Selasa, 28 April 2009

Strategi Rasulullah SAW sebagai pemimpin

Kejayaan Rasulullah SAW meloloskan diri ke Madinah dari Mekah bersama Saidina Abu Bakar As-Siddiq menimbulkan tanda tanya dan tekanan kepada tentera Quraisy dan juga pemimpinnya. Kalau difikir mengikut logik akal tidak mungkin seorang manusia melewati rumah yang telah dikepung kemas oleh para tentera musyrik. Strategi menggantikan Ali Bin Abi Thalib di tempat tidur Baginda membuahkan hasil.

Dek ego yang membara, pemimpin Quraisy tidak berpuas hati pada masa itu langsung menawarkan ganjaran sebesar 100 ekor unta betina yang elok bagi sesiapa yang berjaya menangkap Rasulullah SAW dan dipersembahkan kepada kerajaan baik dalam keadaan mati mahupun hidup.

Ternyata tawaran ini menarik perhatian Suraqah Bin Malik untuk mengejar Rasulullah SAW. Suraqah ketika itu sedang berada di pesisiran Mekah dan dengan menunggang kuda dia lantas mengejar "mangsa"nya. Kemudian terlihat Suraqah kelibat 3 orang dan dia yakin itu adalah Rasulullah SAW, Abu Bakar As-Siddiq dan juga penunjuk jalan Abdullha Bin Uraiqith.

Lantas Suraqah mengerah tenaga kudanya berlari pecut mengejar mereka. Kuasa Allah SWT melebihi dari apa yang terjangkau dari fikiran hambaNya. Jatuh terperosoklah kuda tunggangannya dan juga Suraqah. Untuk kali keduanya, digagahi kembali oleh Suraqah menaiki kuda dan diteruskan derapan langkah kudanya, namun sekali lagi kudanya jatuh dan begitu juga Suraqah.

Rasulullah SAW dan Abu Bakar As-Siddiq lantas mendatangi Suraqah membantu dirinya. Sedang Suraqah berkata;
"Ambillah harta, senjata dan bekalanku. Aku berjanji dengan Allah kepada kalian berdua, akanku suruh kembali setiap orang yang berusaha mengejar kalian di belakangku"

Ternyata jawapan Rasulullah SAW;
"Kami tidak memerlukan harta, senjata dan bekalanmu. Cukuplah kau menyuruh mereka yang mengejar kami untuk kembali"

Cerita antara Rasulullah SAW dan Suraqah tidak hanya berhenti disitu. Cuma saya melihat dari Rasulullah SAW bijak membezakan kawan dan juga lawan. Sekalipun Suraqah itu kafir (pada ketika itu), Baginda melihat dia sebagai potensi tidak sebagai musuh. Kalau diikutkan logik akal, mengapa Rasulullah harus percaya dengan janji Suraqah?Apa jaminannya bahawa Rasulullah tidak diburu oleh kawan-kawan Suraqah?

Di sinilah KEBIJAKSANAAN Rasulullah SAW membezakan kawan dan juga lawan

Tindakan Rasulullah SAW memaafkan Suraqah dan membebaskannya tidak memberi mudharat kepada baginda sebaliknya inilah strategi dimana Suraqah kembali ke Mekah dan menghalangi mereka yang ingin memburu Rasulullah SAW. Kerjasama Rasulullah SAW dengan non muslim ketika itu ternyata berhasil di mana Rasulullah berjaya membezakan potensi yang ada pada Suraqah Bin Malik.

Coretan sirah Rasulullah kali ini sengaja saya sentuh kerana sikap seorang pendakwah/muslim/pemimpin kita harus bijak mengenal pasti kawan dan juga potensi. Potensi tidak hanya pada muslim itu sendiri tetapi juga pada lawan. Dilihat kembali antara pendukung kuat pergerakan Islam itu asalnya adalah penentang Islam seperti Suraqah bin Malik sendiri dan Umar Al-Khattab.

