Rabu, 4 November 2009

Saya suka kerja yang biasa-biasa

Assalamualaikum wbt,

Saya ada soalan untuk sahabat-sahabat semua, terutamanya yang sudah mempunyai lesen kereta dan tahu membawa kereta,


Apabila anda duduk bersebelahan dengan seorang juruterbang, adakah anda akan bangga diri atau merasa setaraf? Atau ada terbit rasa hormat dan "inferior feeling"?

Jujur bagi saya, saya akan ada rasa sedikit inferior nya di situ. Walhal saya pemandu dan juruterbang juga pemandu.

Kenapa perlu ada inferior feeling kalau dua-duanya pemandu?

Ya, pasti ada yang berkata, juruterbang bawa kapal terbang. Kapal terbang bukan mudah untuk dibawa. Bawanya di udara, maka harus ada tauliahnya, harus ada skill yang baik, harus ada pengetahuan dan pengalaman yang luas.

Bukan mudah untuk menjadi juruterbang dan bukan semua boleh menjadi juruterbang.


Gambar hiasan

Lihat tidak point ekslusif pada pemandu kapal terbang jika hendak dibandingkan dengan pemandu kenderaan darat yang lain?

Penekanan pada frasa bukan mudah bermaksud, seorang juruterbang memerlukan ilmu yang banyak, pengalaman yang luas, masa, tenaga dan wang yang perlu dikorbankan. Tidak semudah untuk mendapatkan lesen kereta. Hanya dalam sebulan belajar dan ujian maka kita sudah layak untuk mendapatkan lesen kereta.


Begitu juga dengan hakikat kehidupan ini. Saya ambil contoh belajar dan ingin saya ambil kesempatan ini untuk menegur sesetengah individu. Bagi yang merasa teguran saya kurang sopan, tidak rasional, silakan kita berbincang. Mungkin saya tersilap dan seandainya teguran saya benar, silakan terima dengan hati terbuka.

Ada sesetengah individu suka mengambil kerja mudah.

Kerja last minute

Ramai yang boleh buat kerja last minute. Tetapi hasilnya belum tentu memuaskan baik bagi diri sendiri mahupun diri orang lain yang menilai.

Contoh mudah, saya pernah melihat ada mahasiswa dengan tulisan yang buruk (no offense) kerana terburu-buru menyiapkan assignment untuk sesi pembentangan.

Ada yang tulisannya ditaip kemas oleh cik laptop dan dia "cerdik" copy paste dari e-book medicine dan langsung membuat pembentangan.


Kedua-kedua kelompok ini, tidak faham apabila ditanya. Mereka sendiri tidak faham isi pembentangan mereka.


Kedua, bagi yang telah bekerja, apabila bertangguh kerja dan menunggu saat akhir untuk melunaskan tanggungjawab, bukan sahaja diri sendiri yang terbeban malah orang lain juga boleh terkena tempiasnya.

Pernah saya melihat ibu saudara saya yang pulang hampir 12 tengah malam. Dia pula seorang akauntan dan bertindak sebagai ketua akauntan. Jadi setiap hujung tahun, pasti mereka bertungkus lumus menyiapkan laporan akhir akaun (auditing). Hanya disebabkan tugas akauntan bawahannya yang selama ini bertangguh maka tugas ibu saudara saya juga akan tertangguh.

Mahu yang biasa-biasa sahaja

Ini satu lagi habit yang sering menjadi kanser yang membarah dalam badan sesetengah individu.

"Aku nak lulus sudah. Aku tak kesah markah aku berapa, asal aku eligible to be promoted ke next year"

"Paling penting gaji aku bulan-bulan masuk. Kerja aku bagus ke, aku rajin kerja ke, gaji aku tetap sama"

"Aku nak sempoi-sempoi je. Janji sembahyang cukup 5 waktu. Aku takmo alim sangat. Aku alim pun nasib aku macam ni, aku dulu jahat pun nasib aku macam ni. Lebih baik aku biasa-biasa je tak aktif sangat dakwah"

Ramai orang yang boleh bertindak sedemikian. Ramai yang boleh buat kerja last minute. Ramai boleh buat kerja ala kadar. Oleh kerana ramai yang boleh buat kerja ala kadar, kerja biasa-biasa, sikap yang biasa-biasa tanpa bersungguh-sungguh maka kita tidak melihat mereka ini sebagai insan untuk dihormati, untuk dijadikan contoh. Sebab apa?

Sebab semua orang boleh bertindak seperti mereka. Sama dengan contoh analogi juruterbang dan pemandu kenderaan darat lain seperti kereta. Hampir semua orang boleh memandu kereta tetapi tidak semua orang boleh membawa kapal terbang.

Sebaliknya, apabila hadir di depan kita, seorang teman, yang mempunyai akhlaq (sikap) yang baik, segala tugas dilunaskan tepat waktu dan disempurnakan dengan baik, komitmen yang diberikan juga sangat bagus, keputusan akhir juga boleh dibanggakan, adakah akan tercuit rasa hormat pada dia?

Pasti ada bukan? Ini kerana bukan semua orang boleh bertindak luarbiasa. Rata-rata suka melakukan perkara biasa-biasa yang orang biasa sering lakukan.

Ingin saya utarakan kepada semua, berapa ramai yang mementingkan jihad(sungguh-sungguh) dalam diri mereka. Berapa ramai yang meletakkan kualiti sebagai batu ukur kejayaan mereka?

Kadang-kala kita asyik melihat kekurangan orang sehingga masa yang ada telah terbazir begitu sahaja. Ini kerana kita asyik menjadi "pemerhati dan pengkritik terhormat".

Jika kita hanya selesa di takuk biasa-biasa tanpa melakukan sebarang paradigma perubahan, jangan kita impikan sebuah negara yang makmur kelak kerana diri sendiri sahaja kita tidak mampu lakukan perubahan.

Jangan kita impikan sesuatu yang lebih-lebih kerana diri sendiri sahaja bertindak biasa-biasa.

Pesan 1 : Bersungguh-sungguh dalam mengerjakan sesuatu

Pesan 2 : Jika dahulu Rasulullah SAW dan para sahabat bekerja dan menyebarkan dakwahnya ala kadar @ melepaskan batuk ditangga, belum tentu umat Islam akan ada hari ini dan belum tentu akan ada pejuang agamaNya yang ikhlas dan benar.

Pesan 3: Keluarlah dari kepompong manusia yang biasa-biasa ini atau istilah lainnya zon selesa. Takut apabila diserang 'musuh' kita masih ternganga mengelap air liur kerana baru 'terjaga' dari tidur!

Pesan 4: Bagi mereka yang percaya dengan hari pembalasan, agak-agak, kalau mati sekejap lagi, mereka masih hendak bersantai atau bersungguh-sungguh mengerjakan tugas mereka?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan