Selasa, 28 April 2009

Strategi Rasulullah SAW sebagai pemimpin

Kejayaan Rasulullah SAW meloloskan diri ke Madinah dari Mekah bersama Saidina Abu Bakar As-Siddiq menimbulkan tanda tanya dan tekanan kepada tentera Quraisy dan juga pemimpinnya. Kalau difikir mengikut logik akal tidak mungkin seorang manusia melewati rumah yang telah dikepung kemas oleh para tentera musyrik. Strategi menggantikan Ali Bin Abi Thalib di tempat tidur Baginda membuahkan hasil.

Dek ego yang membara, pemimpin Quraisy tidak berpuas hati pada masa itu langsung menawarkan ganjaran sebesar 100 ekor unta betina yang elok bagi sesiapa yang berjaya menangkap Rasulullah SAW dan dipersembahkan kepada kerajaan baik dalam keadaan mati mahupun hidup.

Ternyata tawaran ini menarik perhatian Suraqah Bin Malik untuk mengejar Rasulullah SAW. Suraqah ketika itu sedang berada di pesisiran Mekah dan dengan menunggang kuda dia lantas mengejar "mangsa"nya. Kemudian terlihat Suraqah kelibat 3 orang dan dia yakin itu adalah Rasulullah SAW, Abu Bakar As-Siddiq dan juga penunjuk jalan Abdullha Bin Uraiqith.

Lantas Suraqah mengerah tenaga kudanya berlari pecut mengejar mereka. Kuasa Allah SWT melebihi dari apa yang terjangkau dari fikiran hambaNya. Jatuh terperosoklah kuda tunggangannya dan juga Suraqah. Untuk kali keduanya, digagahi kembali oleh Suraqah menaiki kuda dan diteruskan derapan langkah kudanya, namun sekali lagi kudanya jatuh dan begitu juga Suraqah.

Rasulullah SAW dan Abu Bakar As-Siddiq lantas mendatangi Suraqah membantu dirinya. Sedang Suraqah berkata;
"Ambillah harta, senjata dan bekalanku. Aku berjanji dengan Allah kepada kalian berdua, akanku suruh kembali setiap orang yang berusaha mengejar kalian di belakangku"

Ternyata jawapan Rasulullah SAW;
"Kami tidak memerlukan harta, senjata dan bekalanmu. Cukuplah kau menyuruh mereka yang mengejar kami untuk kembali"

Cerita antara Rasulullah SAW dan Suraqah tidak hanya berhenti disitu. Cuma saya melihat dari Rasulullah SAW bijak membezakan kawan dan juga lawan. Sekalipun Suraqah itu kafir (pada ketika itu), Baginda melihat dia sebagai potensi tidak sebagai musuh. Kalau diikutkan logik akal, mengapa Rasulullah harus percaya dengan janji Suraqah?Apa jaminannya bahawa Rasulullah tidak diburu oleh kawan-kawan Suraqah?

Di sinilah KEBIJAKSANAAN Rasulullah SAW membezakan kawan dan juga lawan

Tindakan Rasulullah SAW memaafkan Suraqah dan membebaskannya tidak memberi mudharat kepada baginda sebaliknya inilah strategi dimana Suraqah kembali ke Mekah dan menghalangi mereka yang ingin memburu Rasulullah SAW. Kerjasama Rasulullah SAW dengan non muslim ketika itu ternyata berhasil di mana Rasulullah berjaya membezakan potensi yang ada pada Suraqah Bin Malik.

Coretan sirah Rasulullah kali ini sengaja saya sentuh kerana sikap seorang pendakwah/muslim/pemimpin kita harus bijak mengenal pasti kawan dan juga potensi. Potensi tidak hanya pada muslim itu sendiri tetapi juga pada lawan. Dilihat kembali antara pendukung kuat pergerakan Islam itu asalnya adalah penentang Islam seperti Suraqah bin Malik sendiri dan Umar Al-Khattab.

Setelah berjaya mengenalpasti potensi mereka maka berani bertindak. Bertindak menyebarkan dakwah Islam. Bertindak menyebarkan keindahan Islam. Bertindak mempamerkan akhlaq Islam yang sudah terpatri di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ada di antara mereka yang bersyahadah mengaku mengimani Allah SWT dan Rasulnya masih ragu-ragu/takut-takut/malu-malu menegur perkara yang haq. Kenapa perlu ragu atau malu dan takut sedangkan kita menyampaikan perkara yang benar, tepat pada waktunya dan kena pada tempatnya. Wallahualam.

Pesan 1: Suraqah Bin Malik ialah insan yang ditawar Rasulullah memakai pakaian kebesaran Kisra bin Hurmuz. Pembesar kerajaan Persia (kini dikenali sebagai Iran). Waktu tawaran disampaikan adalah sewaktu Islam masih bertapak menyebarkan dakwah di mana Rasulullah SAW memberikan tawaran sejurus peristiwa di atas terjadi.

Pesan 2: Setelah memeluk Islam, beliau antara pendukung Islam yang kuat menyebarkan dakwah dan sewaktu pemerintahan Umar Al-Khattab, terjadi penaklukan Kota Persia oleh kaum muslimin. Antara harta rampasan adalah alat(mahkota dan gelang) dan pakaian kebesaran Kisra. Dipakaikan Umar Al-Khattab pakaian tersebut kepada Suraqah. Lantas teringat kembali Suraqah akan tawaran Rasulullah SAW ketika beliau ingin menangkap Rasulullah SAW.

Pesan 3: Potensi dan strategi. Comparative religion (1st dan 2nd Mei 2009) adalah antara medan yang boleh kita bawa sahabat-sahabat kita yang mempunyai potensi. Mungkin tidak sekarang tetapi kerana titik permulaannya kini, kita menuai hasilnya esok

2 ulasan:

  1. salam, kesyukuran kehadrat Illahi kerna digerakan hati utk membaca nukilan saudari.. pengisian yg ringkas tapi ber erti dapat saya katakan... tahniah, semoga Allah memberkati usaha saudari dan doakan agar para pembaca serta da'ie muda terbuka mindanya untuk belajar dan terus belajar uslub dakwah Rasulullah s.a.w... kerna baginda contoh tauladan yg terbaik buat kita..

    BalasPadam
  2. Salam Dr Mohamad Zikri Haizan.

    Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, segala puji hanya kepadaNya.

    Ameen. Ameen Ya Rabb. Ameen.

    Semoga Allah SWT memberkati saudara.

    BalasPadam