Setelah berjaya mengenalpasti potensi mereka maka berani bertindak. Bertindak menyebarkan dakwah Islam. Bertindak menyebarkan keindahan Islam. Bertindak mempamerkan akhlaq Islam yang sudah terpatri di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ada di antara mereka yang bersyahadah mengaku mengimani Allah SWT dan Rasulnya masih ragu-ragu/takut-takut/malu-malu menegur perkara yang haq. Kenapa perlu ragu atau malu dan takut sedangkan kita menyampaikan perkara yang benar, tepat pada waktunya dan kena pada tempatnya. Wallahualam.

Pesan 1: Suraqah Bin Malik ialah insan yang ditawar Rasulullah memakai pakaian kebesaran Kisra bin Hurmuz. Pembesar kerajaan Persia (kini dikenali sebagai Iran). Waktu tawaran disampaikan adalah sewaktu Islam masih bertapak menyebarkan dakwah di mana Rasulullah SAW memberikan tawaran sejurus peristiwa di atas terjadi.

Pesan 2: Setelah memeluk Islam, beliau antara pendukung Islam yang kuat menyebarkan dakwah dan sewaktu pemerintahan Umar Al-Khattab, terjadi penaklukan Kota Persia oleh kaum muslimin. Antara harta rampasan adalah alat(mahkota dan gelang) dan pakaian kebesaran Kisra. Dipakaikan Umar Al-Khattab pakaian tersebut kepada Suraqah. Lantas teringat kembali Suraqah akan tawaran Rasulullah SAW ketika beliau ingin menangkap Rasulullah SAW.

Pesan 3: Potensi dan strategi. Comparative religion (1st dan 2nd Mei 2009) adalah antara medan yang boleh kita bawa sahabat-sahabat kita yang mempunyai potensi. Mungkin tidak sekarang tetapi kerana titik permulaannya kini, kita menuai hasilnya esok

Sabtu, 25 April 2009

Ikhlaskan hati(niat) dan amalku

Berjalan ke kuliah seawal 7pagi, IKHLAS kah anda?
Atau kerana itu suatu kewajipan mengikut jadual?

Mendermakan sejumlah wang buat si pengemis, IKHLAS kah anda?
Atau sekadar menghulur sebab pengemis itu sudah lama menagih di sebelah meminta simpati?

Menyiapkan tugasan harian, IKHLAS kah anda?
Atau kerana itu aktiviti harian?

Melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, menyidai pakaian, IKHLAS kah anda?
Atau sekadar mengikut arahan orang tua dan tidak lama lagi mahu menikah (takut mak mertua marah)

Melamar insan yang bernama wanita, IKHLAS kah anda?
Atau sekadar lirik hati menyukainya dan takut terlepas kepada lelaki lain (nanti menyesal)

Menerima lamaran insan bernama lelaki, IKHLAS kah anda?
Atau sekadar menerima sebab dah dilamar dan risau kalau tiada lelaki lain yang mahu (nanti takut solo sampai ke tua)

Meninggalkan perkara larangan atau kemaksiatan yang dahulu menjadi kebiasaan, IKHLAS kah anda?
Atau masih ada sekelumit rasa kekesalan kerana perlu sentiasa menjaga?

IKHLAS

Secara bahasa dapat didefinisikan sebagai murni dan terbebas dari kotoran yang berasal dari kalimah khalasa

Jadi dapat difahami di sini ikhlas bermaksud melakukan suatu perkara niat dan amalnya kerana Allah SWT.

Ramai orang mungkin selalu mendengar kalimah ini tetapi berapa ramai di antara kita yang bermujahadah memperjuangkan maksudnya?

Berapa ramai di antara kita yang menyulamkan MANUSIA, HARTA, PANGKAT dalam niatnya sehingga niat yang asalnya bersih tercemar dengan kotoran duniawi. Astaghfirullah

Ya, ia perlukan mujahadah. Ia perlukan latihan.

Pesan 1: Coretan pendek ini adalah untuk ingatan diri sendiri dan sesiapa yang membacanya.

Pesan 2:
Az-Zumar : 3(terjemahannya); Ingatlah, hanya kepunyaan Allah lah agama yang bersih (dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah berkata : "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya". Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar.

Pesan 3: Az-Zumar : 14(terjemahannya); Katakanlah: "Hanya Allah saja yang aku sembah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam menjalankan agamaku"

Pesan 4 : Al-Bayyinah : 5(terjemahannya); Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam menjalankan agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat dan yanbg demikian itulah agama yang lurus.

Pesan 5: Melakukan AMAL yang BENAR (mengikuti sunnah Rasulullah SAW) dan diiringi IKHLAS (murni niat dan amalnya kerana Allah SWT) dan niat tidak menghalalkan cara sekalipun niat itu ke arah kebaikan. Wallahualam

Pesan 6: Sabarlah hati. Bermujahadah memperjuangkan ikhlas dalam setiap amal ibadah. Ameen(^_^)



Rabu, 15 April 2009

Calon suami/isteri KITA bagaimana?

Khalifah Umar Al Khattab melangkah keluar saat penduduknya enak menikmati malam yang mendamaikan. Umar r.a komited terhadap tanggungjawab beliau kepada rakyatnya andai ada musafir yang tidak punya tempat menginap, sakit yang tidak mendapatkan ubat, lapar yang tidak punya makanan. Menjengah hampir setiap pelusuk kawasan pemerintahannya sehingga lelah menyapa diri. Tenaga yang ada disimpan untuk solat sebelum fajar menyingsing di subuh hari.

Sewaktu berjalan menyusuri malam, tiba-tiba terdengar Khalifah Umar Al-Khattab perbualan dua beranak. Si ibu dan anak perempuannya.

"Ibu, jangan campurkan air dan susu. Bukankah Umar melarangnya?" tegas anak perempuan tadi kepada ibunya.

"Tidak mengapa, lagipula tidak mungkin Umar melihatnya" balas ibunya mencari dalih

"Sekalipun Umar tiada di sini dan tidak melihatnya tetapi Tuhan Umar tetap melihat" jelas anak ini tadi

Keikhlasan dan keimanan anak perempuan ini telah menambat hati Umar. Penyejuk jiwanya. Kebetulan anak lelakinya sedang mencari calon isteri. Maka keesokan harinya, diberitahu Ashim anak Khalifah Umar menikahi gadis cergas tadi Ummu Ammarah, namanya. Hasil pernikahan mereka, lahirlah Ummu 'Ashim yang mana kemudian saat dewasa menikah dengan jejaka bernama Abdul Aziz bin Marwan. Tahukah siapa zuriat yang lahir dari rahim Ummu 'Ashim?

Beliau adalah Umar Bin Abdul Aziz

Siapa yang pernah membaca mengenai profil Umar Bin Abdul Aziz mungkin mengetahui kewibawaan beliau menjalankan amanah sebagai Amir sebuah Daulah Islam. Karakternya yang adil dalam penilaian, merendah diri tatkala rakyat terus memuji, kesederhanaan dalam menjalani kehidupan dan keteladanan seorang pemimpin benar-benar mengusik hati kecil saya.

Seandainya kita sama-sama meneliti salasilah keluarga U
mar Bin Abdul Aziz, dapat kita lihat mengalirnya darah Umar Al-Khattab ke dalam diri Umar Bin Abdul Aziz. Boleh terus diulas panjang mengenai kepimpinan beliau cuma entri kali ini saya tertarik mengenai calon pilihan pasangan. Ini merupakan inspirasi dan motivasi kepada diri menjadi yang terbaik dari sekadar baik (I will choose and strive to be Great than Best muslimah, Ameen). Menjadikan Al-Quran sebagai panduan dengan menzahirkan dalam perlakuan akhlaq seharian. InsyaAllah

Realiti kini mungkin sahaja segelintir atau sesetengah
dari masyarakat kita kurang menitikberatkan Agama sebagai salah satu karakter WAJIB dalam pemilihan calon. Sedangkan untuk melahirkan generasi yang berilmu dan berfikiran luas, berjiwa jihad fisabilillah dan juga tegar menegakkan syariat Allah di muka bumi, ibu dan bapa perlu menjadi templat kepada corak kehidupan anak-anak.

Jangan kita bicara mengenai si ayah ustaz dan ibu ustazah tet
api anaknya diserang virus Hedonism. Ketepikan soal mereka yang bertudung litup labuh seperti khemah tetapi ibu sibuk bergaya membuka aurat segala manakala ayah pengunjung tetap kelab malam. Kita bicara soal KITA. Kita bicara soal DIRI SENDIRI. Jangan menuding jari marasa terlepas segala tuduhan sekalipun saya tidak pernah berniat ke arah itu.

Saya mengakui seharusnya tidak layak saya berbicara soal mendidik anak. Menika
h sahaja belum. Buka perspektif yang lebih luas di mana aspek mencari pasangan dan kepentingan ISLAM, IMAN dan ILMU serta AMAL dan AKHLAQ yang baik dalam diri pasangan menjadi aspek utama perbincangan.

Pernah saya mendengar perbualan seorang teman,

"Aku takut kalau aku tolak lamaran dia, tak de dah siapa
-siapa nak kat aku" penjelasan yang saya rasa kurang mantap dan tidak masuk dek akal.

"Apa kriteria yang awak gariskan?" bertanya lagi kepada teman.

Diam seribu bahasa tanda dia tiada jawapan khusus untuk persoalan tadi.

Kisah Khalifah Umar Al-Khattab dan generasinya Umar Bin Abdul Aziz cuma satu contoh garis panduan untuk dijadikan bahan yang boleh kita fikirkan bersama. Karakter lain pasangan juga harus kita teliti tetapi aspek ISLAM, IMAN, dan AMALnya lah yang diutamakan.


Pesan 1 : Pilihlah pasangan kerana ISLAM, IMAN dan AKAL serta AMAL dan AKHLAK

Pesan 2 : Aspek harta, sihat tubuh badan, fizikal pasangan, pada pandangan yang kita senangi juga menjadi timbangan tetapi bukanlah suatu prioritas pada kita (khususnya saya)

Pesan 3 : "Seorang wanita dinikahi kerana 4 faktor: kerana hartanya, keturunannya (nasab), kecantikannya, dan agamanya. Carilah yang kuat agamanya, niscaya engkau akan bahagia"
(HR Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud)

Pesan 4 : An-Nur : 26 (terjemahannya);
"Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji
, sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik(pula). Mereka itu bersihdari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)"

Pesan 5 : To my lovely friend, Natasha, semoga cepat sembuh dan Alia jangan menambah angka berat badan. Kepada kawan-kawan saya Kak Ainur dan Kem selamat menuju alam pernikahan. Buat sahabat-sahabat yang sedang meniti "ranjau dan onak duri" bermujahadah menjaga Iman dan Hati semoga terus kuat memeliharanya.

Isnin, 6 April 2009

Si dia menyakitkan hati?

Setelah usai solat Isya', saya meluruskan kaki sambil meregangkan otot badan. Terasa penat hari ini dilalui. Selang beberapa minit saya melayangkan fikiran, terdengar lagu dendangan Edcoustic Muhasabah Cinta dari telefon bimbit lantas terdengar, "Mama". Telefon bimbit membacakan nama pemanggil.

"Assalamualaikum mama, kenapa?" tanya saya.

"Wa'alaikumussalam kak, tolong call acik. Mama sibuk sediakan makanan untuk babah buka puasa, mama dengar suara acik tadi tengah nangis. Cuba tanya dia kenapa?" jelas mama. Kedengaran suara mama yang tergesa-gesa.

Saya melihat kredit yang masih berbaki. Alhamdulillah tinggal Rp15,000 (RM5.00). Perkiraan saya cukuplah kiranya untuk berbicara selama 20 minit. Lantas saya mendail nombor telefon bimbit adik saya yang ketiga, Amira atau nama panggilan keluarganya, Acik. Dia menuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atau dahulunya dikenali sebagai ATMA dan mengmbil jurusan kejuruteraan mekanikal (mechanical engineering). Pasti tekanan baik aspek mental mahupun fizikal menjadi wadah santapan mereka setiap hari.
"Assalamualaikum acik, tengah buat apa tu?" saya memulakan bicara.

