Sabtu, 31 Oktober 2009

Semua orang baik

Assalamualaikum wbt.

Semakin menginjak usia, semakin mengajar kita erti kehidupan.

Semua orang baik

Ya, walaupun orang itu jahat pada mata kita, cuba lihat, dia punya kawan dan keluarga tidak?

Kalau masih ada insan yang ingin menjadi sahabat dia, walaupun sama spesis "senget" sepertinya, tidak mengapa, dia masih baik. Jika tidak, masakan dia masih punya teman. Sifat baiknya dia itu adalah bersifat eksklusif hanya pada teman-teman terdekat sahaja.

Kita jernihkan kembali pemikiran dari bersangka buruk

Baru-baru ini saya melihat operasi katarak. Di dalam ruangan bedah terdapat 2 orang pakar bedah mata yang sedang sibuk menjalankan tugas mereka. Seorang santai manakala seorang lagi garang sangat mukanya. Tidak senyum, tidak menegur, yang penting tiada respon.

Dalam hati saya, saya cuba memujuk diri,

"Dia baik, kalau tidak mana mungkin dia mahu bertugas hampir 5 jam. Ini semua perlukan pengorbanan dan kesabaran yang tinggi."

Benar pun jangkaan saya, esoknya kuliah dari Pakar Mata diisi oleh beliau. Dia sangat baik, peramah dan pemurah dalam mencurahkan ilmunya. Pelbagai tips diberikan.

Peristiwa kedua terjadi sewaktu saya masih kuliah dulu,

"Aimi, mamat tu gatal g***. Ada ke patut dia kenyit mata dekat saya. Ramai tak suka dia sebab dia suka kenyit mata. Awak pergi belasah dia Mi" kawan saya datang mengadu.

Saya yang mendengar pun rasa kurang selesa. Geram pun ada.

Saya pun pergi ke arah lelaki tadi. Entah kenapa, saya terdetik untuk memandang dulu wajahnya.

Astaghfirullah, terbatal niat saya untuk menegur lelaki tadi. Saya kembali kepada sahabat tadi lalu,

"Perasanlah awak ini!! Dia ada habit kenyit mata. Dia sakitlah. Bukan sengaja dia kenyit mata dekat awak. Dekat saya tadi pun dia kenyit mata. Ini kita dah buat dosa buruk sangka dengan dia" saya kembali menegur.

Padah seandainya kita bersangka buruk dan membiarkan bad impression menjadi titik permulaan sebuah hubungan persahabatan antara kita dan sahabat-sahabat lain.

Terjemahan:
Surah Al-Hujurat: 12

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”


Menerima kekurangan, meraikan kelebihan sahabat dan membuka sebesar-besarnya pintu kemaafan.

Masa kita sedang marah dengan kawan kita, pasti segala yang buruk tentang kawan tadi akan keluar kan?

Sia-sia lah amalan kebaikan kita kalau kita terdetik mengungkit kembali kebaikan yang pernah kita berikan pada sahabat.

Bukalah pintu hati kita, cuba untuk memaafkan dia. Walaupun itu perit, tetapi tidak mustahil. Jangan ditanya siapa punya salah kerana itu akan memperpanjangkan lagi tempoh pergaduhan.

Kedua, seandainya kita sedang mempunyai konflik dengan sahabat, berpadalah. Bersederhanalah. Jangan sampai kita semburkan segala keburukan dia dari A sampai Z kepada orang lain. Jangan pula kerana ikutkan geram, yang "dalam-dalam" (yang pernah dijanjikan untuk menjadi rahsia) pun diceritakan.

Kelak nanti, bila keadaan menjadi tenang kembali, persahabatan kembali bertaut kita akan menyesal. Menyesal kerana membuka segala aib dan meluahkan segala rasa tidak berpuas hati. Bukankah kita hipokrit namanya?Na'udzhubillah.

InsyaAllah, saya mengamalkan SENYUM dan SENYAP kalau tengah marah atau tiada mood. Lebih tenang dan tidak mengancam perasaan dan jiwa.

Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan