Selasa, 22 Disember 2009

Surah Yaasin bawah bantal

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua,

Sebuah cerita yang ingin dikongsikan bersama, isu ayat Al-Quran yang dijadikan pendinding atau pelindung. Perbualan adalah antara saya dan seorang sahabat,

Saya baring di atas katil sahabat saya. Saya bergolek ke kiri kemudian bergolek ke kanan. Lagaknya seperti katil sendiri. Tiba-tiba, sahabat saya menegur,

"Aimi, hati-hati sikit. Bawah bantal kepala itu ada Surah Yaasin" tegur sahabat.

"Astaghfirullah. Kenapa letak bawah bantal?Saya punyalah sakan bergolek" saya pula bersuara

"Untuk pendinding" jawab sahabat ringkas

"Pendinding apa?" tanya saya kembali

"Pendinding dari benda-benda halus inilah. Benda ghaib. Saya selalu kena 'tindih'" jawab sahabat lagi

"Macam mana caranya Surah Yaasin ini dapat melindungi awak dari ditindih hanya dengan meletakkan surah Yaasin di bawah bantal?" saya bertanya sekadar mahukan kepastian.

"Iyalah. Kan itu ayat Al-Quran. Itu kalam Allah. Mestilah Allah lindung kalau saya letak dekat dengan saya" jawab sahabat lagi.

"Kenapa awak tak letak dalam baju?Lagi dekat dengan awak, silap-silap benda halus tengok surah Yaasin terus cabut" saya cuba memberikan provokasi di situ.

"Mengada-ngadalah dia ini punya soalan. Malas nak layan" jawab sahabat

"Malas nak layan atau awak tak tahu mekanisma pertahanan ayat Al-Quran terhadap benda-benda ghaib?Awak rasa betul caranya dengan hanya meletakkan bawah bantal?" saya memancing lagi.

"...................................." sahabat tadi diam. Mukanya seperti malas mahu melayan saya.

"Sorry, kalau awak terasa hati. Ok, jom kita fikirkan analogi cerita ini. Meh sini.." saya menarik tangan sahabat sambil sama-sama duduk di atas katil

"Satu hari, pakcik A sakit. Dia pergi ke hospital. Dia ada luka dekat jari. Sudah seminggu luka tidak sembuh-sembuh. Doktor bagi ubat C untuk ubat sapu yang dipakai hanya bila perlu dan ubat D adalah pil, perlu dimakan 3 kali satu hari selama 3 hari. Ok jelas tidak sampai sini?" tanya saya kepada sahabat.

"Hmm..jelas..sambung.." pinta sahabat lagi.

"Sampai sahaja ke rumah, pakcik A ini makan ubat C (ubat sapu) dan menyapu ke luka menggunakan ubat D (ubat pil). Setelah 3 hari, pakcik tadi tidak sembuh-sembuh. Agak-agak kenapa?" tanya saya.

"Sebab pakcik itu salah makan dan guna ubat. Sepatutnya dia makan ubat D tapi dia gunakan untuk sapu pada luka dan pakcik tadi makan ubat C yang sepatutnya untuk ubat sapu." jawab sahabat tadi beserta alasan

"Pandai pun awak bagi jawapan. Begitu jugalah ayat Al-Quran. Ianya menjadi pendinding atau pelindung diri apabila digunakan dengan cara yang benar. Kalau sekadar awak meletakkan di bawa bantal, kemungkinan sahaja awak akan terus merasa diganggu. Ayat-Al-Quran itu ubat kepada keracauan hati dan iman. Tetapi caranya harus benar iaitu awak membacanya, mentaddaburinya dan ada ayat-ayat Al-Quran khas untuk penanganan masalah diganggu makhluk ghaib. Faham sekarang?Saya tiada niat menyindir atau apa, cuma saya rasa perlu untuk kongsi apa yang saya tahu. Al-Quran itu luas mukjizatnya. Bukan sekadar menghalau hantu" jelas saya panjang lebar.

"Jadi saya tidak boleh letaklah surah Yaasin ini bawah bantal?" tanya sahabat lagi

"Silakan, awak hendak letak Al-Quran pun silakan. Cuma, awak kena tahu fungsi Al-Quran itu bukan semata menghalau makhluk halus. Semuanya kembali kepada Allah SWT. Al-Quran itu kalam Allah SWT, petunjuk ke jalan yang benar buat orang mukmin. Wallahualam, sebatas ilmu yang saya boleh kongsikan" saya berkongsi sedikit ilmu.

Begitulah perbualan ringkas antara saya dan sahabat.

Wallahualam.

Pesan 1 : InsyaALLAH bagi sesiapa yang tahu mengenai dalil tentang situasi di atas, bolehlah dikongsikan bersama. Semoga saya dan sahabat tadi boleh berkongsi bersama, insyaAllah (^_^)

Ahad, 20 Disember 2009

Dilanggar kereta

Assalamualaikum wrt wbt

Semalam seharian saya menemani seorang sahabat saya membeli barang pesanan untuk dibawa ke Malaysia.

Malam pula, selain merancang untuk dinner bersama sahabat, dia juga mahu mencari Al-Quran terjemahan per kata di Gramedia. Toko buku yang paling hampir adalah di Istana Plaza (IP - shopping mall 1 stop center) iaitu 5 minit menaiki kenderaan (Baca : Angkot).

Sebelum masuk ke IP, saya dan sahabat seperti biasa berbual-bual sambil berjalan kaki menuju ke pintu utama masuk shopping mall tersebut. Tiba-tiba, saya merasa ada yang melanggar dengan kuat dari belakang.

Saya dilanggar sebuah kereta yang memandu masuk ke parking lot IP tetapi salahnya pemandu tersebut, dia telah memasuki kawasan pejalan kaki. Masa itu, Allah sahaja tahu betapa saya berdebar, takut dan tergamam. Alhamdulillah saya tidak apa-apa. Cuma lebam dan luka biasa.

Trauma. Masih teringat bagaimana pemandu tersebut terus memandu tanpa mengungkapkan maaf atau menunjukkan tanda bersalah. Agak biadab tindakannya. Tapi tidak mengapa, alhamdulillah cukuplah saya sudah selamat. Sahabat-sahabat saya yang ada, merasa geram dan mulai naik marah. Saya menenangkan keadaan sebentar. Tidak mahu mengeruhkan keadaan. Cukuplah semua selamat.

Dalam fikiran saya masih beristighfar. Allah masih memberi peluang untuk saya memperbaiki diri. Menghantar "signal" ajal tidak mengira masa.

Pesan 1 : Saya perlu detach dengan dunia luar buat sementara waktu. Memberi ruang untuk mencari kembali kekuatan diri menghadapi ujian Allah SWT.

Pesan 2 : Doakan saya dan sahabat-sahabat lain kuat menghadapi dunia baru kami.

Pesan 3 : Astaghfirullah (T_T)

Isnin, 14 Disember 2009

Double meaning image

Assalamualaikum wrt wbt.

Kali ini mari kita melihat 2 gambar yang saya jumpa dari pelbagai laman web. Bagi saya, imej itu kadang-kala mampu di interpretasikan dalam pelbagai maksud. Hanya melihat satu gambar, kita mampu melihat dari pelbagai aspek dan membawa maksud yang berbeza.



Imej yang anda lihat mungkin seorang lelaki bermain alat muzik atau imej wajah seorang wanita

Imej yang anda lihat mungkin seekor itik atau seekor arnab

Termasuk jugalah imej diri yang mampu diinterpretasikan dalam pelbagai maksud oleh masyarakat yang melihat.

Apabila masyarakat melihat kita, apakah imej yang terbayang dalam fikiran mereka?
Imej seorang ISLAM yang KAFFAH?
Atau
Imej dari sisi gelapnya?

Kita mengaku sebagai Islam
Kita mengaku mengeesakan Allah SWT
Kita mengaku percaya Rasulullah SAW
Kita mengaku mengimani hari kiamat

Adakah imej kita benar-benar mempamerkan ISLAM sejati sehingga imej sebenar seorang Islam itu dapat dilihat oleh masyarakat luar?

Jangan sampai kita menjadi fitnah kepada agama. Na'udzhubillah.

Peringatan buat diri. Wallahualam.

Ahad, 13 Disember 2009

I thought..

I thought when practical year started..
I will become an independent person.

More than before.
But it is vice verse.

I need my mom to wake me up every morning.
I need my friends to urge me for a dinner
I need everyone else more than I do before.

I really need Him
I really need His words' to strengthen up my soul
Yes, I do




Rabu, 9 Disember 2009

Coretan kisah dari hospital

Assalamualaikum wrt wbt.

Hari ini, dari Poliklinik Rhinology (Bahagian penanganan penyakit alergi-alah) saya menuju ke Poliklinik Otology (Bahagian telinga). Ada bersama di ruangan itu, doktor senior residen - biarlah saya berikan namanya Dr. A (taraf dia kiranya sekejap lagi jadi pakar ENT lah), ibu dan seorang anak (pesakit), saya dan 2 orang sahabat lain.

Pesakit itu merupakan seorang anak perempuan berusia 4 tahun. Keluhan utamanya adalah telinga kanan yang tersumbat (stenosis) sejak 4 bulan yang lalu. Turut dinyatakan oleh ibunya, anaknya itu pernah mengalami jangkitan bakteria telinga kanan sejak berusia 1 tahun. Anaknya pernah mendapatkan rawatan dan dikatakan gara-gara rawatan tersebut, maka timbullah sumbatan di liang telinganya.

Ibu tadi berasal dari keluarga miskin. Saya mengetahuinya melalui status data pesakit.

Setelah diperiksa oleh Dr. A, tiba-tiba ibu tadi ditanyakan soalan,

Dr. A : Ibu, kalau ibu harus menyediakan wang Rp 500,000 - Rp 600,000 (sekitar RM 250) untuk operasi telinga anaknya, ibu bersedia?

Ibu : Ya, doktor??

Dr. A : Ya, ibu punya wang?Kalau anaknya mahu dioperasi, ibu sudah siap?

Ibu : InsyaAllah saya cuba untuk bersedia.

Waktu ini saya melihat airmata ibu tadi sudah bergenang. Makin lama makin deras keluar airmatanya. Sejujurnya saya merasa aneh. Aneh kerana apa yang ditanyakan doktor sebentar tadi itu adalah satu solusi untuk anaknya. Kenapa perlu menangis?Itu biaya paling minimal pernah saya dengar.

Masalah wang?

Difikiran saya, suaminya pasti ada. Orangtua dan keluarga terdekat juga ada. InsyaAllah, biaya operasi (baca: pembedahan) sebesar itu pasti dapat dikumpulkan dalam tempoh terdekat. Lagipun, anak itu anak tunggal, jadi perbelanjaannya insyaAllah lumayan masih boleh dikumpulkan.

Ibu tadi terus menangis, Dr. A keluar dari poliklinik untuk memanggil Doktor Pakar ENT masuk menilai status pesakit sama ada boleh dibedah atau tidak.

Saya datang menghampiri ibu dan anak tadi.

Saya : Ibu, ibu bekerja?

Ibu : Tidak, saya ibu rumah tangga (baca : housewife)

Saya : Tinggalnya di mana?

Ibu : Di Cianjur.

Saya : Maaf ibu kalau saya menanyakan hal ini ya, suami ibu bekerja?

Ibu tadi tidak berkata-kata dan terus menangis, saya dapat mengagak pasti ada kaitannya masalah kewangan tadi dengan suaminya. Lalu, saya bertanya lagi,

Saya : Ibu, maaf kalau soalan saya ini mengguris hati ibu. Kalau ibu tidak mahu menjawab pun tidak mengapa.

Ibu : Suami saya sudah hampir setahun tidak ada khabar berita. Dia bekerja di Arab.

Saya : Ya Allah...

Saya : Jadi yang memberi nafkah kepada ibu dan anak, siapa?

Ibu : Orangtua saya.

Saya menghampiri ibu tadi dan duduk betul-betul di hadapannya sambil saya mengusap bahunya dan berkata,


Saya : Ibu, doa banyak-banyak semoga suaminya dalam keadaan selamat dalam mencari rezeki yang halal. Sesungguhnya Allah ingin menguji hambaNya yang layak diuji dan ibu telah terpilih. Daripada Allah datangnya ujian ini, maka kepadaNya jua lah tempat ibu kembali mencari jalan penyelesaiannya. Saya doakan ibu terus kuat. Ibu, dalam meneruskan perjalanan ini, sering kita diuji tetapi akan ada insan di sekeliling yang menjadi sumber inspirasi kita, semangat buat kita untuk meneruskan perjalanan hidup. Dan untuk ibu, ibu punya anak yang bijak, yang akan menjadi pembakar semangat untuk ibu meneruskan hidup ini walaupun tanpa suami di sisi.

Ibu : Terima kasih bu dokter. Ameen

Sambil saya memeluk bahu ibu tadi dan saya menegur anaknya,

Saya : Adik, adik harus jadi anak yang baik ya. Dengar kata Allah, dengar kata ibu. Belajar yang benar dan insyaAllah satu hari nanti boleh jadi orang berguna dan membantu ibu dan masyarakat ya.

Perbualan di atas telah dipendek dan dipadatkan kerana ada beberapa isu dari sisi perubatan, agama dan lain-lain yang bersifat peribadi.

Ambil iktibar dari kisah di atas, semoga kita dalam rahmat, kasih sayangNya.

Wassalam

Jumaat, 4 Disember 2009

Maruah dan membela diri

Assalamualaikum wbt.

Pernah menonton drama-drama Indonesia?

Seperti Intan, Wulan dan sinetron-sinetron lainnya.

Saya melihat sinetron-sinetron ini menggambarkan waktu utama baik wanita mahupun lelakinya, sebagai insan yang baik dan berperibadi mulia. Namun, di satu sisi mereka terlihat seperti kurang berilmu dan kurang juga hartanya.

Sedangkan ilmu dan harta itu suatu keperluan buat setiap individu untuk terus mandiri.

Sebaliknya yang digambarkan di sinetron-sinetron, apakah orang baik realitinya begitu?

Hanya terus menangis, merintih, merayu mengikut telunjuk orang yang berperanan antagonis?

Dimana jelas-jelas terlihat mereka (watak antagonis) salah dalam tindakan dan penilaian?


Sejujurnya saya tidak suka dengan pengertian sabar sesetengah pihak. Bersabar bagi persepsi mereka adalah duduk diam termangu menunggu bantuan Allah SWT jatuh dari langit tanpa usaha, menangis sahaja, merintih terus-menerus.

Ini ternyata bukan baik istilahnya tetapi lebih tepat dayus menegakkan yang benar.

Gambaran pelakon dari sinetron ini seolah-olah mencerminkan dunia kita pada realitinya adalah melihat orang baik itu bodoh, miskin, lemah.

Kita Islam sebenarnya diajar untuk membela diri. Mempertahankan yang haq, membanteras yang mungkar. Saya percaya agama lain juga begitu.

Jika memandang isu ini sensitif dan harus diperbetulkan, betulkan dari diri sendiri. Membela maruah diri itu perlu, malah wajib tetapi lihat pada kondisi dan situasinya.

Saya bukan berkomentar tentang sudut lakonan atau jalan ceritanya tetapi saya memandang dari sudut perspektif masyarakat menilai orang baik hanya perlu sabar, senyap, menangis, mengangguk terus. Itu bukan baik sama sekali.

Kita wajib membela diri tetapi tergantung.

1. Kalau kita dimarahi dengan terus kerana tidak boleh menjawab soalan-soalan dari senior doctors atau specialist, apakah perlu kita membela diri dengan memaki kembali dokter-dokter tadi??

Sudah semestinya tidak. Pertama, ianya salah diri sendiri kerana kurang ilmu. Kedua, mereka bukan musuh untuk diperangi sebaliknya adalah rakan sejawat yang cuba mendidik kita untuk lebih matang dalam berfikir. Cuma mungkin pendekatan mereka agak kurang selesa.

2. Kita, wanita khususnya. Di perjalanan, tiba-tiba dikacau dan mahu dicabul oleh lelaki (Na'udzhubillah). Apakah kita harus membela diri dengan melawan kembali penjahat tadi?

Itu hukumnya wajib. Mahu mencarut, mahu menampar, mahu menendang silakan. Ini kerana anda mempertahankan maruah diri. Waktu ini, jangan pula ada yang redha, rela dan mengalu-alukan diri untuk dicabuli.

Mahu bertindak membela maruah silakan. Tetapi lihat dahulu kondisinya bagaimana. Mahu memberontak juga ada cara dan ketikanya.

3. Difitnah oleh si talam dua, tiga muka.

Nasihat saya, abaikan orang ini. Kalau ada yang bertanya kepada diri kita tentang duduk letak situasi sebenar, baru kita buka mulut untuk menyatakan kebenaran. Seandainya, orang masih mengatakan hal fitnah tentang diri, tanpa mahu mendengarkan penjelasan dari diri kita, bagi saya, CUKUPLAH ALLAH MENJADI PEMBELA DIRI.

Pesanan dan peringatan buat diri yang lemah.

Rabu, 2 Disember 2009

7 minggu sebagai Intern @ KOAS

Salam sejahtera, salam penuh kasih sayang buat semua.

Kini,

Tekanan tidak pernah susut malah semakin bertambah.

Kerja dan tugasan tidak pernah habis malah bertambah.

Kesibukan tidak pernah berkurang malah bertambah.

Kesuntukan waktu tidak pernah berkurang malah bertambah.

Semua realiti di atas yang dialami saya kini benar-benar menguji keimanan dan kesabaran. Rasa seprti mahu menangis semahu-mahunya, kadang terasa mahu duduk jauh berasingan dari semua manusia, kadang terasa mahu hidup dalam dunia sendiri (atau menyendiri). Perasaan itu selalu timbul.

Namun, insyaAllah saya masih lagi kuat untuk meneruskan jalan juang ini dan akan terus kuat untuk menghabiskan perjuangan ini sehingga selesai ke penghujungnya. Lebih kuat tekanan yang diberikan, lebih lama saya mengadu dengan Allah SWT segala keperitan kerana saya yakin hanya Dia Pendengar Terbaik Semesta Alam. Alhamdulillah. Alhamdulillah

Satu yang saya pegang, saya mengingatkan kembali tujuan saya berada di bidang ini. Jadi, sesibuk apa pun kerjanya, nikmatilah. Seteruk mana dimarahi oleh doktor-doktor senior, maka nikmatilah. Sejelik apapun sistem pengurusan bahagiannya, nikmatilah. Ini kerana bukan kerana mereka, saya menceburi bidang ini tetapi kerana Allah SWT. Sejujurnya, sesiapa yang punya prinsip mahu gah dengan white coatnya, percayalah anda tidak akan kuat untuk mengharungi dugaan sebagai Interns dan seterusnya. Sila fikirkan kembali niat untuk meneruskan bidang ini.

Sekian.

Pesan 1 : Sejak bertugas di RSHS, saya pernah hanya tidur 15jam total seminggu. Lebih kurang 2-3 jam sehari. Jadi, tidur sekarang merupakan prioritas minor. Kesejahteraan ummah melebihi kepentingan peribadi.

Pesan 2 : Bagi sesiapa yang mahu kurus, nasihat saya, belajar baik-baik dan masuk KOAS. InsyaAllah anda akan kurus dalam tempoh 9 minggu. Dari berat saya 52kg sebelum KOAS, sekarang 46kg dalam tempoh 7 minggu. Kalau berterusan begini, mahu masuk kategori malnutrition :P

Pesan 3 : Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku, semuanya kerana Allah Pemilik Sekelian Alam (6:162)

Sabtu, 28 November 2009

Buatmu bakal suamiku

Assalammualaikum wrt wbt.

Buatmu,


Bakal suamiku.


Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku ini untuk memilih berlian sedangkan aku hanya sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punyai keinginan seperti gadis lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu.

Tidak perlu kau memiliki wajah seindah Nabi Yusuf A.S yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuatku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu kali pertama kita berpandangan. Itu janji Allah.

Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan kau zahirkan perasaanmu itu kepadaku kerana kau masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan kau lampaui batasan yang telah ditetapkan syara’. Aku takut perlakuanmu itu akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak. Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfak seluruhnya pada mencari redha Ilahi.

Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. Akan aku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itulah impianku.

Aku pasti berendam airmata darah andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Bukan itu yang aku impikan. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.

Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibubapaku dulu. Apa guna kau menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu membuatkan kau lupa pada tanggungjawabmu terhadap agamamu. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku.

Dariku,

Bakal isterimu


(source was extracted from www.iluvislam.com)

Cemburu tanda sayang.

Cemburu.

Pada pandangan saya, cemburu adalah satu perasaan yang timbul apabila diri kita berada dalam ketakutan berpindahnya kasih sayang terhadap orang lain, atau ketidakpercayaan terhadap akan kesetiaan orang yang dikasihi seperti suami, isteri atau kekasih, dan mungkin juga ahli keluarga.

Pada awalnya, cemburu bermula apabila kita punya rasa sayang yang mendalam dan juga perasaan memiliki.

Jangan risau untuk dilabel apa-apa apabila kita mengaku kita cemburu. Tetapi bersederhanalah. Isteri Rasulullah SAW pun punya perasaan cemburu.

HR Bukhari, Ahmad, An-Nasai dan Ibu Majah

Dari Anas bin Malik, dia menceritakan Nabi SAW pernah berada di sisi salah seorang isterinya. Kemudian seorang Ummul Mukminin mengirimkan satu mangkuk makanan.

Lalu isteri Nabi yang berada di rumahnya memukul tangan Rasulullah SAW sehingga mangkuk itu jatuh dan pecah. Maka Nabi pun mengambil dan mengumpulkan makanan di dalamnya. Beliau berkata, "Ibumu cemburu, makanlah.". Maka mereka pun segera memakannya sehingga beliau memberikan mangkuk yang masih utuh dari istri di mana beliau berada, dan meninggalkan mangkukk yang telah pecah tersebut di rumah isteri yang telah memecahkannya.
Di atas telah saya sertakan sekali senario cemburu isteri Rasulullah SAW.

----------------------------------------------------------------------------------

Pernah alaminya?

Kalau pernah kepada siapa dan sebab apa?

Jujurnya saya pun pernah merasa cemburu. Mungkin juga kuat cemburu. (Baik, abaikan!)

Apabila kita menyayangi seseorang itu pastilah kita sedaya upaya berusaha menjaga hubungan malah tiap hari berusaha memperbaiki hubungan agar lebih indah.

Baik itu kepada ahli keluarga mahupun sahabat-sahabat yang dekat.

---------------------------------------------------------------------------------------

Tetapi pernah atau tidak kita cemburu melihat Allah SWT menyayangi seseorang lebih dari kita?

Bukti Allah SWT sayang kepada hambaNya, terlihat pada orang-orang alim. Wajahnya tenang walau ditimpa pelbagai masalah. Tutur katanya zikir yang sentiasa mengingatkan kita pada Dia. Bersamanya tidak pernah bosan, hati kita sentiasa terhibur melihat perwatakannya yang indah. Percikan ketenangan pada dirinya terpalit juga pada insan yang berada di sekeliling. Insan yang mengorbankan kepentingan peribadi demi kehidupan abadi. Akal dan fizikalnya cerdas berfikir dan bertindak dalam urusan jalanNya.

Subhanallah.

Membayangkan sahaja tanda-tanda insan itu disayangi Allah SWT kita rasa kagum apalagi kalau kitalah calon insan yang disayangi Allah SWT.

Bayangkanlah peribadi Rasulullah SAW. Subhanallah.

Sejujurnya, saya cemburu dengan Rasulullah SAW. Bagaimana baginda mempunyai tekad, azam yang kuat dalam melaksanakan ibadah peribadi dan juga melebarkan sayap dakwah dan Islam di mata dunia. Misi dan visi untuk menyeru manusia menyembah Allah yang Esa dan mengembalikan yang haq di muka bumi bukan suatu ilusi dan fantasi tetapi melaksanakan tanggungjawabnya sehingga menjadi realiti.

Kita pula bagaimana.

Apabila anda melihat ibadah seseorang itu lebih dari kita, seharusnya wajar timbul rasa cemburu pada diri masing-masing. Cemburu sehingga kita mahu lebih baik, lebih banyak dan lebih sempurna ibadahnya dari orang lain demi mengejar cinta dan sayang Allah SWT kepada kita.

Kasih sayang Allah SWT tiada had. Tiada kuota. Tidak kepada mereka yang berkulit putih sahaja. Tidak juga buat mereka yang tinggi sahaja. Tetapi bagi mereka yang berniat yang ikhlas, berilmu yang amal, beramal yang benar.

Marilah kita bersama-sama mengejar apa yang dipanggil cinta abadi dan hakiki. Satu-satunya cinta yang tidak pernah mengecewakan pemilik hati. Kita bercemburu (yang sihat) antara satu sama lain demi mencuri pandangan Dia. InsyaAllah:)

Selasa, 24 November 2009

Jangan jadi BIADAB

Ada seorang lelaki, berjalan-jalan mahu mencari ubat untuk sakit matanya yang tidak sembuh-sembuh.

Dia terus bertemu seorang doktor.

Pada fikiran orang ramai, kalau sakit bertemu doktor. Kalau rumah terbakar, panggil bomba. Kalau tidak pandai, cari guru. Sentiasa mencari yang arif dalam bidang masing-masing.

Setelah sampai di klinik, ini perbualannya:

Doktor : Assalamualaikum pakcik, apa yang boleh saya bantu?

Pakcik A : Saya sakit mata. Sudah 2 minggu. Cuba doktor tengok mata saya, ada nanah lagi. Sakit sangat lebih-lebih lagi kalau hendak buka mata. Rasa macam melekat dua kelopak mata ini.

Doktor : Baik, sekejap saya periksa mata pakcik.

Pemeriksaan rutin dijalankan. Tujuannya untuk mencari punca penyakit dan memberikan ubat atau solusi tepat kepada pesakit.

Pakcik A : Saya sakit apa?Ubat apa yang sesuai untuk saya?

Doktor : Baik insyaAllah. Pakcik kena jangkitan mata biasa. InsyaAllah dengan ubat yang akan saya berikan sebentar nanti, pakcik akan sembuh. Pakcik harus jaga kebersihan, kena cuci tangan selalu dan jangan gosok mata pakai tangan.

Pakcik A : Saya tidak percaya cakap doktor. Pandai-pandai sahaja. Sakit mata biasa doktor kata?

Pakcik tadi meninggalkan doktor tadi sendirian. Berlalu dan terus hilang dari pandangan.

---------------------------------------------------------------------------------------

Pada pandangan anda, biadab tidak pesakit tadi?

Bagi saya, YA. Pesakit itu sangat biadab. Kalau sakit memang yang dicarinya adalah doktor. Kalau doktor yang memang arif dalam bidangnya pun diperlekehkan apatah lagi orang lain yang boleh dipertikaikan kemampuan mereka.

Kalau tidak mahu dengar cakap doktor, tidak mahu mendapatkan rawatan doktor, kenapa datang pada doktor?

---------------------------------------------------------------------------------------

InsyaAllah, kalau dilihat analogi di atas, mari kita sama-sama muhasabah diri dengan meintrospeksikan diri, kita aplikasikan cerita di atas dalam kehidupan.

Saban hari, kita berdoa.

Seusai solat, apabila ada masalah, apabila mahu mencari jodoh, sebelum makan, setelah makan, apabila bangun tidur, sebelum masuk ke bilik air, setelah masuk dari bilik air dan setiap masa dan waktu kita berdoa.

Mengharapkan doa dimakbulkan. Kita mengembalikan semuanya kepada Tuhan agar Dia memberikan jalan penyelesaian.

Namun begitu, di dalam doanya masih ada ragu-ragu. Di dalam doanya masih ada ketidakpastian. Di dalam doanya masih ada syak wasangka terhadap Tuhan.

Kalau pada Tuhan pencipta sekelian alam pun kita masih ragu hendak memanjatkan hajat, meminta pertolongan, pada siapa lagi yang lebih arif dari YANG MAHA MENGETAHUI?

Apabila ada masalah maka seseorang itu akan datang mencari Allah SWT tetapi saat menyampaikan hajat masih ragu-ragu dengan kemampuan Allah SWT untuk menunaikan hajat hambaNya.

Biadablah kiranya kan?Sama jugalah seperti kes pesakit yang meragui kemampuan doktor untuk mencari diagnosis dan juga rawatan pesakit A tadi.

Na'udzhubillah. Semoga kita tidak pernah ragu dengan Allah SWT. Kalau Dia mahu melenyapkan orang yang biadab, sudah pasti tanpa ragu akan Dia lakukannya.

Jangan doa tanpa usaha. Kalau berdoa tanpa usaha yang patut diragui bukanlah Allah SWT tapi diri sendiri. Allah SWT sudah jalankan kerjaNya tapi diri kita??

Ahad, 22 November 2009

Dia mengajarku erti menghargai

Jam menunjukkan 12.00 tengah hari. Menandakan waktu rehat telah bermula. Ramai pelajar segera meninggalkan kelas masing-masing. Bergegas menuju ke kantin yang berdekatan.

Ada yang keluar membeli makanan untuk mengalas perut, ada yang masih berdiskusi di dalam ruangan kelas. Ada juga sahabat-sahabat yang hanya berborak kosong sekadar melepas lelah di kaki lima kelas.

Apa yang pasti adalah tarikh keramat Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) sudah menghampiri. Lebih kurang 3 bulan lagi. Masing-masing punya strategi. Ada yang berkerja keras, ada yang ala-kadar, ada yang bersantai sahaja.

Saya lebih selesa duduk di dalam surau sekolah. Di situlah saya menunaikan solat Dhuha kemudian membuka lembaran nota untuk saya ulangkaji. Tiba-tiba seorang senior ikhwan datang,

"Assalamualaikum Aimi. Seorang diri?" tanya dia sopan.

Saya membetulkan sila duduk, hanya mengangguk kepala dan senyum sahaja.

"Saya nak cakap sesuatu dengan awak. Balik nanti saya tunggu awak ye?" tanya dia lagi.

"Saya balik lambat. Ada kelas tambahan. Cakap je lah" saya kurang senang dibuatnya.

Sudah beberapa kali saya mencipta alasan dan kali ini saya terperangkap di dalam timbunan alasa yang saya ciptakan sendiri.

Sahabat lelaki tadi masih berdiri di luar surau. Masih memandang ke arah saya. Dia tidak menunjukkan reaksi.

"Saya nak belajar ni, kalau ada hal penting bagi tahulah. Kalau tidak ada apa-apa, assalamualaikum" saya pintas kesunyian. Kesunyian itu amat saya benci, lebih-lebih lagi apabila perbualan terhenti antara saya dan dia.

Dia seorang senior tingkatan 4. Seorang yang lemah-lembut dan baik hati. Cuma setiap apa yang dilakukannya sering menjadi tanda tanya. Saya mengenalinya sewaktu saya ada latihan Taekwando manakala sahabat tadi menghadiri latihan persatuannya di hujung minggu.

Jam menunjukkan 4petang. Saya sangat kelelahan. Kelas saya baru sahaja selesai. Saya melihat bangunan lain, kosong. Tiada lagi pelajar. Cuma saya dan para pelajar aliran Khas sahaja yang pulang jam 4petang.

Saya berjalan kaki. Saya mengayunkan pantas kaki. Perut sudah lapar. Mata pula sudah mengantuk. Di dalam kepala sudah ada jadual yang tersusun sendiri untuk saya laksanakan. Hampir sahaja sampai di perkarangan rumah dan tiba-tiba,

"Assalamualaikum Aimi" suara seorang sahabat menegur saya.

"Wa'alaikumussalam" saya menjawab ringkas. Senior tadi.

"Nak apa?Kalau dah sampai tunggu depan rumah melampaulah ni. Saya tak suke tau. Kalau orang nampak macam mana??Tadi saya tanya dekat surau, tak nak cakap. Ini sampai bawa depan rumah nak jumpa. Nak apa??" saya tanpa sekelumit rasa bersalah terus-menerus melontarkan kata.

"Maaf menganggu. Saya cuma nak bagi hadiah ni. Birthday awak dah lepaskan?Saya terlambat bagi sebab minggu lepas saya ada pertandingan kawad kaki" jelasnya lagi sambil memberikan hadiah itu kepada saya. Satu anak patung besar.

"Ambillah Aimi. Saya ikhlas. Ini pakai duit sekolah saya" dia masih menghulurkan anak patung tadi.

Saya mengambilnya. Kemudian berjalan meninggalkan sahabat tadi. Tanpa terima kasih, tanpa senyum kembali. Pada waktu itu, saya rasakan satu-satunya cara untuk dia beredar dari rumah saya, adalah dengan mengambil hadiah tersebut.

"Kakak menang apa dekat sekolah sampai dapat teddy bear besar ini?" tanya mama.

"Ada senior bagi. Mama nak?" tanya saya.

"Eh, mama nak buat apa dengan teddy bear ni?Simpan je lah kak. Senior mana?mama kenal tak?" ragam seorang ibu sudah bermula.

Mama mahu memulakan tugasnya menanyakan identiti senior tadi. Saya adalah seorang anak yang tidak menyimpan rahsia dengan mama. Kalau saya rasa seseorang itu sahabat, saya tegaskan dekat mama itu sekadar sahabat. Kalau dia adalah istimewa, saya sendiri akan memberitahu mama. Cuma dalam usia 15 tahun, saya masih menyimpan cita-cita dan 1001 impian.

Esok paginya,

"Astaghfirullah, Aimi................................." saya mendengar suara mama separuh menjerit dari luar rumah.

"Kenapa ma?" tanya saya yang kehairanan. Saya masih bersiap untuk ke sekolah.

"Kenapa kakak buang hadiah ini?Kalau kakak tak nak, bagi dekat adik-adik. Jangan buang macam ni. Tak baik orang dah kasi dekat kita" mama menegur saya sambil menunjukkan teddy bear yang sudah terbongkang di dalam tong sampah depan rumah.

"Kakak tak suke lah ma. Kakak bencilah orang yang keep on pushing me. Give me some space" saya menjawab.

"Betul, mama kenal perangai kakak. Lagi orang itu push kakak, lagi kakak akan jauhkan diri dari dia. Cuma, inikan hasil duit sekolah dia. Kalau kakak tak nak, jangan buang. Pulangkan balik teddy bear ini dekat dia" mama menghulurkan kembali teddy bear tersebut kepada saya.

Saya ambil teddy bear tadi, saya campakkan di dalam bilik tidur saya.

Begitulah hari-hari berlalu. Sahabat tadi masih tidak jemu memberikan hadiah-hadiah. Walaupun kecil dari segi harganya, dia tidak pernah jemu. Setiap kali ujian bulanan, setiap kali saya mewakili sekolah untuk pertandingan ataupun kuiz, dia akan memberikan cenderahati "good luck charm".

Saya, masih juga sama. Impian dan cita-cita itu terlalu tinggi untuk saya kejar. Saya masih tidak memandang walau sebelah mata hadiah-hadiah sahabat tadi. Bukan kerana siapa dirinya tetapi kerana saya tidak mahu pelajaran saya terabai walaupun sekejap. Saya juga tidak mahu terikut sama rentak sahabat-sahabat yang asyik dengan dunia cinta monyet mereka.

Masa berlalu, peperiksaan telah dilalui, keputusan PMR juga sudah diketahui. Saya kini di tingkatan 4 Sains Hayat 1. Dia di tingkatan 5. Suatu hari, sewaktu nama pelajar yang mendapat tawaran untuk ke sekolah berasrama penuh dan maktab rendah sains mara di umumkan, nama saya tidak tersenarai.

Saat itu, saya merasa kecewa. Saya menyimpan impian untuk keluar dari lingkungan saya. Saya mahu membawa satu perubahan pada diri dan keluarga saya.

Saya menangis di tepi tangga kelas. Saya sengaja mencari sudut yang tidak terlihat orang. Tiba-tiba,

"Aimi??" suara lelaki ini lagi.

Saya tidak bersuara cuma memandang wajahnya sahaja.

"Kenapa menangis ini?" tanya sahabat tadi.

"Saya tidak dapat tawaran untuk ke mana-mana sekolah boarding school" saya menjawab ringkas.

"Percaya pada takdir?" tanya sahabat tadi.

Saya diam. Tidak menjawab. Saya hanya mahu diam dan terus diam.

"Aimi, saya percaya sekejap atau lambat awak pasti akan dapat tawaran itu. Awak perlu sabar. Awak sudah usaha sebaik mungkin. Biar mereka mengata awak, tapi awak tahu siapa diri awak. They can say whatever they want to but they will never let you down and you knew it" ringkas sahaja kata-kata sahabat tadi seolah-olah tahu bahawa saya sangat kecewa bukan sahaja tidak mendapat tawaran tetapi malu kerana dengan keputusan cemerlang PMR, saya satu-satunya insan yang berbaki di sekolah tidak mendapat mana-mana tawaran.

Alhamdulillah, setelah 2 minggu. Saya mendapat tawaran untuk ke asrama penuh di selatan Johor.

Sewaktu mendengar saya mendapatkan tawaran, sahabat tadi datang kepada saya. Mengucapkan tahniah dan memberikan hadiah seperti biasa. Saya mengambilnya dan untuk pertama kali saya mengucapkan terima kasih.

"Aimi, ada satu perkara yang hendak saya sampaikan dekat awak" sahabat tadi mula bersuara.

"Saya hendak kemas barang-barang saya dekat kelas. Kemudian sahajalah ya" saya meminta izin lalu pergi. Saya kebetulan berada di makmal. Ditemani sahabat akrab.

"Aimi, sekejap. Sekejap sahaja. Bagi peluang untuk saya jelaskan semua perkara" sahabat tadi bersuara lagi.

"Baik, saya dengar. Kenapa?Apa yang penting sangat?" saya bertanya.

"Aimi, saya tahu awak jijik tengok saya. Awak tengok pakaian saya pagi-pagi kadang-kadang kotor, kadang-kadang berbau, awak tahu kenapa?

Saya tolong orang tua saya meniaga di pasar pagi hari. Seawal 4 pagi saya bangun untuk menolong mereka.

Aimi, awak suruh saya telefon rumah awak sahaja kalau ada hal penting. Tapi saya tidak pernah telefon awak kan? Sebab saya tidak pernah ada telefon rumah. Saya orang miskin.

Awak nampak motor yang saya pakai buruk, itulah motor yang saya gunakan untuk hantar ibu dan ayah kalau mereka sakit, itu jugalah motor yang saya gunakan untuk menghantar adik-adik saya sekolah. Itulah dia.

Saya tahu, awak seorang yang punya impian dan cita-cita yang tinggi. Semua orang tahu. Tapi Aimi, awak kena ingat satu perkara. Setinggi mana awak pergi, jangan lupa untuk menghargai. Jangan pernah lupa. Mereka yang berada di sisi awak tidak akan selamanya kekal. Tidak akan selamanya abadi. Mereka juga akan pergi.

Awak dapat apa?Awak dapat sijil cemerlang tapi awak abaikan insan-insan kerdil di sisi awak. Mereka ini adalah sebahagian dari hidup awak"

Ringkas kata-katanya. Usai dia meluahkan isi hatinya, saya melihat dia menangis. Saya sangat hiba dengan luahan rasa sahabat tadi. Saya rasa bersalah sangat.

"Saya tidak pernah merasakan awak hina hanya semata-mata awak miskin. Tidak pernah pun, cuma saya mahu kejar cita-cita saya. Saya anak sulung. Saya harapan keluarga. Saya minta maaf kalau selama ini, tindakan saya mengguris hati. Saya harap awak faham" saya pula yang sebak meluahkan kata-kata. Sesungguhnya saya tidak pernah berniat untuk menyakiti hati sahabat tadi.

"Saya faham, saya maafkan. Cuma dalam mengejar cita-cita, jangan pernah lupa pada insan yang tidak lupa untuk mendoakan kejayaan awak" ringkas penutup kata-katanya. Dia tersenyum hambar dan berlalu meninggalkan saya.

Pesan 1: Buat sahabat saya, akhi Firdaus, semoga rohmu dicucuri rahmat Allah SWT. Al-Fatihah.

Pesan 2: Walau perkenalan singkat antara saya dan sahabat, dia telah meninggalkan saya dengan pelajaran yang cukup bermakna. Semoga dikau berbahagia di sana. Ameen.

Khamis, 19 November 2009

Nasyid itu indah.

Ada yang mengatakan nasyid itu ibarat menjual agama. Sekadar indah pada lagu tetapi tidak menampilkan realiti perjuangan. Di mana sebuah perjuangan itu tidak dibentangkan dengan karpet merah. Tidak didodoi manjakan.

Ada yang mengatakan nasyid itu dayus. Lemah pembawaan dakwah dan seruannya menyeru Allah yang Esa. Seharusnya penyampaian dakwah dan seruan kepada Allah SWT adalah tegas.

Wallahualam.

Bagi saya, perjuangan dakwah kita banyak mediumnya. Bagi sesiapa yang diberikan nikmat suara yang sedap, maka bernasyidlah. Bagi yang mampu berhujah, berdiri dan bersuara lantanglah. Bagi siapa yang tiada kekuatan untuk tampil di khalayak ramai, tidak mengapa kerja di sebalik tabir banyak menanti.

Pernah menonton Bring It On (Ada B.I.O 1, 2 dan 3)?
Cerita mengenai kumpulan cheerleaders. Ceritanya menarik, sangat energetik (mungkin bagi saya sahaja). Di dalam cerita tersebut, ada perempuan dan ada lelaki yang menyertai kumpulan cheerleader di high school mereka.

Ramai mempunyai persepsi lelaki yang menyertai kumpulan cheerleader ini sebagai dayus. Ya, lah kalau diikutkan fitrah seorang lelaki kan kuat. Ini masuk di dalam cheerleader tugas mereka mengangkat kawan, berguling ke kiri, menunjukkan aksi sprung floor, aerial skills dan macam-macam lagi. Tugas mereka dinggap remeh jika dibandingkan kaum lelaki yang menyertai American Football.

Namun begitu, pasukan football high school asyik mengundang kekalahan dalam beberapa siri perlawanan. Sebaliknya berlaku pada kumpulan cheerleader ini, mereka banyak menggondol kejayaan.


Bagi saya, sama juga persepsi ini jika diaplikasikan kepada fenomena nasyid sekarang. Ramai yang mengatakan nasyid itu pembawaan dakwahnya lemah. Sama seperti lelaki-lelaki yang menyertai cheerleader. Namun begitu, kejayaan mereka untuk menyentuh hati lautan manusia itu luas. Kejayaan mereka kita tidak boleh sangkalkan.

Bagi mereka yang lantang bersuara ibarat lelaki di dalam American football (walaupun tidak semuanya) merasa medium dakwah ini sahaja yang mampu menegakkan Izzah Islam dan tiada medium lain di dunia ini yang mampu menzahirkan keindahan Islam, saya takutkan na'udzhubillah mereka ini kecundang.

Kita sekarang tidak boleh hanya mengatakan jalan dakwah kita sahaja yang benar, kita harus bergabung. Yang nasyid teruskan nasyid, yang dakwah melalui tazkirah, daurah atau sebagainya, silakan. Kita berganding bahu mencapai matlamat yang satu.

Benar, tidak selamanya kita perlu bernasyid. Mana mungkin seorang penceramah mampu bernasyid selama 1-2 jam hanya semata-mata mahu menarik minat setiap orang. Bagi saya, nasyid ini sebagai mukaddimah Islam yang indah. Membuka mata dan menarik minta manusia di luar sana. Nah, apabila peluang ada, manusia mula membuka mata, itulah masanya pakar-pakar ilmuan segala bidang lontarkan hujah mereka untuk dikongsi bersama.

Wallahualam, sekadar berkongsi pandangan dengan semua.

Pesan 1: Alarm tone saya dulu adalah lagu Kasih-kekasih dari kumpulan nasyid In team. Tapi can not go, celik-celik biji mata terus berangan, jadi saya tukar kepada lagu heavy metal sikit. Biar senang terjaga sebab muziknya memekakkan telinga dan memeranjatkan semua!

Rabu, 18 November 2009

Mayat hidup!

Perjalanan bersama seorang sahabat perempuan. Telinga dihidangkan dengan umpatan orang.

Kawan : Aimi, saya benci sangat-sangat dengan dia ( dia merujuk kepada seorang lelaki). Saya tak suka dia!!Saya tak suka dia!!


Saya : Kenapa?

Kawan : Bencilah dengan perangai dia. Benci sangat. Saya tak suka dia!!

Saya tersengih dan itu membuatkan kawan tadi sedikit marah.

Kawan : Kenapa awak sengih pula ini?

Saya : Takpe jangan risau, dia pun tak suke awak

Kawan : Hah??!!*&^%$*&^

Kita asyik tidak suka dengan sikap orang. Orang suka dengan sikap kita?

Kita asyik meluat dengan kata-kata orang. Orang suka dengan kata-kata kita?

Kita asyik pandang serong dengan hal peribadi orang. Orang suka dengan hal peribadi kita?

Kalau kita pandang orang, hati kita asyik sahaja geram, hati kita asyik sahaja marah, hati kita asyik sahaja tidak tenang, mungkin salahnya bukan pada kawan tadi. Tetapi kita sendiri ada penyakit hati.

Periksa kembali balik fungsi hati. Mana tahu sudah expired dan siapa tahu sudah rosak. Maklumlah manusia semakin hari semakin bertambah usia. Boleh jadi semakin banyak kerosakan pada hati. Kalau rasa hati bermasalah, pergilah sesegera mungkin buat rawatan.

Kalau dibiarkan lama-lama, takut mati hatinya.
Tinggallah sekujur tubuh tanpa ada penuntunnya. Mayatlah kan itu?

Wallahualam, sekadar peringatan buat diri dan semua

Isnin, 16 November 2009

Tolak kawan masuk lombong!!

Facebook.

Sekarang seperti menjadi kebiasaan meng"Like this" gambar atau pun status. Baik milik sendiri mahupun kawan.

Ragam meng"Like this" ini kadang ada baiknya dan ada juga buruknya. Baiknya, meriahlah komen-komen dengan gurauan seantero rakan-rakan dan kalau buruknya itu, mari baca seterusnya.

IKLAN ANALOGI
Kalau sahabat anda dengan rela hati mahu terjun lombong, apa tindakan anda?
(Pilih salah satu jawapan)

A. Terjun sekali (ikut kawan) [Sudah namanya kawan, mesti kena kompak]
B. Tengok sahaja kawan tadi terjun. [Kau-kau, aku-aku. Kau mahu terjun kau punya pasal!]
C. Cepat-cepat tolong mana yang mampu. [Capai mana yang sempat dulu, selamat tidak itu belakang kira, janji aku ada usaha mahu tolong]
D. Tolong tolak kawan tadi. [Dah kawan tu meroyan benar hendak melompat ke lombong, apa lagi, tolonglah dia mempermudahkan urusan kan??]

Tidak perlu beritahu orang jawapan anda. Simpan sendiri tapi kena jujur dengan diri sendiri:)

Baik. Sudah pilih jawapan?

Kita teruskan dengan celoteh saya sedikit, kemudian baru lanjutkan dengan kaitan jawapan-jawapan tadi.

Ok, apa kaitan Facebook?"Like this"?Kawan terjun lombong?

Baik, insyaAllah saya akan huraikan apa maksud saya.

Sering saya lihat kini, dengan bangganya tanpa malu sesetangah insan yang beragama ISLAM meletakkan foto mereka dengan pasangan masing-masing. Pasangan yang masih bukan muhrimnya tapi sudah berpelukan sakan. Saya tidak mahu huraikan bagaimana "indah" dan "romantis"nya pasangan ini. Mereka terlalu "romatis" untuk menjadi tontonan umum. Mereka lupa barangkali akhirat dan mati itu pasti.

Paling menghairankan ada yang meng"LIKE THIS". Astaghfirullah. Saya akui saya bukan maksum. Saya tidak sempurna, cuma insyaAllah sekurang-kurangnya saya benci melihat maksiat. Paling tidak saya akan cepat-cepat tutup page tersebut. Bukan meng"Like this" foto maksiat seperti sesetengah insan lakukan.

Seandainya kita mahu bergembira dengan kegembiraan sahabat kita, pasti ada waktunya, ada tempatnya, ada benarnya. Bukan sebarangan kita harus gembira dengan kegembiraan kawan kita.

InsyaAllah berbalik dengan soalan tadi, sekarang saya tukar sedikit soalan,

Kalau sahabat anda dengan rela hati mahu terjun dalam API NERAKA, apa tindakan anda?
(Pilih salah satu jawapan)

A. Terjun sekali (ikut kawan) [Sudah namanya kawan, mesti kena kompak]
B. Tengok sahaja kawan tadi terjun. [Kau-kau, aku-aku. Kau mahu terjun kau punya pasal!]
C. Cepat-cepat tolong mana yang mampu. [Capai mana yang sempat dulu, selamat tidak itu belakang kira, janji aku ada usaha mahu tolong]
D. Tolong tolak kawan tadi. [Dah kawan tu meroyan benar hendak melompat ke API NERAKA, apa lagi, tolonglah dia mempermudahkan urusan kan??]

Agak-agak masih sama atau tidak jawapan anda?

Kawan baik saya.

Kawan baik saya yang benar-benar rapat dengan saya boleh dikira dengan jari. Maksud saya, insan-insan yang saya luahkan bukan sahaja berita gembira tetapi juga cerita sedih. Insan yang saya hormati, sayangi dan kagumi.

Antaranya, adalah kawan baik saya yang kini sedang mengajar di selatan Malaysia.

Dia seorang yang sangat sederhana. Baik. Dia menerima kelemahan saya, dia menegur kesalahan saya dan mera'ikan kelebihan saya.

Sewaktu dia tinggal bercuti bersama keluarga saya di Melaka dulu, saya membawanya berjalan-jalan. (Bukan jalan-jalan sebenarnya, tapi saya yang paksa dia teman saya untuk beli barang dapur)

Semasa saya dan kawan tadi mahu melintas jalan, terlihat kami seorang budak perempuan (mungkin lebih muda dari kami) berpakaian T-Shirt tanpa lengan dan seluar pendek. Dari rupa dan loghat pio (baca : pure @ asli) Melaka, saya tahu lah budak perempuan tadi Melayu.

Saya : Cuba kau tengok budak perempuan tu. Agak-agak kau, na'udzhubillah, tapi kalau satu hari nanti aku jadi macam tu, kau nak buat apa?

Kawan : First, saya opkos (baca: of course) pengsan dulu. Mana tidaknya, berubah habis tu. Dah buang tebiat??

Saya : Haha. Pengsan je ke?Kelakarlah kau ni.

Kawan : Eh, siapa cakap saya pengsan
je. Kalau saya sedar je dari pengsan, saya bangun lepas tu saya lempang muka awak!!Saya tak main-main ini. Beranilah buat macam tu. Sumpah saya buat apa yang saya cakap.

Saya : (Gulp!!::Saya tersengih macam kerang busuk. Memang kawan tadi bercakap dengan nada serius dan muka yang sangat-sangat serius).

Bagi saya, seorang sahabat yang baik bukanlah secara langsung mahupun tidak langsung menghumban kita ke api neraka. Sebaliknya mereka yang secara langsung mahupun tidak langsung mendekatkan kita dengan Allah SWT. Jalan dan kaedahnya mereka menarik kita ke arah kebaikan itu adalah subjektif.


Ada yang rapat dengan kita, jadi mereka boleh langsung menegur.

Ada yang kurang rapat dengan kita, jadi mereka boleh menjaga hubungan persahabatan agar terus baik dan menunjukkan contoh akhlaq yang baik (Dakwah Bil Hal)

Ada musuh kita, mereka mengkritik kita dengan kritikan yang membina (bukan fitnah atau tikam belakang. Itu mahu menjatuhkan kawan namanya)

Semua jenis atau bentuk cara untuk menarik kita dari terhumban itulah sahabat baik.

Oleh itu, penting untuk kita memilih kawan. Ini kerana, kalau mahu mengintrospeksi diri kita, kita juga boleh melihat dari sudut siapa kawan-kawan kita. Kalau lingkungan kita adalah mereka yang insyaAllah menyenangkan baik Pencipta mahupun manusia, maka bersenang hatilah.

Namun begitu, tidak pula kita menjadikan mereka yang buruk akhlaqnya sebagai musuh. Kalau tidak sebagai kawan baik, cukup sebagai kawan yang kurang rapat seperti yang saya nyatakan di atas.

Pesan 1 : Saya selalu cakap macam ini dekat mama kalau saya merajuk dengan mama, "Kakak tak nak kawan mama" dan mama akan balas, "Tak nak kawan dengan mama sekejap je tu, tengoklah lepas ini nak tido datang juga tido sebelah mama". Tak jadi nak merajuk~

Pesan 2 : Kalau mahu cari kawan baik, tidak usah yang lawan jantina. Lain jadinya nanti.

Pesan 3 : Semoga Allah meredhai semua sahabat-sahabat saya. Ameen

Sabtu, 14 November 2009

Susah atau tidak mahu berubah?

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Susah tidak untuk berubah?

Kalau dulu tidak pakai tudung atau pakai tudung kurang sempurna kepada memakai tudung yang menutup bahagian dada dan sempurna insyaAllah?

Kalau dulu memakai baju ketat kepada yang longgar dan pemakaian menutup aurat yang sempurna?


Anda mengalami kesulitan atau tidak?

Gambar hiasan

Sejujurnya, saya akan mengatakan YA. Tanpa ragu-ragu saya akan katakan YA ianya susah untuk berubah kepada seseorang yang dulu "vogue", bergaul bebas, kepada yang segalanya terbatas dan tertutup.

Ingin saya kongsikan di sini pengalaman saya. InsyaAllah sama-sama kita ambil pengajaran dan tauladan.

Tudung labuh bukanlah suatu kewajipan mutlak dalam pemakaian menutup aurat wanita Islam. Tergantung pada individu, keadaan persekitaran maka silakan membuat keputusan. Cuma dalam Islam diperintahkan wanita-wanita Islam untuk memakai hijab sehingga menutup dada.

Tudung merupakan medium menutup aurat. Ianya suatu alat. Kalau zaman dahulu, sewaktu lambakan tudung masih belum tercipta, mereka memakai kain batik. Macam cerita dalam filem-filem Allayarham P.Ramlee.

Baik, sambung dengan cerita saya.

Saya mahu berubah memakai tudung labuh sewaktu hujung tahun 2005. Ya, masih baru lagi. Saya nekad. Saya yang berada di Bandung menelefon mama pada suatu petang,

Saya : Assalamualaikum ma, kakak nak tukar pakai tudung labuh. Kakak harap mama redhakan tindakan kakak

Mama : Wa'alaikumussalam, kenapa tiba-tiba?. Kakak cerita dekat mama, kenapa kakak nak tukar?Mesti ada sebab, lepas tu baru mama cakap pandangan mama.

Saya : Sebab...bla..bla (Ini adalah rahsia antara saya dan mama, serta sahabat-sahabat terdekat. Jangan tanya kenapa :P)

Mama : Ok mama faham. Nekad dah ni?Bulat dah hati ni nak buat keputusan?

Saya : InsyaAllah dah, mama redha kan tidak?

Mama : Kalau kakak dah nekad dan rasa itu yang terbaik untuk kakak, insyaAllah mama sentiasa sokong. Sekejap, cakap dengan babah ini.

Saya : Assalamualaikum bah, kakak nak pakai tudung labuh. Babah redhakan ya?

Babah : Wa'alaikumussalam. InsyaAllah babah redhakan. Babah lagi suka ahli keluarga babah pakai tudung labuh. Tapi kena ingat satu perkara, berubah kerana Dia kerana kalau kita berubah kerana manusia, ianya bersifat sementara. Kakak kena istiqamah dengan tindakan kakak kerana kakak yang pilih jalan ini.

Alhamdulillah, itulah titik di mana saya berubah. Alasannya biarlah menjadi rahsia dan paling penting saya berubah kerana saya mahu menjaga maruah saya sebagai wanita Islam. Saya merasa lebih selamat dan selesa.

Kawan-kawan terdekat alhamdulillah semuanya memberi sokongan. Siap tolong pilihkan tudung labuh untuk saya.

Ada seorang kakak senior saya, apabila dia keluar dari dewan kuliah dan kebetulan kami terserempak, dia terperanjat melihat saya telah bertukar tudung labuh. Dia datang kepada saya, lalu memeluk dan mencium pipi saya. Saya mestilah terperanjat.

Dan di dalam dewan kuliah, saya mendapatkan mesej ini dari kakak tadi,

"Salam ukhti, afwan tadi akak cium pipi awak. Akak suka sangat tengok awak pakai tudung labuh. Rasa nak nangis pun ada juga tadi. Semoga istiqamah ya"

Alhamdulillah, itu adalah antara penyuntik semangat saya.

Sebaliknya berlaku di Malaysia,

Saya bertemu dengan 2 orang insan pada hari itu.

Pertama, sewaktu berjalan bersama keluarga, saya terserempak dengan seorang kawan lelaki di kaki lima deretan kedai-kedai di bandar Melaka. Kawan lama. Kami bertukar nombor telefon. Beberapa hari kemudian, dia ada mesej saya dan menelefon saya.

Cuma pada satu hari dia menelefon saya dan mengungkapkan kata ini,

Kawan : Aimi, no offense, with what I am going to say. Sorry if my words will hurts you.

Saya : It's ok, go ahead

Kawan : Since when you've change?

Saya : Me?Change?What do you mean?

Kawan :Yeah. Your attire. It's look so lame ok!. You, yourself changed a lot. You look prettier if you're not wearing your tudung labuh and your jubah. If you change your attire back to previous one, I swear, I will marry you"

Saya : If you wanna marry me because of my sexy, so called up-to-date fashions, I still have my old one. If you want to, you can marry to my baju-baju lama. I still keep it. But if you wanna marry me because of me, here I am. You should accept me from A to Z, from head to toe. I need to go. Bye. Assalamualaikum.

Kedua, sewaktu berkumpul dengan sanak-saudara.

Saudara : Amy, kenapa pakaian macam nenek-nenek ini?

Saya : Nenek-nenek?Bahagian mana yang macam neneknya?

Saudara : Itulah, tudung labuh kau dan jubah. Amy, kau itu muda lagi. Waktu inilah kau patut bergaya, kau patut seksi. Kalau dah tua baru nak buka-buka, orang kata buang tebiat. Kau nak?

Saya : Bila Amy kata nak seksi-seksi waktu tua?

Saudara : Kau tengoklah, waktu muda-muda ini kau pakai macam ini, selubung semua, CONFIRM takde sape-sape yang nak kau. Sebab ko dah tutup segalanya sebelum waktu.

Saya : Kalau dah tiada jodoh, takpe lah. InsyaAllah jumpalah jodoh dekat akhirat.

Saudara : Tengok itu, cakap pun dah macam orang tua. Apa-apalah. Aku malas nak layan.

-------------------------------------------------------------------------------

Itu adalah antaranya. Banyak lagi, tapi tidak perlulah diceritakan tohmahan orang kan?

Apa yang jadi motivasi saya untuk berubah?

SOLUSI PERTAMA : BETULKAN NIAT
Dahulu saya berubah memakai tudung labuh bukan ikhlas kerana Allah SWT. Tetapi lama-kelamaan, saya senang dan saya menukar niat saya, iaitu ikhlas kerana Allah SWT.

SOLUSI KEDUA : YAKINLAH DENGAN TINDAKAN DAN FOKUS
Saya tahu kenapa saya pilih jalan ini. Saya yakin dengan jalan pilihan saya. Sering saya disindir oleh beberapa kenalan lama. Walaupun bukan semuanya tetapi ada segelintir dari mereka memang tidak senang melihat perubahan saya.

Tidak mungkin kita jatuh kerana orang berkata mengenai kita bukan?

Secara logik akal sekalipun, kalau kita sedang berjalan dan ada kawan bercerita tentang keburukan kita, tidak mungkin kita akan jatuh bukan? Bukan dia tolak kita pun. Dia cuma bercakap-cakap.

Tapi saat kita MELAYANI PERBUALAN MEREKA, kita akan jatuh. Ini kerana kita telah hilang tumpuan dan fokus perjalanan kita. Pada saat itulah, hati kita akan goyah kerana telah diberi peluang dan ruang untuk jadikan sindiran dan kritikan negatif rakan-rakan dalam diri kita.

SOLUSI KETIGA : REDHA IBU AYAH DAN BERSEDERHANALAH
Murabbiyah saya pernah berkata, kadang-kala sesetengah orang merasa disebabkan mereka sudah punya ilmu, pakaian dan penampilan telah berubah, maka mereka sering jadi "panas" apabila bersama ahli keluarga yang mungkin tidak sefikrah dengan mereka.

Tetapi itu tidak menjadikan alasan untuk kita menegur ahli keluarga dengan seenaknya. Itu tidak juga menjadikan alasan untuk kita lari dari mereka tetapi itulah objek dakwah kita.

SOLUSI UTAMA : SENTIASA BERDOA SUPAYA ISTIQAMAH.
Ya, istiqamah bukanlah suatu perkara yang yang mudah. Ianya perlukan latihan dan dari latihan itulah ianya menjadi sebahagian dari rutinitas harian.

Jangan pernah lupa berdoa agar Dia tidak sesekali menarik nikmat hidayah yang telah diberikan.

Wallahualam, sekadar berkongsi. Semoga bermanfaat untuk semua.

Jumaat, 13 November 2009

Sekadar berkongsi cerita(^_^)

Perbualan antara mama dan saya melalui telefon bimbit,

Saya : Assalamualaikum ma, tengah buat apa?

Mama : Wa'alaikumussalam, tengah makan tenderloin steak.

Saya : Amboi, mewahnya makan. Kakak makan cekodok je tau. Punya lah tak sempat nak masak.

Mama : Kesian anak mama, dinner apa malam ini?

Saya: Cekodok

Mama : Breakfast apa pagi tadi?

Saya: Cekodok

Mama : Lunch?Jangan cakap cekodok lagi

Saya : Cekodok. Haha (Yes, there's 1 day I had my breakfast, lunch and dinner with cekodoksz)

Kalau sesiapa tidak tahu apa itu cekodok, ianya adalah pancake yang pakai bawang dan juga ikan bilis/udang/ sebagainya ;P

Mama : Kakak, raya haji ini balik tak?

Saya : InsyaAllah, tak lah ma. Baru je balik hari tu kan. Lagipun lepas tu kakak masuk department ENT (ear, nose and throat). Kakak nak belajar. Mama nak kakak balik ke?

Mama: Raya aidilfitri tahun depan (2010) pula macam mana, kakak balik tak?

Saya : InsyaAllah tak juga ma. Masa itu kakak tengah Forensic department (bagian yang bedah-bedah mayat tu). Masa itu, seniors dah pergi ke desa-desa untuk magang, juniors pula tak masuk lagi. So, mungkin kakak oncall lebih dari sekali dalam satu malam. Mungkin 2, mungkin juga 3. Sibuk itu sangatlah pasti.

Mama : Ala......kakak tak balik ke?Ala, kesian anak mama.Mama raya sana nak?

Saya : Ma....jangan buat nada sedih ma..ada yang kakak nangis nanti. Mama nak raya sini??Biar betik ma?

Mama : Betik..betik (ok, ini saya dan mama ketawa melambak)


Saya : Kakak insyaAllah cuti Januari 2011. Itu je cuti panjang kakak. Lepas tu takde dah.

Mama : Hish..lama lagi. Takpe-takpe, nanti mama pujuk babah. Mama nak pergi sana (Bandung, Indonesia). Mama nak temankan kakak.

Saya : Mama nak teman kakak ke mama nak bershopping? Lain macam je bunyi excited tu.

Mama : Aippp~tak baik bersangka buruk dengan mama.

Nota 1: InsyaAllah Januari 2010 babah akan sambung belajarnya di UKM, Malaysia untuk second master nya. Saya kurang pasti jurusan apa (tapi dah pernah tanya sebelum ini, saya lupa) InsyaAllah setelah itu, babah akan ke UM untuk ambil Diploma Usuluddin. Saya sangat jeles dengan babah!!

Nota 2: Adik saya (Nurul Amelia) akan menduduki SPM tahun ini. Bermula 18/11/2009. Mohon doakan kejayaan adik saya. Adik dear, though we are far apart, I wanna let you know, you are always close to my heart. My lovely sis, I know this isn't easy for you but here I am to ease every pain, insyaAllah. You have cried a lot, you have struggled a lot, you have done everything. This is it, this is the time you've waiting for. The war that you've waited for a long time. A fight that you've prepared all days and nights, mentally and physically. Fight with your heart and soul. Adik, I always pray for you. (*Kisses and hugs)

Nota 3: Kepada sahabat-sahabat yang mesej saya setelah solat isya' (lebih kurang jam 7.30 malam), saya insyaAllah tidak akan reply sebab saya dah tido. Mohon maaf. Kalau mahu, sebelum waktu itu atau seawal 2 atau 3 pagi. InsyaAllah saya balas.

Selasa, 10 November 2009

Saya tidak kisah kalau lelaki tetapi......

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Perbualan antara kawan PEREMPUAN dan saya di sebuah pusat membeli belah:

Melewati kedai pakaian,
Kawan : Lawa sial baju tu!
Saya : Kau lah sial


Kemudian, melalui deretan kedai kasut,
Kawan : Murah gila kasut ni!
Saya : Kau lah gila

Akhirnya,

Kawan : Kau apasal Aimi?Aku bukan kata kau sial & gila pun?
Saya : Saja. Geram dengar dari tadi asyik mencarut je.
Kawan : Chill babe, aku tak mengata kau pun
Saya : Tak suka dengar (dengan expresi muka yang boleh dikatakan innocent)


Saya kurang mengambil perhatian kalau seandainya lelaki yang menggunakan kata-kata kasar. Mungkin alasan mereka untuk menzahirkan "kemaskulinan" mereka. Mungkin juga fitrahnya segolongan lelaki yang harus bertindak sebagai pemimpin. Jadi, betutur dengan nada keras, dan kata-kata yang keras dan tegas mungkin sahaja sebahagian dari sikap yang perlu dididik.

Cuma kalau seorang wanita mencarut atau menggunakan kata-kata kesat, kasar atau lucah, saya agak kurang selesa.

Wanita dijadikan fitrahnya adalah lemah-lembut, ayu dan sebagainya yang mempamerkan ciri-ciri kewanitaan.
Gambar hiasan
Kalau berjalan, ayu.

Kalau bercakap, sopan.

Kalau pakaian, kemas.

Kalau bau badan, wangi.

Kalau bergaul, malu.

Kalau berjihad, ikhlas dan mahu.

Bagi saya seorang wanita itu boleh bertindak kasar apabila mereka hilangnya MALU.

HR Ibnu Majah dan At-Tirmidzi,

"Malu itu sebahagian dari iman. Iman itu berada di syurga, sedangkan ucapan keji itu merupakan kejahatan, dan kejahatan itu berada di neraka"

Malu adalah pakaian seorang wanita. Dan kerana malu, wujudlah kata maruah.

Minta maaf kalau saya ungkapkan kata-kata ini,
Mana-mana wanita, kalau diperkosa, mereka akan marah, kecewa dan sedih. Bagi kami, maruah telah dirampas.

TETAPI

Bagaimana pula dengan mulut yang kuat mencarut?Bukankah diri sendiri yang menjatuhkan maruah?

Bagaimana pula dengan wanita yang seenaknya membiarkan teman lelaki memegang tubuh mereka?Bukankah diri sendiri yang menjatuhkan maruah?

Bagaimana pula dengan wanita yang selamba duduk sebilik, sekatil, sebantal dengan teman lelakinya?Bukankah diri sendiri yang menjatuhkan maruah?

Wallahualam, saya tidak pasti di mana kelebihannya perkara-perkara di atas tetapi yang pasti kekurangannya sangat banyak. Mudharatnya juga banyak. Baik pada diri sendiri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

Pesan 1: Wanita itu lemah-lembut bukan lemah lembik!

Pesan 2: Wanita itu tegas dalam menjaga maruahnya!

Pesan 3: Wanita itu manja bertempat, tetapi bukan meng'gedik' atau meng'gatal'

Pesan 4: Saya bangga dan bersyukur saya seorang wanita (^_^)Y

Ahad, 8 November 2009

Jangan bergembira dengan kedukaan orang lain dan jangan resah dengan kegembiraan orang lain

Assalamualaikum wbt.

Seronok sangatkah bercerita keburukan orang ditambah dengan perisa fitnah??

Bahagiakah melihat sahabat derita??

Resahkah melihat sahabat tersenyum bahagia??

Kenapa tidak kita berkongsi duka dan bahagia??

Kenapa kita tidak menjadi sebahagian dari diri sahabat??

Kenapa suka melapah daging saudara sendiri??

Pastikah syurga milikmu??

Pastikah amal pahalamu melebihi segala kejahatan dan kezaliman yang telah kau lakukan??

Pastikah kau masih punya kesempatan untuk bertaubat??

Saya lambakan soalan-soalan bukan untuk mencari salah siapa, bukan untuk menuding jari. Mari kita sama muhasabah diri.

Wallahualam, lambakan fitnah akhir-akhir ini buat saya geram dan sehingga tahap maksimum saya nekad untuk melakukan tindakan fisik seperti tampar, tumbuk atau sewaktu dengannya.

Jangan jadi dayus. Come on lah, kalau rasa ada yang tidak berpuas hati jangan malu untuk ke depan bersuara. Kalau cakap belakang ini, pengecut habis. Tidak bermaruah namanya. Kalau cakap belakang pandai maka pandai-pandailah berdepan dan tangani masalah. Kalau rasa tidak ada kekuatan hendak menegur kawan, lebih baik senyap daripada melebarkan sayap fitnah anda.


Gambar hiasan

Setelah beristighfar panjang, setelah menenangkan diri, saya masih akan mengambil tindakan tetapi bukan secara fisik tetapi psikologi.

Saya sarankan sahabat-sahabat, semasa anda merasa perbualan itu tidak rasional, berkisarkan keburukan orang yang berbaur fitnah, apa kata anda senyap tiba-tiba. Apa kata anda cuba untuk berfikir. Alhamdulillah saya sering amalkan. Kalau sedang berborak-borak dan masuk ke bahagian yang saya rasa kurang selesa untuk didengarkan saya akan senyap tiba-tiba. Ramai juga yang pernah ketawakan saya kerana merasa sikap saya pelik. Tidak mengapa, silakan ketawa kerana saya tahu sebab saya lakukan sesuatu perkara.

Kalau tidak ada perkara untuk dibualkan, apa kata ambil masa depan sebagai topik perbincangan. Perancangan ke hadapan, jadi tidaklah kita membuka topik keburukan orang. Kalau susah sangat, bawa tasbih dalam poket. Agak-agak tidak ada benda hendak dibualkan, pegang tasbih. Sekurang-kurangnya tidak berzikir, tidaklah pula membuat onar.

Sikap membuat fitnah ini bukan untuk para amatur. Orang yang melakukan fitnah ini asalnya mereka tidak biasa. Mereka resah mereka-reka cerita. Namun begitu, setelah TERBIASA, hilanglah resah, maka sudah menjadi kebiasaan untuk seseorang itu menabur fitnah. Lama-lama menjadi perkara rutin dan sebahagian dari hidupnya. Parah kalau sudah sampai ke stage ini. Prognosisnya adalah AD MALAM!!

Tolonglah kawan-kawan di luar sana, apabila mendengar cerita keburukan kawan ini adalah saranan saya:

1. Suruh kawan tadi berhenti atau anda sendiri berhenti mendengar.

2. Siasat @ tabayyun dahulu sebelum melangkah ke kesimpulan.

3. Tegur insan-insan yang kuat buat fitnah ini, kalau anda tidak mampu mengubahnya, cukuplah anda tidak menjadi penggalak atau pun baja untuk dia terus mengumpat atau membuat fitnah.

4. Cari jalan penyelesaian. Dari meja perbincangan kita bawa hal ini kepada satu jalan keluar. Kalau menemui jalan buntu, pasti Dia ada jalan rahsiaNya.

5. Sekiranya dia insaf, maafkan dia dan terima dengan berlapang dada. Kalau dia buat lagi, ramai-ramai sediakan "skuad FIRE and ACTION"(^_^)Y

Wallahualam. Sekadar perkongsian peringatan buat diri dan sahabat-sahabat.

Sabtu, 7 November 2009

Impian dan angan-angan

Assalamualaikum wbt.

Impian dan angan-angan

Gambar hiasan

Ramai yang suka berangan-angan dan tidak kurang juga membina impian.

Beza angan-angan dan impian?

Pendapat saya, angan-angan adalah suatu bayangan impian atau sebuah impian itu bermula dengan berangan-angan manakala impian mempunyai satu kerangka kerja atau perancangan umum dan khusus untuk dilaksanakan.

Impian adalah apabila kita bertindak untuk menjadikan suatu angan-angan sebagai realiti dan hanya bergoyang kaki seandainya mahukan ianya sekadar mimpi.

1. Saya ingin masuk syurga.
= Saya tidak solat, saya tidak menambah ibadah, saya tidak bergerak membaiki diri, jadi ianya hanya mimpi. Sampai bila-bila pun tidak akan menjadi kenyataan.

= Saya menambah ibadah, saya menjaga anggota tubuh dari bermaksiat, saya menjaga akhlaq dan sebagainya. Itu adalah impian dan insyaAllah akan terlaksana menjadi sebuah kenyataan.

2. Saya ingin pasangan yang soleh/solehah.
= Saya duduk melepak dengan orang yang bukan muhrim, saya sendiri tidak membaiki dan mengarah ke soleh/solehah, saya sendiri menghancurkan maruah pasangan saya. (ANGAN-ANGAN)

=Saya menjaga ikhtilat (batas) dengan bukan muhrim mahupun muhrim sendiri. Saya menambah baikkan ibadah saya. Saya menambah nilai ikhlas (IMPIAN)

3. Saya mahu menjadi pemimpin yang diredhai Allah SWT.
= Saya cakap lebih, buat tidak. Saya kaki bodek. Saya lebih menjaga pandangan manusia dari Allah SWT. Saya tidak mempunyai matlamat dan niat yang jelas(ANGAN-ANGAN)

= Saya tidak menjanjikan sesuatu yang saya sendiri tidak pasti dan tidak mampu. Saya tegar menegakkan yang haq dan membanteras yang mungkar. Saya membuat keputusan berdasarkan Al-Quran, As-Sunnah, Rasional dan Ilmu berkaitan (IMPIAN).

4. Saya ingin menjadi doktor yang lengkap pakejnya (Ilmu mantap, iman dan akhlaq baik)
= Belajar pun tidak, asyik hendak keputusan ala kadar, sikap asyik tidak disenangi orang dan tidak pernah cuba membaiki diri. (ANGAN-ANGAN)


=Belajar tidak sekadar untuk ujian dan bersungguh-sungguh seolah-olah maut sedang menjemput, setiap hari menjaga diri dan peribadi (IMPIAN)
Angan-angan ini bagus. Ini kerana dengan sebuah angan-angan maka kita akan membina sebuah impian. Itu yang positifnya.

Tetapi ada syaratnya. Berangan-angan itu ada terhad masanya. Tidak sampai membazir masa, tidak juga sampai berangan-angan hal yang bukan-bukan. Tidak disertai perkara-perkara yang lagha.

Dan sebuah impian itu lebih rasional dan insyaAllah sentiasa RASIONAL.

~Selamat membina impian~

~Semoga Allah meredhai kita semua~(^_^)