"Wa'alaikumussalam. Takde buat pape. Tunggu jap lagi ada aktiviti" jelas kedengaran suara Amira yang agak sayu. Tidak seceria seperti selalu. Lama juga untuk saya memancing hati Amira supaya dia bersedia meluahkan perkara yang serabut di mindanya. Mungkin sekadar mendengarkan celoteh masalahnya mampu menjadi penawar keresahan hatinya.

Setelah usai Amira meluahkan segalanya, tahu lah saya bahawa ada seseorang telah menyakitkan hatinya. Mendengar sahaja luahan Acik tadi, membuak rasa marah dalam diri, cuma saya mengikat kemas dengan nilai Sabar dan Rasional dalam menyampaikan nasihat.

Saya menasihatkan kembali Amira,

"Acik, dalam satu hari, kita ada 24 jam kan?" tanya saya pada Amira sekadar menguji
"A'ah" jawabnya lemah.

"Baik, dalam 24 jam yang Allah bagi pada Acik dan orang lain, bagi pandangan kakak, orang yang menyakitkan hati acik cuma mengambil 1 jam atau lebih sikit dari total 24 jam yang acik ada. Menjadi suatu beban pada diri apabila kita menghabiskan baki 23 jam lagi untuk memikirkan perkara yang menyakitkan hati mengenai dia sedangkan dia telah jauh pergi entah sedang lena tidurnya atau enak makannya. Percuma sahaja masa acik dibazirkan memikirkan hal yang menyakitkan hati. Bukan pahala yang menjadi tabungan amal sebaliknya dendam, sumpah seranah, benci dan sakit hati akhirnya menjurus kepada dosa yang membukit tinggi. Dia berjumpa dengan acik, menyakitkan hati acik pada jam pertama. Kenapa pula acik memikirkan terus hal dia pada jam berikutnya walaupun dia tiada di depan mata. Sia-sia. As I said to you before, you own your body, you own your soul and you own your mind. Biar dia berbicara pedas dan menyakitkan hati pada masa yang cuma sedikit tetapi kita punya cara untuk menghiburkan kembali hati yang lara" nasihat saya pada Amira

Terdengar hela lega dari kejauhan sayup suara Acik. Itu sudah cukup membuatkan saya turut sama memanjatkan syukur pada Illahi mengurniakan ilham dan kesabaran serta rasional dalam penyampaian.

"Kak, Acik kena turun (berbaris) sekarang. Thanks, kak" terdengar suaranya kembali ceria.
"Ok, jaga diri baik-baik. Jaga kesihatan, jaga hati dan jaga iman. Assalamualaikum" saya membalas dan kedengaran suara Amira menjawab salam lantas panggilan pun dihentikan.

Pesan 1 : Ar-Rad:28 (maksudnya) : (yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.

Pesan 2 : Kalau seseorang menyakitkan hati kita, bersabar dulu dan jangan cepat melatah. Kadang-kala sikap orang itu adalah refleks (cermin) kepada tindakan kita yang terdahulu kepadanya.

Pesan 3 : Carilah aktiviti yang menjadi tempat kita menenangkan minda kerana saat kita disakiti tiada istilah "hilang arah" kerana kita punya agenda seperti membaca Al-Quran, beriadhah untuk melempiaskan rasa kurang enak kita pada seseorang. Wallahualam


Sabtu, 4 April 2009

Solat saya tidak sah?

"Kita singgah solat di R&R Seremban, lepas solat kalau ada yang nak makan, kita makan sekejap" jelas babah sewaktu melihat papan tanda menunjukkan kurang 1 kilometer kami akan sampai ke R&R Seremban dari arah Kuala Lumpur. Seisi keluarga baru usai menjemput saya pulang dari Bandung untuk bercuti semester.

Saya menunaikan solat dengan pakaian yang saya pakai. Berbaju labuh, seluar yang longgar dan tudung besar saya. Setelah selesai solat dan berdoa, saya didatangi seorang makcik,

"Nak, awak kena solat semula" kata makcik itu. Saya dengan wajah yang kaget melihat-lihat baju, seluar, tudung, stokin yang mungkin ada kesan najis.

"Kenapa makcik?" tanya saya lagi.

"Awak kena solat lagi, awak solat semula" suara makcik ini meninggi. Hati saya berbisik apakah memang salah saya atau makcik ini.

"Makcik, terima kasih sebab prihatin dengan solat saya. Tapi apabila makcik suruh saya solat kembali, itu bermaksud makcik mengatakan solat saya tidak sah. Apa yang menyebabkan makcik merasa solat saya tidak sah?" saya kembali bertanya. Api tidak seharusnya dilawan dengan api. Mungkin terbakar R&R Seremban itu nanti. Saya masih melemparkan senyuman walaupun muka makcik tadi semakin kelat dan kerut diwajah bertambah.

"Bukan apa, anak pakai seluar solat. Sepatutnya anak pakai telekung" wajah makcik tadi kelihatan lega mungkin terlerai jua kekusutan yang disimpan. Geli hati saya melihat riak wajah makcik ini.

"Terima kasih. Saya menutup aurat dengan sempurna makcik, jadi tiada salahnya saya solat dengan pakaian saya sekarang. Andai makcik suruh saya solat semula kerana saya memakai seluar, seluar saya tidak ketat sama sekali. Tidak juga jarang dan tidak pula meniru agama lain" bukan niat saya hendak menunjuk pandai. Tetapi kejahilan harus diperbetulkan agar minda ISLAM sendiri yang kadang-kala terkongkong sempit sempat dibuka sebelum ajal menjemput.

Saya memandang makcik tadi, ada riak kurang senang dipamerkan di wajahnya.

"Makcik, saya bukan hendak tunjuk pandai dengan apa yang baru saya nyatakan tadi. Itu saja ilmu yang saya ada. Jadi saya berkongsi. Saya yakin makcik punya lebih banyak ilmu berbanding saya. Bolehlah kita saling berkongsi" saya membuahkan senyuman. Makcik tadi kelihatan berubah riak wajah menjadi ceria. Kami keluar dari ruang solat bersama. Bertukar cerita keluarga. Alhamdulillah

Itu antara realiti di Malaysia yang terjadi sehingga hari ini. Mentaliti yang terkongkong kerana agama warisan. Indah sungguh nikmat andai kebenaran yang sempat dicapai sebelum kematian menjemput. Hendak solat harus bertelekung kalau tidak solat tidak sah. Apakah?

Jumaat, 3 April 2009

Ilham dari dalam tandas:)

Jadual petang itu adalah tutorial seperti biasa. Saya memanjat anak tangga untuk ke ruang tutorial di tingkat 3 dengan penuh kepayahan dan kelelahan. Payah menahan sakit dan lelah kerana deretan anak tangga yang berjaya meningkatkan metabolisma tubuh. Setibanya saya di hadapan pintu utama ruang tutorial tahun 4, saya disapa seorang teman,

"Aimi, lama aku tunggu kau. Itulah aku ajak pergi exercise, kau banyak alasan nak mengelak. Sekarang dah kepenatan macam setahun tak pernah exercise" tegur teman tadi. Gurauan yang kadang-kala pahit untuk ditelan. Melihat sahabat tadi yang sebenarnya tidak mengetahui keadaan sebenar, saya melemparkan senyuman.

"Tak sampai seru lagi lah nak jogging. Apa kata awak practice je dulu, nanti kita lawan marathon. Kenapa?" pertanyaan saya membuatkan sahabat tadi turut ketawa.

"Aimi, aku nak tanya, kalau kita nak sampaikan nasihat pada orang, bukankah kita perlu jadi diri sendiri. Tidak perlu lah kita jadi alim segala. Yang penting apa yang kita sampaikan bukan apa dalam hati kita atau sikap kita. Jadi kalau memang habit kita kuat lepak dengan kawan, ketawa kuat-kuat, suka chit-chatting there's no reason why those people tak nak dengar our nasihat right?

Dalam fikiran saya berputar mencari jawapan yang tepat. Benar kita harus menjadi diri sendiri tapi sampai ketawa kuat-kuat segala itu yang kurang tepat duduk letaknya akhlaq seorang mukmin. Dalam penyampaian saya, saya lebih gemar menyampaikan dalam bentuk analogi kerana pendekatan analogi lebih saya lihat sesuai buat teman-teman saya sekarang.

"InsyaAllah, kalau saya dah dapat jawapan, saya bagi tahu awak" balas saya setelah melihat jam yang tepat menunjukkan pukul 1.00petang menandakan tutorial seharusnya sudah bermula.

Setelah hampir sejam waktu tutorial berlalu masih juga tiada analogi yang sempat menyinggah di minda. Sedangkan saya sudah tidak keruan untuk ke tandas. Lantas saya meminta izin dari Doktor tutorial. Saya menyusun langkah sambil di minda memikirkan persoalan sahabat tadi. Ternyata K.O.S.O.N.G. Hanya terfikir tentang penyakit ginjal, edema (bengkak air pada badan), hematuria (darah dalam air kencing), proteinuria (protein dalam air kencing). Semuanya merupakan gejala tidak normal pesakit hasil perbincangan tutorial sebentar tadi. InsyaAllah, seandainya panjang umur dan dimurahkan rezeki saya ingin melanjutkan pengajian perubatan dan menjadi Pakar Penyakit Dalam serta subspecialist Nephrologist.

Seusai membuang air, Subhanallah dengan izinNya dikurniakan ilham buat saya menterjemahkan persoalan tadi (Walaupun saya tahu, tandas bukanlah tempat yang sesuai mencari ilham)

Seusai tutorial, saya berlari-lari anak menuju ke ruang tutorial sahabat tadi.

"Alhamdulillah saya dah dapat jawapannya, insyaAllah" wajah ceria saya hadiahkan kepadanya

"Apa dia?" tanya sahabat tadi.

"Ok, sebelum itu, kalau pesakit datang dengan masalah ginjal, kita sebagai doktor mengambil langkah awal dengan memeriksa air kencing pesakit baik secara kuntiti mahupun kualiti untuk mengetahui fungsi dan kondisi ginjal. Kita tidak melakukan sebarang pembedahan terhadap ginjal untuk melihat kondisi ginjal pada langkah terawal sebaliknya melihat OUTPUTnya dahulu untuk merefleks fungsi ginjal. Betul tidak?" persoalan sekadar memancing minat sahabat tadi.

"A'ah. Itu aku tahulah. Tapi apa kaitannya dengan soalan aku tadi?" terkena pancing sahabat tadi.

"Jadi sama juga konsep menyampaikan nasihat mahupun dakwah. Orang hanya menilai OUTPUT kita. Di mana OUTPUT kitalah yang akan mencerminkan INPUT (ilmu dan hati). Orang tidak mampu menilai hati dan niat kita bagaimana sebaliknya mereka menafsirkan sesuatu sesuai apa yang mereka lihat. Baik ucapan, perbuatan, pakaian, dan lain-lain. Ucapan merupakan satu elemen penting penyampaian mesej tetapi aspek lain turut kita ambil berat. Jadi mereka iaitu orang luar menilai kita sesuai dengan apa yang kita pamerkan kepada mereka" saya menyampaikan hujah merungkai persoalan tadi sesuai dengan analogi fungsi ginjal.

"Maknanya lepas ini aku tak boleh ketawa kuat-kuat lah ye?" tanya sahabat lagi.

"Bersederhanalah. Rasulullah pun mengamalkan prinsip kesederhanaan. Hendak bergembira tiada salahnya tapi sampai ketawa melambak itu yang jadi masalah. Lagipun kita digesa sentiasa mengingati mati. Masih adakah ruang untuk kita ketawa kalau kita sering mengingati mati. Wallahualam" saya juga bersederhana menyampaikan kerana riak wajah teman tadi yang sudah bertukar sedih.

"Ayuh, kita ikhlas dalam meninggalkan perbuatan yang tidak bermanfaat. Ikhlas dengan memurnikan Allah sebagai tujuan" jawapan saya menutup perbualan kami pada petang itu.

Pesan 1 : Saya pun suka ketawa. Threshold saya rendah kalau orang buat lawak. Lagi kelakar kalau orang tersebut tidak ketawa bila buat lawak. Cuma bersederhana itu penting (cover ayu).