Rabu, 31 Mac 2010

Bius sampai ke syurga :)

Assalamualaikum wrt wbt,

Baiklah, tiada banyak kaitan pun tajuk saya dengan isi yang akan saya sampaikan.

Cuma sekadar mahu berkongsi, sekarang saya di Anesthesiology Department.


Tugas para Anesthesiologist?

1. Menidurkan manusia yang sudah berjaga

2. Mengebaskan kaki atau tangan atau mana saja mengikut cita rasa dokter-dokter bedah di mana awalnya, manusia tadi tidak mengalami masalah mati rasa atau numbness.

3. Masukkan ubat-ubat mengikut keperluan semasa tubuh.

4. Menjaga kandungan dan keseimbangan cairan tubuh sepanjang tempoh operasi, pre dan post operasi.


Ok, begitulah sedikit sebanyak tugas dokter-dokter anestesi ini.

Kalau dari sudut pandangan saya, saya melihat tugas dokter-dokter anestesi ini mempunyai sifat tawaddu' atau rendah diri yang paling tinggi berbanding tugas dokter yang lain.

(Please don't take me wrong, I didn't mean others are not ok:] )

Mereka tidak dikenali pesakit.

Kehadiran mereka tidak diketahui pesakit.

Pesakit hanya tahu mereka untuk beberapa saat sebelum mereka terlelap tidur dengan enaknya.


Namun begitu, insan yang bertanggungjawab menjaga kestabilan fungsi tubuh mereka sepanjang tempoh operasi adalah mereka, ANESTHESIOLOGIST.

Sekarang, saya mahu ceritakan sedikit pengalaman saya di bagian ini.


Hari ini merupakan hari ketiga saya di bagian ini, alhamdulillah, lumayan banyak ilmu yang saya dapatkan dari dokter-dokter senior. Mereka sangat membantu insan-insan yang banyak bertanya seperti saya. Untung mereka tidak rimas dengan saya, semoga Allah memberkati kalian.

Sewaktu di salah satu Ruang Operasi (Operation Room) , di mana tempat saya bertugas, saya seperti biasa sedang asyik memerhatikan mesin yang membaca blood pressure, ECG, Heart rate, Pulse, dan sebagainya di monitor,


Tiba-tiba, datang seorang Doktor Spesialis Anestesi yang masuk ke OR yang sama dan menyapa,

Doctor: "Hi dear, what are you doing?"

Me : Nothing doctor. Just watching, learning and monitoring.

Doctor : Ok!


Sewaktu mengungkapkan kata "Ok", doktor spesialis tadi menghulurkan oksigen bag dari tangan dokter residen kepada saya.

Me : Hah??

Doctor : Yes, take it. Now, the patient's is totally under your responsibility.


Me : What?

Gambar hiasan : Tapi, macam foto di atas lah tugas yang di amanahkan kepada saya. Monitoring dan bertindak mengikut kesesuaian bacaan pada monitor. Biar betik?Baru 3 hari di Anestesi, sudah ambil tindakan? Tidak mengapa, cuba sahaja lah. Kalau tidak sekarang, bila lagi? (monolog saya saat diberikan amanah tersebut)

Saya mengambil pam oksigen (pam oksigen = warna ungu di tangan dokter di atas).

Dokter spesialis tadi, hanya duduk melihat saya sambil tersenyum.

Dokter : Ayo Mi. Kamu kan dokter anes nya sekarang, mulai tindakan.

Provokasi dokter itu saya sambut sebagai satu tantangan yang harus saya tangani. Mana mungkin kalah sebelum berjuang. Malu lah :)

Saya mula mengepam oksigen. Sebelum itu, saya menganggarkan berat badan pesakit ini, 80 kg. Jadi setiap kali mengepam, oksigen yang harus diberikan adalah 6-8 L/kg body weight, 6 x 80 kg, sekitar 480 L oksigen harus masuk ke tubuh pesakit ini.

Diberikan 12 - 14 kali per menit. Sekitar total pernafasan kita yang biasa.

Sedang asyik mengepam, tiba-tiba monitor mengeluarkan bunyi "Alert".

Saya melihat blood pressure pesakit ini turun mendadak. 70/50. Normal adalah 120/80.

Dokter : Aimi, kamu kan dokter, ayo fikirkan segera tindakan apa yang akan kamu ambil, cepat fikir!

Dokter tadi masih tersenyum. Saya kaget. Ya Allah, apa yang harus aku lakukan.

Oh ya! Blood pressure drop, pertama kita pertahankan cairan tubuh dahulu,

Me : Dokter, minta tolong, di percepatkan infusion cairan pesakit ini (Cairan Natrium klorida 0.9%)

Dokter : Pintar, benar tindakan kamu itu.

Alhamdulillah, lega apabila blood pressure kembali kepada normal. Namun, begitu, kurang 5 minit saya monitor, tiba-tiba blood pressure kembali drop ke 70/50.

Astaghfirullah. Apalagi pakcik (pesakit ini) mahu ya?.

Dokter : Ok, Aimi, pesakit kamu, tindakan kamu, responsibility kamu.

Me : Ini kerana pengaruh obat Isoflurane ya dok? Kita cuma tinggal mengurangkan dosisnya ya?
(saya masih ragu)

Dokter : Good Aimi, welcome to Anesthesiology and I'm welcoming you to become an Anesthesiologist.

Me : Alhamdulillah, thank you so much doc.

Ubat Isoflorane itu telah diberikan kepada pesakit sepanjang tempoh operasi. Obat itu dihidu (inhalation) melalui tube yang dipasang kepada mulut pesakit (Endotracheal Intubation Tube). Obat itu merupakan maintenance, supaya pesakit tadi terus tidur. Obat itu akan mengakibatkan penekanan pada otot-otot jantung sehingga menyebabkan bradycardia.

Jadi, penurunan tekanan darah pesakit yang kedua adalah akibat pengaruh ubat. Solusinya mudah, turunkan kuantiti obat yang disalurkan ke pesakit tadi.

Alhamdulillah, saya terinspirasi oleh mereka.

Tugas di balik tabir, tapi tanpa mereka, pakar bedah yang terhebat seluruh dunia pun tidak akan mampu melakukan sebarang tindakan sekiranya dokter anestesi masih diam tidak bertindak apa-apa.

Pesan 1: Subhanallah, semoga Allah memberkati insan-insan yang telah banyak mengajar saya:)

Ahad, 28 Mac 2010

Bantulah aku melawan nafsu

Assalamualaikum wrt wbt.


Speechless.

Yes, I am.

I was stunned when listening to this nasyid

Bantulah aku melawan nafsu, by Mawaddah

Telah aku lawan nafsuku setiap waktu
Ku cuba berkali-kali, ku gagal lagi
Aku tak putus asa, ku lawan lagi
Namun aku tak mampu, ku kalah jua

Oh Tuhan, bantulah aku mudahkan aku
Melawan nafsu ini yang merosakkanku
Agar aku tak terhalang untuk menuju-Mu
Tolonglah aku Tuhan, Kasihanilah aku jangan Engkau biarkan aku

Tuhan, bantulah aku
Kasihani aku jangan biarkanku bantulah aku selalu
Aku tak putus asa
Oh ku tetap berjuang dengan mengharap bantuan dari-Mu

Kalaulah Engkau terus membiarkanku
Ku akan berterusan ke lembah dosa
Oh Tuhan, nafsu dan syaitan sering mengganggu aku
Setiap hari ia memusuhi ku ketika ku ingin mentaati-Mu

Jangan biarkan aku keseorangan
Menghadapi syaitan dan nafsuku
Aku ingin mentaati-Mu, ku ingin redha-Mu
Kalau Engkau biarkan aku
Ku akan kecewa nanti

Tuhan, ku akan mencuba lagi
Melawan nafsu dengan bantuan-Mu
Dan rahmat-Mu Tuhan


Di dalam sembahyang ini kuharapkan-Mu
Berikan padaku cinta dan takutkan-Mu
Sebagai pengawalku dari nafsuku
Bukankah itu janji-Mu kepada hamba-Mu

Oh Tuhan, bantulah aku menghayati sembahyangku
Agar ku dapat merasakan kebesaran-Mu
Hingga aku tak membesarkan selain-Mu
Dengan rasa itu kuharap
Moga ku kan dapat melawan syaitan dan tipuan nafsuku

Tuhan, dalam sembahyangku
Bersihkan jiwaku, lemahkan nafsuku, selamatkanlah diriku
Suburkan rasa kehambaan
Dan kekalkan rasa itu di dalam seluruh kehidupanku

Sabtu, 20 Mac 2010

Jika aku diam, apakah aku bodoh?

Assalamulaikum wrt wbt,

Sedikit perkongsian dari saya yang mempunyai sebatas ilmu dan hanya sedikit pengalaman.

Satu hari, anda dimarahi teman. Teman mengejek, memarahi anda di depan khalayak ramai, mengumpat, menikam belakang, atau sewaktu dengannya.

Pernah tidak, anda merasa atau terdetik di dalam hati ingin memarahi teman tadi sekuat mungkin sehingga terlepas semua serabut di kepala dan sesak di dada, menyepak dengan kedua belah tangan, menjerit di depan mukanya, kesimpulannya adalah membalas kembali apa yang teman lakukan kepada anda?

TAPI

Realitinya, semuanya seperti tersimpan dalam hati. Anda terdiam dan hanya luahan hati yang berbicara. Anda seperti tertunduk akur dan sedih. Itu sahaja yang mampu anda pamerkan. Semua kata-kata maki hamun tersimpan di dalam dada dan tidak terungkapkan kerana mungkin anda tidak kuat untuk melafazkannya, masih punya rasa kasihan dan sayang terhadap hubungan persahabatan, tidak mahu mengeruhkan keadaan yang sudah ada dan sebagainya.

PERNAH BERLAKU PADA DIRI ANDA?

Saya pernah diam memandang sahabat memaki saya dengan tuduhan yang berbaur dengki. Saya juga pernah tempik tepat ke wajah sahabat yang saya rasakan saya perlu lakukan sedemikian.

Saya melihat situasi apakah sewaktu saya tengking sahabat tersebut sesuai atau tidak(di khalayak ramai sehingga mengaibkan si dia), saya melihat orangnya bagaimana, apakah setelah dimarah keadaan akan pulih atau si dia itu jenis yang berdendam, memerhatikan kata-kata saya. Selalunya saya akan membalas dengan memanipulasi kata-kata kawan tadi.

Contoh,
Kawan :Kau ini Aimi, celupar, dasar orang Melaka"
Saya :Saya celupar? Definisi celupar ada terselit orang Melaka?. Oh, jadi orangtua saya, keluarga saya celuparlah?Hish. Itu fitnah namanya. Istighfar

Saya tidak menambah istilah baru tetapi memanipulasi ayat sahabat agar dia berfikir sejenak bukan kata-kata yang menghukum terus sahabat tadi.

Baiklah, berbalik kepada artikel ini, setelah berlalu situasi yang menyebalkan tersebut, mula terfikir,

"Kenapalah aku tidak cakap macam ini tadi?"

"I wish I could be strong enough to explode everything in front of everyone that burst me out"

Berhenti sejenak!


Pertama, bagi saya, sekiranya kita tidak mampu meluahkan rasa tersebut, hanya mampu terdiam apabila dimarah itu bukan suatu kelemahan diri tetapi KEKUATAN SENDIRI YANG UNIK!

Bukan semua orang mampu berdiam atau bersabar saat api dicurahkan sebanyak-banyak kepada diri. Bukan semua orang mampu memadamkan api kemarahan dengan keimanan dan tauladan seperti Rasulullah SAW.

Jangan pernah merasa mahu bertukar menjadi insan lain, kerana mungkin sahaja kerana kualiti yang satu inilah maka orang ramai masih berkawan dengan kita.

Mungkin kerana kita hanya diam apabila dimarahlah, kita masih berada di sini.

Mungkin kerana kita hanya senyap dan tersenyum, mereka masih mahu menerima kita.

Jika kita tidak suka orang memperlakukan kita seperti si X, si Q, si Z memperlakukan kita, kenapa kita perlu ikut sikap mereka?

Jika kita pulang ke rumah, terus menerus memikirkan hal mereka, itu menunjukkan kita memang suka disakat oleh mereka.

Biarkanlah, yang sudah lepas, biarlah. Mungkin, mereka sedang asyik ketawa, tidak memikirkan hal kita walau sesaat, kenapa pula kita mahu menghukum diri dengan terus memikirkan hal dia atau mereka yang menyakitkan hati kita terus-menerus.

Kedua, jangan menghukum sikap kawan kita dengan membuat spekulasi baru. Contohnya,

"Padanlah tiada boyfriend/tunang/putus tunang/bercerai, sudah sikap buruk macam itu. Siapapun tidak mahu dekat"

"Inilah contoh salah asuhan/didikan dari orangtua"

"Padanlah mulut tiada lesen. Asal Melaka rupanya. Memang orang Melaka/Negeri Sembilan mulut mereka celupar-celupar"

Astaghfirullah. Jangan sesekali ya!

Siapa kita untuk menilai takdir atau membuat huraian pada takdir yang terjadi dalam kehidupan seharian orang lain?

Besar sangatkah pangkat kita atau mulia sangatkah diri kita sehingga dilantik oleh Allah SWT untuk menjadi juru cakapNya?

Mungkin sahaja, ibu bapanya mendidik dengan baik dan cantik sekali asuhannya. Tapi si anak tidak mengikut acuan yang disediakan. Bukankah kita telah membuat fitnah dengan melibatkan orangtua dalam konflik antara kita dan sahabat?

Label yang ketiga itu saya selalu dengar. InsyaAllah saya santai sahaja. Namun, cuba kita fikirkan, kita telah memukul rata atau melabel semua orang Melaka atau orang Negeri Sembilan celupar. Sekalipun yang celupar itu individu tertentu yang mungkin tinggal di negeri tersebut, habis semua orang Melaka kena. Bagi saya, orang yang melabel atau pukul rata inilah yang lebih celupar. Celupar dalam penilaian. Jangan sampai penilaian yang kita anggap enteng ini yang mengheret kita ke NERAKA. Na'udzhubillah.

Ketiga, BILA KITA MAHU MAJU KE DEPAN JIKA ASYIK BERGADUH/BERSELISIH FAHAM ANTARA SESAMA KITA?

Saya tidak mahu mengetengahkan siapa salah, siapa betul. Cuma jika berada di tempat yang benar, apa langkah seterusnya?

Jika kita berada di tempat yang salah, apa langkah seterusnya yang patut kita lakukan?

Apakah kita mahu berada di tempat yang sama?Apakah kita mahu bawa duka dan air mata sampai hujung hayat kita?

Hidup terlalu singkat untuk hidup kerana MANUSIA.

Marilah, mulai sekarang, kita latih hati kita untuk tidak terlalu sensitif. Tidak sensitif bermaksud tidak mudah terasa hati. Kita kuatkan hati kita dengan ilmu yang benar, amal yang banyak, dan kekuatan motivasi dari insan-insan tersayang.

Wallahualam. Peringatan buat diri sendiri dan semua yang membaca:)

Pesan 1:
Dari dia Radliyallaahu 'anhu bahwa Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam bersabda: "Orang kuat itu bukanlah orang yang menang bergulat, tetapi orang kuat ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah." (Muttafaq Alaihi)

Pesan 2: "Bila seorang dari kamu sedang marah hendaklah diam." (HR. Ahmad)

Pesan 3: Dari Abu Hurairah Radliyallaahu 'anhu bahwa ada seseorang berkata: Wahai Rasulullah, berilah aku nasehat. Beliau bersabda: "Jangan marah." Lalu orang itu mengulangi beberapa kali, dan beliau bersabda: "Jangan marah." (HR. Bukhari)

Ketika mengomentari hadits tersebut, Imam Nawawi di buku Riyadhus Shalihin berkata: "Kita dilarang marah ini apabila berhubungan dengan sesuatu yang hanya mengenai hak diri kita sendiri atau hawa nafsu. Tetapi kalau berhubungan dengan hak-hak Allah, maka wajib kita pertahankan sekeras-kerasnya, misalnya agama Allah dihina orang, Al-Quran diinjak-injak atau dikencingi, alim ulama diolok-olok padahal tidak bersalah dan lain-lain sebagainya."

Pesan 4: Thank you Qamarina, sebab sudah me'refresh'kan dalil tentang menahan marah. Thanks dear:)

Rabu, 17 Mac 2010

Dimanakah dirimu yang dahulu?

Assalamualaikum wrt wbt,

Hari ini, saya ingin berkongsi sesuatu yang sangat berkait rapat dengan adab dalam bertutur.

Sejak masuk praktikal, pelbagai ragam yang saya lihat, dengar dan hadapi sendiri.

Antaranya,

Kawan: Eh..eh..Ambil beg aku!

Sambil kawan tadi menuding jari menunjukkan begnya yang berada selang 2 tempat duduk dari tempat duduk saya di dewan kuliah.

Saya : Nama saya Aimi, mana perkataan 'Minta tolong'?

Kawan: Arghh..Malaslah kau ini. Leceh.

Saya : Saya tidak akan menyalahkan orangtua kamu kerana kamu sudah cukup bijak untuk menggunakan akal.

Kawan : Terserah kau. Malas aku mahu dengar. Minta tolong ambilkan beg saja dah banyak celoteh.

Fuh!! Membara hati saya masa itu. Allah SWT sahaja yang tahu betapa tangan saya ringan mahu mencubit mulut teman saya tadi. Jika adik-adik saya, memang saya cubitkan mulut mereka dan saya akan cakap,

"Where's your magic word? Where's your 'PLEASE'?"

Tapi, seperti nasihat salah seorang kawan saya, kalau orang yang memang mempunyai 'kongenital kurang sopan' kita jangan ikut marah-marah. Kita sabar dan bertahanlah dengan sikapnya. Mungkin sikap sabarnya kita akan membuat teman kita berfikir. Jika tidak sekarang, masa akan datang. InsyaAllah, semoga teman kita berubah melihat kesabaran kita. InsyaAllah.

Saya melihat, situasi working and studying underpressure telah mengubah sikap dan mentaliti sesetengah sahabat-sahabat saya untuk menjadi lebih matang dalam menangani masalah dan tidak kurang juga ada yang berubah menjadi someone which is totally different, 360'.

Bagi saya, antara faktor pencetus atau pemicu perubahan sikap ini adalah sikap kita dalam menangani masalah dan tekanan.

Sejujurnya, sewaktu awal-awal masuk praktikal, saya menangis hampir setiap hari selama seminggu. Saya penat sangat-sangat. Keluar dari rumah jam 5.30 pagi manakala pulang jam 8-9 malam. Bila saya mahu berehat? Bila saya mahu belajar? Bila saya mahu siapkan tugasan?. Kemudian, saya pun menyendiri. Bertambah murunglah saya. Dari berat badan saya, 52kg turun menjadi 48kg. Saya stress sangat-sangat sehingga saya tidak ada selera makan.

Namun begitu, masuk minggu kedua, saya mula berfikir,

"Ah bodohnya diri aku. Lemahnya diri aku. Apakah ini sahaja yang mampu ku persembahkan kepada Allah SWT dan orangtua ku?Apakah sekadar tangisan sahaja yang mampu ku berikan untuk membela ummah?. Aku tidak mahu mati sebagai pecundang. Malu!!"

Saya tahu, kenapa saya stress. Lalu saya pun mengidentifikasikannya:

1. Saya tidak boleh membandingkan masa lalu saya yang santai dengan sekarang. Saya sudah move 1 step ahead, iaitu pre-kerja. Saya hanya akan bertambah stress, jika saya terus membandingkan.

2. Saya hilang arah dan tujuan saya, kenapa saya ambil bidang perubatan dan juga masuk praktikal. Lalu, saya menyusun kembali semua jadual dan memberikan semangat buat diri dengan melihat semua matlamat-matlamat diri. Fisabilillah!

3. Saya memikirkan betapa saya sudah penat berkorban masa, wang, tenaga selama 4 tahun untuk berada di sini sekarang dengan memegang title 'Doktor Muda'. Mana mungkin kerana Pakcik Stress datang menganggu, saya kecundang. No way Uncle Stress!You can't let me down anymore!

4. Saya mahu menjadi Mujahidah Islam. Tidak mungkin seorang Mujahidah kecundang dalam melawan nafsu dan kelemahan diri sendiri. Itu pantang seorang Mujahidah. Wahai Para Mujahidah yang syahid kerana memperjuangkan agama Allah, insyaAllah, aku menyusuri kalian. Nantikan aku, berjuang dengan caraku dalam bidangku. Ameen.

5. Saya tidak mahu menjadi fitnah kepada agama Islam. Saya sibuk berdakwah, ikut usrah tiba-tiba saya gagal dalam akademik. Kegagalan yang disebabkan saya tidak berusaha dan lemah di tengah jalan. Jika saya telah berusaha sehabis baik, itu lain cerita. Walaupun penat dalam berlari, saya insyaAllah pasti akan menamatkannya.

6. Saya memandang masalah yang datang sebagai sebuah kehidupan. Tiada istilah, "Ambil perubatan ini, jika waktu kerja, tiada life". Inilah kehidupan saya. Saya yang mencorakkannya menjadi indah dan hari-hari saya penuh dengan senyuman atau stress dan wajah penuh kemasaman. Pesakit yang melihat wajah dokter masam pasti bertambah sakit. Saya tidak mahu menjadi dokter yang menyumbang kepada peningkatan keparahan pesakit saya. InsyaAllah.

Alhamdulillah. Itu adalah antara perkara-perkara yang saya perjelaskan dalam diri saya. Sehingga kini, alhamdulillah, saya masih tersenyum dan mampu menghadapi dunia baru saya, Dunia Pre-Jihad/Kerja.

Pesan 1: Sudah Sunnah orang berjuang, pasti akan diuji oleh Allah SWT.

Isnin, 15 Mac 2010

Pengalaman: Poliklinik Kulit Kelamin

Assalamualaikum wrt wbt,

Saya ingin berkongsi cerita. Bukan tujuan mengaibkan sesiapa, cuma mari sama-sama kita renungkan apa yang ingin saya sampaikan.

Mungkin ada yang telah membaca entri blog saya sebelumnya. Kini, saya di bahagian Dermatology and Venerology department (Bagian Kulit dan Kelamin).

Pesakit-pesakit yang datang, ada dengan pelbagai keluhan kulit dan tidak kurang juga penyakit-penyakit kelamin.

Suatu hari, sewaktu saya bertugas di bahagian Poliklinik Sexual Transmitted Infection, ada seorang remaja wanita belasan tahun masuk ke poliklinik. Jarang sekali ada kunjungan pesakit di poliklinik ini. Mungkin kerana malu dan mungkin juga kerana stigma dari orang ramai.

Hati saya sudah berdebar, lantas terdetik,

"Ya Allah, janganlah adik ini ada penyakit-penyakit kelamin yang disebabkan hubungan seksual"

Pada awalnya, sewaktu di anamnesis (ditanya-tanya tentang penyakitnya), anak ini menyangkal semua jenis hubungan seksual.

Namun, setelah dipujuk oleh dokter senior,

"Adik, sila bercakap jujur. Saya tidak akan memberitahu orangtua kamu. Saya tidak akan memberitahu kepada sesiapa pun selagi kamu tidak mengizinkannya"

Ternyata, jawapan adik itu benar-benar buat airmata saya bergenang seketika,

"Ya, saya sudah melakukan hubungan seksual sejak setahun lalu dengan boyfriend saya, dan kami kerap melakukannya. Tolong ya dokter, jangan beritahu ke orangtua saya"

Astaghfirullah. Astaghfirullah.

Hati saya luluh, sedih.

Sejujurnya saya menangis. Di depan saya, adalah seorang anak perempuan, belasan tahun, belum menikah dengan keluhan penyakit kelamin disebabkan hubungan seksual.

Usianya hampir sebaya dengan adik saya yang bongsu. Saya membayangkan betapa hancur hati saya sekiranya perkara yang sama berlaku pada adik saya. Na'udzhubillah.

Saya tidak menilai adik ini. Tapi inilah perkara yang benar-benar menyentuh jiwa.

Di saat saya berusaha mencari cintaNya dan mengaut sebanyak-banyak ilmuNya,

Di saat saya dan kawan-kawan sedang sibuk dengan usrah,

Di saat saya dan kawan-kawan sedang asyik dengan ta'lim,

Di saat saya dan kawan-kawan semangat merencana program kepada persatuan, agama dan masa depan,

Masih ada, insan-insan yang saya terlepas pandang.

Masih ada saudara semuslim yang terabaikan.

Betapa saya merasa, saya sangat SELFISH.

Lihat sahaja anak ini, dia lebih takutkan orangtuanya dari Allah SWT. Inilah tanggungjawab kita. Inilah saudara seislam kita.

Kelak ditanya Allah SWT di akhirat,

Apa yang telah kau lakukan didunia?

Apa sumbangan kau yang ikhlas telah kau berikan kepada ummah?

Apa manfaat diri kau kepada agama?

Soalan-soalan ini benar-benar menyentuh hati saya kerana BELUM TENTU JAWAPAN YANG SAYA BERIKAN AKAN DITERIMA ALLAH SWT. Na'udzhubillah. Allah, Kau lindungilah hambaMu.

Saya mula tersedar bahawa, pertelingkahan antara para da'i seharusnya diluputkan sama sekali. Tugas kita masih banyak. Tugas kita masih bertimbun. Abaikanlah hal-hal yang remeh-temeh seperti terasa hati atau 'tidak sama fikrah', 'tidak sehaluan', kerana ingat MATLAMAT KITA SAMA.

Luputkanlah sikap individualistik dalam diri kita. Masih ramai insan yang memerlukan perhatian dan bimbingan dari kita. Sebaiknya, semampu kita, membantu mereka, saudara seislam dari sekecil-kecilnya adalah dengan pengetahuan perubatan kita dan juga dengan ilmu dan amalan Islam.

Saya memasang tekad dalam diri, mereka adalah tanggungjawab saya. Apabila saya mengatakan tanggungjawab, saya harus ada ilmu dan tindakan. Maka, saya tidak boleh sambil lewa dalam belajar dan tidak boleh lemah dalam dunia dakwah.

InsyaAllah, semoga Dia membantu saya.

Semoga Dia memberikan saya kekuatan.

Semoga Dia ada bersama saya setiap detik kehidupan saya.

Sabtu, 13 Mac 2010

Puzzles JODOH

Assalamualaikum wrt wbt,

Alhamdulillah, apabila hampir seminggu saya meninggalkan blog tanpa jejak.

Bukan mencari alasan tapi sememangnya, minggu ini dan 2 minggu ke hadapan adalah minggu yang agak sibuk.

Saya sekarang di bahagian Dermatology and Venerology (Penyakit kulit dan kelamin). Saya harus melakukan 9 pemeriksaan kepada pesakit, 4 pembentangan kes, 27 kes yang harus dihafal.

Apabila melihat deretan nombor-nombor ini, saya pasti stress. Namun, saya tidak memandangkan banyaknya apa yang perlu dipelajari sebagai suatu pelajaran yang harus saya selesaikan sebelum ujian, tetapi sebagai satu gudang ilmu, yang perlu saya baca kerana itu tanggungjawab saya. Bukan kerana ujian, bukan juga kerana mahu meng'impress'kan mana-mana dokter tapi kerana Allah SWT.


Baiklah, saya tidak berniat mahu menceritakan tentang bahagian baru ini.

Cuma saya tertarik untuk menceritakan sikap beberapa manusia, tidak perlu saya sebutkan siapa mereka.
Ada teman-teman wanita yang masih 'single and available' sering meluahkan rasa hati,
"Risau masih tidak punya calon"

"Bosan hujung minggu tiada yang teman ke mana-mana"

"Rasa tidak cukup atau lengkap hidup tanpa pasangan"

Ada pula yang seperti 'terburu-buru',

"Aimi, semalam saya keluar dengan si X, dia itu saya lihat sangat caring cuma saya tidak suka bla..bla..bla..saya rasa dia tidak sesuai untuk saya"

Saya bukanlah orang yang tepat untuk dijadikan rujukan atau minta pandangan, saya belum menikah, saya juga tidak punya banyak pengalaman untuk mendidik tapi mungkin saya boleh kongsikan apa yang saya tahu dan mahu berikan.


1. CINTA yang KITA DAPAT dan CINTA yang KITA CARI
Bagi saya, jika dinilai dengan cinta yang kita sudah dapat,

Cinta dari Allah SWT
Cinta teragung. Cinta yang tidak pernah mengecewakan. Dengan segala nikmat yang sudah diberikan olehNya, diberikan peluang mengejar syurganya dengan pelbagai lagi 'reward' yang ada sementara nyawa masih ada.

Cinta dari ibu bapa
Mereka insan yang tidak mengenal erti penat dan cinta tanpa alasan.

Cinta dari keluarga,
Mereka yang mengenal siapa diri kita, yang menerima kita seadanya.

Cinta dari sahabat-sahabat terdekat
Mereka yang sangat membantu dan membina semangat. Mereka ada di sisi saat diperlukan, Buruk-buruk dan busuk-busuk insan-insan ini, mereka tetap insan yang paling baik.

TAPI, malangnya,

Kenapa masih ada yang kecewa tidak berkesudahan menacari cinta dari seorang lelaki atau wanita?


Allah SWT pasti punya alasan kenapa masih sampai sekarang kita tidak ada calon. Bagi saya, kita jangan paksa diri memikirkan satu hal yang bukan tugas kita. Itu tugas Allah SWT. Tugas kita adalah beribadah yang benar, menjadi yang soleh/solehah dan seterusnya berusaha.

Allah SWT suruh kita berusaha bukan bererti Allah SWT menyuruh kita menyeksa diri, sampai setiap saat merasa rendah diri dengan sahabat-sahabat lain yang sudah punya pasangan masing-masing, sampai diri terlihat desperate, hampir semua lelaki yang datang menegur dan mengajak keluar, diri pulun terima. Gara-gara mahu cepat dapat.

INGAT! Selalunya yang segera-segera ini kurang baik. Mi segera, makanan segera. Jadi bersabarlah dalam 'memasak'.

2. BERSYUKUR DENGAN APA YANG DIMILIKI.
Apakah kita yakin, saat kita punya pasangan nanti, hati kita lebih tenang, hari-hari kita lebih gembira daripada sekarang?

Siapa yang dapat memberikan jaminan tersebut?

Maka, bersyukurlah dengan nikmat yang telah Allah SWT berikan. Belum tentu kita akan dapatkan hal yang sama sekiranya kita sudah hidup berpasangan.

Kita merancang, Allah SWT merancang, dan sebaik-baiknya rancangan adalah Dia

3. UBAHLAH PEMIKIRAN KITA.
Jangan menganggap hidup bujang ini adalah suatu tekanan kerana asyik perlu memikirkan siapa calon kita.

Go with the flow.

Kita nikmati hari-hari sekarang. Jangan jadi manusia statik. Terlalu banyak memikirkan hal yang tidak pasti sehingga banyak kerja, tugas dan tanggungjawab yang ada terabai.

Perlu diingat juga, bagi yang sudah punya calon, Allah SWT itu Maha Kuasa.

Jika hari ini kita bangga, kita cerita tentang calon kita, kita tanpa segan silu mengaku kita bermaksiat (apa jua bentuk maksiat), tidak mustahil Allah SWT menarik nikmatnya bila-bila masa sahaja.

Hatta satu saat sebelum akad nikah, jika si dia bukan jodoh kita, dengan takdirNya segala impian akan terkubur. Na'udzhubillah.

Terlalu banyak kerja dan tanggungjawab kita yang belum dilunaskan. Kita ubahlah mentaliti yang bersifat individualistik. Terlalu memikirkan hal diri tanpa rasa peduli kepada masyarakat dan ummah di luar yang memerlukan perhatian kita, memerlukan kasih sayang kita. Berikan mereka kasih sayang kita yang 'berlebihan' itu dari memberikan kepada lelaki/wanita yang kelak membawa mudharat (zina).

4. KESIMPULAN
Wallahualam, ini adalah pandangan peribadi saya. Pasangan hidup mungkin merupakan 'A piece of puzzle' dari satu gambaran puzzle kehidupan kita. Jika 'puzzle jodoh' masih belum kita temukan, ayuh bergerak terus menyusun 'puzzles' yang lainnya. Jangan menyulitkan satu keadaan hanya kerana kita BELUM melihat jawapan pastinya apa. Kita melangkah ke hadapan, kita corakkan kegemilangan yang kita impikan.

Peringatan untuk diri juga.

Isnin, 8 Mac 2010

Saya patahkan tangan awak, boleh?

Assalamualaikum wrt wbt,

Alhamdulillah, Allah memberikan kesempatan lagi untuk saya menulis.

--------------------------------------------------------------------------------

Saya dan kawan saya berjalan pulang.

Saya : Awak, tangan awak yang mana paling dominan, kiri atau kanan?

Kawan : Tangan kanan.

Saya : Kalau saya patahkan tangan kiri awak boleh?

Kawan : Kenapa???!!

Saya : Sebab awak lebih banyak menggunakan tangan kanan, jadi lebih baiklah tangan kiri dipatahkan atau diputuskan.

Kawan : Kerja gila!!

---------------------------------------------------------------------------------------

Mungkin akan ada yang berfikiran sama seperti kawan tadi. Menganggap kerja gila memutuskan tangan kiri kerana menganggap tangan kanan lebih dominan dan tangan kiri kurang kerjanya.

Begitulah ISLAM. ISLAM adalah menyeluruh ibarat tubuh kita. Tidak boleh dipisah-pisahkan hanya kerana kita merasa hukum, amalan dalam ISLAM itu tidak cocok dengan diri kita.

Surah Al-Baqarah, ayat 208-209, terjemahannya,
" Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya (kaffah), dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. Tetapi jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahwasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"

Saya tertarik untuk menyentuh suatu topik di mana ia menyentuh suatu isu kini, ramai yang melihat seolah-olah ISLAM itu adalah susunan huruf semata. Ramai yang beragama ISLAM tapi ramai juga yang membahagikan kehidupannya atau memisahkan kehidupan mereka daripada ISLAM.

ISLAM adalah agama

ISLAM adalah kehidupan.

ISLAM dan POLITIK

ISLAM dan EKONOMI

ISLAM dan PENDIDIKAN

ISLAM dan PENTADBIRAN

ISLAM dan CINTA.

Ya, dalam kehidupan sehari-hari, ISLAM adalah acuan hidup kita. Kita tidak boleh pisah-pisahkannya. Contohnya,

"Solat-solat juga tapi couple-couple juga. Itu dua benda yang berbeza lah"

Solat tiang agama ISLAM namun apa yang salahnya di sini, batas pergaulan yang telah ditetapkan telah dipisahkan dari skop yang menyeluruh. Selain kita berbangga mengaku diri kita ISLAM, seorang MUSLIM, kita harus membuktikan dengan seluruh anggota tubuh yang telah dipinjamkan.

"Aku benci politik, politik kotor"

Politik kotor? Mungkin ini yang dimaksudkan oleh sesetengah pihak yang anti politik dengan menganggap ISLAM membenarkan sesuatu yang kotor, begitu?

Yang kotor itu adalah insan yang telah menyalahgunakan kuasa bukan politik itu sendiri. ISLAM sama sekali tidak membenarkan sesuatu yang kotor untuk dijadikan sebahagian dari intipati kehidupan kita.

"Aku rasa tiada life"

Saya tahu, semakin kita meningkat dewasa, semakin banyak tuntutan kerja dan tanggungjawab sehari-hari yang menanti kita. Itulah namanya kedewasaan. Jika anak-anak, pasti kita tidak bebankan mereka dengan tanggungjawab yang sama. Elemen penting yang memisahkan tugas anak-anak dan dewasa adalah kita mampu berfikir dan bertindak serta memikul tanggungjawab.

ISLAM adalah kehidupan kita. Jika kita tahu tujuan dan matlamat hidup kita untuk apa, pasti kita tidak merasa kehidupan kita kosong atau 'tiada life'. Jika kita tahu tugas dan sumbangan kita untuk ummah, pasti kita tidak lemah dalam melangkah kerana kita asyik MEMBERI untuk semua.

Wallahualam, sekadara renungan dan peringatan untuk diri dan semua.

Khamis, 4 Mac 2010

Kau sangka kau hebat.

Assalamualaikum wrt wbt,

Ini pengalaman saya. Alhamdulillah, pengalaman yang meninggalkan bekas manfaat dalam diri.

Sewaktu di Surgery Department dahulu, saya pernah mengikuti satu pembedahan Thorax atau dinding dada.

Ada seorang pesakit saya, lelaki umur sekitar 30 an. Masih mudah namun pesakit saya seorang penghidap penyakit TB (Tuberkulosis) atau mungkin dikenali sebagai batuk berdarah sehingga menimbulkan komplikasi Pleural effusion (sila klik Haji Google untuk maklumat lanjut). Jadi, antara tanda-tanda yang dapat dilihat adalah pesakit saya sering sesak nafas. Oleh itu, dilakukan tindakan operasi dengan membuka tulang-tulang rangka (dada) dan mengeluarkan cairan dari pleural seterusnya membersihkan bagian paru yang sudah rosak terkena jangkitan.

Operasi tersebut memakan masa lebih dari 5 jam.

Baiklah, kali ini, saya tidak mahu menceritakan tentang proses pembedahan pesakit saya, tapi ada yang lebih menarik dari itu.

Pertama, sebelum operasi dan memandangkan tindakan operasi ini adalah tindakan operasi bedah major, jadi pesakit haruslah dibius total atau epidural anesthesia (bius di tulang belakang).

Saya melihat proses pembedahan dari awal. Sewaktu mahu dibius epidural anesthesia, pesakit tadi menangis. Mengerang kesakitan. Tangisannya seperti anak-anak yang kita cubit dengan kuat dan sengaja (saya selalu cubit adik-adik saudara saya, jadi saya tahu macam mana cara mereka menangis, bagi mereka yang tidak dapat membayangkan, apa kata kawan-kawan cuba? :P).

Kalau tanya saya, saya hairan. Saya pernah di bius melalui tulang belakang, namun saya cuma mengalirkan airmata. Tidak sampai teresak-esak menangis. Tapi mungkin tahap seseorang bertahan pada stimulus sakit berbeza. Tidak bermaksud waktu itu saya bangga diri. Cuma saya turut bersimpati. Melihat pesakit tadi yang menangis-nangis menahan sakit membuatkan hati saya sayu.

Selang beberapa minit, timbul beberapa masalah dari pesakit tadi di mana dia tiba-tiba sesak nafas, dokter-dokter bius membuat keputusan untuk mengubah kepada bius umum (pesakit akan tidur).

Setelah pesakit tadi selamat dibius total, seorang pakar bedah mendatangi saya lalu bertanya,

"Adik, pesakit ini ada tatu atau tindik di mana-mana?"

Aneh dengan soalan dokter tadi. Saya hanya menjawab, "Maaf dokter, saya tidak tahu"

Dokter bedah tadi lalu mengarahkan saya memeriksa seluruh tubuh pesakit tadi, mencari kalau ada tatu atau tindik.

Sebelum dibedah, pesakit haruslah tidak memakai sebarang pakaian atau nama lain dia bogel. Hanya boleh memakai sehelai kain untuk menutup tubuh. Jadi, saya tinggal menyelak selimut pesakit tadi. Ternyata di kakinya ada tatu. Saya meneruskan lagi mencari tatu di tempat lain. Saya dan seorang sahabat, cuba membalikkan badan pesakit ini, dan ternyata ada lagi satu di bahu belakangnya.

Saya melihat ke dalam mulut pesakit, meninjau-ninjau kalau ada tindik lidah. Namun, tidak ada. Kemudian, saya melaporkan kembali kepada dokter. Dalam fikiran saya masih terbayang, apa kaitan tatu dengan operasi bedah ini? Apa kaitan tindik dengan operasi ini? Apakah pengaruh keduanya? Semua soalan tadi saya simpan di kepala dan saya pasti akan bertanya pada dokter bedah tadi.

"Dokter, ada 2 tatu. Di kaki kanan pesakit dan di bahu belakang. Tiada tindik. Dok, apa kaitan tatu dan tindik ini semua dengan operasi nanti?" saya bersuara

"Ok baik. Siapa kata ada kaitan?" tanya dokter tadi.

"Entah, jadi kenapa harus diperiksa?Apa signifikannya?" saya bertanya lagi, saya masih tidak berpuas hati.

"Kamu lihatkan tadi, bagaimana pesakit ini menangis setelah disuntik?Bagi kamu adakah tangisnya itu relevan dengan sakitnya?" tanya dokter.

"Kurang tahu dok, mungkin ya, mungkin juga tidak. Hish. Kenapa dok?Cuba jelaskan, saya jadi bertambah pening kalau dokter tanya-tanya saya" balas saya.

"Selama saya menjadi pakar bedah, telah banyak operasi bedah telah saya lakukan. Apa yang bakal saya katakan ini adalah melalui pengalaman saya. Kalau kamu tahu, hampir 100% saya jamin, orang yang bertatu ini, saat sebelum operasi, mereka akan menangis semahu-mahunya. Seperti anak kecil. Mereka sebenarnya takut. Internal strength mereka tidak sekuat orang lain. Oleh itu, mereka memakai tatu, bertujuan menutup rasa takut dalam diri mereka. Bagi orang ramai yang melihat, 'Oh ada tatu, jadi orang ini kuat'. Orang yang selalu 'berdegar-degar cakap hebat' atau berlagak kuat ini, mereka sebenarnya jauh lebih takut dari orang yang diam dan sabar. Buktinya, kamu telah lihat tadi" jelas dokter tadi.

"Wah, terima kasih dokter" saya sangat terkesima dengan penjelasannya.

Pengalaman itu telah saya aplikasikan dalam kehidupan. Saya melihat banyak persamaannya.

Kadang-kala ada antara mereka ada yang berdegar-degar berkata,

"Sumpah, mati hidup balik aku tidak mahu maafkan dia. Aku tidak mahu kawan lagi dengan dia"

Senario di atas, hakikatnya, selain seseorang itu bertujuan menunjukkan rasa marah, dia juga mempamerkan kelemahan di situ. Insan inilah yang sebenarnya takut. Dia takut dia dianggap lemah. Dia takut dikatakan kalah, jadi dia bangkit membuat satu statement kontroversi yang sedikit sebanyak apabila orang lain mendengar merasa, "Fuhh..Nekad betul dia ini." Namun, disisi internalnya, dia masih takut dan gusar. Insan ini jugalah yang akan cepat luntur hatinya setelah dipujuk.

"Aku tidak suka perempuan/lelaki itu. Dia yang suka aku. Aku tidak pandanglah perempuan macam itu"

Percaya atau tidak, mungkin sahaja lelaki/perempuan itu menaruh hati pada insan yang dikatakan suka padanya. Cakap berlebih-lebih ini sedikit sebanyak mereflekskan apa yang terbuku dalam hati.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka
hendaklah ia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari
kemudian maka hendaklah ia memuliakan tetamunya."

(HR Bukhari no 6018, Muslim no 47)

Subhanallah. Rasulullah SAW telah lama berpesan.

Pesan 1: Alhamdulillah.

Pesan 2: Walaupun cuti, tetapi sibuknya seperti tidak pernah ada cuti.

Pesan 3: Artikel di atas adalah untuk peringatan diri sendiri.

Selasa, 2 Mac 2010

Pasangan hidup saya, pilihan hati orangtua

Assalamualaikum wrt wbt

Ini adalah coretan, pengalaman saya suatu ketika dulu.

Kita hanya merancang dan Allah SWT menentukan.

Memberitahu babah dan mama dengan siapa saya berkawan baik kawan lelaki mahupun perempuan, itu perkara biasa.

Kadang-kala, ada teman lelaki yang telefon rumah, sekadar mahu berborak kosong. Seadanya saya menjawab.

Babah pernah bertanya pada saya,

"Kakak, andai satu masa nanti, kakak jumpa dengan lelaki yang paling kakak sayang, kakak yakin dia lah teman hidup kakak sampai bila-bila. Tapi mama dan babah tidak setuju, apa akan kakak lakukan?"

Saya terdiam, lalu saya menjawab,

"Kakak yakin, kalau mama dan babah SAY NO, itu pasti ada sebab. Jika kakak sayang sekalipun seorang lelaki, tetapi mama dan babah tidak setuju, insyaAllah kakak tetap ikut telunjuk mama dan babah. Kakak yakin, apa keputusan yang mama dan babah buat itu adalah yang terbaik untuk anak-anak. Tapi untuk kakak menurut, ada syaratnya.."

Babah tersenyum dan bertanya,

"Apa dia?"

"Babah dan mama harus nyatakan jawapan yang rasional kenapa mama dan babah tolak pilihan hati kakak. Itu sahaja" saya tersengih seperti kerang busuk memandang babah.

"InsyaAllah, mana ada mama dan babah dalam dunia ini yang sengaja menyakiti hati anaknya. Lagipun yang mahu menikah itu kakak, bukan mama dan babah. Babah bukan sekadar menyerahkan anak babah kepada lelaki pilihan hati kakak, tapi babah menyerahkan kehidupan kakak kepadanya. Babah bela elok-elok. Babah nampak kakak membesar depan mata babah, kakak jadi anak yang solehah. Begitu jua lah babah mahu seorang lelaki yang mampu memberi jaminan yang sama. Bukan sekadar cakap kosong. Oleh sebab itu, babah sangat tegas"

Saya, "InsyaAllah babah. Kakak faham. Sesaat lagi sebelum menikah, kalau mama dan babah menghalanginya kerana sebuah alasan yang kukuh, silakan. InsyaAllah, walaupun kakak sedih, tapi kakak tetap redha"

Babah mengalirkan airmata mendengar jawapan saya.

Saya?

Mestilah menangis juga. Sebuah petang yang kami kongsikan bersama. Bukan mudah untuk seorang anak perempuan meluahkan rasa hati kepada ayah, lebih-lebih lagi anak sulung. Bagi seorang anak sulung, tanggungjawab seperti kerjaya, kebajikan keluarga, dan sebagainya lebih dianggap utama.

Terima kasih mama dan babah. Hingga saat ini, walaupun usia saya sudah meningkat dewasa, layanan mereka kepada saya, persis seperti saya sewaktu kecil. Saya tetap dimanjakan. Apabila saya merajuk, mereka cuba mencari jalan untuk melihat saya senyum kembali.

Pesan 1: Setelah bersiap-siap, saya menunggu waktu menjemput mama di Airport.

Pesan 2: Tiba-tiba 'rumah sakit' pula.