Sabtu, 16 Oktober 2010

Berkongsi tempat minum antara lelaki dan perempuan

Assalamualaikum wrt wbt

Alhamdulillah.

Hari ini saya ingin berkongsi tentang "Berkongsi bekas minuman"

Saya memang sejak kecil lagi minum banyak. Sehingga dewasa, saya akan minum sekurang-kurangnya 2 liter, satu hari. Kalau tidak makan, tidak mengapa, yang penting minum jangan berkurang.

Oleh itu, cara memenuhi keperluan saya, minimalnya setiap hari, saya akan membawa bekal air Aqua 2 liter sehari.

Saya dikenali sahabat-sahabat "budak kuat minum".

Sewaktu KOAS/internship, saya akan bawa 2 liter sebagai simpanan di dalam loker dan 2 liter lagi di dalam beg.


Ada seorang sahabat lelaki,

"Aimi, saya haus sangat. Mau minta minum boleh?" tanya sahabat dengan muka seposen.

"Oh, boleh
je. Sekejap, saya ambil" saya balas

Tiba-tiba, datang seorang sahabat perempuan,

"Eeii. Aimi, pergi cuci tempat minum awak tu"

Saya, "Kenapa?"

Kawan perempuan, "Kan awak sudah kongsi minum"

Saya, "Kenapa tidak boleh pula? Dia bukan babi pun nak disamakkan benda yang terkena"

Kawan, "Tak boleh!"

Saya, "Ok, kalau tak boleh kongsi minum antara perempuan dan lelaki, tolong tunjukkan saya hadith atau dalil yang menyokong. InsyaAllah, saya dengan senang hati menurutnya. Kalau kerana alasan kurang sopan dan tidak sedap mata memandang, maafkan saya, saya tidak dapat menerimanya. Teman kita (merujuk kepada sahabat lelaki tadi) itu lagi kehausan, dia manusia yang berhak mendapatkan bantuan. Istilah kurang sopan tepat diberikan kepada mereka yang tidak membantu manusia yang memerlukan. InsyaAllah, apa yang saya lakukan ini, saya telah pertimbangkan. Saya tidak duduk berdua dengan sahabat lelaki tadi sambil menemaninya minum sehingga boleh menimbulkan fitnah, sebaliknya saya memberikan minuman dan saya pergi meninggalkannya"

Kawan, "Er.."

Saya, "Saya tunggu maklumat dari awak tentang hal ini. Afwan"

Begitulah seputar perbualan saya dengan sahabat perempuan dan lelaki.

Wallahualam. Seandainya ada sahabat yang mengetahui hukum ini, silakanlah berkometar di sini.

Pesan 1: Ini adalah jawapan dari Ustaz Azhar Idrus seputar topik ini,
(http://ustazazhar.com/v1/pelbagai/hukum-berkongsi-bekas-minuman.html)

"w.salam

Tidak ada sebarang nas yang melarang berkongsi minuman dengan orang lain. Jadi mungkin larangan tersebut berkisar atas sebab2 menjaga kesihatan diri kerana dibimbangi berjangkit penyakit dari orang lain. Oleh itu tidaklah termasuk ia dalam larangan agama. Siapa yang nak berkongsi bekas minuman tidak boleh dilarang dan siapa yang tidak mahu berkongsi pula tidaklah boleh dicela.

Apa yang datang kepada kita dari kisah para sahabat berkongsi bekas minum seperti yang berlaku dalam satu peperangan menunjukkan ianya adalah harus dan tidak menjadi suatu yang salah.

wallahua'lam"

Selasa, 21 September 2010

Ubat orang yang sakit jiwanya.

Assalamualaikum wrt wbt,

Salam sejahtera buat sahabat semua.

Alhamdulillah, sangat lama masa yang saya ambil untuk menulis lagi.

Bukan kerana kurangnya, idea, bukan juga kerana kurangnya masa, bukan juga kerana lambakan kerja tetapi kerana dugaan dan ujian yang mendatang silih berganti, sehingga saya memerlukan waktu untuk menyelesaikan ia satu per satu.

Saya ingin menyinggung 1 hal dalam tulisan saya hari ini.

Hal yang mungkin mengenai diri saya sendiri. Mungkin juga mengenai sesiapa yang membaca.

InsyaAllah, niat saya cuma mencari redha Ilahi. Tidak untuk selain dari itu.


Ada
sesetengah manusia, mungkin segelintir dari kita, takut kalau aibnya diketahui orang, sering menyembunyikan dari pengetahuan manusia baik yang dekat dengannnya mahupun tidak.

Aneh, saat melakukan kemaksiatan dan apabila suatu tindakan itu, hasil akhirnya adalah NERAKA, tidak pula kita merasa takut. Sedangkan yang dinilai Allah SWT itu adalah PERBUATAN kita.


Takut kepada YANG MENCIPTAKAN!


Siapa yang dalam dunia ini, mahu dirinya dicabut nyawa saat paling aib yang pernah mereka alami? Sila jawab dalam hati dengan seikhlasnya.


InsyaAllah, TIDAK ADA!


Cuba bayangkan, saat lagi bermaksiat, tiba-tiba, nyawa kita dicabut.
Segala amal buruk dipertonton dan diperkatakan oleh insan-insan terdekat.

Na'udzhubillah. Na'udzhubillah. Na'udzhubillah.


Pasti kita semua telah dapat membayangkan betapa malunya diri ini, bukan?


Kerana fitrahnya manusia itu, ada malunya. Pakailah malu itu sebaiknya. Jangan sampai malu itu hanya dipakai untuk menutup kemaksiatan diri kita dari diketahui oranglain.


Tetapi yang patut kita lebih merasa malu adalah kepada Dia. Dia sudah meminjamkan kita anggota tubuh semata-mata untuk kita beribadah kepadaNya tetapi kita menggunakannya untuk kemaksiatan. Bukankah itu seperti menghina pemberian Allah SWT?
-----------------------------------------------------------------------------------

Gambar hiasan: The end, burning the soul, worth it? Think about it

"Orang yang lagi sakit jiwanya, mereka tidak mempan (berrespon) dengan nasihat. Mereka perlukan ubat"

Ini adalah kata-kata dari seorang Doktor, Chief Resident Psychiatry Department.


Saya cuba mengaplikasikan kata-katanya kepada kehidupan kita sekarang.


Orang yang lagi senang dengan kemaksiatannya, orang yang merasa "Biarlah, nanti aku taubat", jiwa mereka sakit. Hati mereka sakit. Saya percaya, tetap ada secalit kegusaran dalam diri mereka walaupun mereka secara zahirnya merasa senang. (InsyaAllah, selagi hati mereka belum mati). Sejahat mana pun diri kita, iman kita pasti bersuara agar kita dekat pada fitrahnya.


Mereka tidak perlukan nasihat kita. Mereka tahu salah mereka dan insyaAllah, mereka sedar hal itu semua. Orang yang sakit hanya perlu dinasihatkan apabila mereka meminta nasihat. Tidak perlu kita memberikan mereka intensif nasihat kerana mungkin sahaja, kata-kata dan niat kita yang baik saat itu, disalah ertikan dan peluang kita untuk menasihati mereka tertutup rapat.

Apa yang mereka perlukan adalah BERTAUBAT DAN USAHA KE ARAH MENDEKATI ALLAH SWT/TUHAN. Itu adalah ubat orang yang sedang bermaksiat/orang yang mempunyai masalah jiwa/hati. Mereka, diri sendiri harus menggesa diri mereka untuk beribadah, untuk menghentikan maksiat.

Siapa kata ia mudah, tapi siapa kata ia mustahil?


Maksiat itu suatu ketagihan yang sering dibisikkan syaitan yang dilaknat Allah SWT. Syaitan itu memang tugasnya menghasut manusia mendekati pintu neraka. Dari pelbagai arah dan cara diusahakannya kerana itu memang tugasnya SYAITAN. Pernah terfikir atau tidak betapa hinanya diri kita,
  • Pertama, menjadi hamba suruhan maksiat di mana Tuannya adalah SYAITAN. Syaitan tidak memaksa kita untuk menjadi hambanya, tapi kita tanpa dipaksa (kerana lemahnya Iman), kita menuruti. Ah, bodoh sungguh manusia yang punya akal itu. Sayang akalnya salah tempatnya. Harusnya diberikan kepada binatang, agar mereka lebih pintar mengembangbiakkan diri mereka dan bermanfaat buat yang lain.
  • Kedua, menjadi salah seorang sahabat SYAITAN. Kalau syaitan, memang sudah tugasnya menghasut dan menyesatkan manusia. Cuba bayangkan, manusia yang terlalu jahatnya sampai dia ambil alih tugas syaitan dan menghasut manusia lain. Apa UPAH atau IMBALAN yang mereka dapatkan dari SYAITAN? NERAKA? Orang yang ada akal sihat pasti dapat berfikir, itu adalah perniagaan yang tidak ada untungnya sebaliknya menempah rugi saat di awal pelaburan lagi.
Semoga coretan ringkas ini menjadi peringatan buat saya dan semua, serta saya memohon kemaafan dari semua andai ada yang merasa tersinggung kerana tiada niat saya selain mengajak diri dan semua dekat padaNya.

Pesan 1: Terjemahan Surah An-Nur: 31 "................Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah wahai orang-orang yang beriman, agar kamu beruntung"

Pesan 2: Kenapa banyak sangat komen-komen dalam message box yang sejujurnya, "Boleh ke mereka faham penulisan saya ini?"

Ahad, 8 Ogos 2010

Kisah: Nafsu syaitan, jasad manusia


Hari yang mendamaikan. Aku melihat pemandangan di luar jendela. Hari ini bakal ku tempuhi. Penuh dengan teka-teki. Mungkin saja bahagia, mungkin saja tangis derita. Demi Allah SWT, Tuhan Yang Maha Adil, akanku tempuhi jua setiap detik.


Teringat aku, kisah derita. Aku berjanji pada diri, itu hanya sejarah silam. Terlalu pahit untuk dikenang, tetapi tetap ku jadikan pengajaran dan tauladan.

Hari ini umurku 23 tahun. Genap sudah 8 tahun 'ianya' berlalu.

Dia menjengah pintu hatiku. Membuka seluas-luasnya rasa cinta dan kasih yang haram dan berbuah sakit, derita.

Ku namakan dia sebagai Z.

Z, seorang lelaki dengan fizikal yang sederhana. Biasa saja. Tiada yang indah pada dia. Dia bukan berasal dari keluarga yang kaya, tidak juga pandai bekerja. Tapi setiap kali keluar bersamanya, aku merasa bahagia. Mainan kata-katanya benar-benar membuatkan aku hanyut. Membiarkan hatiku diulit. Ku biarkan. Demi sebuah cinta.

Mengenalinya selama hampir 6 bulan, benar-benar membuatkan aku percaya pada dirinya.

"Arghh..semuanya tipu! Sial! Z adalah syaitan bertopengkan manusia" desis hatiku. Melepaskan hela mengingatkan kembali.

Tiba-tiba, airmataku mengalir deras. Masih segar diingatanku, orangtua yang bersungguh-sungguh menghalangi aku dari terus keluar malam, berhubungan dengan Z.

Orangtua ku pernah menghalangi hubungan kami. Alasannya, aku masih bersekolah, aku masih terlalu mentah.

Waktu itu, aku merasa orangtua aku adalah penghalang, tembok terbesar hubungan kami.

"Kalau Z itu orang yang baik, dia tidak akan ajak kamu keluar malam. Pelajaran kamu makin lama makin merosot. Macam itu ke calon pasangan hidup yang kamu mahu? Menjahanamkan hidup kamu? Apa yang kurang dari kami? Kasih sayang? Setiap hari kami tatang kamu bagai minyak yang penuh. Wang? Setiap hari kami berikan kamu wang, tiada istilah tidak cukup wang selama kamu hidup. Masa dan perhatian? Selagi ada masa, selagi itu papa dan mama akan menemani kamu. Apa lagi yang kamu mahu???!!!" tengking mama.

"Bosan! The odd old things! Mama dan papa macam tak pernah muda?!!" balasku. Malas.

Telefin bimbitku berbunyi. Ada mesej yang masuk.

"Dari Z. Sayang, malam ini jam 9 malam, kita keluar sama ya. I miss you damn much. Come with me and lets have fun tonight"

Awalnya aku merasa berat hati untuk mengiyakan mesej tersebut memandangkan mama dan papa yang sedang berapi marah kepadaku.

Namun, segalanya ku putuskan untuk jawapan, "Ya" setelah papa dengan tiba-tiba membaling handphone ku.

"Semua dalam rumah ini dah gila!!" jeritku.

Berlari ke dalam bilik. Aku langsung bersiap. Jam menunjukkan jam 5 petang, masih terlalu awal jika mahu bertemu Z. Tapi sudahlah, dari duduk di rumah, lebih baik aku berjalan-jalan di mana-mana pusat membeli belah.

Aku sempat mandi, menukar pakaian dan mengenakan sedikit make up. Aku keluar melewati dapur. Biar semua tidak sedar akan pemergianku.

Handphone yang dibaling papa sempat ku ambil.

"Habis pecah handphone. Untung boleh telefon dan sms" menggerutu hatiku.

Aku langsung menelefon Z.

"Please, pick me up, right now!" aku dengar suara Z dari sana. Suaranya agak gugup, mungkin merasa aneh. Sudahlah, yang penting dia ada bersamaku. Z adalah manusia yang mampu ku andalkan saat suka dan duka.

Malam itu kami ke suatu tempat yang sangat baru buatku.

Pertama kali ku jejakkan kaki ke situ.

Lautan manusia yang autis. Tidak hairan melihat orang lalu lalang, mereka tetap menari. Entah dengan siapa menari pun aku tidak tahu.

Hampir tersungkur jatuh kerana kegelapan ruang itu. Bising. Udaranya tertutup. Dingin. Bait-bait kata yang dapat ku lafazkan menggambarkan situasi ruang itu.

Kelab malam.

Oh, mungkin ini kegembiraan yang mereka maksudkan.

Kau mahu menjerit, terserah kau.

Kau mahu menari, terserah kau.

Kau mahu berpelukan, melakukan adegan panas, terserah kau.

Hidup kau, dunia kau.

Aku?

Aku hanya seperti anak kecil yang ikut membontoti Z.

Sepertinya Z sudah biasa ke sini. Ramai yang menyapa dia. Aku lihat dipintu masuk, tidak dibenarkan masuk untuk usia bawah 18 tahun. Aku? Aku baru 15 tahun. Sudahlah, Z baru sahaja membisikkan kepada aku, "Jangan risau, let's have fun"

Aku merasa aneh. Melihat orang yang terkinja-kinja seolah-olah baru lepas tergigit sedozen cili api.

Aku merasa aneh. Melihat orang yang bercakap meleret-leret mabuk dengan kata-kata yang tidak jelas.

Kerisauan aku terlihat. Z melihat kegusaranku.

"It's ok honey" Z menggengam erat tanganku, melepaskan segala gusar dalam hatiku.

Aku fikir inilah malam bermulanya kehidupan baruku.

Ya, benar-benar 'baru'

Malam itu berlalu, tanpa aku sedari. Tidak dengan akal sihatku yang mampu merakam setiap apa tang terjadi.

Aku bangun pagi, aku merasa sakit-sakit seluruh tubuh terutamanya di bagian alat kemaluanku.

Aku bangun tanpa sehelai pakaian.

Aku kaget! Melihat keadaanku sendiri, aku menangis.

Aku dimana?

Kenapa aku?

Apa yang terjadi?

Mana Z?

Mana Z?

Mana Z?

Ku menjerit sekuat hati.

Tiada selimut untuk ku tutup diriku. Hanya sebuah katil polos. Tiada meja, tiada almari.

Ku berlari ke tingkap, tidak boleh dibuka, mungkin telah dikunci. Ku berlari ke pintu, pintu juga terkunci.

Aku merasa aku bermimpi. Tiada bilik air. Bilik kosong yang hanya ada sebuah katil dan diriku yang bogel. Itu sahaja!

"Oh ya, handphone aku!" bisik hati.

Aku cuba mencari dibawah katil. Mana tahu jika ada. Handphone ku tiada, pakaian yang ku pakai semalam juga sudah tiada.

"Argghhhhhhhhhhhhhhhh.................................Z sial.!!!" aku menangis.

Aku fikir Z adalah manusia yang baik ternyata dialah dalang disebalik rencana jijik ini. Dialah manusia yang telah menjual ke 'mummy'

Sejak hari itu, aku menjadi hamba seks. aku tidak tahu siapa lelaki buas dan celaka yang datang, cuma yang aku tahu, aku dipaksa melayani mereka.

Satu hari sampai hampir 15 orang yang harus ku layani.

Aku hanya diberikan secawan air dan 2 keping roti kosong sebagai alas perut. Itulah makanan ku sehari-hari selama setahun.

Selama setahun aku masih di sini. Tidak pernah sekali aku dapat menjejakkan kaki keluar. Aku benar-benar bingung. Z tidak pernah datang menjenguk ku walau sekali.

Hilangnya dia tidak ku ketahui. Kemana dia? Siapa dia yang sebenarnya?

Apakah ini siang? Apakah sekarang malam? Tarikh hari ini?

Semua benar-benar tidak ku ketahui.

Sampailah satu hari aku mendengar suara lelaki bercakap-cakap diluar.

Suara itu sangat ku kenali. Z.

"Mummy, kita dah boleh hantar mereka ke Thailand. Ada yang sudah siap menunggu mereka. Aman!"

"Bagus!"

Suara wanita itu juga ku kenali. Dia lah manusia yang berhati syaitan. Setiap hari dia menjengah melihat diriku cuma sekadar memeriksa diriku apakah ada syaitan-syaitan jantan yang sudah melempiaskan nafsu kepada aku memberikan aku wang sebagai tips.

Jika ada, aku pasti akan disepak terajang lalu, wang itu bakal disimpan oleh wanita gendut itu.

Setiap hari ku lalui tanpa sehelai benangpun ditubuhku.

Lelaki masuk ke dalam bilik itu, melempiaskan nafsu serakah mereka, lalu keluar.

Aku dibiarkan lemah di situ seperti binatang. Mungkin lebih hina.

"Oh Tuhan, aku hambaMu yang lemah, Kau bantulah aku"

Aku masih teringatkan mama dan papa.

Aku mahu pulang tapi aku merasa orangtuaku tidak akan menerima anaknya yang jijik lagi hina ini.

Dengan izin Dia, aku pulang ke pangkuan keluarga dengan bantuan beberapa orang. Setahun aku menjadi bahan tempat melempiaskan nafsu.

Cukuplah Allah SWT bagiku. Tiada lagi yang kuinginkan selain redha Allah SWT dan sayang keluarga.

-----------------------------------------------------------------------------------

Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar.

Astaghfirullah. Astaghfirullah.

Percaya atau tidak, kisah di atas adalah kisah sebenar. Saya, telah mewawancara salah seorang volunteer sebuah persatuan NGO.

Kisah di atas masih berlaku.

Kisah di atas masih hangat berlaku.

Saya benar-benar menangis, mendengarkan cerita sahabat. InsyaAllah, jika diizinkan Allah SWT, saya akan menceritakan lagi kisah-kisah yang menyayat hati yang mampu menjadi pengajaran kepada saya dan semua.

Kehadiran wanita dan anak-anak sebagai tempat melempiaskan nafsu.

Apakah kita sudah kembali ke zaman jahiliyyah?

Wanita itu adalah makhluk persis seperti lelaki. Wanita bukan cuma punya alat kelamin sahaja!

Kemanakah lelaki-lelaki seperti di Zaman Rasulullah SAW?

Di mana?

Semakin saya hidup di dunia, semakin saya merasa takut. Tiada lagi tempat yang selamat di dunia ini.

Allah SWT tempatku mengandalkan segala kekurangan.

Allah SWT tempatku mengadu rasa gelisah hati.

Allah, Allah, Allah.

Kau tahu apa yang terbaik buat diriku, keluargaku, saudaraku, sahabatku.

Kau pimpinlah kami Allah.

Kau lindunglah kami.

Jumaat, 23 Julai 2010

Kisah: Hantu, Kubur dan Kamu!


Picture is taken from DevianArt
Assalamualaikum wrt wbt,

Alhamdulillah.

Saya sedang menulis blog ini di Forensic Department, baru selesai menyiapkan Visum Et Repertum Mati iaitu laporan ini diminta oleh pihak polis, jadi saya dan team(kawan-kawan dokter muda, dokter supervisor) harus menyiap dalam tempoh 48 jam dari tempoh mayat di hantar.

Mayat dihantar tanpa identitas, ditemui mati oleh orang awam.

Menyelesaikan tugasan pemeriksaan luar dan menyediakan laporan apa sahaja yang ditemukan termasuk luka-luka di badan, tahi lalat, luka bakar, luka lecet, semuanya harus ditulis selengkap-lengkap maklumat bagi tujuan pembelaan atau kehakiman.


Baiklah, saya ingin menyentuh isu, ROH, MAYAT, HANTU!!


Sebelum saya menyentuh lebih lanjut, ingin saya ketengahkan isu perfileman sekarang,

Baru-baru ini saya pulang ke Malaysia, saya melihat tayangan filem Horror atau Seram seperti cendawan yang tumbuh setelah hujan.
Makin menjadi-jadi pula tayangan seperti ini.

Kemudian, sewaktu pulang ke Indonesia hari Ahad lepas, saya menonton sebuah rancangan entertainment di televisyen, seorang penerbit filem seram berkomentar,

"Apa salahnya membikin filem ini? Kalau kami bikin filem ini, ternyata masih dapat sambutan dari masyarakat"

Sejujurnya, saya kurang setuju filem-filem ini ditayangkan. Impaknya jangka panjangnya sangat menganggu fikiran.

Senario ini perlu dijelaskan.


Bukan bermaksud saya tidak percaya adanya makhluk halus, tapi saya agak kesal, dengan manipulasi sesetengah media sekarang, fikiran anak-anak, orang muda seolah-olah membuat golongan mudah lentur rebung ini, takutkan hantu-hantu atau makhluk halus melebihi kuasa Yang Esa yang seharusnya lebih menjadi prioritas.

Takutnya mereka ini berlebihan sehingga
ada sesetengah anak yang terlalu terpengaruh, langsung takut ke bilik air, mahu tidur berteman, selalu takut jika bersendirian.

Apakah ini kesan akhir yang kalian inginkan??


Anak-anak PENGECUT HANTU, anak-anak HARUS SELALU BERTEMAN KERANA TAKUT DIKACAU HANTU.


Fenomena ini sedikit sebanyak menyerang anak-anak, remaja, malah orangtua.
Lahirlah manusia yang takut hantu melebihi Tuhan pencipta makhluk halus ini.

Cuba lihat pendidikan awal yang didedahkan oleh sesetengah orangtua kepada anak-anak mereka,

"Jangan pergi situ, nanti momok/hantu sorokkan adik"

"Jangan pulang lambat, nanti disorok hantu yang ada payudara besar, dia letak kat bawah payudara dia. Lepas itu kamu di bawa ke dunia lain"


Sebenarnya orangtua berniat menghalang anak-anak dari ke tempat seperti dapur, atau main di luar mungkin kerana penat mahu menjaga atau mengawasi setiap masa anak-anak atau apa saja alasan mereka, tapi metode yang dipilih adalah menakutkan mereka dengan sesuatu yang seharusnya tidak.

Apabila anak-anak menginjak dewasa, cerita ini seakan-akan sebati dalam diri mereka.


Contohnya, sekarang saya di Forensik,


Ada yang menganggap setelah autopsi, harus mandi, tujuannya membuang badi atau roh dari si mati.
Takut roh si mati masuk ke dalam badan.

Secara rasionalnya, roh makhluk halus, roh si mati, akan masuk tanpa perlu kita membersihkan diri dulu. Bila-bila mereka suka, mereka boleh masuk.

Persepsi buruk terhadap makhluk halus ini sangat bertentangan dengan ayat Al-Quran ini,

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku
(Adz Dzaariyaat : 56)

Tugas mereka sama.

Sama lah macam manusia, ada yang baik dan ada yang jadi 'hantu' sebelum waktunya. Persis sama seperti golongan makhluk halus lainnya.

Kalau sebut hantu, sering ditakutkan dengan kegelapan, perempuan, kubur, darah.

Seolah-olah membuat suatu persepsi takut kubur, takut mati dan yang ada di kubur itu cuma wanita. Kalau melewati tempat-tempat gelap atau kubur, kain putih berjuntai, ramai yang dah mula meremang bulu roma, ramai yang berkeringat dingin.

Kenapa boleh jadi macam ini?

Alasannya mudah, kerana dari kecil telah diterapkan dalam kepala kita, itu rumahnya hantu. Ada rangsangan saraf yang dicetus oleh otak akibat memori-memori hantu sejak kecil.

Kubur rumahnya hantu?

Fikir-fikirkanlah.

Satu hari nanti, entah bila, entah di mana, kita pasti dikubur juga. Apakah kita rela dipanggil hantu?

InsyaAllah, saya tidak.

Mari, kita baca dan renungkan ayat Al-Quran ini, Subhanallah cantik disusun Allah buat jadi bacaan, pemahaman dan panduan manusia yang beriman.

Katakanlah (hai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku bahwasanya telah mendengarkan sekumpulan jin (akan Al Qur'an), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al Qur'an yang menakjubkan,
QS. al-Jinn (72) : 1

(yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seorangpun dengan Tuhan kami,
QS. al-Jinn (72) : 2

dan bahwasanya Maha Tinggi kebesaran Tuhan kami, Dia tidak beristeri dan tidak (pula) beranak.
QS. al-Jinn (72) : 3

Dan bahwasanya orang yang kurang akal daripada kami selalu mengatakan perkataan yang melampaui batas terhadap Allah,
QS. al-Jinn (72) : 4

dan sesungguhnya kami mengira bahwa manusia dan jin sekali-kali tidak akan mengatakan perkataan yang dusta terhadap Allah.
QS. al-Jinn (72) : 5

Dan bahwasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.
QS. al-Jinn (72) : 6

Dan sesungguhnya mereka (jin) menyangka sebagaimana persangkaan kamu (orang-orang kafir Mekah), bahwa Allah sekali-kali tidak akan membangkitkan seorang (Rasul) pun,
QS. al-Jinn (72) : 7

dan sesungguhnya kami telah mencoba mengetahui (rahasia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api,
QS. al-Jinn (72) : 8

dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barangsiapa yang (mencoba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya).
QS. al-Jinn (72) : 9

Dan sesungguhnya kami tidak mengetahui (dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan bagi mereka.
QS. al-Jinn (72) : 10

Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeda-beda.
QS. al-Jinn (72) : 11

Dan sesungguhnya kami mengetahui, bahwa kami sekali-kali tidak akan dapat melepaskan diri (dari kekuasaan) Allah di muka bumi dan sekali-kali tidak (pula) dapat melepaskan diri (daripada)-Nya dengan lari.
QS. al-Jinn (72) : 12

Dan sesungguhnya kami tatkala mendengar petunjuk (Al Qur'an), kami beriman kepadanya. Barangsiapa beriman kepada Tuhannya, maka ia tidak takut akan pengurangan pahala dan tidak (takut pula) akan penambahan dosa dan kesalahan.
QS. al-Jinn (72) : 13

Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang taat dan ada (pula) orang-orang yang menyimpang dari kebenaran. Barangsiapa yang taat, maka mereka itu benar-benar telah memilih jalan yang lurus.
QS. al-Jinn (72) : 14

Adapun orang-orang yang menyimpang dari kebenaran, maka mereka menjadi kayu api bagi neraka Jahannam ".
QS. al-Jinn (72) : 15

Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezeki yang banyak).
QS. al-Jinn (72) : 16

Untuk Kami beri cobaan kepada mereka padanya. Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan Tuhannya, niscaya akan dimasukkan-Nya ke dalam azab yang amat berat.
QS. al-Jinn (72) : 17

Dan sesungguhnya mesjid-mesjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorangpun di dalamnya di samping (menyembah) Allah.
QS. al-Jinn (72) : 18

Dan bahwasanya tatkala hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembah-Nya (mengerjakan ibadat), hampir saja jin-jin itu desak mendesak mengerumuninya.
QS. al-Jinn (72) : 19

Katakanlah:" Sesungguhnya aku hanya menyembah Tuhanku dan aku tidak mempersekutukan sesuatupun dengan-Nya ".
QS. al-Jinn (72) : 20

Katakanlah:" Sesungguhnya aku tidak kuasa mendatangkan sesuatu kemudharatanpun kepadamu dan tidak (pula) sesuatu kemanfaatan ".
QS. al-Jinn (72) : 21

Katakanlah:" Sesungguhnya aku sekali-kali tiada seorangpun yang dapat melindungiku dari (azab) Allah dan sekali-kali aku tiada akan memperoleh tempat berlindung selain daripada-Nya ".
QS. al-Jinn (72) : 22

Akan tetapi (aku hanya) menyampaikan (peringatan) dari Allah dan risalah-Nya. Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya baginyalah neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
QS. al-Jinn (72) : 23

Sehingga apabila mereka melihat azab yang diancamkan kepada mereka, maka mereka akan mengetahui siapakah yang lebih lemah penolongnya dan lebih sedikit bilangannya.
QS. al-Jinn (72) : 24

Katakanlah:" Aku tidak mengetahui apakah azab yang diancamkan kepadamu itu dekat ataukah Tuhanku menjadikan bagi (kedatangan) azab itu masa yang panjang ".
QS. al-Jinn (72) : 25

(Dia adalah Tuhan) Yang Mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorangpun tentang yang ghaib itu.
QS. al-Jinn (72) : 26

Kecuali kepada Rasul yang diridhai-Nya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan di belakangnya.
QS. al-Jinn (72) : 27

Supaya Dia mengetahui bahwa sesungguhnya Rasul-rasul itu telah menyampaikan risalah-risalah Tuhannya, sedang (sebenarnya) ilmu-Nya meliputi apa yang ada pada mereka, dan Dia menghitung segala sesuatu satu per satu.
QS. al-Jinn (72) : 28





Dunia kubur adalah suatu jambatan perjalanan sebelum kita bertemu dengan Tuhan Pencipta Alam. InsyaAllah, semoga pengakhiran hidup kita adalah sebaik-baik kematian.

Wallahualam.

Selasa, 20 Julai 2010

Kisah: Tetamu Forensic Department

Assalamualaikum wrt wbt,

Alhamdulillah.

Lebih kurang 2 minggu tidak meng'update' blog.

Seminggu di Malaysia (of course di rumah sendiri bersama keluarga tercinta) dan seminggu sebelumnya sibuk dengan ujian akhir Internal Medicine Department.

Sekarang saya di Forensic Department.

Bila sebut Forensic, kalian membayangkan apa?

Mayat, rogol, bunuh, buang bayi, kekerasan rumah tangga

Ini adalah antara kes-kes tersering.

InsyaAllah, saya ingin kongsikan tentang Forensic Department sedikit.

Kami harus standby atau peka. Bila-bila masa, di mana sahaja dalam 3 minggu sepanjang di Forensic Department, kami dokter muda akan dipanggil bagi melakukan autopsi.

Semalam, saya sedang belajar di bilik kawan,

saya melihat jam tangan,

"Dah pukul 9 malam, insyaAllah takde pape lah ni. Boleh baring-baring rehat sekejap"

Sekejap selepas saya 'landing',

handphone saya berbunyi, nama teman saya tertera,

"Assalamualaikum A (sambil saya meleret memanggil namanya..haha..perasan orang mahu berborak panjang dengan saya)............Kenapa?"

"Wa'alaikumussalam Aimi, oncall sekarang"

"Oh.............ok"

Mungkin sahabat saya tidak percaya bahawa saya menerima info dengan tenang,

"Aimi, ke Hospital sekarang, on call"

Saya baru tersedar,

Kalau panggilan sudah dibuat, mahu atau tidak dalam tempoh 15 minit harus sudah sampai di hospital dan lebih tepat lagi di Forensic Department.

"Ha?? Sekarang??Oncall?? ok..ok.thanks, saya siap sekarang"

Ok. Saya baru tersedar. *Sigh*

Cerita tentang jenazah, autopsi, ukur mengukur luka mayat, insyaAllah akan saya ceritakan di entry berikutnya. InsyaAllah

Jumaat, 2 Julai 2010

Semangat dan bahagia:)

Alhamdulillah,

Salam semua, salam keceriaan, salam sejahtera, salam kebahagiaan buat semua.

Saya insyaAllah mahu menceritakan 1 perkara penting,

Apakah ia?

Ok, hari Isnin lalu. Ada seorang sahabat saya tegur,

Sahabat,

Saya,

"Aimi, awak dapat berapa pointer 1st semester clinical year?"

"3.48"

"Alah, sayang..sikit lagi nak dapat 3.5"

"Alhamdulillah, betullah, tiada rezeki"

"Macam mana awak kira pointer?"

"Oh, bapak (pakcik) admin itu ajar, nilai ini dikali ini dibahagi nombor itu di tambah apa lagi"

"Hah???Kenapa berbelit sangat??Biar saya kirakan pointer awak. Senang saja"

"Macam mana?"

"Awak sebut semua nilai awak, saya kirakan"

Selepas 5 menit hitung - menghitung penuh debaran, kemudian,

"Aimi, awak dapat 3.5 lah"


"Hah??Alhamdulillah................"

Ok, selepas itu, saya terus tersenyum gembira, sujud syukur dan kemudian meng'sms semua insan-insan penting dalam kehidupan saya.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Semoga Allah memberkati usaha ku, meredhai kejayaan ku, menjadikan aku manusia yang sentiasa syukur kepadaNya. Ameen:)

p/s: Study MODE ON:) :)

Ahad, 20 Jun 2010

Perkongsian: Sebuah coretan menuju pernikahan

Photo was taken from Deviant Art.com

Assalamualaikum wrt wbt,

Ada sesuatu yang ingin saya kongsikan,

Dari sebuah pengalaman diri dan sahabat menjadi sebuah coretan yang ingin dikongsi bersama agar bermanfaat buat peringatan diri san semua, insyaAllah.

Tulisan ini tidak lari dari mencari redha Allah dan memekarkan rasa cinta kepadaNya.
Ada seseorang datang mengadu pada saya,

Aimi, orang tua saya tidak bagi saya menikah sedangkan niat kami suci. Semuanya salah orang tua saya. Saya selalu terasa hati dengan mereka, saya jarang meminta tetapi permintaan ini saya harapkan mereka setuju. Orang tua saya kata, tidak boleh menikah sekarang, kalau mahu menikah, menikah lah setelah bekerja 5 ke 10 tahun.

Saya terdiam. Hampir hilang dan kosong kata-kata yang paling cocok untuk menyejukkan hati sahabat.

Luahan hati sahabat benar-benar menyentuh perasaan saya kerana saya faham benar situasi dia. Allah SWT punya rencana terbaik untuk kita.

Jika dari mata kasar, pasti kita melihat orangtua lah penghalang dari niat suci kita.


Mereka mengatakan "Tidak", mereka mengatakan "Nanti", mereka mengatakan "Jangan". Percaya atau tidak, mereka cuma pengantara dari rencana Dia.
Mata hati kita akan melihat apa yang tidak dilihat oleh nafsu dan amarah.

Itu semua adalah telah tercatat dalam rencana Dia.
Allah SWT lah sebenarnya yang telah mencatatkan perjalanan kehidupan kita dari dalam kandungan ibu sehingga lah akhir kematian. Dia yang mencatatkan bila kita menikah, bila kita mati, siapa jodoh kita, di mana kita akan meninggal dunia.

Catatan Dia tidak pernah salah. Itu semua takdir. Itu semua ketentuan yang punya hikmah. Takdir itu juga suatu rahsia. Tidak mungkin kita mengetahui melebihi apa yang Dia catatkan.

Sebuah takdir itu haruslah kita redha kerana itu sebuah kayu pengukur keimanan kita. Menolak takdir yang berlaku adalah sangat fatal, menolak keimanan kita pada salah satu rukun Iman.
Sedangkan, ayat Al-Quran telah tertulis dengan jelas, Surah Al-Hajj (22:70)

"Tidakkah engkau tahu bahwa Allah mengetahui apa yang di langit dan di bumi? Sungguh, yang demikian itu sudah terdapat dalam sebuah Kitab Lauh Mahfuz. Sesungguhnya yang demikian itu sangat mudah bagi Allah"

Jadi Aimi, bagaimana caranya? Mengikhlaskan hati dengan keputusan orangtua?

Subhanallah dan Alhamdulillah, sahabat semakin tenang dari terus menuduh orang tua mereka yang bukan-bukan.


Ibarat segelas air kosong yang dituang 1 sudu besar garam. Pasti terasa masin.

Berbeza dengan 1 sudu garam yang ditabur ke dalam 1 kolam air renang. Tidak berpengaruh langsung.

Begitu jua lah hati kita. Lapangkanlah selapang-lapangnya. Relakan ujian itu datang bertandang ke dalam hati kerana saat kita membuka seluas-luasnya pintu hati, ujian itu tidak seperit mana atau tidak 'semasin' mana kerana kita membuka ruang untuk diri berfikir dan bersabar.


Kita tidak menyempitkan ruang, kita tidak menyempitkan fikiran. Maka ujian yang datang bakal terasa senang di hati.

Apa saya harus bergelumang maksiat? Bukankah pernikahan menghalalkan apa yang haram sebelum menikah? Jarak antara pernikahan dari sekarang sangat jauh Aimi? Saya takut saya tidak kuat.

Apakah sebuah takdir itu perlu di lalui dengan cara yang zalim?

Contohnya begini,

Kerana saya miskin, saya mahu menjual tubuh.

Kerana saya miskin, saya mahu mencuri.

Kerana perjalanan sebelum menikah panjang, saya mahu bermaksiat dahulu.

Kerana saya hodoh, jadi saya mahu buka aurat biar lelaki terpikat dengan saya.

Soalan itu kembali ditanya. Apakah perlu?


