Saya ingin berkongsi cerita. Bukan tujuan mengaibkan sesiapa, cuma mari sama-sama kita renungkan apa yang ingin saya sampaikan.
Mungkin ada yang telah membaca entri blog saya sebelumnya. Kini, saya di bahagian Dermatology and Venerology department (Bagian Kulit dan Kelamin).
Pesakit-pesakit yang datang, ada dengan pelbagai keluhan kulit dan tidak kurang juga penyakit-penyakit kelamin.
Suatu hari, sewaktu saya bertugas di bahagian Poliklinik Sexual Transmitted Infection, ada seorang remaja wanita belasan tahun masuk ke poliklinik. Jarang sekali ada kunjungan pesakit di poliklinik ini. Mungkin kerana malu dan mungkin juga kerana stigma dari orang ramai.
Hati saya sudah berdebar, lantas terdetik,
"Ya Allah, janganlah adik ini ada penyakit-penyakit kelamin yang disebabkan hubungan seksual"
Pada awalnya, sewaktu di anamnesis (ditanya-tanya tentang penyakitnya), anak ini menyangkal semua jenis hubungan seksual.
Namun, setelah dipujuk oleh dokter senior,
"Adik, sila bercakap jujur. Saya tidak akan memberitahu orangtua kamu. Saya tidak akan memberitahu kepada sesiapa pun selagi kamu tidak mengizinkannya"
Ternyata, jawapan adik itu benar-benar buat airmata saya bergenang seketika,
"Ya, saya sudah melakukan hubungan seksual sejak setahun lalu dengan boyfriend saya, dan kami kerap melakukannya. Tolong ya dokter, jangan beritahu ke orangtua saya"
Astaghfirullah. Astaghfirullah.
Hati saya luluh, sedih.
Sejujurnya saya menangis. Di depan saya, adalah seorang anak perempuan, belasan tahun, belum menikah dengan keluhan penyakit kelamin disebabkan hubungan seksual.
Usianya hampir sebaya dengan adik saya yang bongsu. Saya membayangkan betapa hancur hati saya sekiranya perkara yang sama berlaku pada adik saya. Na'udzhubillah.
Saya tidak menilai adik ini. Tapi inilah perkara yang benar-benar menyentuh jiwa.
Di saat saya berusaha mencari cintaNya dan mengaut sebanyak-banyak ilmuNya,
Di saat saya dan kawan-kawan sedang sibuk dengan usrah,
Di saat saya dan kawan-kawan sedang asyik dengan ta'lim,
Di saat saya dan kawan-kawan semangat merencana program kepada persatuan, agama dan masa depan,
Masih ada, insan-insan yang saya terlepas pandang.
Masih ada saudara semuslim yang terabaikan.
Betapa saya merasa, saya sangat SELFISH.
Lihat sahaja anak ini, dia lebih takutkan orangtuanya dari Allah SWT. Inilah tanggungjawab kita. Inilah saudara seislam kita.
Kelak ditanya Allah SWT di akhirat,
Apa yang telah kau lakukan didunia?
Apa sumbangan kau yang ikhlas telah kau berikan kepada ummah?
Apa manfaat diri kau kepada agama?
Apa sumbangan kau yang ikhlas telah kau berikan kepada ummah?
Apa manfaat diri kau kepada agama?
Soalan-soalan ini benar-benar menyentuh hati saya kerana BELUM TENTU JAWAPAN YANG SAYA BERIKAN AKAN DITERIMA ALLAH SWT. Na'udzhubillah. Allah, Kau lindungilah hambaMu.
Saya mula tersedar bahawa, pertelingkahan antara para da'i seharusnya diluputkan sama sekali. Tugas kita masih banyak. Tugas kita masih bertimbun. Abaikanlah hal-hal yang remeh-temeh seperti terasa hati atau 'tidak sama fikrah', 'tidak sehaluan', kerana ingat MATLAMAT KITA SAMA.
Luputkanlah sikap individualistik dalam diri kita. Masih ramai insan yang memerlukan perhatian dan bimbingan dari kita. Sebaiknya, semampu kita, membantu mereka, saudara seislam dari sekecil-kecilnya adalah dengan pengetahuan perubatan kita dan juga dengan ilmu dan amalan Islam.
Saya memasang tekad dalam diri, mereka adalah tanggungjawab saya. Apabila saya mengatakan tanggungjawab, saya harus ada ilmu dan tindakan. Maka, saya tidak boleh sambil lewa dalam belajar dan tidak boleh lemah dalam dunia dakwah.
InsyaAllah, semoga Dia membantu saya.
Semoga Dia memberikan saya kekuatan.
Semoga Dia ada bersama saya setiap detik kehidupan saya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan