Selasa, 17 Mei 2011

Hamster takut, kawan lari

Assalamualaikum wrt wbt,

Salam sayang, salam kerinduan, salam 1 Malaysia buat semua yang membaca.


Semoga Allah SWT memberkati diri kita. Ameen.
Seperti biasa, kalau saya update blog, saya selalunya akan bercerita. Saya ingin kongsikan sebuah cerita. Tentang seorang anak dan ibunya.

Di suatu petang, seorang anak perempuan, Lily, pulang ke rumah. Lily berusia 6 tahun. Seorang anak yang lincah, petah berkata dan pintar.

Dia kelihatan sedih dan muram. Melangkah lesu seperti ada suatu masalah yang menimpa dirinya. Lily pulang ke rumah sendirian. Tidak seperti biasanya, dia sering pulang bersama kawan baiknya, Sarah.

Setelah sampai di rumah, Lily memberi salam lalu masuk melulu ke dalam bilik tidurnya.

Ummi Lily hairan melihat keletah anaknya. Tidak seperti biasanya, Lily sering membantu Ummi di dapur.

Ummi lalu ke bilik tidur Lily,

"Lily, best main tadi? Sarah tak singgah rumah?" tanya Ummi kepada Lily.

"Biasa-biasa je tadi main. Sarah terus balik ke rumah" balas Lily ringkas kepada ibunya.

Ummi dapat mengesan sesuatu telah terjadi. Pasti anaknya dan teman baiknya Sarah sempat berselisih faham.

"Lily mahu cerita apa yang menganggu fikiran Lily? Ummi sedia dengar" Ummi cuba mencungkil apa yang terbuku di dalam hati anaknya.

"Ummi, Lily dah tak tau nak buat apa. Lily cuba jadi baik. Lily cuba baik-baik dengan Sarah tapi ada je sikap Lily yang Sarah tak suka. Lily penat Ummi. Penat jaga hubungan persahabatan ini. Rasa sia-sia tau"

"Oh, itu ke masalahnya? Ok, takpe. Lily mandi, kemudian bantu Ummi di dapur. Setelah itu, kita tunggu abi untuk makan malam bersama ya. Anak ummi kan solehah, pasti menurut kata" pujuk Ummi sambil memegang kepala Lily.

"Itu je respon Ummi?" panjang muncung Lily.

Ummi punya rancangan sendiri cuma biarlah anaknya menunggu sehingga waktu yang tepat.

Malam itu, bertemankan Abi, Ummi membawa anaknya, Lily pergi ke kedai menjual haiwan.

Ummi dan Abi membawa Lily melihat-lihat hamster.

Tersenyum keriangan Lily. Hilang sebentar kegusaran yang melanda dirinya. Lily seorang yang sangat sayangkan haiwan. Setiap kali bertemu kucing, akan dibelai-belai kucing tadi. Jika ada makanan lebih, diberikan kepada kucing. Tidak kiralah makanan Lily adalah puding mangga buatan ibunya atau lebihan nasi bekal sekolah, semuanya diberikan kepada kucing.

Teringat Ummi dengan keletah Lily, sewaktu kecil dulu, Lily pernah membelai anjing peliharaan jirannya.

"Ummi, Abi, "kucing" Uncle Wong, comelkan. Tadi Lily bagi makan aiskrim dekat kucing uncle Wong" pelat dia bertutur tetapi tetap petah.

Kucing yang disangkakan Lily itu adalah anjing.

Tersedar dari lamunan, Ummi melihat Lily menggenggam kuat hamster.

Gambar hiasan tetapi seperti inilah cara Lily memegang hamster.

"Lily, ada cara yang betul pegang hamster itu" jelas Ummi.

"Tapi kan sama je Ummi. Asal hamster ini dapat diangkat, kira bolehlah kan?" balas Lily.

"Ok, cuba Lily lepaskan hamster tu. Tengok macam mana hamster tu" pintas Ummi.

Lily melepaskan hamster yang telah dipegang kuat. Terlihat hamster berlari ke satu sudut. Diam.

Lily memberikan butiran makanan kepada hamster. Tetap hamster diam di sudut sana.

"Ummi dah kata tadi, ada cara yang betul kalau nak pegang hamster" Ummi mengulangi ayat yang sama.

"Macam mana Ummi, ajarlah Lily" balas anaknya merayu.

"Baik dengan syarat, Lily perhatikan setiap apa yang Ummi lakukan dan berikan beberapa ibrah dari hal ini. Boleh?" balas Ummi. Lily hanya mengangguk setuju. Sudah tidak sabar ingin mengangkat hamster dengan cara yang betul.

"Mula-mula jari-jari kita pegang badan hamster ke arah bontot hamster manakala pergelangan tangan kita mengarah ke kepala dan mulut hamster. Dengan cara ini, jari-jari kita tidak akan digigit hamster. Kalau sudah terkunci dengan cara memegang yang benar, hamster tidak akan bergerak dan terlepas dari tangan kita. Tidak kira lah betapa kuatnya hamster meronta. Hamster akan merasa aman kerana terbungkus di dalam kedua tangan kita" jelas Ummi sambil menunjukkan cara yang benar.

"Hubungan yang hangat, kasih berbalas, kepercayaan diri dan keyakinan timbul jika kita benar cara memegangnya" sambung Ummi lagi sambil memerhatikan Lily tekun melihat cara Ummi memegang hamster.

Lily sangat teruja. Dia mencuba sekali lagi tetapi dengan cara yang ditunjukkan ibunya.

Berjaya!.

"Lily ingat tidak dengan janji Lily?" tanya Ummi menduga.

"Ingat. Kalau kita pegang haiwan dengan cara yang benar, diorang akan sayang dengan kita" balas Lily ringkas. Tulus jawapannya.

Ummi dan Abi hanya tersenyum.

Abi yang baru pertama kali melihat analogi cara memegang hamster dengan keterkaitan masalah anaknya, langsung dapat menangkap ibrah dan inti yang ingin disampaikan isterinya.

"Anak Abi, Lily. Mari duduk sebelah Abi. Bawa hamster sekali" panggil Abi.

"Lily, sebenarnya apa yang ingin Ummi sampaikan lebih jauh dari sekadar haiwan" Abi membuka bicara.

"Maksudnya Abi?" Lily kebingungan.

"Petang tadi Lily cerita dekat Ummi tentang masalah Lily dan Sarah kan? Apa yang Ummi tunjuk tadi adalah pengajaran buat kehidupan Lily, Ummi dan Abi"

"Misalnya, Lily memang yakin hamster dapat diangkat dengan cara Lily tadi tetapi cara tersebut menyebabkan hamster tadi takut, tidak nyaman, merasa terancam. Hamster pun takutkan? Sampai merajuk hamster tadi dengan Lily"

"Begitu juga manusia. Mereka perlukan cara yang baik dan benar.
Sebuah hubungan yang menyenangkan dengan seorang teman baru memerlukan kepastian bahawa teman baru tersebut merasa aman, nyaman dan tenang. Lily mungkin rasa sikap Lily baik terhadap Sarah tapi mungkin saja ada cara yang lebih baik dari itu" hujah Abi.

Lily hanya tertunduk sambil tangannya masih membelai hamster. Tidak seperti tadi, kali ini Lily tidak mengenggam hamster seperti mana awalnya.

"Lily faham?" tanya Abi.

"Faham Ummi, Abi. Terima kasih" balas Lily. Dia masih diam.

"Lily sedih? tanya Abi.

"Lily rasa Lily salahlah, Abi. Petang tadi, Sarah ajak Lily main "hide and seek". Lily tak nak. Lily tinggalkan je Sarah sebab kalau Lily cakap dengan dia, nanti Lily jadi marah-marah" cerita Lily.

Tersenyum Abi dan Ummi mendengar cerita sebenar anak mereka.

"Alhamdulillah. Bagus kalau anak solehah Abi dan Ummi ini dah sedar. Jom balik" ajak Abi.

"Aik?? Balik je. Hamster tak jadi beli?" tanya Lily.

"Lily belajar pegang hamster dengan betul, nanti Abi beli. Kalau Abi beli sekarang, kesian hamster tu, merajuk semua dengan Lily" canda Abi.

"Abi pun takut nak pegang!" balas Lily selamba sambil meletakkan hamster di tempatnya.

Mereka berjalan bersama, keluar dari kedai haiwan dengan sebuah ibrah bermanfaat buat Ummi, Abi dan Lily.

Pesan 1: Cerita adalah rekaan semata-mata. Sekadar pengajaran buat diri dan semua.

Pesan 2: Cara memegang hamster dengan betul saya baca dari 101 Secrets a cool mom knows.

2 ulasan:

  1. Hamster pun boleh jadi cerita menarik..

    Cool ^^,

    BalasPadam
  2. Menulis melalui pengalaman :)

    Pernah bela hamster tapi mati.

    Pernah "belai" anjing masa kecil-kecil sebab ingat tu kucing

    (*_*)

    Semoga bermanfaat dan Allah redha ke atasmu

    BalasPadam