Sabtu, 31 Oktober 2009

Semua orang baik

Assalamualaikum wbt.

Semakin menginjak usia, semakin mengajar kita erti kehidupan.

Semua orang baik

Ya, walaupun orang itu jahat pada mata kita, cuba lihat, dia punya kawan dan keluarga tidak?

Kalau masih ada insan yang ingin menjadi sahabat dia, walaupun sama spesis "senget" sepertinya, tidak mengapa, dia masih baik. Jika tidak, masakan dia masih punya teman. Sifat baiknya dia itu adalah bersifat eksklusif hanya pada teman-teman terdekat sahaja.

Kita jernihkan kembali pemikiran dari bersangka buruk

Baru-baru ini saya melihat operasi katarak. Di dalam ruangan bedah terdapat 2 orang pakar bedah mata yang sedang sibuk menjalankan tugas mereka. Seorang santai manakala seorang lagi garang sangat mukanya. Tidak senyum, tidak menegur, yang penting tiada respon.

Dalam hati saya, saya cuba memujuk diri,

"Dia baik, kalau tidak mana mungkin dia mahu bertugas hampir 5 jam. Ini semua perlukan pengorbanan dan kesabaran yang tinggi."

Benar pun jangkaan saya, esoknya kuliah dari Pakar Mata diisi oleh beliau. Dia sangat baik, peramah dan pemurah dalam mencurahkan ilmunya. Pelbagai tips diberikan.

Peristiwa kedua terjadi sewaktu saya masih kuliah dulu,

"Aimi, mamat tu gatal g***. Ada ke patut dia kenyit mata dekat saya. Ramai tak suka dia sebab dia suka kenyit mata. Awak pergi belasah dia Mi" kawan saya datang mengadu.

Saya yang mendengar pun rasa kurang selesa. Geram pun ada.

Saya pun pergi ke arah lelaki tadi. Entah kenapa, saya terdetik untuk memandang dulu wajahnya.

Astaghfirullah, terbatal niat saya untuk menegur lelaki tadi. Saya kembali kepada sahabat tadi lalu,

"Perasanlah awak ini!! Dia ada habit kenyit mata. Dia sakitlah. Bukan sengaja dia kenyit mata dekat awak. Dekat saya tadi pun dia kenyit mata. Ini kita dah buat dosa buruk sangka dengan dia" saya kembali menegur.

Padah seandainya kita bersangka buruk dan membiarkan bad impression menjadi titik permulaan sebuah hubungan persahabatan antara kita dan sahabat-sahabat lain.

Terjemahan:
Surah Al-Hujurat: 12

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”


Menerima kekurangan, meraikan kelebihan sahabat dan membuka sebesar-besarnya pintu kemaafan.

Masa kita sedang marah dengan kawan kita, pasti segala yang buruk tentang kawan tadi akan keluar kan?

Sia-sia lah amalan kebaikan kita kalau kita terdetik mengungkit kembali kebaikan yang pernah kita berikan pada sahabat.

Bukalah pintu hati kita, cuba untuk memaafkan dia. Walaupun itu perit, tetapi tidak mustahil. Jangan ditanya siapa punya salah kerana itu akan memperpanjangkan lagi tempoh pergaduhan.

Kedua, seandainya kita sedang mempunyai konflik dengan sahabat, berpadalah. Bersederhanalah. Jangan sampai kita semburkan segala keburukan dia dari A sampai Z kepada orang lain. Jangan pula kerana ikutkan geram, yang "dalam-dalam" (yang pernah dijanjikan untuk menjadi rahsia) pun diceritakan.

Kelak nanti, bila keadaan menjadi tenang kembali, persahabatan kembali bertaut kita akan menyesal. Menyesal kerana membuka segala aib dan meluahkan segala rasa tidak berpuas hati. Bukankah kita hipokrit namanya?Na'udzhubillah.

InsyaAllah, saya mengamalkan SENYUM dan SENYAP kalau tengah marah atau tiada mood. Lebih tenang dan tidak mengancam perasaan dan jiwa.

Wallahualam.

Rabu, 28 Oktober 2009

Maka nikmat TuhanMu yang manakah kamu dustakan?

Assalamualaikum wbt.

Senario ini berlaku dalam minggu ini sewaktu saya menjalankan tugas di Hospital.

1. "Pakcik, maaf ya. Menurut sepengetahuan saya yang sangat dangkal, penglihatan pakcik ini akan kekal seperti ini. Iaitu tetap sahaja pakcik akan tidak dapat melihat walaupun setelah dioperasi"

2. "Kos untuk pemeriksaan matanya, sekitar Rp300,000 (RM 140-150)"

Dua kalimah ini yang diucapkan kepada pesakit saya.

1. Saya merasa sedikit kecewa apabila pesakit datang dengan harapan dan saya hanya mampu memberikan sebuah ungkapan jujur yang pasti akan menyakitkan hati pesakit. Kenyataan pahit yang harus ditelan bersama. Bukan mudah untuk mengungkapkan sebuah ayat yang jujur mengguris hati semasa kita masih rasional.

Lebih menginsafkan diri, nikmat penglihatan yang Allah SWT berikan kepada saya telah saya gunakan untuk apa sahaja?

Masih ramai manusia yang memerlukan nikmat ini, tetapi Allah menguji mereka dengan mengambil kembali nikmat penglihatan. Sehingga saya berkata pada diri, kalau sekadar peranan mata hanya untuk bermaksiat, silakan menderma mata dari terus menambah dosa.

2. Sewaktu mengungkapkan ayat ini, pesakit tadi berkata yang dia tidak punya wang. Sedang di dalam beg duit saya ada wang tunai sebesar nilai kos pemeriksaan mata tadi.

Betapa rasa berdosa diri, saya yang tidak dihimpit masalah kewangan masih boleh tersenyum untuk membeli apa sahaja yang saya inginkan. Sedangkan sesetengah dari insan di sekeliling kita, untuk KEPERLUAN PENTING dan ASAS yang menentukan mereka BUTA atau CELIK sahaja tidak mampu.

Maka nikmat TuhanMu yang manakah kamu dustakan?

Ya Allah, Kau jadikanlah aku hambaMu yang terus bersyukur. Ameen (-_-)

Sabtu, 24 Oktober 2009

Kita baik membantu atau bodoh ditipu?

Assalamualaikum wbt,

Pernah tidak ada yang tiba-tiba datang kepada anda meminta bantuan?

Apa tindakan anda? Realitinya bagaimana anda bertindak?

Cerita 1:

Pernah dulu, saya pulang dari kuliah bersama adik usrah saya. Kebetulan, ada seorang makcik menangis mengadu dia belum makan. Dia cuba menghubungi anaknya yang dikatakan bersekolah asrama di sekitar kawasan tempat saya kuliah namun gagal. Ibu tadi tinggal lebih kurang 3-4 jam perjalanan dari sini. Kerana rasa KASIHAN dan BERSAUDARA maka saya ajak ibu tadi untuk singgah ke kedai makan. Saya belanja ibu tadi makan.

Kemudian saya pergi ke Pak Satpam (baca :Pak Guard) yang berdekatan, saya bertanya kepada pakcik tadi solusi. Pakcik tadi memberitahu, dia yakin bahawa makcik tadi berpura-pura dan ingin menipu saya. Setelah di soal siasat pakcik tadi, makcik tadi terlihatlah ke"kantoi"an menipu.

Namun begitu, saya tidak membiarkan ibu tadi pulang dengan tangan kosong. Sehingga saya memberitahu ibu tadi,

"Ibu, ini ada wang sedikit untuk ibu. Ibu, kalau ibu menipu saya sekalipun, saya tetap akan berikan ibu wang dan bantuan cuma alangkah baiknya ibu berkata jujur dan itu amatlah bertuah bagi saya dapat membantu ibu. Saya amat sedih dengan sikap ibu yang cuba menipu itu. Atas dasar saudara seIslam, saya hulurkan bantuan. Hatta ibu bukan muslim, tetap sahaja bantuan akan saya hulurkan insyaAllah"

Ibu tadi kebingungan. Tiada kata terlafaz.

Cerita 2 :

Saya sedang membeli alat-alat tulis untuk tujuan kuliah praktikal di hospital. Tiba-tiba datang seorang lelaki meminta bantuan saya untuk menghubungi mana-mana sahabat lelaki yang saya kenali dan masih aktif dalam persatuan agama Islam. Dia mengaku dia telah murtad 4 bulan lalu. Kini, dia ingin kembali ke agama Islam dan menginginkan bimbingan. Saya sejujurnya senang hati sahaja apabila dapat membantu.

Setelah bantuan dihulurkan semampunya saya, lelaki tadi bertindak agresif. Mengikut ke mana saja saya pergi. Seandainya saya cuba berkomunikasi pada mana-mana orang (tujuan untuk meminta tolong), dia akan datang dan memarahi saya.

Alhamdulillah, semuanya selamat. Saya menghubungi sahabat-sahabat yang terdekat untuk mendapatkan bantuan kerana saat diekori itu, saya sejujurnya panik, takut dan hilang arah punca untuk bertindak.

Cerita 3 :

Seorang ibu dengan pakaian yang bergaya, ditambah eksesori perhiasan datang menangis depan saya. Meminta wang dan meminta jasa baik saya untuk mengubah preskripsi ubat.

Perkhidmatan saya sebagai doktor muda adalah terhad. Tidak boleh sembarangan. Kalau tersilap langkah, maka tindakan mahkamah itu sudah pasti.

Ibu tadi, menghalang saya untuk bergerak (bertugas). Dipaksa-paksa saya untuk membantu.

Cerita 4 :

Seorang pakcik berpakaian kemas dan elok, datang kepada saya dan mengaku tidak makan, tidak punya tempat tinggal.

Saya yang kebetulan tidak punya wang hanya sebatas Rp 2000 cukup untuk tambang ke ATM terdekat. Dia perlukan wang untuk terus hidup. Didesak terus saya. Dari jarak yang beberapa langkah dari saya, tiba-tiba pakcik tadi datang mendekati saya sehingga saya terpaksa berlari kerana tindakan pakcik tadi yang mula meragukan.

---------------------------------------------------------------------------------------

Bukan tujuan saya dedahkan cerita untuk menunjukkan diri "sok baik" atau membuka cerita menagih simpati.


Di dalam Al-Quran sekalipun, Allah ada menyuruh kita saling membantu antara sesama kita dalam mengerjakan kebaikan dan taqwa.

Tapi cuba kita fikirkan, apakah tindakan kita saat berada di tempat saya?

Bagaimana kita tahu sebenarnya, dia itu benar-benar susah atau sekadar menipu kita?

Apakah parameter untuk kita tentukan yang orang tadi di dalam kesusahan ataupun sedang ditipu?

Sejauh mana bantuan harus dihulurkan?

Adakah kita sudah cukup bijak atau sebenarnya hati kita keras dalam menghulurkan bantuan?

Sangat susah, sehingga sekarang saya merasa kurang percaya diri (self confidence) dengan penilaian saya. Kadang-kala ragu-ragu untuk bertindak dan saya merasa diri semakin 'kering' untuk menghulurkan bantuan. Ditipu dan dianiaya itu bukanlah perkara mudah untuk ditelan diri.

Andai sahabat-sahabat punya pandangan, silakan berkongsi. InsyaAllah boleh menjadi panduan buat saya dan yang lain.

Wallahualam.

Khamis, 22 Oktober 2009

Terima kasih dari mu

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah, diizinkan jua Allah SWT untuk saya mencoretkan sesuatu sebagai tanda kongsi saya pada sahabat semua.


Hari Isnin 19/10/2009 adalah tarikh rasmi saya melangkahkan kaki sebagai Doktor Muda. Department pertama saya adalah di Hospital Mata Cicendo. Sebuah hospital khusus mata peringkat nasional Indonesia. Jadi, segala jenis penyakit mata, Nah! terhidang di sini.

Dari sekecil-kecil anak sehingga orangtua yang diusung, semuanya ada.


Tekanan jangan cakap. Baru masuk hari kedua, saya rasa sangat-sangat down. Saya menangis yang tidak keruan. Banyaknya kes pesakit yang harus ditangani. Tajuk-tajuk yang perlu dipelajari berlambak. Kerja-kerja yang disuruh oleh doktor senior juga tidak kurang juga banyaknya. Kalau mahu disenaraikan pasti berjela panjangnya.

Saya menghabiskan waktu di hospital hampir 12jam. Masuk pukul 6.30pagi, pulang jam 6.30 malam. Tidur cukup sekadar 3-4 jam sehari. Selainnya adalah waktu belajar.

Alhamdulillah, masuk hari keempat ini saya sudah mula beradaptasi. Tidak terte
kan dengan jadual yang sangat padat. Hari ini, ingin saya kongsikan sedikit cerita.

"Terima kasih doktor" suara kecil anak lelaki yang comel berusia 6 tahun mengucapkannya kepada saya.

Subhanallah, suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Segala tekanan rasa terlepas begitu sahaja. Hanya kerana saya menolong si adik tadi memakai cermin mata. Dia yang baru menjalani operasi pembuangan katarak (serabut pada lensa mata) masih memerlukan latihan untuk menggunakan matanya secara optimal.

"Sama-sama adik" balas saya sambil tersenyum memandang adik ini berlalu keluar dari ruang rawat.


"Sungguh bermakna bukan?" tanya doktor senior yang mungkin melihat saya tersenyum terus.

"Pesakit adalah insan yang menjadi satu inspirasi buat kita untuk terus semangat dan kuat" sambung bicara doktor tadi lagi.



Semangat kembali.

Saya mahu melihat senyuman di wajah semua pesakit saya. Sekalipun tiada ubat yang diberikan cukuplah hati mereka senang dan tenang saat pulang. InsyaAllah



Jumaat, 16 Oktober 2009

Jika aku jatuh hati

Assalamualaikum wbt,

I found this beautifully created poem in You tube. Subhanallah.
Still, His Love is the greatest



Ya Allah jika aku jatuh cinta,

cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu agar bertambah kekuatanku untuk menyintaiMu

Ya Muhaimin jika aku jatuh hati,
izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu

Ya Rabbana jika aku jatuh hati,
jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling daripada hatiMu

Ya Rabbul Izzati jika aku rindu
rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalanMu

Ya Allah jika aku menikmati cinta kekasihMu
janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMu

Ya Allah jika aku jatuh hati pada kekasihMu
Jangan biarkan aku tertaih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu

Ya Allah jika Kau halalkan aku merindui kekasihMu
Jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu

Doaku..
Moga kita sama-sama berjaya di dunia dan akhirat..
Berjaya dalam mengharungi segala dugaan dan cabaran yang sememangnya menguji kekuatan iman kerana tapak iman itulah yang menemukan cinta yang selama ini telah hilang

Semoga Cinta yang dicari telah ditemui.
Semoga Allah meletakkan kita dibawah payung rahmat kasihNya InsyaAllah

Credit to http://www.youtube.com/watch?v=x7C0UewdVL8&feature=fvw

Khamis, 15 Oktober 2009

Zina

Assalamualaikum wbt.

"Zina mata adalah melihat (hal yang diharamkan untuk dilihat). Zina lisan adalah membicarakan (hal yang diharamkan untuk dibicarakan). Zina jiwa adalah berangan-angan dan menginginkan (berbuat zina dengan wanita/laki-laki yang diharamkan. Maka kemaluan yang akan membenarkan atau mendustakan zina hati (angan-angan untuk berzina).

HR Bukhari

Astaghfirullah.

Antara amalan atau perkara yang mampu mengurangkan IMAN adalah dengan melakukan maksiat. Ya, dan zina adalah contoh maksiat.

Kadang-kala kita merasa lemah, kita merasa diri kita jauh dari Allah SWT, kita rasa diri kita yang dahulu jauh lagi baik dari sekarang atau sebagainya. Lakukan bedah hati, lihat maksiat yang telah kita lakukan menggunakan anggota tubuh pinjaman dari Allah SWT.

Peringatan buat diriku yang lemah. Mencari kekuatan dari Allah SWT. Mencari kembali siapa diri ini. Astaghfirullah.

Rabu, 14 Oktober 2009

Ianya satu kegagalan buat diri

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah. Ruang masa dan peluang insyaAllah akan saya manfaatkan.

Minggu depan, akan bermulalah episod baru kehidupan saya (19/10/2009). Department Ophthalmology (Mata), adalah bahagian pertama untuk saya.

Saya sudah pun memulakan review kembali semua penyakit-penyakit mata. Membelek segala khazanah buku dan nota lama. Ternyata sehingga jam 12 tengah malam hari Selasa, makin terasa debarannya. Saya LUPA apa yang saya belajar selama ini. Ini yang buat saya sedih, kecewa dengan diri sendiri. Mulalah saya introspeksi diri. Niat dan tujuan saya belajar selama 4 tahun dulu. SEDIH dengan diri sendiri.

Baiklah. Tinggalkan seketika isu LUPA dengan apa yang sudah dipelajari, bukan itu perkara utama yang ingin saya kongsikan kali ini.

Kalau ada sahabat, meluahkan perasaan dan masalahnya, apa tindakan anda?

Bagi diri saya, tindakan yang akan saya lakukan adalah dengar masalah, fahamkannya dan cuba dapatkan solusi. Solusi yang rasional dengan keadaan diri sahabat.

Itu adalah diri saya. Saya akan merasakan satu kegagalan seandainya tiada solusi yang mampu saya berikan.

Pernah sahabat saya menasihatkan saya, "Dia luahkan perasaan dan cerita masalah bukan untuk solusi, dia cuma cari teman untuk mendengarkan masalah. Awak dengar sahaja lah. Tidak payah pening kepala fikirkan solusi"

Tapi saya bukan seperti itu.

Bila ada sahabat mengadu dia bersedih, saya turut bersedih. Lagi sedih kalau saya tidak dapat membantu.

Bila ada sahabat mengadu dia lemah, saya turut merasa lemah. Lagi lemah kalau saya tidak dapat memberikan kekuatan buat dirinya.

InsyaAllah, tidak pernah sekalipun saya merasa terbeban apabila ada sahabat yang meluahkan rasa hati mereka. Cuma mungkin bagi saya suatu kegagalan.

Mama kata, saya terlalu baik untuk sama fikirkan masalah oranglain. Masalah sendiri masih bertimbun, saya masih lagi memikirkan masalah orang lain. Tapi, bagi saya, apalah erti hidup andai sekitar 24 jam hanya memikirkan manfaat diri sendiri semata. Berkisar hal yang sama, orang yang sama. Akhirnya sentiasa berada takuk yang lama. Itu pandangan peribadi.

Babah pula berpesan, buat baik dengan orang berpada. Bukan semua orang dalam dunia ini berfikiran seperti kita. Ada yang akan menggunakan diri kita sebagai medium kejahatan dia. Saya yang masih mentah dalam selok-belok kehidupan akan mudah terjerat kerana sifat begini.

Pendapat mama dan babah diraikan.

Kesimpulannya, saya merasa gagal. InsyaAllah, saya harus muhasabah diri, dekatkan kembali diri dengan Allah SWT dan banyakkan bertaubat. Mungkin kerana jauhnya saya dari Dia, maka solusi juga kelihatan sangat buntu dan kosong.

Wallahualam.

Jumaat, 9 Oktober 2009

If I could, I would. But....

Assalamualaikum wbt.

Pernah tidak anda melakukan suatu kesalahan yang diulang-ulang walaupun pernah bernekad pada diri untuk tidak melakukan hal yang sama?

Bagi anda, tindakan anda yang salah itu beralasankan apa?Terlupa?


Analoginya,

Satu hari si A berjalan sendirian melalui satu lorong. Hanya lorong ini yang menghubungkan A dengan dunia luar. Dia tidak tahu struktur jalan itu bagaimana kerana inilah kali pertama dia melalui jalan tersebut. Hampir separuh perjalanan, secara tidak sengaja dia terjatuh di dalam sebuah lubang. Dia bangun, dan bertekad untuk berhati-hati seandainya dia melalui jalan tersebut lagi.


Selang beberapa hari, dia melalui jalan tersebut. Kali ini dia terjatuh lagi. Dia terlupa tentang kewujudan lubang yang pernah dilaluinya dulu.

Setelah beberapa minggu, si A berjalan menggunakan jalan yang sama. Dia tahu ada lubang. Dia tahu lubang itu di mana. Dia tahu akibatnya kalau terjatuh ke dalam lubang, namun kerana tidak berhati-hati si A mengambil iktibar, dia terjatuh sekali lagi.

Mungkin ada yang ketawa.


Mungkin juga ada yang berkata, "Apalah pelik manusia A ini. Sudah tahu lubang ada, lagi mengundang padah"

Tetapi, kalau diamati, ramai yang mengambil contoh si A dalam kehidupan. Dia menyesal ketika terkena padah. Tapi setelah luka sembuh, mula mengambil langkah yang mengundang padah.


Contoh sebagai seorang pelajar, apabila keluar sahaja keputusan peperiksaan dan keputusan kurang memuaskan, mula menyesal. Berjanji pada diri untuk tidak membazir masa, tidak bermain-main sahaja, akan menumpukan perhatian dan sebagainya.

Namun begitu, apabila masa berlalu, minda pun terlupa tentang keputusan peperiksaan yang teruk itu, lalu bermulalah episod ulangan siri kejahilan/kebodohan diri kerana mengulangi perkara yang sama.


Kedua, dalam berpersatuan. Tahu bahawa ukhuwwah itu penting. Tahu bahawa hubungan sesama manusia penting. Namun begitu, apabila program digerakkan, aktiviti direncanakan ada yang buat-buat terlepas dari tanggungjawab tersebut.


Apabila program tidak jalan, maksiat dalam lingkungan berleluasa, mula datang rasa menyesal. Namun, setelah minda "terlupa" tentang ukhuwwah dan rasa tanggungjawab maka segala janji diri dan persatuan pun diabaikan. Berulang lagi episod kedua kehidupan yang tiada perubahan.

Sampai bila kita mahu terjatuh di dalam lubang yang sama?

Kita mungkin boleh kata orang bodoh kerana terjatuh di dalam lubang yang sama berulang kali, tapi apa bezanya dengan kita andai terjatuh di dalam lubang kesalahan yang kita ulangi saban hari?

Cukuplah sekali sebegai pengalaman dan peringatan buat diri. Jadilah manusia yang bertaqwa dengan berhati-hati menjalani liku kehidupan.

Ubah paradigma pemikiran kita. Kalau dulu mengeluh menyebabkan kita patah semangat lalu kecundang maka jangan mengeluh andai diri ditimbuni dengan ujian. Seandainya kita tiada pilihan, jadi kita harunginya dengan sebaik mungkin.


This is what I always keep in mind;
If I could, I would
But it will never happen
History is a guidance for us to reach a medal of glory
History is not something for you to repeat all over again, it's for you to learn & do even better

Wallahualam, sekadar peringatan buat diri dan semua. InsyaAllah

Khamis, 8 Oktober 2009

~SUPERB~

Alhamdulillah, setelah hampir 2 minggu saya meninggalkan blog demi tanggungjawab, akhirnya Allah memberikan kembali ruang dan masa untuk saya berkongsi pengalaman dan kisah bermanfaat.

All I want to say is, of all orientation based activities I ever went to, the last one (Program Pendidikan Profesi Dokter 7-8 October) was the BEST. It was SUPERB!

Thank you to all PRA-P3D comittee, I really appreciate it. May Allah bless all of you

To my batch mates, if yesterday was our spectacular history, let's create another tomorrow's glory. InsyaAllah

Can't wait to give a hand to whom my help is needed.