InsyaAllah, jawapan dari semua saya yakin adalah tidak.

Allah SWT telah memerintahkan setiap dari hambaNya untuk melaksanakan perintah dan meninggalkan segala laranganNya.

Oleh itu, tidak ada kewajiban syariat di luar batas kemampuan manusia seperti yang tercatat dalam kalam Allah SWT di Surah Al Baqarah (2:286) dan At-Taghabun (64:16).


"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari kebajikan yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya....."


"Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatlah..."

Realitinya menunjukkan ada di antara manusia yang melaksanakan perintah Allah dan ada pula yang menyelisihi perintahNya, bukan kerana paksaan dan dalam batas kemampuan mereka.


Maka, tidak ada alasan lagi untuk membela sebuah kemaksiatan dengan dalih takdir. Alasan takdir adalah alasan sengaja yang dibuat-buat dan bukan berdasarkan ilmu melainkan berdasarkan hawa nafsu. Kelak, dia akhirat seperti di Al-An'am (6:148)


"Orang-orang musyrik akan berkata, "Jika Allah mengkehendaki, tentu kami tidak akan mempersekutukanNya, begitu pula nenek moyang kami, dan kami tidak akan mengharamkan apa pun. Demikianpula orang-orang sebelum mereka yang telah mendustakan (para rasul) sampai mereka merasakan azab Kami. Katakanlah (Muhammad), "Apakah kamu mempunyai pengetahuan yang dapat kamu kemukan kepada kami? Yang kamu ikuti hanya persangkaan belaka, dan kamu hanya mengira"

Namun begitu, suka saya ingatkan. Jangan pernah berputus harap dengan ujianNya. Jangan kerana jarak pernikahan masih jauh, kita tidak berdoa, kita tidak berusaha. Berusahalah sebaik mungkin dan berusahalah seikhlas mungkin. InsyaAllah, jika tidak membuahkan hasil, ingat setiap usaha ikhlas kita pasti dihitung sebagai amal buat bekal di akhirat. InsyaAllah.

InsyaAllah, perkongsian dari saya buat semua. Semoga menjadi peringatan buat diri dan sahabat yang membaca.

Ahad, 6 Jun 2010

My besties:)


Paling kanan: Adik,
Pakai tudung hitam: Acik
Lelaki itu: Angah

Assalamualaikum wrt wbt,

Fuh. Saya meninggalkan jejak lagi di blog sendiri, Alhamdulillah.

Baiklah, kerana saya homesick (al-maklumlah dalam masa terdekat saya akan menduduki Long case Examination Internal Medicine Department, jadi perasaan 'rumah sakit' ini sering bertandang)

Kali ini, insyaAllah saya akan menceritakan tentang adik-beradik saya. Hee:) Sudah lama saya tidak bertemu mereka.

1. Angah @ Qamaruzshafiq Angah ini lelaki. Dia cerdik + nakal + sengal + kadang-kala baik + suka buli saya (saya pun suka buli dia).

Dulu, waktu kecil, saya ingat lagi. Kami tinggal di Sabah. Petang itu, angah pulang ke rumah sambil menangis. Mama dan babah keluar berdating (oh, itu adalah perkara yang mereka sering lakukan :P). Kami adik-beradik beriadhah sendiri. Saya dari kecil memang suka duduk di rumah sahaja.
Angah, kenapa menangis?
(Saya, 7 tahun manakala angah 5 tahun)

Ada orang tolak kepala angah dekat dinding
(sambil angah sambung menangis)

Ha??Siapa??Cakap dengan kakak. Mana orangnya?
(saya sangat caring dengan adik-adik saya)

Saya pimpin angah, kemudian kami bertemu budak yang menonjok kepala adik saya.

Oh, awak ya yang tolak kepala adik saya??

Sambil jari saya menolak kepala budak tadi.

Angah, ok? Puas?

Angah geleng kepala.

Ok, saya tonjok kepala budak itu 3 kali.

Kemudian, budak tadi pula yang menangis dan saya melihat angah tersenyum. Baru saya pimpin tangan angah dan kami kembali ke rumah.
Oh, betapa aku gangster dahulu.

Sekarang, saya pula yang mengadu dekat angah.

Siapa buat kakak? Sini angah belasah dia!!

Kadang-kala saya suka dengki angah (apabila sudah meningkat dewasa). Misalnya, di shopping mall, saya akan kepit tangan angah macam couple yang tengah hot bercinta itu. Kemudian, angah pasti marah saya sebab dia kata, "Jatuhlah airmuka angah". Saya dengan selamba, tetap kepit tangan dia. Jika dia tarik tangan dia, saya akan gigit bahu atau tangan dia masa itu juga. Jadi, angah pun pasrah~

I miss him so much.

2. Acik @ Nurul Amira.

Acik ini perempuan. Dia suka merajuk + suka melaram + suka dan pandai memasak + rajin + baik + sengal.
Acik pandai memasak. Kalau ada yang fikir saya pandai memasak (walaupun mungkin saya perasan sahaja saya pandai memasak), acik lebih pandai memasak. Dia suka buat makanan yang entah mana dia cari. Kami pula tidak suka bertanya dari mana asal resipi dia cari kerana tugas kami adalah MAKAN!!~

Acik, dia ini kadang-kala kuat merajuk. Kalau dia merajuk, saya lebih suka menyakat dia sampai dia menangis, baru saya tidak kacau dia lagi. Huhu~

Dalam adik beradik, acik lah yang paling berseni. Dia pandai buat kek, masak, kalau jahit manik-manik, pasti hasil tangan acik paling cantik. Kalau buat kek, dia paling bersabar untuk menghias kek. Saya pula, sangat tidak sabar mahu makan kek.

Tapi dalam kesenian dia, jangan tidak tahu, dia minat Mechanical Engineering. Dia minat benda-benda alah yang bertukang! Oh, sungguh pelik acik mahu jahit manik pada besi-besi kereta. Haha, peace Mira.

I miss her so much even though she is so sengal dengan pengalaman jatuh dia.

3. Adik @ Nurul Amelia.

Dia ini perempuan boleh, lelaki pun boleh. Haha. Ok tipu. Dia ini perempuan.

Oh I miss her so much.


Dalam adik beradik, adik lah paling rapat dengan saya. Dia ini manja, suka berkepit dengan saya sedangkan saya suka berkepit dengan angah agar tidak ada perempuan yang menggatal mengorat angah.


Kalau saya balik ke Malaysia, adik suka menyibuk dekat bilik saya. Walhal dia tahu, katil saya katil single dan saya pula sangatlah 'kurus'. Tapi, dia suka buat-buat blur.
Lepas baring di katil saya, dia akan buat muka tidak malu, ambil handphone saya dan meng'explore' setiap message dan call yang masuk dan keluar.

Kemudian, tanpa rasa bersalah, message seperti nasihat, tazkirah yang ada di handphone saya akan di forward ke handphone dia. Oh, kredit saya berjalan tanpa saya sedar!

Adik akan jadi polis setiap kali saya balik.

Kakak, ada lelaki minat kakak tidak dekat Indonesia?Eh, lupa. Kakak kan gemuk, mana ada yang suka. hahaha (ini dia gelak sendiri, walhal saya tengah marah dengan statement dia)

Ok, itu soalan famous dari adik. Kami akan bertukar cerita sehingga 3 pagi dan kemudian tertidur berdengkur bersama~

Adik ini perangai dia lebih kurang saya, tapi dia lebih sengal! Dia selalu jadi penambah ketawa kami. Tapi dia paling cerdik dalam family. Sekarang dia sambung belajar A level dalam Engineering juga. Arghh..Engineering lagi. InsyaAllah, sambung belajar Chemical Engineering.

Dia awalnya mahu jadi doktor seperti saya. Tapi sebab dia menangis kegelian memegang cicak yang terjatuh di dalam sinki dapur, maka mama pun berkata,


"Adik, kata mahu jadi doktor? Pegang cicak pun menangis beria, macam mana ini?"


Oleh kerana itu, dia membatalkan niat mahu menjadi seorang doktor kerana dia geli benda-benda yang macam itu (walhal kalau suruh saya, saya pun geli. Pegang tangan terpotong tidak mengapa, pegang najis manusia tidak mengapa, tapi pegang cicak??euuww~)


Kalau kami bergabung, rumah akan jadi sangat riuh dan mama akan berkata,

"Kalau korang balik je, mulalah rumah ini bingit macam mama ada 10 orang anak"

Haha. Tapi kami tetap kami. Masih di situ ketawa bagai nak rak.
Babah? Babah sokong kalau kami memekak kerana dia rindu dengan kami (perasan!)

Oh I miss my family so much.

Angah, acik, adik. Doakan kakak berjaya exam ini, kemudian kakak balik Malaysia dan kita boleh meet each other again ok:)

Ya Allah, Kau jaga insan-insan yang aku sayangi ini.

Ahad, 30 Mei 2010

Kisah: Pemotong rumput

Assalamualaikum wrt wbt,

Syukur ke hadrat Tuhan yang telah memberikan diri ini mencoretkan sesuatu sebagai bekal amal pahala di akhirat kelak. Ameen, insyaAllah.


Ingin saya berkongsi, sebuah cerita dan saya titipkan juga analogi buat renungan bersama.



Kedamaian itu dicari bukan dinanti
Analogi buat renungan:

Pemotong rumput
Saya

"Pakcik, tolong potongkan rumput di kawasan halaman saya, ye. Jangan pangkas pokok bunga saya. Terima kasih pakcik"

Saya menitipkan pesan. 3 jam lagi saya mahu keluar rumah dan malam nanti ada tetamu yang akan berkunjung ke rumah. Jadi, saya berharap keadaan rumah saya akan tertata rapih. 3 jam kemudian,

"Pakcik, kenapa tidak potong rumput-rumput ini lagi???"

"Pakcik malu lah nak........"

"Malu kenapa? Bukankah tugas pakcik dari awal memang potong rumput?"

"Ala....pakcik malu lah..pakcik malu nak potong rumput...Nanti orang kata apa
pulak kalau pakcik potong rumput ini"

------------------------------------------------------------
Setelah sahabat-sahabat semua membaca analogi di atas, ada terdetik tidak rasa macam tidak puas hati dengan jawapan tukang potong rumput tadi?

Malu potong rumput sebab nanti orang mengata dia.

Di sini ada 2 aspek yang ingin saya ketengahkan. Pertama, dari sikap pakcik tadi Kedua, dari sikap orang ramai yang menilai.

1. PEMOTONG RUMPUT, TANGGUNGJAWAB

InsyaAllah. Jika kita melihat situasi ini secara langsung pasti kita geram, marah, mungkin tidak kurang juga yang merasa aneh. Kenapa seorang pemotong rumput harus merasa malu saat dia harus memotong rumput. Bukankah itu tanggungjawab dia?

Seharusnya begitu jugalah respon kita saat ada yang memberi alasan ini,

"Kenapa tidak pakai stokin tangan? Bukankah lengan awak terdedah? Kemudian, tudung awak cuba labuhkan sedikit paras menutupi dada"

"Tak nak
lah. Segan, lagipun saya tidak bersedia lagi. Nanti orang mengata saya. Kata saya 'sok' (berlagak) alim dengan perubahan macam ini"


Kalau kita baca analogi pemotong rumput tadi, tugas dia adalah memotong rumput, mahu atau tidak, itu sudah tanggungjawab dia memotong rumput.

Tidak ada alasan Malas, Malu atau sebagainya kerana itu adalah KEWAJIPANNYA.

Begitu jugalah kondisi kalau kita tidak melaksanakan hukum wajib, misalnya seorang wanita tidak menutup aurat. Alasan seperti Malu, Tidak bersedia, Segan dan pelbagai lagi, itu akan mengundang amarah kepada Tuannya (Allah SWT)

2. Dari sikap orang ramai yang menilai.

Kalau kita tengah berjalan kaki, tiba-tiba kita melihat seorang pemotong rumput, memotong rumput, agak-agak kita akan kata,

"Konon rajinlah tu pemotong rumput??Nak berlagak alimlah tu, sibuk-sibuk potong rumput!"

Pandangan peribadi saya, jika ada yang berkata begini saat melihat pemotong rumput, memotong rumput, saya akan katakan pengkritik tadi, "GILA!!"

Orang potong rumput, laksanakan tugas,

Apa salahnya?

Jika benar salahnya, di manakah letaknya?

Begitulah seharusnya, kita bersikap lebih rasional. Saat kita melihat ada saudara kita yang berubah ke arah lebih baik, ke arah kesempurnaan mengikut syariat Islam, kita raikan. Kita berikan galakan, bukan sindiran.

"Wah, dah insaf ke pakai tudung labuh tutup dada tu?"

"Kau pakai guni ke apa ni? Kenapa besar sangat??"

Orang yang mengkritik orang lain yang sedang melaksanakan tanggungjawab mereka, apakah insan ini masih waras dan mampu berfikiran rasional?

Mungkin sahaja niat kita mahu bergurau senda, bertepuk tampar, bercanda ria dan sebagainya lagi niat-niat mahu berseloroh. Tapi secara sedar atau tidak, kita telah menyindir hukum Tuhan. Tuhan yang menyuruh kita menutup aurat dengan sempurna dan kemudian kita menyindir orang-orang yang sedang menjaga hukum Allah sebaiknya.

Wallahualam, sekadar perkongsian.

Pesan 1: Kalau mahu menutup aurat, tutuplah dengan sebaiknya. Kalau mahu pakai towel mandi keluar jalan-jalan ke shopping mall pun tidak ada salahnya, asalkan towel tadi benar-benar dapat menutup setiap helai rambut, sehingga lah ke paras dada. (Tapi, siapa yang nak pakai towel ke shopping mall eh? Huhu)

Pesan 2: Saya mohon kepada semua sahabat, mari kita saling mengingatkan diri dan menasihatkan yang lain. Itu juga tanggungjawab kita. Orang tidak menerimanya mungkin kerana 2 sebab. 1, mungkin kerana sikap kita yang salah pendekatannya atau yang kedua, hidayah itu milik Tuhan, kita berusaha menyampaikan kebenaran dan keinsafan sahabat/hamba Allah SWT yang lain adalah hak mutlakNya.



Selasa, 25 Mei 2010

Kisah: Tangisan seorang pakcik

Kisah from Deviant Art

Assalamualaikum wrt wbt,

Ahad lalu, 16 Mei 2010. Saya oncall di Emergency Medical Department (EMD)


Saya mahu berkongsi tentang seorang pesakit saya. Sungguh indah pengalaman ini dan saya ingin kongsikan cerita ini bersama semua pembaca.

Jam 7 pagi, saya masuk ke EMD. Saya melaporkan diri dan bertanya doktor senior mana yang memerlukan bantuan saya.

"Dik, itu Dr D. Dia tengah perlukan bantuan dokter muda" kata seorang doktor senior setelah saya bertanya.

"Sip, insyaAllah baik dok" jawab saya sambil menunjukkan ibu jari saya tanda saya siap menjalankan tugas.


"Dok, boleh saya bantu?" tanya saya.

"Boleh dik. Ini pesakit ini, kamu monitor ketat. Setiap 2 jam periksa tanda vital, lihat urin output dan intake dia. Catat semuanya. Kemudian, perhatikan tanda-tanda shock. Pesakit ini Sepsis dengan Acute Kidney Injury. Lagi 1, ada instruksi di profil pesakit ini, jika kamu sudah selesai, telefon saya. Berapa nombor handphone kamu?"

"Baik, insyaAllah dok. Sekejap, dok"

Saya mencari handphone saya.
"Eh, mana pula handphone ini?"

"Ya Allah..........saya bawa charger tapi tidak bawa handphone. Oh, pakah fatalnya tindakan yang telah ku lakukan. Oncall di Emergency tapi tidak bawa handphone. Arghhhh.........." keluh kesah saya sendiri.


"Dok................." sambil tersipu tersengih-sengih malu.

"Ya, berapa nombor handphone kamu?" tanya dokter lagi.

"Saya lupa bawa handphone" jawab saya

"Pandai kamu bercanda, cepat nombor handphone kamu. Kamu oncall tapi tidak bawa handphone. Jangan bohonglah" dokter tadi masih mengingat saya bergurau.

"Betul Dok. Salah saya, saya lupa bawa handphone. Tapi dok, boleh tidak, saya catat nombor handphone doktor, nanti saya telefon sekiranya ada masalah" saya cuba ber'negosiasi'

"Hm..haish..macam mana kamu boleh lupa bawa handphone? Ok, ini nombor handphone saya. 081xxxxxxxxx"

"Ok, baik dok, terima kasih" balas saya masih menghafal nombor handphone dokter tadi.

Lantas, saya minta teman saya mencatatkan nombor telefon dokter tersebut sambil saya me'recall' kembali.

Pesakit tadi, seorang lelaki, umurnya 65 tahun. Ditemani isterinya. Saya lihat pakcik ini lemah sangat.

"Pak, apa yang bapak rasakan sekarang? Bapak sesak nafas? Bapak ada rasa mahu pitam?"

"Tidak dokter"

"Kalau ada rasa kurang enak beritahu saya, ya"

"Baik, dok. Terima kasih"

Kemudian, saya menjalankan tugas memonitor 4 pesakit kritikal lain.

Ada seorang budak lelaki, umur 12 tahun.

"Saya sakit, menggigil dok" keluh anak tadi sambil ditemani orangtuanya.

"Dok, anak saya, kalau pulang rumah sekadar mahu makan, singgah sebentar, minta wang dari saya kalau 'bekal' sudah habis. Waktu lapangnya, banyak dengan kawan-kawan' keluh ibu pesakit ini. Mungkin merasa sangat risau.

"Ha adik, dengar ibu kamu. Lihat siapa yang ada di sini menemani kamu saat kamu susah dan sakit? Orangtua kamu kan? Kamu ingat betul-betul saat ini, kamu hargai orangtua kamu. Ingat, mereka itu sayangkan kamu. Jangan nakal-nakal lagi ya" saya menegur lembut sambil mengusap kepala adik ini.

"Baik, dokter. Terima kasih" kata anak ini. Saya melihat anak ini menggigil. Dia menghidap Dengue Hemorrhagic Fever. Masih di Emergency sehingga keadaan umum stabil, barulah dimasukkan ke ruang rawat inap (ward)


Saya balik lagi ke pesakit, pakcik tadi. Saya menguruskan pakcik tadi dari A - Z.
Saya usung pakcik ini ke ruang Radiologi yang jaraknya dalam 300meter, di mana pakcik ini gemuk!. Bayangkan saya tolak katil pakcik itu. Penat tu! Sangat penat!

Disebabkan keadaan pakcik ini yang agak kritikal, maka saya lebihkan tumpuan kepadanya. Pakcik ini juga mempunyai ulcers (stomatitis/sariawan) di mulutnya. Dia tidak mampu bercakap kerana sakit yang bukan kepalang sehingga mampu menitiskan airmata.

Pernah tiba-tiba pakcik ini menangis sambil menunjukkan bagian perut bawah.

Saya tekan, bapak tadi mengerang menangis.

Saya lihat sekeliling. Ya Allah, tadinya kateter (urin kateter) di ikat supaya urinary bladder nya penuh untuk pemeriksaan USG abdomen. Kemudian tidak dibuka lagi. Mungkin kerana menahan sakitnya, pakcik tadi menangis.

Saya sangat-sangat kasihan dengan pakcik ini. Ya Allah, kesalahan apa yang saya buat. Lupa tanggalkan ikatan kateter? Huh, kesalahan yang tidak ada dalam kamus seorang dokter mungkin.

Saya pujuk pakcik ini. Saya tenangkan keadaannya. Lalu menjalankan tugas observasi lagi.


Dari pagi, saya mengobservasi, menjaga intake dan output fluids and nutritions, keadaan semasa dan melihat setiap aspek secara holistik.


Tiba-tiba, pakcik tadi memanggil saya dengan memberi isyarat tangan melambai ke arah saya. Saya yang sewaktu itu sedang memonitor tanda vital dan sebagainya berjalan menuju ke pakcik tadi.
"Ya pak, kenapa?"
Dia menunjukkan 'sign' mahu menulis.

"Bapak mahu tulis sesuatu?"

Pakcik tadi hanya mengangguk.
Saya mengeluarkan kertas dan pen di poket, lalu saya menghulurkan kepada pakcik ini.

Dia menulis. "Dokter orang Melayu?"

Saya menjawab sambil tersenyum, "Ya, saya pak."

"Dokter Islam?" Saya masih tersenyum dan menganggukkan kepala.

Kemudian pakcik tadi mengangkat kedua tangannya seperti berdoa, lalu


"Ya Allah, Kau sayangilah dokter ini, Ya Allah. Kau kurniakanlah dia sebanyak-banyak nikmat di dunia dan sebanyak-banyaknya kesenangan di akhirat. Kau jadikanlah dia manusia yang bermanfaat buat semua. Kau berkatilah hidup dia" sambil saya lihat pakcik tadi bersusah payah berdoa sedang pakcik ini bergenang airmata, mungkin kerana menahan sakit. Pakcik ini tidak menagih doa sebaliknya dia yang mendoakan. Mulia sungguh akhlaqnya.

"Ameen, pak. Ameen. Semoga Allah redha dengan bapak dan keluarga" bergenang airmata saya melihat wajah pakcik tadi

Sebelum pulang dari
oncall, saya sempat ke pakcik tadi dan meminta diri untuk pulang.

"Anak, bapak minta maaf banyak-banyak menyusahkan kamu. Maafkan bapak" bergenang pakcik ini

"Ya Allah pak. Jangan cakap macam itu. Tugas saya, pak. Saya doakan bapak cepat sembuh dan dapat bersama dengan keluarga lagi. Saya minta diri dulu ya pak" saya bersalaman dengan isterinya.

Ya Allah, perasaan itu adalah suatu nikmat yang tidak dapat digambarkan. Membantu insan yang memerlukan dan dalam masa sama, saya enjoy dengan apa yang saya lakukan.

Sebelum pulang juga, saya sempat menuntut ilmu sebanyak-banyak dari dokter yang bertugas. Saya mengekorinya kemana sahaja. Haha. Macam apa je kalau ingat balik. Kemudian, mulalah mulut saya macam bertih jagung bertanya apa saja yang dilakukan dokter dan apa-apa yang saya tidak tahu.

Dokter senior itu sempat ketawa sambil berkata,

"Aimi, kamu ini sangat bersemangat, ya"


Semoga Allah redha dengan apa yang saya lakukan dan bersama saya setiap detik waktu berlalu. Ameen.

Pesan 1: Semakin bersemangat belajar. Ya Allah, Kau tetapkanlah hatiku ikhlas dalam mencari ilmuMu.

Sabtu, 22 Mei 2010

Salah siapa, tanggungjawab kita?

Assalamualaikum wrt wbt,

Alhamdulillah. Pagi ini saya diizinkan Allah SWT untuk men'update' blog seperti biasa.

Tidak mahu menjadikan alasan sibuk sebagai penghambat hobi penulisan saya, namun hakikatnya saya harus mengatakan Ya, di dunia perubatan dan sebagai calon dokter,

Dokter spesialis, "Sebagai dokter, kita tidak punya waktu lapang untuk bersantai-santai. Kita harus manfaatkan setiap masa kerana kita berkerja dengan manusia dan untuk manusia"

Benar, saya setuju apa yang dikatakan oleh dokter tersebut.

Pagi ini, saya menonton televisyen sambil bersarapan pagi. Saya melihat iklan series CSI (Crime Scene Ivestigation). Satu rancangan yang sangat diminati oleh adik bongsu saya.

Saya lihat kes bunuh yang tidak pernah berhenti. Saban hari, polis-polis menyiasat. Bertungkus-lumus menyelesaikan siapa dalang disebalik semua rencana.

Kemudian, saya buka akhbar online dan saya akan petik beberapa tajuk artikel yang sangat mengusik hati saya.
Dalam tuduhan pertama, Rasidi, seorang penganggur, dituduh membunuh adik perempuannya Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119, Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara jam 7 dan 11 pagi 5 Januari lalu.

Dia turut menghadapi tiga lagi pertuduhan iaitu membunuh ayahnya, Ismail Awang, 76; nenek, Sufiah Katas, 80, dan datuk Atan Daud, 87, di rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan pada tarikh dan tempoh waktu yang sama.
Laporan kesihatan berkenaan dikemukakan kepada mahkamah oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin. Rasidi yang diwakili peguam Ardelliza Izmaryanti Shafie kelihatan tenang mendengar keputusan itu dan mengangguk faham apabila ditanya jurubahasa mahkamah.
Allahukbar. Astaghfirullah. Apa sudah jadi?

Kemudian, tajuk kedua,

SEREMBAN: Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap seorang guru penolong kanan atas tuduhan merangsang seorang muridnya untuk melakukan kelucahan melampau, tiga tahun lalu.

Mohd Harith Mohd Nor, 42, didapati bersalah merangsang seorang murid lelaki yang ketika itu berusia 11 tahun untuk melakukan kelucahan melampau di pejabatnya di Sekolah Rendah Kebangsaan Wawasan Seremban 2 antara jam 3 petang hingga 4 petang pada akhir Mac 2007.
Ya Allah. Allah. Lagi menyesakkan dada.

Mungkin akan ada yang berkata,

"Kenapa pergi buka news yang macam itu? Cubalah buka tentang artikel masak-memasak, tentang artis, tentang fesyen, tentang bola. Kau jumpalah hal-hal yang menyenangkan. Tutup mata kalau lihat artikel-artikel bunuh, rogol dan berbagai lagi kes-kes kriminal"

Bagi saya, itu bukanlah suatu solusi di mana saya akan berasa tenang dan aman. Tenang dan aman adalah apabila kita mengetahui masalah, pokok permasalahan yang melanda dan juga solusinya. Solusi mungkin buat keamanan diri dan juga lingkungan kita. Jika kita tidak mengetahui hal-hal kriminal terkini, kita merasa 'tenang' kerana kita tidak tahu hal yang sebenar.

Saya pernah mendengar ceramah agama seorang tokoh hebat Indonesia,

Kita jangan jadi seperti kambing. Kambing yang buat korban/sembelih sewaktu Hari Raya Korban. Kambing 1 disembalih, kambing 2 yang disebelahnya boleh makan dengan tenang, buat 'kerja' dengan kambing 3. Walhal giliran kambing 2 untuk disembalih adalah berikutnya. Dia jadi LEKA dan TERPESONA dengan dunianya sendiri. Apabila kita melihat suatu bencana, kematian yang jadi di dunia ini, bukan kita lari dari masalah atau bersimpati sahaja dengan mangsa-mangsa keadaan. Sebaliknya, kita haruslah membuka lebih lebar akal kita, bahawa ini adalah ibrah yang harus ku ambil dan menginsafi diri. Bukan seperti kambing, jiran sebelah meninggal, kita hanya bersedih dan bersimpati dengan keluarga arwah. Mungkin sahaja 'next adalah turn' kita
Saya melihat kes kriminal yang terjadi salah satunya adalah kerana KEZALIMAN

Zalim adalah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Seorang bapa merogol anaknya sendiri. Bukankah tugas bapa menjaga keamanan anak, mendidik dan membesarkan sehingga menjadi orang yang berguna?

Seorang sahabat membunuh sahabatnya sendiri gara-gara cemburu. Bukankah sebagai manusia, kita diminta saling melindungi sahabat, menjaga kebajikan?

Seorang ibu membuang anaknya. Bukankah ibu itu wanita mulia yang seharusnya disanjung kerana sifat kasih dan sayangnya, di manakah hilangnya rasa itu semua?

Pada pandangan peribadi saya, apabila kita tidak melakukan sesuatu sesuai tanggungjawab kita, kita akan cenderung mengkhianati amanah ini. Apabila amanah dikhianati, muncullah jenayah-jenayah yang kita lihat sekarang ini.

Misalnya,

Seorang pelajar perubatan (kerana saya pelajar perubatan) seharusnya belajar tanpa batas kerana ilmu itu tidak terbatas. Namun, kerana mentaliti dan sikap acuh tidak acuh dalam belajar, maka lahirlah seorang doktor yang cetek ilmunya, gelabah skillnya, serabut atau plastik penampilannya.

Saban hari dia mengubati pesakit. Datang kepada dia pesakit yang punya riwayat alergi antibiotik. Namun, kerana mahu cepat-cepat pulang kerja, dia melewatkan soalan-soalan anamnesis tentang alergi kepada pesakitnya.

Pesakit tadi pulang dan makan ubat tanpa ada 'precaution dari doktor. Setelah makan, dia sesak nafas hebat kerana obstruksi jalan nafas, kemudian wajahnya bengkak-bengkak. Orangtua nya membawa anaknya terus ke hospital. Disebabkan dalam keadaan gopoh, mereka tertimpa kecelakaan lalu lintas di jalan utama menuju hospital sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Kemudian, kita buka televisyen, lalu liputan langsung tentang kejadian 3 beranak ini sedang bersiaran langsung, jawab kita dalam hati,

Bodohnya orangtua. Cubalah berhati-hati. Ini tidak, gopoh sangat. Kan dah accident.
Kenapa boleh jadi situasi di atas? Tepuk dada tanya iman dan akal.

Saya tidak meletakkan kes jenayah itu adalah salah setiap manusia, tapi apa yang saya cuba katakan adalah, kes jenayah yang berlaku saat ini adalah tanggungjawab bersama.

Wallahualam.

Semoga Allah memberkati kalian.

Rabu, 19 Mei 2010

Saya tidak kuat


When you believe from Deviant Art

Assalamualaikum wrt wbt,

Alhamdulillah.

Kali ini insyaAllah, saya ingin bercerita tentang pengalaman oncall di Internal Medicine Department. Alhamdulillah, hari Isnin yang lalu (17/5/2010) saya ditugaskan menjaga Infectious Ward.

Saya ditugaskan sendirian dan pesakit dibawah tanggungjawab saya adalah 25 orang semuanya.

Ramai? Ya, sangat. Saya jaga adik saya 4 orang sahaja macam ramainya menjaga adik-adik jiran juga inikan pula 25 orang. Tidak mengapalah, lalui saja bisik hati saya.

Disebabkan kelompok besar saya hanya ada 40 orang sahaja, maka setiap orang akan dikerahkan tenaga dan otaknya semaksimal dan seoptimum mungkin.

Selalunya ada 70 orang sekelompok besar (2 angkatan/batch). Namun sekarang, seniors sudah Magang (ditugaskan ke desa-desa dan hospital daerah) manakala juniors belum masuk Clinical Year lagi.


Jam 4 petang, saya sudah mulai follow up pesakit. Lengkap dengan face mask, handgloves, saya mengambil fail follow up pesakit lalu mulai pemeriksaan. Dari pemeriksaan Vital signs (blood pressure, respiratory rate, heart rate and body temperature) sehingga lah ke pemeriksaan lokal tempat keluhan pesakit.

Selesai 1 bilik (1 bilik = 8 orang dan total 3 bilik = 24 orang) saya melihat jam. Jam 6 petang. Ya Allah, sudah Maghrib. Saya masih belum selesai 2 bilik lagi. Namun, saya meminta izin dari doktor senior untuk solat Maghrib.

Usai solat Maghrib, saya kembali ke wad memandangkan baki pesakit yang harus di follow up masih banyak lagi. Saya cuma sempat makan roti sekeping dan secawan kopi, alhamdulillah. Cukup sebagai pengalas perut.

Saya menyambung lagi follow pesakit sehingga selesai dan saya melihat jam 9.30 malam.
Ya Allah, penatnya Allah SWT sahaja yang tahu. Namun begitu, saya puas. Puas kerana saya tidak mahu menjadi doktor robot. Datang kepada pesakit, membawa alat-alat medik lalu melakukan pemeriksaan rutin. Saya mevariasikan dengan berborak dan mendengar keluhan-keluhan pesakit. Mereka adalah manusia, mereka bukan objek perubatan. Mereka punya hati dan perasaan, pasti mereka perlukan perhatian. Cuma setiap dari dokter harus bijak mengendalikan keadaan emosi pesakit.

Ada seorang pesakit saya, lelaki. Umur 35 tahun.

"Assalamualaikum Pak X, apa khabar? Bagaimana hari ini? Ada keluhan?"
Saya tersenyum memandang pesakit saya. Saya melihat dia kelelahan dan sesak nafas. Namun begitu, saya tidak mahu mengekspresikan rasa simpati kerana saya yakin, dia pasti kuat atau tidak berusaha untuk kuat.

"Dokter, saya sudah penat!!" tiba-tiba pesakit saya bersuara.


"Penat? Penat yang macam mana itu?" tanya saya lagi.

Sebenarnya saya agak terkejut kerana saya sedang melakukan pemeriksaan fisik. Cuba bayangkan suara yang kuat timbul jika tengah pakai stetoskop. Kalau tidak tahu, cuba sekarang. Pasti anda terperanjat :)

"Saya merasa bumi pun tidak mahu menerima saya"


"Boleh bapak terangkan lagi, saya tidak faham maksudnya apa"


"Saya semakin hari semakin sesak. Saya tidak boleh bernafas tanpa memakai tube oksigen (non re-breathing facial mask) ini. Saya penat dokter! Saya penat! Saya mahu hidup seperti orang lain. Dunia ini tidak adil" bentak pakcik ini lahir dari hatinya.

Saya melihat ada airmata yang bergenang di mata pakcik ini. Saya faham, pakcik ini pasti merasa penat dengan ujian, mungkin juga dia sudah lupa apa itu sihat kerana sudah lama pakcik ini menderita penyakit paru dan harus terus menggunakan bantuan oksigen.

"Pak, bapak percaya Tuhan?"


"Percaya"


"Bapak rasa penyakit ini dari siapa?"

"Dari Tuhan"

"Bapak rasa kenapa Tuhan berikan bapak ujian ini?"

"......"
Tiada jawapan dari pakcik tadi.


"Pak, setiap yang Tuhan turunkan kepada hambaNya itu adalah hak dia. Jika bapak meminjamkan barang kepada seseorang dan satu hari, bapak iseng-iseng (saja-saja) mahu mengambil balik barang yang dipinjamkan, apakah salah tindakan bapak?"

Tidak

Begitulah juga Tuhan, pak. Tuhan itu memiliki diri kita. Tuhan itu memiliki alam semesta. Dia adalah pemilik di dunia, di akhirat. Dia lah Pemerintah Agung. Jika Dia meminta lagi apa yang diberi pinjam, apakah layak seorang hamba mempersoalkannya?

Tapi, bapak sudah penat dokter

Tuhan pasti sayang bapak. Dia tidak menguji saya kerana Dia tahu saya tidak kuat untuk hadapi ujian seperti bapak. Pak, orang yang terlantar di atas kasur (katil) dan bersabar dengan ujian kesihatan itu bukanlah orang yang lemah, pak. Sebaliknya, orang yang berbaring, bersabar dan redha dengan ujian itulah lebih kuat dari insan yang berdiri teguh di sebelah bapak (sambil saya menunding jari ke diri saya sendiri). Semoga Allah redha dengan bapak.

Pakcik tadi diam dan terus-menerus menangis. Semakin lama semakin kuat tangisannya.

Pak, saya minta maaf jika ada kata saya yang mengguris hati bapak, cuma kadang-kala kita terlupa siapa diri kita dan mempersoalkan kekuasaan siapa Dia yang berkuasa ke atas kita.


Tidak mengapa dokter. Terima kasih banyak, dokter. Semoga Allah merahmati dokter.

Ameen. Ameen. Ameen. Semoga bapak juga dikurniakan nikmat kesihatan kembali, ya. Pak, saya minta diri dulu. Saya harus lihat pasien (pesakit) yang lain.


Baik Dok. Terima kasih banyak dokter.

Saya meninggalkan pesakit dengan rasa sebak.


Ya Allah, Kau kurniakan aku nikmat melihat sendiri nikmat dan ujian di depan mataku.

Ya Allah, Kau kurniakan aku nikmat mendengar sendiri nikmat dan ujian di telingaku

Ya Allah, Kau kurniakan aku nikmat berbicara sendiri nikmat dan ujian dengan mulutku.

Allah, Allah, Allah, Kau tetapkanlah aku di jalan yang Engkau redhai. Allah. Allah. Allah.

Kepenatan yang dirasakan menyebabkan saya nekad untuk tidur. Saya menyiapkan report follow up malam secepatnya. Waktu itu, saya benar-benar mahukan mancis untuk meregangkan kedua kelopak mata saya.

Saya meninggalkan pesan kepada seorang jururawat,


"Ibu, jika ada pesakit baru atau ada kes-kes emergency dari pesakit, tolong kejutkan saya"


Waktu itu jam 11 malam. Tahu saya tidur di mana? Saya tidur di lantai sebelah meja dokter. Saya pening kepala jika tidur duduk.

Jadi, saya nekad untuk tidur dilantai kerana saya harus ada dekat dengan pesakit supaya saya mampu bertindak cepat jika ada apa-apa berlaku.


Jam 12 tengah malam, saya dikejutkan perawat, pesakit baru dihantar masuk.

Ya Allah, rasa macam mahu patah tulang belakang. Saya mencuci muka, berkumur-kumur lalu bersiap ke pesakit baru. Setelah melakukan pemeriksaan dan tindakan yang berpatutan, saya lalu menunaikan solat Isya.

Jam 1 pagi, saya sekali lagi follow up pesakit-pesakit saya (untuk report follow up pagi). Selesai jam 4.00 pagi. Saya bersiap untuk solat Subuh dan menulis report follow up. Mata mengantuk, perut berkeroncong, badan pula sakit-sakit kerana tidur di lantai.

Namun begitu, saya bahagia. Saya senang dengan apa yang saya lakukan. Saya lakukan ini semua kerana saya yakin, saya mampu mengumpul pahala jika saya ikhlaskan diri. InsyaAllah.

Semoga Allah membalas semuanya dengan keredhaanNya. Ameen.

Pesan 1: Mulai hari ini, mari sama-sama kita menjadi insan yang tabah dan saling membantu sesama kita untuk mengejar redhaNya. Ameen:)