insan yang sentiasa gagah di medan jihad Maka bantulah aku agar MAUT FI SABILILLAH menjadi ijtihad
Aku bukanlah insan yang kuat menanggung peritnya ujian Maka ingatkanlah aku agar BERSABAR dengan “hadiah” dari Pemilik sekelian alam
Aku bukanlah insan yang bijak pandai Maka ajarkan aku sebelum MAUT menyapaku sedang diri penuh kejahilan
Aku bukanlah insan yang sempurna Maka tegurlah aku tatkala aku lalai dengan dunia yang sementara
Aku mengimpikan keluarga yang penuh berkah, rahmah dan mawaddah Maka didiklah aku agar aku tidak cuai menuju impian nan indah
Aku mengimpikan pertemuan denganNya Maka pertemukan aku JALANNYA agar aku bahagia di sana
Aku mengimpikan bersama semua sanak saudara di syurga Maka ingatkah aku harga syurga TIDAKLAH MURAH
Aku mengimpikan kematian kala berjihad di medan Maka aku rela andai bersabung nyawa melahirkan MUJAHID sebagai taruhan
Aku hambaNya Aku punya kelemahan yang nyata Tetapi aku juga punya impian yang belum terlaksana Maka aku, kalian sama-sama saling mengingatkan sebelum maut menyapa
“ Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan Pemilik Seluruh Alam”(6:162)